Di Malaysia, kita tidak perlu bimbang
tidak berduit dan kelaparan asalkan kita rajin berusaha. Sebab saya katakan begini kerana kita boleh
berniaga di mana-mana sahaja.
Misalnya di Pulau Pinang, peniaga kecil yang
menjual makanan tumbuh bak seperti cendawan selepas hujan. Tak perlu permit, asalkan ada tempat lapang
yang kecil, anda sudah boleh mula mencari wang.
Teringat kata arwah bapa mertua saya 27 tahun
dahulu. Katanya, apa susah-susah. Masak nasi
lemak, bentangkan meja di bawah pokok tepi jalan, tentu laris kalau sedap. Kata-kata itu masih terngiang-ngiang
di telinga setiap kali saya melihat orang menjual nasi lemak di tepi jalan.
Masalah menjual makanan tanpa permit di tepi jalan
ini rasanya sudah terlalu lama. Tiada
sesiapa yang berani mengambil tindakan.
Baik pihak pemerintah mahupun pembangkang. Tup-tup, tau-tau di tepi rumah banglo anda
yang tersergam indah, ada orang sedang berniaga makanan ataupun air.
Bayangkan ada gerai penjaja MPPP berdekatan yang
masih mempunyai banyak ruang berniaga yang kosong, namun ‘peniaga baru’ mula
menapak di suatu kawasan tepi jalan. Mula
dengan meletakkan meja untuk menjual makanan lauk pauk yang telah dimasak dari
rumah. Kemudian ditambah dengan
meletakkan payung untuk berteduh. Bila
tiada tindakan yang di ambil oleh pihak berkuasa, mereka mula menambah meja
kerusi untuk pelanggan makan di situ. Wujudnya gerai-gerai seperti ini juga menyebabkan kesesakan jalan. Pelanggan memberhentikan kereta sewenang-wenangnya untuk membeli makanan mereka. Kalau bungkus siap, mungkin cepat. Tetapi kalau yang hendak memilih lauk pauk, mana mungkin berhenti seminit dua. Selepas itu, tempat itu menjadi tempat berniaga mereka yang ‘sah’. Pihak Berkuasa menutup mata. Yalah bila tindakan diambil, mereka ini akan mencari parti politik yang akan berpihak pada mereka. Para politik pula, dek ingin mendapat undi dan sokongan, bersuara bagi pihak ini. Walhal jelas sekali ianya bertentangan dengan undang-undang yang ada. Tentunya tidak adil pada peniaga berdekatan yang terpaksa menyewa untuk berniaga dengan sah.
Ianya seperti penyakit yang berjangkit dan
menular. Bila ada orang yang terlepas
dan dapat mengaut keuntungan tanpa perlu membayar, ianya tentu akan
menjadi ikutan. Kalau anda mengambil
tindakan sekarang, sudah tentu mereka akan menuding jari dan bertanya
mengapa tiada tindakan yang diambil kepada peniaga haram di tempat lain. Selagi ada pelanggan selagi itulah perniagaan
itu akan berjalan. Ada yang siap digantikan
dengan tempat berniaga baru apabila Pihak Berkuasa ingin mengusir mereka kerana mendakwa tempat itu menjadi milik mereka yang 'sah'.
Ada gerai yang sememangnya memburukkan pemandangan
di kawasan mereka menapak. Pembinaan yang tidak sempurna sekadar mendirikan tempat berteduh. Ada yang
tanpa bekalan air paip untuk mencuci pinggan mangkuk yang sepatutnya. Ditepi jalan yang berhabuk.
Acapkali pemilik gerai dan pekerjanya adalah warganegara asing pulak tu!
Kalau anda tak percaya, ronda-ronda di Pulau
Pinang.
Baru-baru ini disebelah pejabat saya di kawasan
perumahan, ada seorang peniaga sedang rancak menjual nasi campur. Kawasan itu berhampiran dengan tempat saya
selalu letakkan kereta. Pada mulanya, dia
berniaga waktu tengahari sahaja. Jadi
setiap kali saya keluar makan tengahari, bila saya mengalihkan kereta, dia
menjeling saya seolah-olah saya pulak yang menghalang/meletak di tempat dia
meniaga. Padahal saya sudah meletak
kereta di kawasan situ sejak 25 tahun dahulu.
Dia mula letak meja untuk pelanggan makan dan mengoreng ikan di situ. Sejak seminggu yang lalu dia juga berniaga di waktu
petang pulak. Siap di pasang lampu. Bayangkan di tempat
terbuka tepi jalan. Air pili pun takda.
Di lokasi yang sama sebelah pagi, ada gerai menjual nasi
lemak. Wanita itu sudah lama berniaga
disitu tapi jam 9 pagi dia sudah bersiap sedia mengemas dan pulang. Jadi tiadalah kacau ganggu.
Apa dah jadi dengan penguatkuasa MPPP?? Camana nak adil pada semua pihak?? Inilah
uniknya Pulau Pinang ku !!!
No comments:
Post a Comment