Showing posts with label News. Show all posts
Showing posts with label News. Show all posts

Saturday, November 23, 2013

Kad Pengenalan Palsu




Kejadian tembak pengawai bank Ambank baru-baru ini oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu membuka mata orang ramai kepada masalah yang telah lama diperkatakan oleh rakyat Malaysia.

Sejak sebelum pilihanraya yang lepas, sudah terdengar desas desus yang mengatakan kerajaan sengaja memberi kad pengenalan kepada warga asing khususnya mereka dari Sabah dan Sarawak agar mereka dapat memenangi pilihanraya.  Ini adalah kerana banyak kerusi datang dari Sabah dan Sarawak.

Kenyataan orang kuat Jabatan Pendaftaran mengatakan kad pengenalan Malaysia sukar dipalsukan memandangkan ianya mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sukar ditembusi. Jadi persoalannya, dimana punca permasalahannya?

Terdengar ramai warga asing khususnya warga Indonesia yang senang mendapat kad pengenalan hanya selepas beberapa tahun bekerja dan bermastautin di sini.  Walhal rakyat Malaysia (warga emas) yang bukan bumiputera yang sekian lama menetap di Malaysia, sampai mati pun belum memperolehi kad pengenalan.  Seolah-olah kerajaan tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, padahal mereka rakyat Malaysia yang bekerja, membayar cukai dan membangunkan ekonomi Negara.  Saya faham kenapa ketidakpuasan di hati mereka.

Kalau kad pengenalan tidak dapat dipalsukan, bererti terdapat dalang di dalam agensi berkenaan yang mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.  Baru-baru ini ada berita yang mengatakan tertangkapnya orang dalam.  Mungkin Cuma ‘ikan bilis’ sahaja.  Kononnya warga asing Cuma perlu bayar untuk mendapatkannya.  Nampaknya kerana wang, manusia boleh buat apa saja !!

Warga asing yang berkad pengenalan palsu ini bukan sahaja dapat meloloskan diri dan menyamar sebagai orang Malaysia, mereka ini ‘merampas’ pekerjaan, identiti orang Malaysia.  Anak-anak mereka juga akan menggunakan kemudahan yang dikhususkan untuk kita.

Perkara ini bukan baru tapi ada pihak yang membutakan mata.  Bayangkan bila keadaan tidak terkawal barulah tindakan hendak diambil.  Sudahlah Negara kita dibanjiri dengan pendatang haram.  ‘Pendatang haram’ yang dihalalkan.  Salah siapa kalau bukan rakyat Malaysia sendiri !!!  Ada sesuatu yang tak kena !!  Kalau manusia yang dipertanggungjawabkan tugas mereka mula menyimpang dan mementingkan wang semata-mata, suatu hari Negara pun boleh tergadai.
 
Ishh, ishh .. semuanya palsu
Sijil Palsu, Surat Beranak Palsu, IC Palsu, semuanya boleh dipalsukan.
Cinta pun boleh palsu..
 

Friday, October 25, 2013

Hilangnya Keperimanusiaan

Hilangnya Keperimanusiaan

3 berita dalam akhbar minggu ini, membuat hati ini tertanya-tanya dimanakah perginya sifat kemanusiaan manusia zaman ini.  Adakah kerana tamak haloba, kegilaan, manusia hilang arah, tidak dapat mengawal nafsu maka terus hilang sifat2 ini.  Adakah manusia kini berperangai binatang?


Berita 1

Seorang penuntut berusia 15 tahun mati dibunuh oleh teman yang dikenalinya lalu disumbatkan ke dalam beg.  Teman lelaki berusia 23 tahun yang disyaki melakukan pembunuhan itu, mulanya berpura-pura dan turut membantu pencarian si mangsa bersama ibu si mangsa.  Suspek merupakan orang terakhir yang diketahui si mangsa.  Seorang pemerhati jenayah yang membantu pencarian, mula mensyaki suspek apabila mendapati ada kesan gigitan di tangan kiri dan terus mendesak sehingga suspek menceritakan hal sebenar.  Akhirnya suspek mengaku telah membunuh perempuan itu dan membawa polis ke tempat dia membuang beg yang mengandungi mayat si mangsa.

Baca :-


Berita 2

Seorang wanita pengawai bank ditembak dimukanya oleh seorang pengawal keselamatan yang kemudiaannya merompak dan melarikan wang dari bank.  Wang sebanyak RM 450,000.00 dilarikan oleh pengawal keselamatan yang menggunakan identity orang lain ketika memohon kerja pengawal keselamatan dan dipercayai warganegara asing.  Kini polis sedang memburunya.

Baca :



Berita 3

Seorang lelaki penghantar barang mengamuk dan membunuh 2 orang lelaki lain dan mencederakan 2 wanita.

Lelaki tersebut yang kelihatan seolah-olah dirasuk pada mulanya menikam 2 wanita kemudiannya melarikan diri dengan van.  Vannya kemudian melanggar sebuah van lain lalu dia keluar dan menikam mati seorang lelaki Cina.  Kemudiaan dia melanggar sebuah kereta lain dan turut menikam seorang pemuda Cina berusia 25 tahun.  Suspek ditangkap oleh orang ramai yang menyaksikan insiden itu.

           Baca :


 


Begitulah rapuhnya kehidupan ini.  Hari ini anda mungkin gelak ketawa bersama rakan dan family.  Esok anda mungkin menjadi mangsa.  Tiada sesiapa yang tahu apa yang tersurat.

 

Nyawa manusia terlalu murah.  Akibat kemarahan, ketamakan, nafsu syaitan, kegilaan, manusia hilang arah, hilang pegangan.  Sanggup bunuh untuk mencapai apa yang diidamkan.  Mana perginya sifat kemanusiaan?  Bagaimana perasaan mereka yang kehilangan anak, isteri dan suami akibat kegilaan yang berleluasa ini?  Apakah dunia sudah menuju ke kebinasaan dan inikah akhir zaman?
Saya tidak boleh bayangkan kesedihan ahli keluarga si mangsa..
 
 
 
 
 

Friday, August 16, 2013

Pil Menguruskan Badan & Sibutramine

Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk wanita khususnya yang beragama Islam untuk menurunkan berat badan.  Selain dari segi kewajipan agama untuk berbuat demikian, kebaikan berpuasa ini juga telah terbukti.  Bila berbuka, makan seperti biasa. Jangan pula makan seperti orang yang kebuluran.  Sebab itulah ada ramai yang berpuasa tetapi berat badan tidak menurun tetapi sebaliknya meningkat. Hairan bukan?

Makan berdikit-dikit, banyak kali.  Perut yang kosong pun tidak terkejut tetiba diisi dengan makanan yang begitu banyak.  Seperti dalam kebanyakan perkara di dalam hidup kita, kesederhanaan merupakan kunci kepada segala kebaikan.

Selepas Ramadan, teruskan amalan berpuasa atau mengurangkan makanan.  Mungkin kurangkan 1 kali santapan setiap hari.  Rasa-rasanya yang paling afdal adalah makan malam.  Bagi yang bukan Islam, juga disyorkan berbuat demikian, selain berpeluang merasai apa yang dialami oleh rakan-rakan  Islam anda, apa yang dilalui oleh orang yang tidak berkemampuan dan kelaparan, mengurangkan perbelanjaan dan menurunkan berat badan. Nah hebat bukan??

Jangan pula kurang makan, badan pula malas bergerak.  Saya lihat di kala bulan Ramadan, pekerja awam selalu kurang bermaya dan beruntung dapat pulang awal.  Saya yang bekerja di syarikat swasta walaupun berpuasa, lebih aktif.  Itu yang selalu boss saya hairan bila dia bandingkan saya dengan pekerja awam.  Bagi diri saya, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menjadi malas dan kerja bertimbun yang menanti harus dibereskan.

 
Berbalik pula topik mengenai penurunan berat badan, nampaknya pil dan ubat-ubatan adalah lebih terkenal dikalangan wanita.  Maklum sahaja rata-rata wanita ingin kelihatan kurus dan akan mencari jalan untuk kekal langsing.  Perubahan berat badan selepas melahirkan anak, ditambah dengan gangguan metabolism, nafsu makan yang semakin menjadi-jadi. Lemak mula berkumpul di bahagian perut, paha dan lengan amat merisaukan kaum wanita. 

Jadi jalan paling mudah adalah pengambilan pil, serbuk atau ubat-ubatan yang menjanjikan dan menampakkan hasil yang cepat.

Logiknya penurunan berat badan yang mendadak adalah tidak baik.  Badan kita perlu waktu untuk menjadi kurus secara semulajadi dan selamat. 
--------------------------------------------------------------------------------------------

Terbaru saya terbaca berita mengenai produk menguruskan badan yang mengandungi Sibutramine (bahan ini diharamkan di Malaysia) dan negara luar.

Baca artikel mengenai Sibutramine http://en.wikipedia.org

Sibutramine, meskipun mengurangkan nafsu makan, ianya telah dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok. 

Akhbar The Star Super-slimming-pill-harmful-to-health  baru-baru ini melapurkan bahawa ada pil menguruskan badan yang mengandungi bahan tersebut yang dijual  secara online kepada pengguna yang tidak tahu kesannya.  Pendedahan oleh beberapa wanita yang mengalami pening kepala, sukar tidur dan palpitasi (jantung berdebar-debar) kesan sampingan dari pengambilan pil itu.
---------------------------------------------------------------------------------------------

Bernasib baik kerana berat badan kekal dari dulu sehingga kini !

Pada pendapat saya tiada jalan pintas kepada semua perkara.  Kalaupun ada pil yang boleh diambil, ianya sekadar membantu anda untuk proses menguruskan badan. Dan ianya akan mengambil masa.  Kuncinya adalah pengambilan makanan dan diet yang betul, disamping senaman. SENAMAN !

Kalau ada yang menjanjikan hasil serta merta, maka awaslah.  Semak apa kandungan bahan-bahannya.  Di Era ini, semua semakan dapat di buat di talian.  Taip sahaja nama-nama bahan yang anda langsung tak faham, anda akan dapat membaca penerangannya.

Teringat beberapa tahun dahulu, seorang artis wanita Singapura menghidapi kerosakan hati akibat pengambilan ubat/pil menguruskan badan.  Dia bernasib baik kerana kekasihnya ( salah seorang pelakon drama sitcom Phua Chu Kang ) menderma sebahagian hatinya kepada wanita itu.  Ada seorang lagi, wanita India yang mengalami nasib sepertinya, tetapi tidak tahu pula apa jadi akhirnya.
Ada pula pil/serbuk yang membuat perut anda memulas dan cirit birit.  Seolah-olah memaksa apa-apa yang dimakan keluar serta merta.  Kononnya dengan serta merta mencuci minyak / lemak yang anda ambil, jadi anda tidak perlu gusar makan banyak. Hmm betulkah??

Kesihatan kita merupakan harta terpenting buat diri kita.  Tiada gunanya mempunyai badan yang langsing dan menawan sekiranya kesihatan kita merosot.  Apalagi membayar ratusan, ribuan ringgit untuk makan bahan yang membahayakan kesihatan kita.  Bodohnya kita !
 
 

Belasah Isteri - Keganasan RumahTangga


Lelaki Belasah Isteri Dalam Lif Serah Diri Kepada Polis
 
 

 
PUKUL ISTERI...Lelaki yang dipercayai memukul isteri di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (dua, kanan) diiringi anggota Polis ketika menyerah diri di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang pada Khamis. Suspek menyerah diri 4.30 petang selepas menyedari dirinya menjadi buruan Polis. -Foto BERNAMA
 
 
GEORGETOWN: Lelaki yang menjadi buruan polis selepas membelasah isteri dalam lif sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Isnin lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan jam 4.45 petang Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 36 tahun itu menyerah diri pada pukul 4.45 petang.
"Saya dimaklumkan oleh IPD Kuantan, lelaki yang dikehendaki polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung rakaman CCTV yang membelasah isterinya telah menyerah diri di sana.
"Kita akan bawa lelaki itu balik ke Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.
Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Sementara itu, beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini melawat mangsa di rumahnya di Mengkuang.
 Petikan berita 15.08.2013 http://mstar.com.my
Inikah balasan kasih sayang dan pengorbanan seorang isteri?  Disepak terajang, dipukul sesuka hati.
Inikah harga sebuah perkahwinan? Kalau beginilah layanan seorang suami pada isteri, lebih baik wanita di dunia ini kekal tanpa pasangan.
Saya ingin memetik kata-kata dari si mangsa yang telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu selama 12 tahun dan mempunyai 3 anak.  Katanya, ‘Saya telah lama memendam perasaan selama ini setelah dia mengambil isteri kedua.  Saya menguruskan segala perbelanjaan rumah dan dia hanya mengirim sejumlah kecil wang untuk anak-anak.”
Bayangkan ketakutan di hati 2 anak-anaknya yang terpaksa menyaksikan perlakuan kejam ayah mereka terhadap ibu mereka. 
Selalunya isteri yang didera memendam rasa menahan keperitan hidup demi anak-anak.  Sentiasa berharap si suami akan berubah sikap menjadi lebih baik.  Senyum dalam tangisan. Bersabar.  Namun setiap kesabaran ada hadnya.  Saban hari dijadikan tempat melepaskan geram.  Badan sentiasa lebam, mata bengkak2.  Balik bila suka untuk melepaskan nafsu seolah-olah isteri itu pelacur.  Tanya sedikit diherdik.  Masak makanan, katanya tak sedap.  Segala perbuatan kita semuanya salah.  Begitulah nasib kaum hawa yang mendapat insan (haiwan) bernama suami yang tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargainya.
Satu golongan lagi dari segi fizikal, anda tidak akan melihat dan tidak dapat menghidu keperitan mereka.  Namun mereka makan hati dan memendam perasaan. Suami mereka melayan mereka seolah-olah mereka ini tidak wujud.  Sentisa merendah-rendahkan kemampuan isteri sehingga isteri menjadi rendah diri.  Tiada keyakinan.  Ada yang suka memaki hamun isteri.  Membuat si isteri tidak dihargai langsung.  Apalagi kalau si isteri bergantung sepenuhnya kepada si suami.  Berkahwin lagi walaupun tidak mampu dari segi kewangan.  Bila tertekan, mulalah isteri menjadi sasaran.  Isteri rasa dikhianati, kecewa, menangis keseorangan, si suami pula bukan main ligat dengan isteri baru.  Adil?  Hmm jangan harap.  Bila berhujah kononnya hendak ikut sunnah nabi walhal yang asas pun tak buat.  Bukankah peranan suami membimbing isteri dan anak-anak ke arah kebaikan?  Kalau menunjukkan kemarahan dan keganasan, bagaimana isteri dan anak-anak hendak menghormati anda? Inikah sikap yang anda ingin anak-anak anda contohi?  Kalau anda isteri dalam kategori ini, dan sekiranya perasaan sedih dan depresi ini berterusan, pastinya anda akan sakit dan kemurungan.
Justeru itu, wahai perempuan, sebelum kahwin bukalah mata seluas-luasnya.  Jangan hanya kerana mabuk bercinta, anda buta.  Kalau sebelum kahwin, perangainya sudah bengis dan mudah naik darah, itulah petandanya.  Jangan fikir selepas kahwin dia akan berubah untuk anda.  Pasangan anda seharusnya berubah kerana dirinya bukan anda.
Sebenarnya kita kaum wanita khususnya isteri, kemelut yang kita hadapi, kita yang harus membuat keputusan.  Samada kita tetap berdiri teguh dan terus dibuli sepanjang hidup kita atau berlalu pergi.  Tiada sesiapa yang boleh menentukannya.  Jawapannya ada pada kita.  Orang hanya berkata-kata namun kita yang terpaksa menghadapinya.
Berbaloikah pengorbanan kita? Mungkinkah dia akan berubah?  Anda yang lebih mengenalinya.  Kalau jawapannya tidak, anda sudah ada jawapannya.
 

Wahai Suami - Sayangilah & Hormatilah Ibu Anak-Anakmu



 

 

Sunday, July 28, 2013

Salahlaku Penjawat Berunifom – Beranikah Anda Melapurkannya??


 
Sejak kebelakangan ini, saban hari terpampang di akhbar berita mengenai kejadian menembak.  Boleh dikatakan hampir setiap minggu terdapat kes-kes sebegini.

Dan suatu yang pasti, kejadian menembak ini lebih tertumpu kepada satu golongan/kaum.  Saya tidak pasti samada ianya disebabkan pergaduhan gangster, perebutan kuasa atau dendam kesumat.  Tetapi nampaknya pembunuh upahan semakin rancak menjalankan aktiviti dan tugasan mereka iaitu untuk membunuh.  Kalau pembunuh upahan, pastinya mereka di bayar untuk melakukannya.  Aksi berani ini seumpama di dalam filem yang kita tonton.

Ini bererti keselamatan kita juga terancam.  Kita mungkin bukan sasaran mereka.  Tetapi kita mungkin tidak bernasib baik dan berada di tempat salah.  Nyawa kita mungkin melayang dalam beberapa saat. Nampaknya nyawa kita bak di hujung rambut. 

Begitu mudah mereka mendapat bekalan senjata api.  Apa dah jadi dengan pihak imigresen?  Apa dah jadi dengan pihak polis?  Bukankah pasukan keselamatan dan pihak polis tugasnya melindungi rakyat?

Gerun bila saya memikirkan, Malaysia yang dahulunya selamat, kini didalangi oleh manusia yang tidak berhati perut, bebas melakukan jenayah dan dapat meloloskan diri dari ditangkap.  Apakah kerana kebanjiran pendatang tanpa izin yang semakin ramai sehingga suatu hari nanti tidak terkawal.  Ragut, samun, rompak, rogol, culik, bunuh boleh berlaku di hadapan kita.  Kita mungkin menjadi mangsa.  Apakah strategi pihak polis untuk menandangani isu-isu yang semakin serius ini ?  Bukankah tugas mereka untuk memastikan si penjenayah ditangkap dan diletakkan di dalam penjara?

Namun apa akan terjadi, sekiranya mereka yang diberi tanggungjawab untuk melindungi kita tersasar dari amanat mereka dan mereka ini yang mengancam kehidupan kita?

Beranikah kita melapurkan rasuah yang terjadi di kalangan mereka yang mempunyai kuasa, kedudukan dan harta? Beranikah kita lapurkan salahlaku penjawat kerajaan?  Beranikah kita tampilkan diri bilamana kehidupan kita serta keluarga kita tergugat?

Begitu buruk tanggapan orangramai terhadap pihak polis, sehingga bila ada sekatan kereta yang diadakan, di dalam hati sudah mengagak mereka ini mahukan wang.  Dan sememangnya ini yang berlaku tetapi siapa berani bersuara? 

Begitu juga pekerja di sektor kerajaan.  Rasuah berleluasa, semua orang tahu.  Namun mulut terkunci kerana tiada sesiapa yang mahu terjerat.  Sememangnya sebagai orang Islam saya malu bila ada teman-teman yang mengatakan si polan dalam bulan Ramadan ini masih meminta wang habuan untuk memudahkan sesuatu urusan dijalankan.  Maklum sahaja sudah hampir menyambut Raya. 

Lantas saya bertanya mengapa harus kita layan kehendak mereka.  Pada saya ‘Government Servant’ sepatutnya memberi khidmat kepada kita rakyat yang sebenarnya membayar gaji mereka. Sebabnya kita rakyat Malaysia membayar cukai.   Selalunya jawapan yang saya terima adalah kerana bukan semua urusan yang dapat dipenuhi dengan sempurna.  Tanpa ’habuan’ setiap kekurangan akan dijadikan alasan untuk menolak permohonan/urusan kita.  Jadi urusan menjadi semakin sukar dan mengambil masa terlalu panjang.  Surat dan dokumen malahan fail yang dikemukakan pun boleh ‘ghaib’.  Ada yang sengaja melambatkan maklum balas, melengahkan kelulusan sesuatu permohonan.  Lantas mahu tidak mahu. ‘habuan’ terpaksa di beri.

Tak percaya pada saya?  Tanyalah pada setiap rakyat Malaysia.  Dengar cerita dan kisah mereka yang berhadapan dengan kekecewaan apabila berdepan dengan ‘Government Servant’.  Yang korup, penyalahgunaan kuasa, curi tulang, tidak amanah, malas dan sebagainya. 

Saya akui ada yang menjalankan tugas dengan penuh amanah.  Tetapi bila diletakkan di persekitaran kerja yang penuh dengan pekerja-pekerja yang mempunyai sikap buruk dan negatif, akhirnya yang baik pun terikut, mungkin dalam keterpaksaan.  Janganlah kerana 'nila setitik, rosak susu sebelanga'.  Kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Anda.

Hari ini kita dikejutkan dengan berita kejadian menembak Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan.  Kejadian tembak ini dikatakan ada kaitan dengan pendedahannya mengenai salahlaku pihak polis.
Sila baca :-
28-07-13 Mstar online
 
 
Menggeleng Kepala !!!  Apa Nak Jadi ?? Malaysia Oh Malaysia ?
 

Friday, July 26, 2013

Bila Posmen tidak Menghantar…

 
Surat merupakan perantaraan penting dan utama untuk kebanyakan orang.  Generasi saya memang amat bergantung dengannya.  Maklum sahaja pada waktu itu tiada media internet yang dapat menghubungkan kita yang berjauhan. 





Tidak seperti sekarang, kita tidak perlu hantar surat.  Kerana kita ada alternatif seperti email, Wassap, facebook dan pelbagai kemudahan lain.  Mesej, photo, kata cinta, kad dan sebagainya dapat dihantar melalui telefon bimbit.  Dunia global menjadi semakin kecil. Walau beribu batu dipisahkan namun teknologi canggih ini dapat mendekatkan kita semua.

Dahulu, setiap surat rasmi, kad ucapan atau surat cinta, pasti di depan sampul surat saya akan catatkan ‘terima kasih Mr Postman’.  Itu tanda saya berterima kasih di atas perkhidmatannya menghantar surat-surat tersebut.  Malahan di kala menjelang Raya, Ang Pow atau paket hijau sebagai tip akan diberi kepada posmen yang menghantar surat ke rumah saya.

Artikel dari akhbar The Star ( 21 Julai 2013 ) yang mendedahkan perbuatan 3 orang posmen yang tidak bertanggungjawab amat mengecewakan saya.  Kejadian membuang surat-surat di Ukay Heights, Ampang menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab 3 orang posmen yang di beri tugas untuk menghantar surat-surat kepada penerimanya.  Berlaku pula di bulan Ramadan.  Ishh kalaulah posmen ini beragama Islam.. pekerjaan itu suatu amanah dan ibadah. 

Ini bukan tempat pembuangan sampah !
 
Saya percaya pekerjaan kita walau apapun adalah amanat yang diberikan.  Oleh yang demikian, kita harus menjalankannya dengan penuh ikhlas dan tekun.

Bayangkan surat-surat yang dibuang itu mungkin terdiri dari cek-cek untuk pekerja kerajaan yang pencen, cek membayar hutang, kad ucapan dari orang yang jauh, surat untuk orang yang dicintai, surat pengesahan temuduga, surat kemasukan universiti dan seribu satu kisah yang amat bermakna pada seseorang.  Bayangkan pihak yang menunggu, surat tak kunjung tiba.

Kes-kes lalu - surat jadi sampah  - kejadian berulang kembali !
Posmen-posmen itu bukan sahaja mencuri tulang malah mencemarkan nama baik majikannya iaitu Pos Malaysia.  Mereka sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Pernah di tempat tinggal saya dahulu, selalu ada surat milik orang lain yang silap dihantar ke rumah saya.  Mungkin disebabkan alamat yang lebih kurang sama, posmen selalu terkeliru.  Saya sendiri menghantarnya ke pemilik surat tersebut yang tinggal di apartment lain yang agak jauh.  Uncle itu selalu mengucapkan berbanyak terima kasih kepada saya.  Katanya surat itu mengandungi cek pencennya setiap bulan, maklum sahaja dia bekas pengawai tinggi kerajaan.  Kalau saya jenis yang tidak kisah dan buang surat itu, pastinya dia terpaksa menunggu lama dan bersusah payah untuk menghubungi jabatan berkenaan bagi mendapatkan gaji pencennya.


‘I learned the value of hard work by working hard.”


 

Sunday, July 21, 2013

Pengajaran


Ada orang yang ingin mendapatkan perhatian, akan cuba mendapatkannya dengan apa jua cara pun.

Pasangan sensasi Avivi muncul lagi di akhbar.  Baca cerita mengenai pasangan ini dalam blog saya terdahulu :  Bila Hilangnya Malu 

Dengan kewujudan dan laungan parti pembangkang mengenai hak dan kebebasan rakyat, golongan seperti pasangan ini semakin berani.  Atas nama jenaka, hak dan kebebasan, mereka mempersendakan Agama Islam.
mstar.com.my   -  Pasangan Alvivi Persenda Ramadan & Islam
 
Perbuatan mereka seolah-olah mencabar pihak polis dan pihak Berkuasa. 

Si Alvin Tan budak terpelajar yang mendapat biasiswa dari Singapura dahulu, takkan tak tau langsung tentang Islam.  Mempersendakan Islam di dalam bulan Mulia Ramadan dengan menunjukkan tanda halal pada makanan yang sememangnya diketahui tidak halal, bodoh betul perbuatannya.

Sememangnya pemuda seangkuh Si Alvin dan pasangannya  Si Vivian Lee perlu diberi pengajaran.  Kalau dibiarkan, anak-anak muda lain akan mengikut jejak mereka dan menganggap mereka sebagai ‘Wira’.  Pasangan ini pandai berpura-pura dan memohon maaf sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.  Mereka tidak akan serik mempamerkan aksi seksual mereka.  Mereka akan terus mencipta sensasi dengan mengetengahkan isu-isu sensitif yang mengugat keharmonian masyarakat dan berbangga dengannya.

Bagi generasi tua, perbuatan sebegini memang dikatakan ‘kurang ajar’.  Mereka ini perlu diajar untuk menghormati orang lain.  Mereka harus bertanggungjawab dengan perbuatan mereka dan menerima padahnya.

Saya lega kerana tiada ahli politik dari parti pembangkang yang tampil untuk menyebelahi perbuatan mereka.  Kerana apa yang salah adalah salah.  Kalau tiada tindakan yang diambil, mereka tidak akan sedar.

Kesian saya mengingatkan betapa ibu bapa pasangan ini menghadapi tohmahan dek perbuatan anak mereka.  Tentu di waktu ini, mereka akan berusaha mencari peguam terbaik untuk mengendalikan kes anak mereka dan mengeluarkan mereka dari penjara. Tetapi biasalah anak-anak sebegini bila terlepas, keluarga pun mereka tidak endahkan.  Cuma teringat keluarga bila berada dalam kesusahan.  Kesusahan yang dicari sendiri.  Inilah padahnya.

Kita hidup di Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang bangsa.  Harus sentiasa menghormati Agama sendiri dan lain.  Harus selalu bertoleransi antara satu sama lain.  Bukannya memporak-perandakan keamanan yang sedia terjalin.

Anak-anak muda harus faham.  Sila berhenti dan berfikir sejenak sebelum kita berkongsi apa-apa maklumat di dalam talian.   Ini soal hidup dan matinya perpaduan rakyat Negara Malaysia tercinta.

Mengurut Dada.. Alahai apa nak jadi dengan dunia ini ????


 

Saturday, July 20, 2013

Ibu Mertua

Monster In law

http://www.thestar.com.my - Guru Cerita bagaimana dia diserang oleh ibu mertua dengan pisau
http://www.thestar.com.my  - Guru terlalu trauma untuk menatap wajah ibu mertua.


Berita mengenai bagaimana seorang ibu mertua ( Lee Wei Mei – 64 tahun ) tergamak untuk menikam menantu perempuannya ( Julie Yeoh Kar Tin – 43 tahun )  dan kemudiannya membakar tempat tinggalnya membuat hati ini tergerak untuk menulis mengenainya.  Perbuatannya  juga dibantu oleh adik perempuannya ( Lee Wei Chee – 61 tahun )

Walaupun kini dihadapkan mahkamah untuk dibicarakan atas pertuduhan ke atas mereka dan mereka mungkin dipenjarakan 20 tahun, persoalannya bagaimana kehidupan menantunya yang merupakan seorang guru.  Trauma dan parut luka yang dihadapinya sepanjang hidup.

Walaupun saya tidak boleh menjawab pelbagai persoalan yang bermain di kepala kerana hanya mereka sahaja yang mengetahui situasi sebenarnya, namun saya rasa tentu ada punca yang mencetuskan api kemarahan sebegini oleh si ibu mertua.

Adakah kerana keadaan mentalnya? Tetapi perbuatannya adalah dibantu oleh adiknya.  Samada kedua-duanya pun menghadapi masalah mental.

Kalau bukan kerana masalah mental, kebencian apakah yang mencetuskan dendam kesumat sehingga sanggup cuba membunuh menantu sendiri?  Bagaimana nasib cucu-cucunya dan anak lelakinya.  Menantu yang sudah mengahwini anaknya selama 20 tahun, yang melahirkan anak iaitu cucunya.  Si ibu mertua dikatakan sebelum peristiwa itu kerap berkunjung ke rumah anaknya pada hari kerja untuk menjaga cucunya yang berusia 4 tahun apabila anak dan menantunya bekerja.

Apakah perasaannya sekiranya anak perempuannya yang diperlakukan sebegini oleh ibu mertuanya.  (* Menantu perempuan kita adalah anak perempuan orang lain ).

Ketakutan yang menghantui menantunya begitu ketara sehingga sewaktu prosiding mahkamah, dia tidak berani menatap wajah ibu mertuanya.  Bayangkan anda ditikam berkali-kali, disiram air panas, diketuk kepada dengan cerek sehingga pening. Anda kemudian terbau asap dan pengsan.  Bila sedar, muka dan badan anda terbakar selain luka dari tikaman pisau  yang bertubi-tubi.  Anda diberitahu anda koma selama 8 hari.  Namun anda berjuang untuk hidup demi anak-anak.  Kecacatan di muka anda akan mengingatkan perbuatannya kepada anda sepanjang hidup anda.

Kalaupun si ibu mertua dijatuhkan hukuman 20 tahun, kemungkinan dia menghabiskan tempoh hukumannya adalah tipis kerana usianya telah lanjut.

Namun anda yang masih muda terpaksa mengharungi kehidupan ini dengan tabah demi anak-anak.

 
Pesanan Buat Mertua ( khususnya ibu )

Bila anak kita sudah berkahwin, dia mempunyai kehidupan berkeluarga sendiri.  Jadi lepaskannya, sekiranya dia mengenang jasa kita pasti dia tidak akan mengabaikan kita. 

Saya dapati selalunya kalau anak lelaki, ada ibu yang menganggap itu anaknya dan menantunya telah mengambil tempat di hati anaknya kini.  Ibu begini akan menyalahi menantunya atas perbuatan anaknya yang tidak begitu menghiraunya atau melukakan hatinya.

Kalau anak lelaki anda berpangkat dan kaya, sepatutnya isu kewangan tidak menjadi masalah.  Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipannya untuk memberi anda duit saku.  Isterinya sudah ada bahagiannya.  Namun sekiranya anak anda bergaji sederhana dan isterinya turut bekerja untuk menampung kehidupannya, anda seharusnya lebih bertolenrasi.  Kadangkala si ibu berpendapat si isteri mengawal segala kewangan anaknya dan syak wasangka ini sekiranya dibiarkan ianya lama kelamaan akan melahirkan rasa kebencian.

Anak lelaki anda akan menjadi serba salah bila krisis antara mertua dan menantu berterusan.  Yalah **ditelan mati ibu, di luah mati isteri.  Rumahtangga anak bergolak kerana campurtangan mertua.  Adakah kita sebagai ibu tergamak melihat rumahtangga mereka berkecai disebabkan kita?

Ingatlah kalau kita mahu orang lain melayan anak perempuan kita dengan baik, kita seharusnya melayan anak perempuan orang lain sebaik mungkin.

Anak lelaki kita yang lahirkan dan mendidiknya. Sudah terbiasa dengan cara kita.  Menantu kita yang tak terbiasa dengan cara kita mungkin akan berkecil hati.  Jadi perlu menyesuaikan diri.

Saya menyarankan cara sebaik-baiknya untuk hubungan akrab pada zaman ini adalah tinggal berasingan sebaik sahaja anak anda berkahwin.  Bila mereka perlukan nasihat kita, mereka akan menghubungi atau berkunjung kita.  Kita punya privasi, begitu jua mereka.

Ingatlah menantu tidak sempurna begitu jua ibu mertua.


Pesanan Buat  Menantu ( khususnya perempuan )

Berterima kasihlah pada ibu mertua anda sekiranya suami anda seorang yang baik dan bertanggungjawab.  Sebab dengan didikan ibu mertua anda, dia menjadi lelaki pilihan anda.

Sedarilah sebelum mengahwini anda, suami anda mungkin menjadi anak kesayangan ibu mertua anda. Jadi kadangkala, kebergantungannya kepada suami anda begitu ketara.  Bukan sahaja bergantung harapan tetapi kewangan.  Sekiranya suami anda memberi wang kepada ibunya, jangan jadikannya isu sehingga bertegang urut.  Bincang dan carilah jalan.  Jangan jadikan suami anda serba salah.  Kalau tiada banyak, berilah sedikit.  Sejuk hatinya kelak.  Fahamilah dan dekati ibu mertua anda.

Jangan bandingkan ibu mertua anda dan ibu anda.  Anda hidup bersama ibu anda dari kecil hingga dewasa walhal anda baru melangkah ke alam perkahwinan dan baru hendak mengenali ibu mertua anda.  Hormatilah ibu mertua anda sebagaimana anda menghormati ibu anda. 
Jangan hanya melebihkan keluarga di pihak anda sahaja.  Kalau anda berbaik dan bermesra dengan keluarga dan saudara pihak suami anda, pastinya anda dapat memenangi hati ibu mertua anda.

Mungkin anda tidak suka dengar rungutannya, pekakkan telinga. Perbaiki diri.  Jangan buat apa yang dia tidak suka.   Ambil inisiatif untuk memikat hati ibu mertua.  Lama kelamaan pasti anda menjadi menantu kesayangan.

Apabila kebencian dibalas kebencian, api kemarahan akan semakin marak.  Maka terjadi kes-kes yang menyayatkan di mana ibu mertua membunuh menantu, menantu memukul, melayan ibu mertua seperti orang gaji dan sebagainya.

Ingatlah, orang tua amat sensitif, mudah terasa, jadi berhati-hati bila bercakap dengan mereka, takut terlepas cakap.

Cara ibu mertua mendidik cucu adalah berbeza kalau anda tidak bersetuju dengan cara mereka, cuba berbincang cara baik. 

Kalau anda tidak pandai memasak, bantu ibu mertua bila memasak.  Jangan tunggu masakan dihidangkan dan anda cuma makan seperti tetamu.  Bersopan dan jaga tingkah laku.  Golongan tua memang mengutamakan adab dan kesopanan.  Kalau tinggal bersama, bantulah seberapa yang boleh meskipun anda bekerja.

Suatu hari kita akan menjadi ibu mertua, pastinya kita ingin hubungan dengan menantu baik dan akrab.
 
 
 
*Teringat filem Monster In Law - lakunan Jeniffer Lopez & Jane Fonda -  Lucu namun berakhir dengan kegembiraan.
 
 
Alangkah baiknya kalau dunia ini dipenuhi kasih saying.  Tiada kejadian bakar menantu, bakar isteri kerana tidak mampu bayar dowry ( di India ) dan Negara lain akan berlaku.  Kejadian yang dilakukan oleh orang yang kita kenali dan sayangi.
 
Saya tidak bertuah untuk memiliki ibu mertua.  Sewaktu berkahwin dulu, ibu mertua sudah meninggal.  Tetapi saya mempunyai kakak-kakak ipar yang sebaya usia ibu saya.  Walaupun sewaktu melangkah ke alam perkahwinan, usia belum matang, namun saya bertuah kerana tiada masalah dengan ipar-ipar saya.  Malahan sekarang, meskipun mereka adalah bekas ipar saya, hubungan baik yang terjalin tetap berterusan.
 
 
 

Sunday, June 30, 2013

Atas Nama Pembangunan


Apabila bukit di tarah

Apabila pokok di tebang

Apabila setiap inci tanah diterokai

Apabila rumput dan tumbuhan liar digondol

Apabila bukit dikorek

Apabila hutan dibakar

Apabila lautan dicemari

Apabila sungai diracuni

Apabila hidupan liar dirampas tempat berlindung

Apabila bahan kimia semakin digunakan

Apabila manusia tidak pedulikan bumi anugerah Tuhan

Atas nama PEMBANGUNAN.

Salahkah bila BUMI menangis dan mengamuk !



Pengorekan Bukit Tidak Terkawal Mengakibatkan Tanah Runtuh

Pencemaran Laut Mengakibatkan hidupan laut mati

 

 


Kejadian tanah runtuh, jerebu, banjir kilat, peningkatan suhu haba global, keracunan makanan dan penyakit adalah berpunca dari sikap manusia sendiri.

Manusia begitu rakus tanpa mempedulikannya.

Ketamakan manusia sekarang untuk menperolehi keuntungan dan kekayaan tanpa memperdulikan generasi akan datang yang akan menanggung akibatnya yang lebih dahsyat.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh manusia atas nama pembangunan.

Salah siapa, anda punya jawapannya.
 
 
Di Pulau Pinang, dari jauh anda sudah dapat melihat bagaimana bukit digondol.

Orang yang Rabun juga dapat melihat samar-samar kalaupun tak jelas.

Yang hairan, Pihak Berkuasa Berkenaan butakan mata mereka !

Bila terjadi bencana, barulah menuding jari, mencari pihak mana yang harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan.

Beginikah budaya kerja? Beginikah pemikiran kita?