Wednesday, May 9, 2012

Bunuh Diri – Jalan Penyelesaian????

Putus Cinta – Bunuh Diri – Inikah Jalan Penyelesaiannya?

Semalam semasa dalam perjalanan melalui Jambatan Pulau Pinang untuk ke KL bersama anak-anak, menghampiri bahagian tengah jambatan, trafik tiba-tiba menjadi perlahan-lahan dan sesak.  Mulanya kami menyangka mungkin ada kemalangan kerana biasanya bila berlaku kemalangan begitulah keadaannya.

Kemudian kami ternampak banyak kereta dan motosikal berhenti  dan orang ramai keluar.  Mereka memandang ke satu arah.  Ada pula yang memandang ke arah bawah jambatan. Anak saya terpandang ada seorang lelaki memegang galang di jambatan dan orang ramai berkerumun di situ. .  Saya jangka tentu ada cubaan untuk membunuh diri dengan terjun ke laut atau kemungkinan sudahpun terjun. 

Tadi pagi terbaca berita di STAR ONLINE - Lawyer talks man out of jumping off bridge  Rupa-rupanya benar jangkaan kami. Ceritanya seorang lelaki Cina yang baru putus cinta hendak terjun dari jambatan.  Seorang peguam muda yang prihatin menghampirinya sambil dikerumuni orang ramai berusaha memujuknya untuk mengubah niatnya.

Beliau menceritakan bagaimana ibunya yang menghidup kanser berjuang untuk hidup.  Malahan dia menelefon keluarga bekas kekasih lelaki itu untuk memujuknya.  Akhirnya pujukannya Berjaya mengubah niat pemuda itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya tergerak hati untuk komen tentang persoalan ini.

Wahai pemuda/pemudi, kalau anda baru putus cinta dan rasa hidup ini tidak bermakna serta punya niat untuk mengakhiri hidup anda, baca ini :-

1.       Semurah itukah nyawa anda, hanya kerana ditinggalkan kekasih maka anda berhak untuk mengambil nyawa sendiri.  Hanya kerana seseorang yang kita cintai ingin memutuskan perhubungan dan cinta kita tidak kesampaian, maka nyawa kita jadi taruhan.

2.     Sebenarnya kita tidak dapat memaksa orang lain untuk mencintai kita atau bersama kita.
Kalau sememangnya dia diciptakan untuk kita, maka kita dapat bersama.  Kalau tidak, kita akan berpisah jua akhirnya.  Kalau dia tidak menghargai kita dan meninggalkan kita, kita harus berani menghadapinya.  Inilah sebahagian dari kehidupan dan kita perlu melaluinya.

3.     Anda ingin mati? Pernahkah anda terfikir bagaimana punah dan sedihnya hati ibubapa yang membesarkan anda dengan susah payah? Hanya kerana putus cinta, maka anda begitu pentingkan perasaan anda, sehingga tidak memperdulikan kesedihan orang-orang yang benar-benar menyayangi anda.  Kekasih boleh bertukar ganti namun ibu bapa dan keluarga akan tetap bersama anda walau apa terjadi.  Sanggupkah anda menghancurkan harapan mereka?

4.    Kalau anda mati, anda fikir bekas kekasih anda akan bersedih atau rasa bersalah? Hmm.. kalau dia tinggalkan anda untuk orang lain, jangan harap.. Sekejap sahaja dia sudah lupakan anda.

5.     Sebenarnya cara anda untuk membalas dendam adalah dengan lebih Berjaya dalam hidup selepas anda ditinggalkan. Anda masih muda, cari pasangan yang lebih sesuai.  Jadikan kesilapan lalu panduan untuk anda lebih berhati-hati dan memilih yang lebih baik.  Pastinya bekas kekasih anda akan terasa rugi kerana meninggalkan anda dulu.

6.      Walau apapun fahaman dan agama anda, bila anda dalam kesedihan dan kebuntuan, berdoa dan bersolat agar diberi petunjuk dan kekuatan untuk melaluinya.  Semua Agama mengajar penganutnya untuk tidak berputus asa dan bunuh diri.

7.     Berbual dan luahkan kekecewaan anda pada seseorang yang anda percayai dan akrab.  Nasihatnya mungkin dapat meredakan kekecewaan anda.

8.     Patah hati, sakit hati, makan hati sememangnya menyakitkan.  Anda ingin mengakhiri kepedihan, kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung. Hanya orang yang melaluinya akan mengerti.   Tetapi percayalah, masa akan mengubati kelukaan itu, bersabarlah. Lama kelamaan, ianya akan lenyap.

9.     Bila kita berada dalam kesedihan yang teramat, syaitan sememangnya menghasut kita untuk berbuat sesuatu yang menyalahi dan bertentangan dengan ajaran agama.

10.  Lihat sekeliling kita, betapa untungnya kita hidup sihat sambil menikmati keindahan dunia ini.

Ingatlah semua masalah ada penyelesaiannya tapi bukan dengan cara begini.

Di masa depan bila anda memandang kembali masa silam, anda akan ketawa pada kebodohan anda dan bersyukur kerana anda tidak mengambil langkah yang salah untuk mengakhiri hidup anda.  Percayalah !!
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya selalu terfikir, alangkah baiknya kalau 2 golongan ini boleh saling bertukar nyawa.
*Orang yang sakit teruk dan tidak berpeluang hidup lama namun tidak berputus asa dan masih berjuang sehingga akhir hayatnya bak kata ‘Pantang Maut Sebelum Ajal’
* Orang yang sihat walafiat, berputus asa hanya kerana putus cinta, tidak menghargai kehidupan dan ingin mati.

Saturday, May 5, 2012

Semalam, Hari Ini & Esok

Kata-kata perangsang mengenai detik, waktu dan masa.



Semalam  - sudah berlalu

Hari Ini - Kenyataan

Esok – Impian



Life is available only in the present moment. If you abandon the present moment you cannot live the moments of your daily life deeply.

–Thich Nhat Hanh


The past is a ghost, the future a dream. All we ever have is now.

-- Bill Cosby


Love the moment, and the energy of the moment will spread beyond all boundaries.

–Corita Kent


Do not dwell in the past, do not dream of the future, concentrate the mind on the present moment.

–Buddha


Unease, anxiety, tension, stress, worry — all forms of fear — are caused by too much future, and not enough presence. Guilt, regret, resentment, grievances, sadness, bitterness, and all forms of non forgiveness are caused by too much past, and not enough presence.

–Eckhart Tolle


The only time we suffer is when we believe a thought that argues with what is. When the mind is perfectly clear, "what is" is what we want.

--Byron Katie


The only time you ever have in which to learn anything or see anything or feel anything, or express any feeling or emotion, or respond to an event, or grow, or heal, is this moment, because this is the only moment any of us ever gets. You’re only here now; you’re only alive in this moment.

–Jon Kabat Zinn


Being in the moment involves giving maximum appreciation and love to your present experience.

– Sara Paddison

Semalam aku menangis
Hari ini aku tersenyum
Esok aku ketawa !

Internet + / -

Nampaknya kehadiran internet dalam kehidupan manusia, menjadikan segala kemungkinan itu kenyataan.

Internet memudahkan dan mendekatkan manusia sejagat.  Ternyata internet mempunyai kebaikan dan keburukannya.

Sekiranya kita menggunakan untuk kejahatan maka hasilnya dunia ini menjadi semakin kejam, namun sebaliknya sekiranya kita menggunakan untuk jalan kebaikan maka hasilnya dunia semakin aman dan maju.

Jelas sekali, zaman ini kebanyakan muda mudi sudah celik IT.  Dengan kebijaksanaan yang dimiliki, ada yang menggunakannya untuk jalan yang salah, memperolehi kekayaan dengan singkat.

Sekarang bila hendak membeli barangan pun tak perlu keluar, cuma pesan ditalian, bayar dengan kad kredit, Nah.. barang sampai di muka pintu.  Teringin makan pizza hut, pun boleh pesan melalui talian. http://www.phd.com.my/.  Maklumat syarikat, pembelajaran serba segalanya kita dapat perolehi dari talian.  Kerancakan facebook memeriahkan lagi dunia IT.

Sekarang orang boleh beli dadah di talian, memesan perkhidmatan pelacur di talian, macam-macam penipuan di talian.  Saban hari kita membaca bagaimana wanita yang mengenali lelaki melalui internet ditipu wangnya, lelaki tua yang memburu kanak-kanak dan macam-macam lagi yang muak kita ketahui.
Begitulah bilamana manusia merekacipta sesuatu untuk kebaikan, ada manusia yang lebih bijak menggunakannya untuk kepentingan dan ketamakan diri sendiri seterusnya menghalakannya ke jalan kebinasaan.

Terbaru saya membaca kes Nayati, khabarnya penculik menggunakan FACEBOOKnya untuk berkomunikasi dengan ayahnya Shamelin Moodliar bagi meminta wang tebusan RM1 juta.

24 jam selepas penculikan itu, ayahnya telah dihubungi oleh penculik.Oleh kerana ayahnya tidak dapat memenuhi jumlah tersebut, perundingan dijalankan sehingga jumlah dikurangkan dan dipersetujui RM300,000.00 dan dibayar pada hari Rabu sejurus sebelum Nayati dibebaskan.

Kaedah penculik menggunakan laman rangkaian sosial untuk menghubungi keluarga mangsa adalah agak baru dan tidak pernah di dengar oleh PDRM.  Sebelum ini penculik selalunya menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga mangsa untuk wang tebusan .



Percaya ada orang yang lebih pandai untuk menjejak penculik-penculik tersebut melalui internet.  Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Thursday, May 3, 2012

Nyawa Atau Wang

Nyawa Atau Wang Menjadi Taruhan ?

Kes penculikan Nayati berakhir dengan kelegaan dan kegembiraan.
Lihat artikel saya dahulu mengenai penculikannya :- bantu-mencari-nayati
Khabarnya ibubapanya telah membayar wang tebusan yang diminta oleh pihak penculik.  Dan si penculik-penculik berpegang pada janji untuk melepaskan Nayati setelah wang diterima.  Nayati pulang dengan selamat.
Namun kes-kes penculikan sebelum ini, mangsa kanak-kanak tidak bernasib baik.  Mungkin juga kerana tujuan penculikan bukan kerana wang.  Kalau kerana wang rasanya, penculik tak sebodoh itu untuk memilih mangsa dari kalangan keluarga tidak berduit.
Saya berpendapat tindakan ibubapa Nayati untuk membayar wang tebusan adalah tepat.  Kerana yang penting dan utama adalah keselamatan anak mereka.  Wang boleh dicari, namun nyawa cuma ada satu sahaja. Selamatkan anak dahulu, kerja menangkap penculik ditangan polis.  Kalau pihak polis cekap menjalankan tugas nescaya penculik-penculik terbabit akan ditangkap tidak lama lagi. 
Ada orang yang menegaskan kalau selalu menunaikan kehendak penculik, bermakna penculik akan semakin rancak untuk lebih giat memerhatikan dan menyasarkan anak orang kaya.  Ada yang mengatakan Malaysia sudah tidak selamat lagi.  Sebenarnya saya selalu juga membaca berita luar, penculikan juga berlaku diseluruh dunia.

‘Selagi ada manusia yang ingin dapatkan wang dengan jalan yang mudah, selagi ada manusia yang tidak berperikemanusiaan, selagi ada manusia yang bernafsu syaitan, selagi itulah anak-anak kita tidak selamat’

Wednesday, May 2, 2012

Jenama

‘Ada harga Ada rupa’ / ‘Ada rupa Ada harga’

Kes 1

Sebut sahaja produk kecantikan kulit umpamanya SK-II, apa yang kebanyakan orang bayangkan?

Tentunya jenama mahal , kulit yang cantik.  Kalau jenama mahal, semestinya orang kaya sahaja mampu membelinya, itulah tanggapannya.  Begitulah jenama memainkan peranan penting tentang perspektif orang ramai terhadap seseorang.

Sebab itulah syarikat-syarikat gergasi mengenepikan sebahagian besar perbelanjaan untuk pengiklanan, promosi dalam penjenamaan produk mereka.

Baru-baru ini anak gadis saya berkunjung ke kaunter produk kecantikan SK-II untuk mengambil hadiah yang dimenanginya untuk di buat review.  Sambil berjalan-jalan dengan membimbit beg kertas yang terpampang jenama berkenaan, dia ke kedai lain untuk membeli barang.

Menyangka dia tidak memahami bahasa yang mereka bualkan, dua orang jurujual perempuan memberi komen seperti berikut :-

Jurujual 1 : ‘Wow!, muda sahaja dah beli SK-II, tentunya anak orang kaya’.

Jurujual 2 : ‘Entah-entah Cuma beg kertas sahaja, takda kandungannya’

Jurujual 1 mendekati anak gadis saya dan mencuri pandangan ke dalam kandungan beg kertas yang di bawa oleh anak saya dan kembali kepada temannya.

Jurujual 1 : Memang benarlah, dia beli SK-II, sah anak orang kaya’.

Kes 2

Kita beralih pula kereta Ferrari atau Lamborghini, apa yang kebanyakan orang bayangkan?

Tentu sahaja ada klass, jenama mahal.

Ini kisah benar, dahulu di KL.  Bila setiap kali melangkah keluar dari Ferrari atau Lamborghini, pastinya semua mata akan tertumpu pada si pembawa dan penumpangnya.

Kalau depan hotel, ada valet yang akan meletakkan kereta untuk kita.  Kita jadi perhatian.  Orang ramai mungkin meneka siapa gerangan pemilik kereta itu, semestinya orang kaya.

Pengawal kondominium pun memanggil kita ‘Datin’.  Alahai kerana sumpahan gelaran ‘Datin’, ‘Datuk’ mula mengatal hendak menikah lain..  Akhirnya 'Datuk' menjadi Atuk... hahahaha...

Begitulah bagaimana barangan yang kita guna boleh menaikkan status kita secara langsung dalam masyarakat yang memandang kebendaan.

Ada padi, segala menjadi.

Monday, April 30, 2012

Pekerjaan

"It does not matter what job you are doing but, it does matter that you are doing a job"
"If you need food on your table, always try to earn it"
‘Bekerja seolah hidup selamanya’.

Kata-kata diatas menunjukkan betapa pentingnya pekerjaan buat diri kita.  Sempena cuti Hari Pekerja ini, saya ingin menyentuh sedikit mengenainya.
Saya sering terdengar ketidakpuasan seseorang, yang asyik mengeluh dan mengaduh tentang syarikatnya.  Kononnya gaji sedikit, kerja banyak dan macam-macam lagi.  Kononnya ditempat lain dia akan mendapat gaji yang lebih tinggi.  Lantaran saya pula bertanya kepadanya, apa sumbangan anda pada syarikat anda?  Adakah anda benar-benar menjalankan tugas anda sebaiknya? Atau adakah anda selalu mencuri tulang?  Sudahkah anda nyatakan ketidakpuasan kepada pihak majikan anda?  Kalau ya dan keadaan masih tidak berubah, dan anda rasa anda lebih bernilai dan seronok dengan pekerjaan lain, tunggu apa lagi, letak jawatan dan mulakan kerja lain.  Yalah, apalagi kalau usia masih muda.  Kalau asyik merungut pun tidak menghasilkan apa-apa, naik meluat kita mendengarnya.
Sebenarnya dalam satu syarikat, semua pekerja memainkan peranan penting.  Dari budak pejabat ke kerani am, pengurus semuanya saling memerlukan.  Tanpa pekerja, syarikat tidak akan berfungsi.
Bagi anda yang berada di pejabat, yang asyik selinap masuk internet, melayari facebook, membaca email peribadi, melihat saham anda naik turun, yang asyik bergayut dengan telefon bimbit, yang asyik masuk bilik air dengan hp , itu sebahagian dari curi tulang.
Pada anda yang dulunya pernah bekerja, sekarang bekerja sendiri dan jadi boss – fahamilah pekerja anda.  Hasilkan suasana bekerja yang lebih selesa.  Berikan inisiatif dalam bentuk kenaikan gaji, melancong dalam negeri atau luar, agar mereka lebih gigih bekerja dan hasilnya produktiviti  menjulang. Ternyata,  pekerja yang dibebankan kerja yang terlalu banyak akan stress dan keseronokan kerja menurun.
Akhirkata, kalau anda golongan yang baru ingin memasuki alam pekerjaan, ceburi bidang pekerjaan yang anda benar-benar minati, pastinya anda akan gembira mengerjakannya.
Alternatifnya, zaman ini, anda boleh memilih untuk kerja dari rumah, bebas menentukan masa sendiri, pendapatan anda bergantung pada usaha anda.  Tepuk dada, tanya selera !

Kesempurnaan

Sempurna – Dalam Ketidaksempurna

Andai anda melihat cermin, apa yang anda lihat pada wajah anda?

Kiranya anda ingin melihat dan mencari ketidaksempurnaan pada wajah anda, saya percaya anda akan menemuinya.  Kiranya anda ingin senaraikan satu persatu, pastinya senarai yang panjang berjela-jela
Anda akan mula mengeluh mengapa :-
1)       Kulit muka tidak selicin model

2)     Kulit muka berjerawat

3)    Kulit muka tidak cerah

4)   Mata tidak bersinar

5)    Mata tidak besar

6)    Bawah mata gelap

7)    Hidung tidak mancung

8)    Mulut tidak cantik

Senarainya berterusan, itu baru bertumpu pada muka, belum ke bahagian tubuh lain.  Keyakinan diri akan terus tergugat.
Namun kiranya anda melihat ke cermin, menatap wajah anda dan menerima ketidaksempurna diri anda, anda akan berasa sempurna  dan bersyukur kerana anda punya mata untuk melihat dan segala pancaindera yang berfungsi dengan baik.  Anda bersyukur menjadi diri anda dan bukannya orang lain.