Insuran Pendidikan – Demi Untuk Masa Depan Anak-Anak.
Insuran Pendidikan yang dibeli untuk anak perempuan saya matang tempohnya semalam. Begitulah cepat masa berlalu. Saya mula membeli insuran pendidikan untuknya sejak umurnya 3 tahun. Dan setiap bulan, pihak bank akan membuat potongan terus dari akaun bank saya.
Tempoh pembayaran selama 15 tahun rupanya telah berakhir. Kini, sekurang-kurangnya saya mendapat sejumlah wang untuk pembiayaan pendidikan anak saya kelak.
Manakala insuran pendidikan kedua-dua anak lelaki saya, dibeli oleh ayah mereka. Namun, kerana tidak membayarnya dalam tempoh yang panjang, polisi itu dengan automatik luput. Rugi benar.....
Bagi anda yang baru melahirkan cahaya mata, saya berpendapat adalah wajar anda membeli insuran pendidikan untuk anak anda. Kadarnya hendaklah mengikut kemampuan anda. Kos pembiayaan pendidikan sekarang, bukannya murah. Untuk wanita, pastikan suami anda membeli insuran pendidikan untuk anak anda dan pastikan mereka membayarnya setiap bulan...
‘Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudiaan’.
Selain dari memiliki polisi ini, kita juga perlu mengajar anak-anak untuk menabung sejak dari kecil lagi. Teringat sewaktu anak-anak masih kecil, membawa mereka berjalan ke Maybank, sebelah tangan mendukung yang kecil, sebelah tangan lagi memegang tabung yang berat dan anak-anak yang lain. Bukan main seronok mereka melihat pekerja bank memasukkan siling ke mesin mengira.