Showing posts with label Business. Show all posts
Showing posts with label Business. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

Pulau Pinangku – Gerai Tanpa Permit

Di Malaysia, kita  tidak perlu bimbang tidak berduit dan kelaparan asalkan kita rajin berusaha.  Sebab saya katakan begini kerana kita boleh berniaga di mana-mana sahaja.

Misalnya di Pulau Pinang, peniaga kecil yang menjual makanan tumbuh bak seperti cendawan selepas hujan.  Tak perlu permit, asalkan ada tempat lapang yang kecil, anda sudah boleh mula mencari wang.

Teringat kata arwah bapa mertua saya 27 tahun dahulu. Katanya, apa susah-susah.  Masak nasi lemak, bentangkan meja di bawah pokok tepi jalan, tentu laris kalau sedap.  Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga setiap kali saya melihat orang menjual nasi lemak di tepi jalan.

Masalah menjual makanan tanpa permit di tepi jalan ini rasanya sudah terlalu lama.  Tiada sesiapa yang berani mengambil tindakan.  Baik pihak pemerintah mahupun pembangkang.  Tup-tup, tau-tau di tepi rumah banglo anda yang tersergam indah, ada orang sedang berniaga makanan ataupun air.
 

Bayangkan ada gerai penjaja MPPP berdekatan yang masih mempunyai banyak ruang berniaga yang kosong, namun ‘peniaga baru’ mula menapak di suatu kawasan tepi jalan.  Mula dengan meletakkan meja untuk menjual makanan lauk pauk yang telah dimasak dari rumah.  Kemudian ditambah dengan meletakkan payung untuk berteduh.  Bila tiada tindakan yang di ambil oleh pihak berkuasa, mereka mula menambah meja kerusi untuk pelanggan makan di situ.  Wujudnya gerai-gerai seperti ini juga menyebabkan kesesakan jalan.  Pelanggan memberhentikan kereta sewenang-wenangnya untuk membeli makanan mereka.  Kalau bungkus siap, mungkin cepat.  Tetapi kalau yang hendak memilih lauk pauk, mana mungkin berhenti seminit dua.  Selepas itu, tempat itu menjadi tempat berniaga mereka yang ‘sah’.  Pihak Berkuasa menutup mata.  Yalah bila tindakan diambil, mereka ini akan mencari parti politik yang akan berpihak pada mereka.  Para politik pula, dek ingin mendapat undi dan sokongan, bersuara bagi pihak ini.  Walhal jelas sekali ianya bertentangan dengan undang-undang yang ada.  Tentunya tidak adil pada peniaga berdekatan yang terpaksa menyewa untuk berniaga dengan sah.

Ianya seperti penyakit yang berjangkit dan menular.  Bila ada orang yang terlepas dan dapat mengaut keuntungan tanpa perlu membayar, ianya tentu akan menjadi ikutan.  Kalau anda mengambil tindakan sekarang, sudah tentu mereka akan menuding jari dan bertanya mengapa tiada tindakan yang diambil kepada peniaga haram di tempat lain.  Selagi ada pelanggan selagi itulah perniagaan itu akan berjalan.  Ada yang siap digantikan dengan tempat berniaga baru apabila Pihak Berkuasa ingin mengusir mereka kerana mendakwa tempat itu menjadi milik mereka yang 'sah'.

Ada gerai yang sememangnya memburukkan pemandangan di kawasan mereka menapak. Pembinaan yang tidak sempurna sekadar mendirikan tempat berteduh.  Ada yang tanpa bekalan air paip untuk mencuci pinggan mangkuk yang sepatutnya.  Ditepi jalan yang berhabuk.  Acapkali pemilik gerai dan pekerjanya adalah warganegara asing pulak tu!

Kalau anda tak percaya, ronda-ronda di Pulau Pinang. 

Baru-baru ini disebelah pejabat saya di kawasan perumahan, ada seorang peniaga sedang rancak menjual nasi campur.  Kawasan itu berhampiran dengan tempat saya selalu letakkan kereta.  Pada mulanya, dia berniaga waktu tengahari sahaja.  Jadi setiap kali saya keluar makan tengahari, bila saya mengalihkan kereta, dia menjeling saya seolah-olah saya pulak yang menghalang/meletak di tempat dia meniaga.  Padahal saya sudah meletak kereta di kawasan situ sejak 25 tahun dahulu.  Dia mula letak meja untuk pelanggan makan dan mengoreng ikan di situ.  Sejak seminggu yang lalu dia juga berniaga di waktu petang pulak.  Siap di pasang lampu.  Bayangkan di tempat terbuka tepi jalan.  Air pili pun takda.

Di lokasi yang sama sebelah pagi, ada gerai menjual nasi lemak.  Wanita itu sudah lama berniaga disitu tapi jam 9 pagi dia sudah bersiap sedia mengemas dan pulang.  Jadi tiadalah kacau ganggu. 
 

Apa dah jadi dengan penguatkuasa MPPP??  Camana nak adil pada semua pihak?? Inilah uniknya Pulau Pinang ku !!!


 

Friday, September 23, 2011

Peringatan buat pemilik perniagaan

ANTARA KEUNTUNGAN DAN KEPUASAN PELANGGAN


Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai tawaran dan promosi hebat oleh peniaga-peniaga yang bersaing sesama sendiri. Sudah tentu persaingan ini menghasilkan kebaikan untuk pengguna, membolehkan kita mendapat banyak pilihan.

Alam internet membuka ruang untuk peniaga meluaskan pasaran perkhidmatan dan produk mereka. Salah satunya adalah urusan di website-website yang menawarkan kupon-kupon pada harga yang begitu rendah, sesuatu yang tidak boleh ditolak.

Sekiranya anda peniaga/usahawan yang menawarkan produk/khidmat, anda perlu bersedia.
Website-website kupon yang terkenal dapat menarik pelanggan kepada anda, namun anda yang menentukan samada pelanggan itu akan kekal atau muncul sekali sahaja.

Saya berpendapat pemilik perniagaan seharusnya bersedia apabila cuba menawarkan produk/khidmat mereka di internet. Ini adalah kerana tawaran hebat sudah semestinya menarik perhatian ramai pelanggan untuk membelinya. Adakah anda dan pekerja-pekerja anda bersedia untuk melayani kerenah pelanggan dan memberi khidmat dengan sepenuhnya??

Cuba bayangkan kalau seorang pelanggan melangkah masuk, pertama sekali , expetasinya adalah tinggi.

Kalau nilai pakej yang ditawarkan bernilai ratusan ringgit, sudah semestinya, pelanggan tersebut mengkehendaki layanan seperti yang dijanjikan. Sebenarnya pelanggan ingin menilai sejauh mana kebenaran nilai pakej yang ditawarkan, sebelum dia mengambil keputusan untuk mengunjungi tempat itu di lain kali. Jangan memberi gambaran salah kepadanya.

Tapi masalahnya adalah bila pelanggan masuk dan menunjukkan kupon, pekerja mula mempunyai idea bahawa pelanggan membeli dengan harga rendah maka perkhidmatan yang diberikan adalah sambil lewa sahaja. Kekadang bila pelanggan berpusu-pusu datang, pekerja kepenatan dan tentu sekali tidak dapat memberi tumpuan kepada kerjanya. Ini bukan sahaja menjejaskan layanan kepada pelanggan baru tetapi juga kepada pelanggan sediada. Inilah silapnya. Pemilik/majikan perlu mengambilkira masalah ini. Pekerja perlu difahamkan bahawa setiap pelanggan adalah asset , bukannya beban dan seharusnya diberi layanan sebaik mungkin.

Bila anda mula memperkenalkan khidmat anda melalui promosi, sepatutnya khidmat yang diberikan adalah 100%. Jangan biarkan pelanggan anda terasa tertipu. Setiap pertanyaan perlu dijawab dengan mesra. Bila selesai, sepatutnya pelanggan ditanya apa pendapat tentang layanan atau produk yang ditawarkan. Dari maklum balas pelanggan, peniaga dapat mempertingkatkan mutu khidmat yang diberikan. Kritikan membina perlu diterima.

Ingatlah , Setiap pelanggan adalah unik dan berbeza. Bila pelanggan berpuas hati, maka usaha anda berjaya. Pelanggan kemudiaanya menyebarkan kebaikan khidmat/produk anda, dan ianya berterusan.