Wednesday, October 31, 2012

Bila Hilangnya Malu


Macam-macam perlakuan yang dilakukan oleh remaja/muda mudi zaman ini untuk mendapatkan perhatian.

Saya membaca berita tentang pasangan bijak berkelulusan universiti yang merakamkan saat intim perlakuan seks mereka dan mempamerkannya dalam blog.  Berita gempar yang bagaikan mengegarkan rakyat Malaysia khususnya ibu bapa.  Lantas menjadi tandatanya mengapa mereka berbuat demikian.  Pelbagai andaian yang dibuat, namun sehingga hari ini saya masih tidak dapat menyelami dan mengerti tujuan mereka.

Tapi yang pastinya pasangan muda romantik ini yang bernama Alvin Tan (24) dan Vivian Lee(23) ini seronok mendapat perhatian.  Apa tidaknya bagaikan aktor dan actress ternama, mereka ditemuramah oleh akhbar dan radio tempatan dan juga media di Singapura.  Bukan senang hendak meraih perhatian sebegini dalam sekelip mata.  Gaya dan perwatakan mereka jelas memperlihatkan betapa bangganya mereka dengan status bak celebriti.

Inilah remaja era muka buku (facebook) yang tidak lagi kisah tentang airmuka.  Bukan main ego lagi si pemuda membalas tohmahan yang dilemparkan.  Pemegang biasiswa Asean penuntut jurusan undang-undang di NUS, maklum sahaja bukan calang-calang penuntut yang berjaya memperolehi biasiswa ini melainkan yang pintar.   Soalnya orang yang terlalu bijak, bila menjawab pun secara sinis memerli , mereka yang menyoal tindakannya.

Geram juga saya membaca jawapannya kepada pemberita. 

Katanya si Vivien yang mengesyorkannya mengambil gambar bogel dan merakamkan aksi seks mereka.  Sehari berkenalan terus mereka melakukan seks. 

Si ibu Vivien mendesaknya untuk berkahwin dengan si Alvin.  Si ibu cuba menghubungi  Alvin namun dia tidak menjawabnya.  Katanya soal kahwin bukan soal mudah dan tidak boleh terburu-buru.  Kononnya, keluarganya menyokongnya dalam hal ini.

Si Alvin menyindir pendapat pakar psikitris yang mengatakan pasangan ini inginkan perhatian.  Katanya macamana pakar itu boleh membuat andaian tanpa berjumpa merekapun.

Berhubung dengan pendapat ibu bapa yang takut perlakuan pasangan ini akan menjadi contoh kepada anak-anak mereka, katanya kalau ibu bapa tidak boleh mengawal tingkah laku anak-anak mereka, mengapa mereka (pasangan ini) pula yang dipersalahkan.  Kalau ada dalam blog, tentunya anak-anak harus melayari internet untuk melihat.  Begitu juga kalau U Tube atau video.  Jadi seharusnya ibu bapa mengawal anak-anak mereka dari melihatnya.  Begitulah sinisnya sindirannya.

Katanya dia tidak bersalah dan tidak akan memohon maaf.  Kerana katanya pembikinan video seksnya bersifat peribadi dan tidak menyakiti atau mencederakan sesiapapun.

Hari ini terbaca berita tentang permohonan maafnya kepada NUS mengenai tingkahlakunya.  Saya rasa permohonan maafnya hanya bersikap pura-pura kerana dia takut NUS akan menarikbalik biasiswanya dan dia terpaksa membayar balik biaya pembelajarannya disitu.   Baca berita : http://mstar.com.my - Blogger Seks Alvin Tan Mohon Maaf Kepada NUS


Saya berpendapat dalam soal ini yang rugi adalah kaum wanita.  Saya tidak dapat bayangkan betapa malunya ibu si Vivian ini.  Walau betapa sifat keterbukaan seseorang, rasanya tidaklah sampai membenarkan anak mereka beraksi dan merakamkan perlakuan seks mereka.  Perempuan ini memang tidak tahu malu.  Bayangkan kelak apabila si lelaki meninggalkannya.  Bayangkan bila dia mempunyai anak kelak.  Apakah dia mahu perlakuan seksnya ditontoni oleh anak-anaknya?  Atau bakal suaminya dapat menerima perlakuan ini.

Inilah generasi yang tidak dapat mengariskan sempadan atas perbuatan mereka, yang tidak mempedulikan hati ibu bapa, yang melakukan segalanya atas nama kebebasan.
 

 
Soal sebalik kelambu biarlah disebalik kelambu !!!










 
 
 

Thursday, October 4, 2012

Sekim Cepat Kaya Atau 'Cepat Miskin' Sebenarnya

Membaca berita mengenai sebuah syarikat berurus niaga emas yang diserbu pihak Berkuasa, membuat saya terpanggil untuk menulis mengenainya. 




Saban waktu, pastinya terdapat aduan tentang pelabur kehilangan wang pelaburan mereka. 

Meskipun seringkali terpampang dimuka akhbar, namun ramai yang masih tertipu.  Bukan saja dari golongan biasa malahan golongan interlek juga turut menjadi mangsa.


Ciri-ciri lazim yang terdapat pada skim cepat kaya seperti berikut:

> Pengendali mungkin berhubung melalui surat, telefon, internet atau secara bersemuka, namun niatnya tetap sama iaitu mendapatkan wang daripada mangsa yang tidak menaruh syak wasangka untuk barangan atau perkhidmatan yang sememangnya tidak akan disediakan; > Skim yang menjanjikan kadar faedah, pulangan atau keuntungan yang jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh institusi kewangan berlesen untuk wang deposit mereka.

> Janji pulangan yang tinggi adalah bertujuan untuk menarik minat orang ramai supaya menyertai skim ini dan pelabur mungkin tidak diberikan sebarang salinan dokumen termasuk perjanjian dengan pengendali tersebut.

> Tiada jaminan bahawa pengendali dapat terus memberikan pulangan yang tinggi.

> Pada permulaan skim ini, pengendali akan menggunakan wang yang diterima daripada pendeposit baharu untuk memberikan pulangan tinggi atau membayar semula amaun prinsipal kepada pendeposit lama.

> Walau bagaimanapun, pengendali tidak dapat melaburkan deposit dalam usaha niaga atau pelaburan yang dapat memberikan pulangan yang sama atau yang lebih tinggi.

> Oleh yang demikian, pengendali tidak dapat mengekalkan pulangan yang tinggi atau membayar semula wang pelabur seperti yang dijanjikan.

> Sila ambil perhatian bahawa skim ini akhirnya akan gagal apabila pengendali tersebut tidak menerima deposit baharu secara berterusan. Pada masa itu, skim cepat kaya ini akan gagal dan pendeposit atau pelabur akan kehilangan wang pelaburan mereka.

Sila baca :- http://mstar.com.my

Namun apa yang menghairankan saya adalah sebelum diserbu pihak Berkuasa, biasanya syarikat-syarikat pelaburan ‘haram’  seperti ini beroperasi dengan lancar, membayar tepat seperti dijanjikan malahan begitu popular.  Yang lebih menjadi tandatanya adalah mengapa serbuan selalu dibuat apabila pelabur sudah begitu ramai dan syarikat –syarikat berkenaan sudah beroperasi lama.  Bukankah menjadi kewajipan pihak Berkuasa untuk masuk campur pada awal-awal lagi? Takkanlah pihak Berkuasa tidak tahu wujudnya syarikat-syarikat seperti ini.  Bukan sahaja tersebar melalui mulut, ada yang siap mengiklankannya.  Ada yang menganjurkan seminar untuk memberi keterangan kepada bakal pelabur.  Bila kepopularan tersebar, semakin ramai yang berminat untuk melabur.  Apalagi orang yang mengenalkan mereka kepada sekim-sekim ini bukannya calang-calang orang. 

Kalau anda melihat atau mengimbas kembali syarikat-syarikat sekim cepat kaya, anda akan dapat mengenalpasti corak dan persamaannya. Saya berpendapat pembabitan pihak Berkuasa menyerbu premis, memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk tidak membayar faedah seperti yang dijanjikan.  Maklum sahaja alasan syarikat telah diserbu dan segala kegiatan pelaburan telah dibekukan.  Bukankah ini memberi laluan mudah kepada syarikat-syarikat terbabit untuk terus tidak membayar pelabur-pelabur? Apakah ianya dirancang??  Yang pasti, akhirnya pelabur-pelabur akan menanggung kerugian.

Dan mereka yang menjadi dalang cuma mendapat hukuman ringan sahaja.  Kalau setakat saman berpuluh ribu, rasanya direktor-direktor syarikat-syarikat berkenaan tiada masalah, hukuman penjara pun bukannya setimpal.

Bayangkan kalau seorang miskin mencuri susu untuk anak yang kelaparan dipasaraya, juga dihukum penjara kerana tidak mampu membayar wang deposit.  Jadi lebih baik mengambil risiko dalam sekim cepat kaya.  Masuk penjarapun, keluarga tetap kaya.

Pengalaman lalu memberi pengajaran kepada saya.  Kalau ianya terlalu baik untuk dipercayai, jangan percaya.  Tiada wang yang datang sebegitu cepat. 

Seorang saudara pernah mengajak saya menghadiri seminar produk yang berupa sekim cepat kaya.  Lalu saya katakan padanya, saya akan pergi untuk dengar.  Seminar ini asyik menunjukkan kejayaan seseorang, bagaimana mereka mendapat cek beribu-ribu sebulan, mampu memiliki kereta mewah namun penjelasan produk sambil lewa je. Memang kalau anda yang paling awal melabur, membawa bakal pelabur masuk di bawah anda, modal anda sudah dapat balik.  Tapi bagaimana dengan wang teman-teman anda di bawah anda yang modalnya belum sempat dapat pulangan, syarikat gulung tikar? Adakan anda dapat tidur lena dan rasa tidak bersalah??  Lepas itu, dah tidak mendengar saudara saya bercerita tentang syarikat itu lagi..
 
‘Orang Tamak Selalu Rugi’ 
 
 
 
 

Tuesday, September 18, 2012

Jiran Dari Neraka - Kisah 2


Saya sentiasa berpendapat kita perlu berbaik dengan jiran-jiran kita.  Masalahnya zaman sekarang, kita hanya sekadar bertegur sapa dengan jiran sebelah.  Kata orang, ‘Hai, hai, bye, bye’.  Apalagi tinggal di pangsapuri.  Kalau lebih-lebih sangat kita akan dikatakan ‘busybody’.  Balik rumah, pintu pun ditutup.  Jiran ada atau tiada pun kita tidak tahu.  Sebab itu saya lebih sukakan suasana kehidupan di kampong, pintu rumah tak berkunci pun.  Takdah pun penyangak.  Kalau di pangsapuri, kasut tinggal kat luar disebalik pintu besi pun boleh ghaib.

Berbalik kepada kisah jiran yang berperangai buruk , teringat lebih 20 tahun dahulu.  Waktu itu saya baru berkahwin.  Berpindah ke rumah pangsa kos rendah, satu bilik, yang disewa dari kakak ipar saya.

Kisah jiran A, B dan C.  Jiran A tinggal bersebelahan sederet dengan saya.  Jiran B pula tinggal bertentangan dengan Jiran A.  Jiran C pula tinggal bersebelahan dengan Jiran B.  Bila saya melalui rumah-rumah mereka, sebagai pasangan muda yang baru berkahwin, saya selalu menegur mereka dan memanggil mereka kakak. 

Suatu hari saya terdengar, suara jerit orang bergaduh.  Suara nyaring dari Jiran C.  Dia menuduh kononnya jiran A & B menuang minyak di depan rumahnya.  Sebenarnya rumahnya betul-betul berhadapan dengan tangga, jadi mungkin ada orang yang berjalan tertumpah minyak di situ.  Maklum sahaja tingkat 2, jadi ramai juga orang melalui situ.

Setiap minggu, ada-ada sahaja Jiran C ini mencari pasal.  Suara marah-marahnya kedengaran dari rumah saya.  Kononnya ada orang yang meletakkan ‘guna-guna’ di depan rumahnya.  Macam-macam tuduhan yang dilemparkan kepada jiran A & B.  Sampai di satu tahap, JIran A & B termasuk suami-suami mereka bertengkar dengannya dan membuat lapuran polis kerana tidak tertahan dan malu dengan kerenahnya !

Jiran A mula membuka cerita bila saya tanya apa masalahnya.  Katanya dulu dia sangat baik dengan Jiran C kerana dia lebih tua dan dianggapnya macam kakak sendiri.  Masalahnya kerana terlalu rapat. Jiran C merasa iri hati.  Maklum sahaja dia isteri muda dan selalu ditinggalkan sedangkan Jiran A mempunyai suami yang penyayang.  Begitu juga dengan Jiran B.

Saya masih ingat nasihat kakak A dan B, jangan terlalu rapat dengan orang lain.  Kerana kita belum tentu tahu hati budinya.  Bila tahu mungkin sudah terlambat. 


Kalau cucu Jiran C ini bermain dengan anak-anak jiran, pantang je cucunya menangis, dia akan maki-maki budak-budak lain.

Suatu hari cucunya bermain dengan anak sulung saya ( 3 tahun ) pulang ke rumahnya menangis.  Apalagi dari jauh suara marahnya kedengaran.  Saya pun memarahi anak saya dengan lantang dengan cara menyindirnya.

‘Budak-budak bermain, orang tua nak masuk campur, patutpun tiada sesiapa hendak bermain dengan cucunya’.  Pantang saya kalau budak-budak bergaduh, orang tua masuk campur.  Nanti mereka berbaik, kita yang tua bermasam muka.

Jiran C cuba berbaik dengan saya, namun saya cuma senyum dan menyapanya sahaja selepas itu.

Dipendekkan cerita, Jiran A & B berpindah ke pangsapuri yang lebih baik.  Selepas 5 tahun, saya berpindah ke pangsapuri yang lebih selesa.  Jiran C masih disitu.

Baru-baru ini , saya ada terserempak dengannya semasa memasuki bilik air wanita sebuah bangunan.  Rupa-rupanya dia bekerja sebagai tukang cuci di situ dan dia masih ingat dan menegur saya!
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Macam-macam perangai manusia ini.  Kalau kita tidak terlibat dalam kemelut seperti ini, kita tidak akan percaya adanya golongan begini.
 
 
 
 
 
 

Thursday, September 13, 2012

Jiran Dari Neraka ( Neighbour From Hell )

Bila terbaca suratkhabar hari ini mengenai kerenah seseorang yang menganggu kehidupan masyarakat penduduk perumahannya ‘Neighbour from hell’ against whole neighbourhood' http://thestar.com.my

Teringat saya kepada jiran keluarga saya.  Kami telah lama menduduki rumah kami dahulu, kemudian dia membeli rumah bersebelahan dari pembeli asalnya.  Ibunya amat mesra begitu juga adik-adiknya.  Namun lama kelamaan, wanita itu ( umur dalam lingkungan 30an waktu itu ) mungkin atas rasa iri hati atau sememangnya jiwanya yang sewel, sedikit sahaja teguran dia akan membuat bising.  Waktu itu ibunya segan dengan kami , jadi kerenahnya masih terkawal.  Keluarganya suka membela kucing. Kucing-kucing peliharaannya diberi makan ikan mentah, jadi bayangkan betapa busuk najisnya apabila kucing-kucing itu dibiar berkeliaran dan berak di perkarangan atau taman rumah kami!  Bila kami mengadu, dia marah-marah.

Bila saya sudah berkahwin dan berpindah, ibu saya masih tinggal di situ.  Oleh kerana dendamnya, macam-macam yang dibuatnya.  Rumah teres di situ, ada ruang di bahagian dapur yang tidak bertutup sehingga siling. Bila ibunya meninggal dan adik-adiknya sudah berkeluarga dan masing-masing berpindah, tinggallah dia seorang diri.  Apalagi tingkah lakunya makin teruk, adakala dia membaling pasir di ruang bahagian dapur dari rumahnya ke dapur rumah kami.  Namun wanita ini pandai berpura-pura, berbaik dengan jiran-jiran lain. Mulut manis kata orang.   Ibu saya tidak dapat tahan kerenahnya lalu berpindah.   

Kini selepas lebih 20 lebih tahun, khabarnya jiran sebelah lagi wanita itu yang berbaik dengannya pula menjadi mangsa.  Dia berdengki kerana kehidupan wanita sebelahnya adalah lebih baik dan ingin mengubah suai rumahnya.  Dan dia mencari pasal dengan wanita itu.  Anak wanita itu geram lantas mengubah suai rumahnya dengan membina dinding penghalang antara rumahnya dengan wanita sewel itu.  Bila dia mula tidak menyukai seseorang dalam perumahan itu, dia mula membuang air kencing dan najis di hadapan  atau belakang rumah orang itu.  Kerenahnya membuat penduduk di situ mulai menjauhkan diri darinya.

Bayangkan, wanita itu meletak kayu buruk yang tinggi untuk menjadi pagar antara rumah kami dengannya.  Pokok-pokok diletakkan di tepi luar rumahnya agar orang lain tidak dapat meletakkan kereta disitu.  Pokok-pokok yang tidak terjaga seperti hutan, menjadi pemandangan rumah kami  yang bersebelah menjadi buruk sekali.

Bila ibu saya menyewa rumah, sekiranya penyewa itu garang, wanita itu akan cuba berbaik dengannya.  Namun jika penyewa terlalu baik, wanita itu akan membulinya.

3 bulan yang lepas, ada seorang wanita bujang menyewa di rumah kami.  Suatu hari, bila dia membersihkan laman, ada pokok dan ranting yang buruk melepasi pagar pemisah itu.  Lalu penyewa itu memotong ranting tersebut.  Apalagi naik tocanglah wanita sewel itu.  Marah-marah dan menyumpah. Katanya dia akan membuat hidup penyewa itu terseksa.  Penyewa itu mempunyai beberapa ekor anjing kesayangan.  Tak lama selepas peristiwa itu, 2 ekor anjingnya mati dipercayai diracuni.  Apalagi inilah angkara si wanita sewel itu.  Wanita itu mengugut penyewa itu dengan macam-macam ugutan.  Bila penyewa menelefon polis dan polis datang, dia tidak berani keluar.  Akhirnya penyewa tidak tahan dan menyatakan hasrat untuk keluar dari rumah itu.  Oleh kerana kesian melihatnya, ibu saya memulangkan deposit walaupun pada hakikatnya deposit rumah sewa tidak perlu dipulangkan jika tarikh perjanjian sewa tidak dipenuhi.  Mungkin wanita sewel itu gembira kerana rumah itu dibiarkan kosong sehingga sekarang.  Nak jual pun jadi susah kerana bersebelahan rumah kita terlalu buruk dan menjejaskan keindahan rumah kita.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
 

** Takmahulah tinggal berjiran dengan orang sewel , nanti saya pun jadi sewel juga!!
Bayangkan kalau terjadi pada anda, apa yang anda akan buat ???

 
 
 

Saturday, September 8, 2012

Bertanggungjawab Atas Perbuatan Anda, Wahai Remaja

Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja perbuatan yang dilakukan oleh golongan remaja yang keterlampauan dan memalukan.

 
Golongan remaja yang kebanyakannya masih menuntut menunjukkan kelakuan yang biadap yang tidak diterima oleh kita. Kelakuan ‘kurang ajar’ atas nama kebebasan mungkin biasa di Barat, tapi di Malaysia yang masih kuat dengan sifat-sifat murni, pastinya dianggap biadap.


Ada yang sampai melakukan jenayah menipu, merompak, membakar dan membunuh.

 
Anda remaja semua, memang boleh berseronok namun perlu ada batasannya. Memijak gambar, melondeh seluar dan menunjuk punggung di khalayak ramai bukan sesuatu yang boleh diterima. Mungkin bila anda berada di samping rakan-rakan anda, anda dianggap hero. Namun bila anda ditangkap, rakan-rakan anda cabut lari. Lepas itu, barulah anda takut dan hendak sembunyi di bawah ketiak mak.

 
Jadi gunalah akal fikiran anda yang waras sebelum berbuat sesuatu. Anda punya pilihan. Ada yang memberi alasan, mereka berbuat demikian kerana mengikut teman. Mana teman anda sekarang bila anda berada dalam kesusahan?


Buka mata anda seluas-luasnya. Kebebasan bagaimana yang anda ingini?


Ingattak bila ibu anda, melarang anda keluar bercampur dengan teman-teman yang jahat, anda kata ibu anda tak faham langsung kemahuan anak remaja sekarang?

 
Bila ibu anda melarang anda ke pub dan kelab malam, anda berkata inilah cara remaja sekarang berseronok.


Bila ibu anda melarang anda bergaul dengan mat rempit, anda kata ini keseronokan muda mudi sekarang.


Bila ibu anda melarang anda agar tidak mengambil dadah atau ubatan yang menghayalkan, anda berkata ibu anda kuat berleter. ‘Jangan peduli hal saya’, kata anda.

 
Bila anda terlalu panas baran, terlibat dalam sindiket dan melakukan jenayah, anda sudah tahu suatu hari kelak anda akan diberkas tapi anda lakukan juga. Sebab ini adalah pilihan anda.


Penasaran dan rintihan ibu anda, menanti anda pulang dengan selamat, pernahkah anda fikir dan selami?

 
Bila ibu anda melarang anda bergaul bebas dengan lelaki, anda tidak memperdulikannya. .

Anda rasa anda dah mula meningkat dewasa dan mengetahui segala-galanya.

 
Namun kenapa bila anda dicekup polis, anda mula gelabah. Ibu bapa anda ditohmah kononnya tidak pandai menjaga anak. Siapa sangka anak yang ditatang dan dibelai dari kecil akan berubah menjadi ‘binatang’. Dan ibu bapa anda perlu bersusah payah mencari jalan merungkai masalah yang anda cari.

Dan kenapa ibu bapa anda pula yang perlu mohon maaf atas perbuatan anda?

Bila anda termengandung, anda cari ibu bapa anda. Ibu bapa anda pula perlu menangggung dan menerima aib anda.

Jangan fikir kerana mereka ibu bapa anda, mereka perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan anda lakukan sepanjang hidup anda.

 
Berdiri dan jadi dewasa, anda perlu bertanggungjawab atas perbuatan anda.

 


 

 

Friday, August 31, 2012

Dirgahayu Malaysia – Sempena Ulangtahun Kemerdekaan 55

Saya bangga menjadi anak Malaysia.   Walaupun hidup tidak dilimpahi kemewahan namun bagi saya segala-galanya adalah mencukupi.

Alhamdulillah saya dilahirkan di Malaysia, bukannya di Negara lain dimana wanita dilayan semacam barangan yang tidak bernilai.  Kedua-dua ibu bapa saya, anak kelahiran Malaysia, golongan berpendapatan sederhana.  Saya mendapat pendidikan awal sehingga ke menengah atas.  Tidak buta huruf seperti wanita di Negara lain.  Sejak kecil saya mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan, percuma atau kadangkala dikenakan  bayaran RM1. Berkahwin pada usia muda, kemudian melahirkan anak-anak, saya punya pilihan bersalin di hospital kerajaan atau swasta. 

Peluang pekerjaan banyak  terdapat di Malaysia, saya tidak perlu ke luar Negara untuk mencari pekerjaan seperti wanita dari Negara lain.  Ekonomi Malaysia mantap, bukan sepeti Negara Luar yang mengalami krisis dan bangkrap.  Saya menikmati kemudahan infrastruktur yang baik meskipun terpaksa membayar tol atau feri. 

Sejak kecil, saya menikmati kehidupan selesa dan bebas di kampung.  Membesar dikampung , hubungan antara teman-teman adalah akrab tanpa mengira kaum.  Di sekolah pula, hubungan yang terjalin di antara teman-teman berbilang kaum jelas sekali.  Budaya dan fahaman agama yang berlainan tidak menjadi penghalang.  Bukan seperti Negara Luar yang sentiasa mempunyai konflik dalaman dan peperangan.  Bunyi tembakan dan meriam menjadi muzik yang  berkumandang dan mereka sentiasa dalam ketakutan, nyawa dalam bahaya.

Saya memiliki rumah untuk berteduh, tidak seperti Negara lain yang rakyatnya ada yang terpaksa tinggal di jalanan.

Di Malaysia, saya berpeluang untuk mengundi pada pilihanraya untuk memilih bakal pemimpin yang akan menerajui kepimpinan bagi menjadikan Malaysia lebih aman, makmur dan gemilang.

Di Malaysia, cuti perayaan cukup banyak.  Bertuah sekali kerana  di kala itu, peluang untuk saling mengunjungi  tidak pernah dilepaskan.  Maklum sahaja , zaman kanak-kanak, perayaan merupakan sesuatu yang dinantikan. Di Malaysia, para ahli politik boleh berlainan pendapat, tetapi anda dapat melihat mereka bersama ketika meraikan sesuatu perayaan.
 

Di Malaysia, kita dapat menikmati pelbagai jenis makanan yang menyelerakan.  Harganya berpatutan.  Yang penting, ianya sedap.
 

Di Malaysia, terdapat banyak destinasi percutian yang menyeronokkan.  Kalau tidak, masakan pelancong luar Negara berpusu-pusu mengunjungi  Malaysia.

Sikap peramah, saling hormat menghormati yang tersemai pada setiap rakyat Malaysia, antara sebab mengapa saya bersyukur saya orang Malaysia.

Apa yang saya nikmati dahulu, anak-anak saya pula merasainya.  Tentunya kehidupan sekarang adalah lebih baik dibandingkan zaman ibu bapa saya dahulu.

Zaman berlalu, wujudnya internet menjadikan segala-galanya lebih mudah.  Namun generasi sekarang sepatutnya disedarkan betapa bertuahnya mereka dilahirkan di bumi bertuah, Malaysia.

Semoga semua yang saya sebutkan di atas akan kekal dan menjadi lebih baik di masa depan.  Semoga pemimpin Malaysia akan membawanya ke mercu kejayaan.

Memang Malaysia bukan sebuah Negara yang sempurna segala-galanya.  Kalau anda hendak melihatnya dari keburukannya sahaja, senarai aduan anda tentu berjela-jela.  Namun saya memilih untuk melihat kelebihan , kebaikannya.  Atas dasar itu saya bersyukur kerana inilah tanah tumpahnya darahku.   Bersama-sama kita rakyat Malaysia bersatu padu menjadikan impian kita suatu realiti. Satu Malaysia - untuk semua kaum di Malaysia.
 
Terima kasih Malaysia !!

 

Thursday, August 30, 2012

Syukuri Apa Yang Kita Miliki


Esok cuti umum sempana hari Kemerdekaan Malaysia ke 55.  Bererti bagi anda yang dilahirkan pada tarikh yang sama 55 tahun dahulu, anda juga akan menyambut Hari Lahir yang ke 55.  Bertuah anda kerana anda dapat cuti untuk meraikannya.

Anda bakal pencen pada usia 55 tahun atau anda mempunyai pilihan untuk meneruskan pekerjaan anda sehingga ke umur 60. Kalau anda berkeluarga, tentu anak-anak anda dah dewasa dan ada diantara anda yang sedang bermain dengan cucu.

Cuba anda imbas kembali kehidupan anda.  Adakah anda berpuas hati dengannya?  Bagaimana dengan tanahair anda, Malaysia?  Adakah anda cintakan Negara anda?

Saya berpendapat kehidupan kita, ditentukan oleh diri kita sendiri.  Saya tabik kepada mereka yang Berjaya yang asalnya dari keluarga yang serba kurang.  Mereka ini tidak menjadikan kemiskinan dan kekurangan sebagai alasan untuk tidak Berjaya.  Malahan mereka menjadikan ianya satu alasan untuk Berjaya, keluar dari belenggu kemiskinan yang dilalui mereka sebelumnya. 

Ada yang tidak berpelajaran tinggi, namun Berjaya.  Asalkan rajin bekerja, mereka ini bertungkus lumus untuk mencari rezeki halal di tanah air tercinta.  Bagi saya Malaysia adalah lubuk emas, kalau tidak masakan pendatang asing ( tanpa izin atau dengan izin ) membanjiri Malaysia.  Cuma rakyat Malaysia yang malas dan buta yang tidak dapat melihat keberkatan dan kekayaan bumi Malaysia ini.

Di Malaysia, anda dapat melihat pelbagai bangsa dan keturunan bergaul sesama sendiri.  Menghormati budaya, agama dan fahaman masing-masing.  Zaman kanak-kanak saya dilimpahi dengan semangat demikian.  Orang-orang politik dahulu ikhlas dalam perjuangan mereka serta bersusah payah cuba untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan kita nampak hasilnya.  Sehingga kini, rakyat hidup aman harmoni.

Namun orang-orang politik sekarang suka bermain dengan sentimen kaum.  Melahirkan ketidakpuasan dan kebencian antara kaum, memporak-perandakan keharmonian yang terbina sekian lama demi untuk memenangi perlumbaan politik mereka.  Peduli apa pada keamanan, asalkan hajat mereka tercapai, poket mereka penuh.  Yang menerima akibatnya adalah rakyat.

Orang-orang dulu ( warga emas ) amat menghargai suasana keharmonian antara kaum di Malaysia.  Ini adalah kerana mereka telah melalui zaman keperitan dan mengerti pengorbanan bapa-bapa pengasas negara dahulu yang bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya menyatupadukan kaum.

Kalau kita asyik merungut dan menyalahkan orang lain, bagaimana kita hendak mengubah nasib diri.  Asyik berpeluk tubuh dan menyalahkan kerajaan tidak membantu, itukah caranya?

Sepatutnya kita menanamkan sifat bersyukur kepada anak-anak kita.  Kerana mereka hidup di zaman yang lebih maju dan mewah dibandingkan zaman dulu.  Kita perlu menyerapkan sifat-sifat murni agar mereka mencintai tanah air mereka.  Mereka adalah penyambung tradisi agar pengorbanan mereka yang menyatupadukan rakyat Malaysia dan perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan tidak sia-sia.

Bak kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemerdekaan Negara akan terus utuh atas teras permuafakatan antara semua pihak.
 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Syukur saya Anak Malaysia !  Selamat Menyambut UlangTahun Kemerdekaan Ke 55. Dirgahayu Malaysia !