Thursday, March 29, 2012

Nafkah Anak

Sesi Perbincangan Menambah Baik Akta Perkahwinan Dan Perceraian Akan Diadakan


KUALA LUMPUR: Satu sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan akan diadakan bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan kepada Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada segi pemberian nafkah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata kementerian akan berunding dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)memandangkan bidang kuasa berhubung Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 adalah di bawah JPN.

Selain itu, beliau berkata kementerian berpandangan bahawa penguatkuasaan nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak boleh dilaksanakan melalui Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968.

"Ini kerana Akta ini telah memberikan kuasa kepada Mahkamah di bawah Seksyen 4, Akta ini untuk membuat perintah tahanan pendapatan suami bagi maksud pembayaran nafkah kepada isteri dan anak-anak.

"Akta ini telah diguna pakai di mahkamah-mahkamah di Semenanjung Malaysia, termasuk Mahkamah Syariah," katanya ketika menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu mengenai pindaan Akta Perkahwinan dan Perceraian yang akan dibuat.

Sementara itu, Heng berkata kementerian memperuntukkan RM50 juta kepada Jabatan Bantuan Guaman tahun lepas untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang menghadapi masalah perceraian.

Katanya, wanita yang menghadapi masalah perceraian ataupun melalui proses perceraian boleh memohon bantuan guaman serta merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara menunggu kes mereka diselesaikan. - BERNAMA
Saya berpendapat seorang bapa yang bertanggungjawab sepatutnya membayar nafkah anaknya tanpa si isteri/bekas isteri perlu bersusah payah turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak anak-anaknya.
Apalagi kalau perceraian berlaku kerana hadirnya pihak ketiga.  Jangan kerana adanya keluarga baru, maka anak-anak terdahulu dipinggirkan.  Terlalu banyak kes yang berlaku, bila berkahwin lain, isteri pertama menderita kerana nafkah anak dikurangkan.  Apa tidaknya, kalau gaji sebanyak itu, terpaksa dibahagi-bahagikan.
Seringkali kita terbaca diakhbar tempatan, bagaimana bekas isteri artis perlu naik turun mahkamah untuk memaksa bekas suami membayar nafkah anak-anak.  Ada yang membayar jumlah yang tidak munasabah walhal perbelanjaan anak-anak semakin meningkat dan terpaksa ditanggung oleh bekas isteri.
Ada bekas suami yang pandai mengelak, buat-buat tak tahu bila tanya tentang nafkah anak.  Jadilah lelaki sejati, tunaikan tanggungjawab anda sebagai bapa.  Jangan nama sahaja bapa, tetapi enggan memikul tanggungjawab menyara anak-anak. Membiarkan bekas isteri menanggung segala-galanya.  Keadilan? Wujudke?
Lelaki, kenapa biarkan wanita menanggung segala?
Realitinya, bila berkahwin dengan orang kaya, bermadu atau bercerai, selalunya si isteri/bekas isteri tidak dibebani dengan masalah kewangan teruk dibandingkan mereka yang berkahwin dengan lelaki yang miskin, namun ingin beristeri lebih.




Tuesday, March 27, 2012

Pendidikan

Memang menjadi harapan setiap ibu bapa untuk melihat anak-anaknya berjaya ke menara gading demi mendapat segulung ijazah.  Serasa cerah seluruh hidupnya.

Namun haruslah disedari bahawa bukan semua anak-anak yang pintar dan berminat untuk meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat yang tertinggi.

Ada ibubapa yang begitu ghairah untuk mendaftarkan anaknya ke kolej atau universiti swasta yang tinggi pembiayaannya. Pernahkah kita bertanya apa hasrat dan cita-cita anak kita, bukannya cita-cita kita.  Sememangnya kita mahu yang terbaik untuk anak-anak kita, namun sekiranya terlalu mendesak anak-anak menuruti kehendak kita, sekiranya mereka gagal kelak tentunya kita (ibu bapa) yang  dipersalahkan.

Al kisah, ada ibubapa yang menghantar anaknya ke luar kota (KL) untuk menuntut di sebuah universiti terkemuka.  Setiap semester menghantar wang kepada anaknya.  Ibunya menyangka anaknya sedang meneruskan pengajiannya sehingga baru-baru ini, dia mendapat berita bahawa anaknya sudah lebih 2 tahun tidak menuntut di universiti tersebut.  Rupa-rupanya dia gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam pengajiannya dan diberhentikan.  Tetapi dia berpura-pura dan membohongi ibubapanya seolah-olah masih meneruskan pengajiannya dan wang masih dihantar kepadanya.  Terkini anak itu, disuruh pulang dan bekerja.

Jadi, kenalpasti minat dan bakat serta kemampuan anak anda.  Belajar setinggi manapun akhirnya kita akan memasuki alam pekerjaan.  Sekiranya anak anda tidak minat belajar dan kurang pintar, mungkin anda perlu pertimbangkan untuk mendaftarkannya untuk mempelajari kemahiran seperti kecantikan, menjahit, memasak dan lain-lain bidang yang diminatinya.  Langkah terakhir adalah menyuruhnya bekerja sahaja.  Mengumpul ilmu pengetahuan dalam selok belok pekerjaan dan menimba pengalaman.  Itu lebih baik.





Monday, March 26, 2012

Penipuan Kad Kredit

Penipuan Kad Kredit



Terkejut bila melihat gambar seseorang yang dikenali terpampang di akhbar Cina yang dikehendaki oleh polis kerana pembabitannya di dalam sindiket pemalsuan kad kredit yang ditumpaskan.  Khabarnya pihak polis sedang mencarinya untuk disoal siasat. 

Sebagai seorang ibu, saya terfikir betapa punahnya harapan ibubapanya bila mengetahui  khabar yang tidak indah ini.  Bayangkan bila anak anda menduduki jawatan yang agak tinggi di bank ternama antarabangsa, anda tentu bangga.  Namun  apa perasaan anda bila gambar anak anda tersiar diakhbar dicari polis kerana penipuan.  Kesian anak-anak kecil dan isterinya kelak, kalau anak anda didapati bersalah dan dipenjarakan. Mungkin ada sindiket yang mengambil kesempatan atas jawatannya, mudah untuknya mendapatkan maklumat dalaman dan mempergunakannya. 

Jadi bagi anda yang kesempitan wang dan mencari jalan keluar, fikirlah masak-masak sebelum bertindak.  Tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang yang banyak selain dari hasil usaha dan titik peluh kita sendiri.  Kalau anda berfikir anda hanya ingin lakukan sekali sahaja untuk mendapatkan wang, selepas itu anda ingin berhenti, anda silap.  Kerana selalunya bila penipuan terlepas dengan mudah, maka perasaan tamak akan bersarang di hati.  Jadi anda akan lakukan berulang kali, kerana setiap kali anda mendapat hasil yang lumayan dengan mudah. 

Namun, ingatlah sepandai-pandainya tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.  Ketua sindiket yang menjadi dalang terlepas, kaya raya. Anda yang terperangkap.Jangan jadi bodoh, kerana sekali tertangkap habis kerjaya dan seluruh hidup anda.




Saturday, March 24, 2012

If You So Choose

If You So Choose

If you so choose, the challenges can make you stronger.
If you so choose, the disappointments can make you more determined.


If you so choose, every mistake can lead to greater understanding and effectiveness.
If you so choose, every frustration can help you to be more patient and more persistent.


If you so choose, even the unexpected setbacks can bring new and positive possibilities.
If you so choose, you can find value and fulfillment in every circumstance.


If you so choose, each day can be filled with even more joy than the one before.
If you so choose, even the most seemingly random events can work in your favor.


If you so choose, you can remain steadily focused no matter what distractions may attempt to throw you off course.
If you so choose, you can look back on this day with no regrets.


Life is filled with an endless variety of circumstances, opportunities and possibilities.
If you so choose, you can make the most of it all in this and every moment.

By Ralph Marston -  greatday.com


Saya percaya setiap dari kita mempunyai pilihan dalam hidup kita.  Setiap pilihan kita menentukan arah tuju perjalanan hidup kita.  Setiap pilihan menghasilkan kesan yang berbeda. 




Friday, March 23, 2012

KIASU

Kiasu (Chinese: 驚輸; Pe̍h-ōe-jī: kia-su) adalah perkataan di dalam Hokkien yang membawa maksud ‘ takut kalah ‘ (Vernacular Chinese: ).

Dalam masyarakat sekarang yang menilai orang dari pangkat, kedudukan, kejayaan dan kekayaan, tidak hairan sekiranya, kebanyakan orang sekarang bersikap sedemikian. Sikap tidak mahu kalah ini telah menguasai kehidupan era ini.

Dari pemerhatian saya, ramai ibu bapa yang mempunyai sikap ‘kiasu’ ini dan memberi tekanan kepada anak-anak untuk cemerlang dalam pelajaran.  Mungkin juga kerana pernilaian masyarakat sekarang yang mementingkan jumlah A yang anak-anak mereka dapat kumpul dalam permarkahan mata pelajaran mereka.  Sistem pembelajaran kita juga meletakkan syarat A untuk dipilih ke pengajian tinggi atau mendapat biasiswa.

Kadangkala kesian saya melihat kanak-kanak sekolah rendah yang dihantar setiap hari ke pusat tuisyen, muzik, dan macam-macam kegiatan oleh ibu bapa mereka.  Budak-budak ini bukan sahaja dibebani dengan kerja sekolah, malahan ditambah dengan kerja tuisyen dan lain-lain.

Pernah saya lihat ketika menemani anak saya ke kelas arithmetic dahulu, duduk sebelah saya ada seorang ibu yang membawa anak perempuannya berusia dalam lingkungan 4 tahun.  Anaknya sedang menjawab soalan arithmetic itu, ibu disebelah asyik marah-marah bila anak menjawab salah.  Dalam hati saya berkata, ‘bagaimana anaknya nak beri tumpuan dan berfikir jika ibu sebelah asyik memarahi dan mengatakannya bodoh’?

2 hari lepas menemani anak perempuan mengambil keputusan SPM.  Saya menerima keputusannya dengan tenang, tidak menghampakan 8A+2B.  Namun saya melihat ada ibu yang masih marah-marah walhal anak mendapat 9A atau 10A.  Anak-anak mereka bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran dan menghadiri tuisyen saban hari.  Tertekan hidup seperti itu! 

Berbeda dengan anak saya yang hanya belajar sendiri, aktif band sekolah, menyertai NILAM, keluar dengan teman-teman sekolah, menikmati setiap saat remajanya.
Dekati dan dengari rintihan anak-anak anda ....




Wednesday, March 21, 2012

Mata Ganjaran - Mysurvey


Tadi sibuk menjawab kajian dalam MYSURVEY tentang sesuatu produk.  Menarik juga.
Saya diperkenalkan dengan website ini oleh anak gadis saya yang sememangnya pintar IT.  Banyak produk dan barangan sampel percuma yang diperolehi olehnya dari syarikat produk kecantikan melalui talian internet.

Berbalik tentang mysurvey ni, setiap tinjauan yang kita ambil akan diberi mata ganjaran.  Mata ganjaran ini dapat ditukarkan kepada voucher.  Baru-baru ini saya telah menukar mata ganjaran kepada voucher JUSCO bernilai RM30.00

Anda hanya perlu luangkan sedikit masa untuk menjawab tinjauan/kajian tentang sesuatu produk, perkhidmatan atau lain-lain perkara.

Mula-mula anda perlu mendaftar dalam talian.  Selepas berdaftar, mysurvey akan memaklumkan anda melalui email tentang tinjaun baru.  Anda login dan jawab tinjauan tersebut dan anda dapat mata ganjaran.  Semudah itu.  Dengan merujuk rakan-rakan anda, anda juga dapat mata ganjaran.

Baru-baru ini dek terlalu sibuk, tidak sempat menjawab 2 tinjaun yang dihantar ke email saya, tempohnya terhad, bila nak jawab, telah tamat.  Rugi rasanya.





Friday, March 16, 2012

Rutin

Bagi diri saya, masa sememangnya berlalu begitu pantas.  Melalui rutin yang sama saban hari.  Bangun pagi, bersiap untuk pergi ke pejabat.  Dalam perjalanan mendengar radio HITZ.FM senyum sendirian dalam kereta dengan celoteh Morning Crew DJ JJ & Ean.  Stres dalam kesesakan jalan dikurangkan dengan jenaka bersahaja 2 orang DJ berbakat ini.

Tiba di pejabat, fail bertimbun-timbun, tugasan menanti.  Di tambah dengan panggilan telefon, memang tiada masa untuk bersenang lenang.  Tik, tik, tik detik berlalu - tau-tau dah tiba masa untuk makan tengahari.  Sejam selepas itu, sambung kerja sampai 6 petang.  Kalau ada mesyuarat atau ke tapak projek, masa dihabiskan dengan memandu juga.

Lama tidak pergi bersenam, namun minggu ini saya mula rutin yang terhenti sekian lama.  Rasa letih dan tidak bermaya membuat saya malas ke gym.  Keahlian gym saya di absolute fitness akan berakhir hujung bulan ini.  Saya serba salah membuat keputusan samada ingin memperbaharui keahlian atau tidak.  Tetapi apabila difikirkan dengan mendalam, saya membuat keputusan untuk memperbaharuinya.

Yalah kalau dah takda keahlian, pastinya saya akan malas bersenam.  Tetapi sekiranya masih aktif menjadi ahli, saya akan rasa rugi kalau tidak ke gym.  Secara automatik saya akan memaksa diri ke gym.

Setiap kali pulang dari gym, hari sudah hampir larut malam.  Tiba di rumah kalau tidak rasa letih, saya akan menonton tv atau melayari internet, blog dan lain-lain.  Hari Isnin hingga Jumaat berlalu cepat.

Hujung minggu adalah untuk beristirihat, mengemas rumah, menghabiskan masa santai dengan anak-anak.  Mengurut di SPA menjadi rutin utama hujung minggu, diikuti dengan sekali kala pergi berfacial.

Begitulah rutin hidup saya. 

Penantian

Penantian itu satu penyiksaan.  Ianya bak detik masa terhenti.  Rasanya terlalu lama.  Walhal setiap hari tetap 24 jam.  Namun sekiranya anda menghitung hari, emosi anda mempermainkan anda.  Setiap saat berlalu begitu lambat, membuat anda ingin mempercepatkannya.

Penantian puteri kesayangan bongsu saya akan berakhir 21 Mac ini.  Saya doakan dia mendapat keputusan terbaik. 
Nasihat saya padanya dulu, berusaha dan cuba yang terbaik – selepas itu kita pasrah dan tawakal menerima keputusannya.  Kita mencabar keupayaan diri, tidak perlu terlalu bersaing dengan orang lain.
Buat anak-anak yang akan mengambil keputusan SPM kelak, kalau keputusan anda tidak sebaik yang anda jangkakan, jangan berputus asa.  Ibu bapa sememangnya mengharapkan keputusan cemerlang anak-anaknya, namun apa jua keputusan anda, ibu bapa anda tetap menyayangi dan akan menyokong anda membentuk masa depan yang cerah.
                
Dulu & Sekarang

Dulu - Luluskah?
                  Sekarang - Berapa A?
                 Terkini - A+, A- atau A?







Wednesday, March 14, 2012

Bila Manusia Hilang Sifat Kemanusiaan

Berita terkini, kanak-kanak perempuan Nurul Nadhirah Abdullah, 5, (Dirang)  yang hilang dan beberapa hari yang lalu mayatnya ditemui.  Dibakar.  Kejamnya perbuatan seseorang kepada kanak-kanak yang tidak berdosa ini.  Nampaknya sudah menjadi trend jenayah sekarang iaitu mangsa dibunuh kemudiannya dibakar.  Mungkin ini adalah taktik pembunuh untuk menutup jejak mereka agar tidak dapat dikesan dan ditangkap.  Kes ini menjadi sebutan ramai ketika ini, namun lama kelamaan ianya hilang dari ingatan kita.  Seperti kes terdahulu Nurin Jazlin yang mati dibunuh, sehingga kini si pembunuh masih bebas memburu mangsa seterusnya.  Si pembunuh perlu ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya.  Kerajaan/Polis seharusnya melancarkan gerakan besar-besaran untuk mengesan dan menangkap penjahat kejam ini secepat mungkin.  Jangan tunggu seorang lagi menjadi mangsa untuk bertindak !

Maka apakah peranan kita?  Nampaknya masyarakat zaman ini, ‘mind your own business’, tidak peduli apa yang terjadi sekeliling kita.  Cuba fikirkan kalau terjadi pada keluarga kita, anak teman kita atau sesiapa sahaja yang kita kenali.  Tentu ada seseorang yang nampak kanak-kanak ini sewaktu dia ditangkap oleh seseorang, mungkin yang dikenalinya.  Saya pasti kalau kita lebih peka dan bekerjasama membanteras jenayah yang tidak bermoral  ini, tentu kejadian seperti ini dapat dielakkan.

Ibu bapa hendaklah sentiasa  mengutamakan keselamatan  dan melindungi anak-anak mereka.   Saya selalu nampak kanak-kanak dibiarkan keluar membeli dikedai berdekatan, kadangkala disuruh oleh ibu bapa mereka.  Sikap tidak apa ini menjadi salah satu punca kejadian sebegini berlaku.  Seharusnya kita mengiringi anak-anak kecil ke taman permainan, kedai atau mana-mana, apalagi kalau dia berseorangan.  Sekurang-kurangnya kita berusaha terbaik untuk berada dengan anak-anak kita dan tidak membiarkan mereka berkeliaran meskipun dekat kawasan perumahan kita.  Kita hendaklah memastikan sekurang-kurang terdapat seorang dewasa bersama mereka bila keluar dari rumah ataupun di dalam rumah. Kanak-kanak tidak mengerti tentang bahaya atau ancaman orang berniat jahat terhadap mereka.  Banyak kejadian kemalangan juga berlaku kerana kanak-kanak dibiarkan tanpa pengawasan orang dewasa. Jangan bila peristiwa yang tidak ingini menimpa, baru kita menyesal.  Kata orang ‘ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna’.

Manusia sekarang sudah hilang pedoman dan sanggup membunuh kanak-kanak tidak berdosa untuk memuaskan nafsu atau kemarahan.  Dunia sudah tidak selamat, kerana terdapat manusia yang tidak berperikemanusiaan.





Thursday, March 8, 2012

Wanita Tunggak Negara


Sempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengucapkan syabas kepada kaum wanita seluruh dunia atas pencapaian mereka.  Kejayaaan wanita menandingi lelaki, malahan lebih baik dari lelaki.  Wanita sekarang mampu memikul tanggungjawab sehebat lelaki.

Syurga itu di bawah tapak kaki ibu, begitulah tingginya penghormatan kepada kaum wanita. Namun begitu ramai wanita yang didera, memendam rasa tanpa berani berkata-kata.  Di zaman moden ini, masih terdapat ramai wanita yang didera fizikal dan emosi.  Bayangkan ada yang disepak terajang, dikasari, dan maruah dijatuhkan oleh kaum lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung mereka.  Sedih rasanya mengenangkan penderitaan kaum hawa yang menerima nasib sebegini.

Teringat dokumentari  yang pernah saya tonton tidak lama dulu, bagaimana seorang wanita cantik Pakistan yang dipotong hidung dan dikorek matanya oleh suaminya yang cemburu dan penuh syak wasangka pada si isteri. Ngeri melihat wajahnya selepas itu.  Ada doktor Inggeris yang mendapat tahu keadaan wanita itu dan sanggup membiayai perbelanjaan perubatan wanita tersebut untuk mendapat rawatan surgeri muka, kemudian dipasang dengan hidung dan mata palsu.  Kisah yang lain pula memaparkan bagaimana kesengsaraan si isteri yang disimbah minyak panas.  Si suami terlepas dan tidak mendapat hukuman yang setimpal.  Sebak, sedih dan geram hati ini

Di India pula, dokumentari yang mengisahkan sekumpulan gadis muda yang terpaksa mendiami suatu asrama untuk balu.  Gadis-gadis muda ini dikahwinkan kepada lelaki tua dan apabila suami mereka meninggal, mereka dipaksa mendiami  asrama tersebut tanpa boleh bercampur gaul dengan masyarakat luar dan tidak dibenarkan berkahwin semula.  Kesian menonton kisah mereka.

Saya bersyukur kerana dilahirkan di Negara seperti Malaysia dimana wanita tidak dilayan sedemikian rupa.  Begitu juga kelak anak cucu dan keturunan perempuan saya yang seterusnya.

Wanita disini diberi peluang untuk mendapat pendidikan tertinggi, menjawat jawatan teratas, memiliki kebebasan, wang dan memilih pasangan hidup.  Wanita tabah dan sabar menghadapi dugaan.  Wanita bersemangat waja.  Wanita memainkan peranan penting di dalam kemajuan dan pembangunan Negara.  Wanita Tunggak Negara.  Tidak kira anda ibu tunggal, janda atau balu, anda punya peranan dalam membentuk masa hadapan anak-anak dan Negara.

Sekiranya anda didera, ketahuilah anda punya pilihan.  Masalah bukan anda tapi dia.  Kiranya dia tidak tahu melayan anda dengan baik, maka memang tidak berbaloi berkorban untuknya.  Jika perasaan dan emosi kita didera, semangat kita dipijak dan dihina setiap hari, wajarkah kita bersamanya??






Wednesday, March 7, 2012

Pelbagai Kegunaan Garam

Sekiranya anda fikir bahawa garam hanya digunakan untuk menambah perisa makanan, anda silap.  Sebenarnya terdapat pelbagai kegunaan garam seperti untuk membersih malahan untuk tujuan perubatan.

Kegunaan Dalam Rumah :-

1.       Tabur garam di atas rak untuk menghalau semut ( lebih selamat dari menggunakan semburan pembunuh serangga )

2.     Gunakan garam untuk membersihkan teko kopi yang warnanya pudar.

3.     Masalah pankek, wafel melekat dalam acuan/pemanggang? Gosok sedikit pada pemanggang dan ianya dapat dikeluarkan dengan mudah.

4.    Campuran garam, cuka dan tepung, hasilnya anda mendapat pembersih untuk pewter, Loyang dan tembaga.

5.     Campuran garam dan jus lemon, pembersih untuk kekunci piano anda.

6.     Isi lubang paku atau sebarang kecacatan pada dinding, dengan tampalan yang dihasilkan dari campuran garam, kanji dan air untuk melembab.

7.     Semasa musim sejuk, anda masih dapat mengeringkan pakaian anda diluar.  Rendam pakaian anda di dalam air garam untuk mengelakkan pakaian anda membeku di luar.

8.     Air garam juga boleh digunakan untuk mengelakkan perabut anyaman dari menjadi kuning.

9.     Kaca yang pudar dan berkabus dapat dibersihkan dengan penggunaan campuran garam dan cuka.


Kegunaan Di Luar Rumah :-

1.       Semburan garam diantara bata dan blok di ruang berturap luar rumah akan membunuh rumpai.

2.     Garam dapat digunakan untuk membersihkan tumpahan minyak di garaj.  Tabur garam atas tumpahan dan biarkan 15 minit.  Ia akan memudahkan kerja-kerja membersih.


Kegunaan Untuk Tujuan Perubatan/Kesihatan :-

1.       Kumur garam bercampur air suam untuk melegakan sakit tekak.
2.     Garam dicampur dengan baking soda memutihkan gigi, menanggalkan plak dan menjadikan gusi sihat.
3.     Nafas lebih segar dengan penggunaan campuran garam dan baking soda sebagai  cecair pembersih mulut.
4.    Kaki yang gatal dapat dilegakan  dengan rendaman air garam panas.
5.     Sekiranya anda letih, rendam selama sekurang-kurangnya 10 minit dalam tab mandi yang mengandungi air panas yang dicampur dengan garam.
6.     Garam adalah baik untuk pengelupasan.  Selepas mandi, urut garam kering ke atas kulit yang basah.  Garam membantu pengaliran dan menanggalkan sel kulit yang mati dan menggalakkan penumbuhan sel kulit baru.

Kegunaan Untuk Mengekalkan kesegaran makanan :-
1.       Buah-buahan dan sayuran seperti epal, pir dan kentang akan kekal warnanya sekiranya dimasukkan ke dalam air garam sejuk selepas dipotong.

2.     Salad akan tahan rangup sekiranya dibubuh garam sebelum dihidang.

3.     Balut keju di dalam kain yang dibasah dengan air garam sebelum dimasuk ke peti ais untuk mengelakkan kulapuk.

4.    Campurkan secubit garam ke dalam susu untuk mengekalkan kesegarannya.




Ibu Atau Barua??

Evil Mom

SHAH ALAM: Seorang janda muda bukan saja tergamak melihat anak kandungnya berusia 11 tahun dirogol teman lelaki, malah turut bekerjasama dengan merakam adegan menjijikkan itu menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan kejam itu mendapat pembalasan apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadapnya atas tiga tuduhan bersubahat dengan teman lelakinya yang merogol mangsa, di Rawang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Latifah Mohd Tahar turut menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan terhadap teman lelakinya, seorang pemandu teksi, Ma Kassim Sirat, 44, yang mengaku salah atas tiga pertuduhan merogol mangsa.

Mengikut pertuduhan, Ma Kassim didakwa merogol kanak-kanak itu di sebuah pangsapuri di Rawang pada 12 tengah malam pada pertengahan Disember 2009 dan 30 Januari 2010, serta jam 10 malam, pada Mac 2010.

Ibu mangsa yang berusia 31 tahun didakwa bersubahat dengan teman lelakinya di tempat dan masa yang sama.

Bagi setiap pertuduhan, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Baca selanjutnya :- STAR ONLINE

Binatang apa si ibu ini.  Berani mengaku menjadi ibu konon.  Anak gadisnya baru berusia 11 tahun ketika si ibu 'menghidangkan' kepada teman lelakinya.  Santapan enak buat teman lelaki tercinta.  Di kala usianya menjangkau 12 tahun, hadiah harijadinya adalah dirogol rakus oleh teman lelaki ibunya.  Kali ketiga beraksi, si ibu sendiri merakamkan adegan itu dengan telefon bimbitnya. 
Perempuan ini memang tidak layak bergelar ibu.  Ada perempuan hanya tahu 'beranak'.  Hukuman 21 tahun kerana bersubahat memang setimpal dengan perbuatannya.  Bayangkan tekanan perasaan dan stigma yang akan menghantui kehidupan anak gadisnya. Perempuan semacam ini patut dijauhkan dari anak-anaknya yang lain.  Memang ada kes dimana si ibu membiarkan anak gadisnya ditiduri oleh teman lelaki atau suami barunya kerana takut ditinggalkan. 
Seorang Ibu sepatutnya melindungi anak-anaknya !







Monday, March 5, 2012

Percutian SPA Impian

Semasa mengepam minyak di stesen minyak Esso ketika perjalanan pulang dari kerja, terpandang iklan pertandingan  yang antara hadiahnya menawarkan pakej percutian pilihan sendiri bernilai RM10,000.00.  Tiba-tiba sahaja fikiran ini menerawang teringatkan destinasi percutian SPA yang amat menarik yang pernah saya lihat dalam internet.  ‘Alangkah bagusnya kalaulah saya yang terpilih, kata dalam hati saya.  Kalau dapat percuma tentu lebih indah….bestnya..  Tak salahkan memasang angan-angan dan impian, mungkin satu hari nanti impian menjadi kenyataan. Saya tersenyum sendirian sambil memikirkannya.. 
 
12 destinasi percutian SPA yang Diimpikan :-
Bushmans Kloof, South Africa




Hotel Arts Barcelona, Spain


Hotel La Mamounia, Morocco



Jade Mountain, St. Lucia



Leela Kovalam Beach, India
One&Only The Palm, Dubai

Saffire Freycinet, Tasmania

Sandy Lane, Barbados

The Scarlet Hotel, England

Montelucia Resort & Spa, Arizona

Six Senses Con Dao, Vietnam



Tribe Hotel, Kenya

Rasanya kalau sekadar RM10 ribu, tak cukup nak pergi percutian macam tu.  Kalau mengimpikannya pun dah boleh buat saya tersenyum dan merasa senang hati, tak rugi walaupun mimpi di siang hari..  Sementara mimpi nak jadi kenyataan, SPA yang ada kat sini pun apa kurangnya.  Dapat juga relakskan minda dan tubuh. Betul tak??