Monday, April 30, 2012

Pekerjaan

"It does not matter what job you are doing but, it does matter that you are doing a job"
"If you need food on your table, always try to earn it"
‘Bekerja seolah hidup selamanya’.

Kata-kata diatas menunjukkan betapa pentingnya pekerjaan buat diri kita.  Sempena cuti Hari Pekerja ini, saya ingin menyentuh sedikit mengenainya.
Saya sering terdengar ketidakpuasan seseorang, yang asyik mengeluh dan mengaduh tentang syarikatnya.  Kononnya gaji sedikit, kerja banyak dan macam-macam lagi.  Kononnya ditempat lain dia akan mendapat gaji yang lebih tinggi.  Lantaran saya pula bertanya kepadanya, apa sumbangan anda pada syarikat anda?  Adakah anda benar-benar menjalankan tugas anda sebaiknya? Atau adakah anda selalu mencuri tulang?  Sudahkah anda nyatakan ketidakpuasan kepada pihak majikan anda?  Kalau ya dan keadaan masih tidak berubah, dan anda rasa anda lebih bernilai dan seronok dengan pekerjaan lain, tunggu apa lagi, letak jawatan dan mulakan kerja lain.  Yalah, apalagi kalau usia masih muda.  Kalau asyik merungut pun tidak menghasilkan apa-apa, naik meluat kita mendengarnya.
Sebenarnya dalam satu syarikat, semua pekerja memainkan peranan penting.  Dari budak pejabat ke kerani am, pengurus semuanya saling memerlukan.  Tanpa pekerja, syarikat tidak akan berfungsi.
Bagi anda yang berada di pejabat, yang asyik selinap masuk internet, melayari facebook, membaca email peribadi, melihat saham anda naik turun, yang asyik bergayut dengan telefon bimbit, yang asyik masuk bilik air dengan hp , itu sebahagian dari curi tulang.
Pada anda yang dulunya pernah bekerja, sekarang bekerja sendiri dan jadi boss – fahamilah pekerja anda.  Hasilkan suasana bekerja yang lebih selesa.  Berikan inisiatif dalam bentuk kenaikan gaji, melancong dalam negeri atau luar, agar mereka lebih gigih bekerja dan hasilnya produktiviti  menjulang. Ternyata,  pekerja yang dibebankan kerja yang terlalu banyak akan stress dan keseronokan kerja menurun.
Akhirkata, kalau anda golongan yang baru ingin memasuki alam pekerjaan, ceburi bidang pekerjaan yang anda benar-benar minati, pastinya anda akan gembira mengerjakannya.
Alternatifnya, zaman ini, anda boleh memilih untuk kerja dari rumah, bebas menentukan masa sendiri, pendapatan anda bergantung pada usaha anda.  Tepuk dada, tanya selera !

Kesempurnaan

Sempurna – Dalam Ketidaksempurna

Andai anda melihat cermin, apa yang anda lihat pada wajah anda?

Kiranya anda ingin melihat dan mencari ketidaksempurnaan pada wajah anda, saya percaya anda akan menemuinya.  Kiranya anda ingin senaraikan satu persatu, pastinya senarai yang panjang berjela-jela
Anda akan mula mengeluh mengapa :-
1)       Kulit muka tidak selicin model

2)     Kulit muka berjerawat

3)    Kulit muka tidak cerah

4)   Mata tidak bersinar

5)    Mata tidak besar

6)    Bawah mata gelap

7)    Hidung tidak mancung

8)    Mulut tidak cantik

Senarainya berterusan, itu baru bertumpu pada muka, belum ke bahagian tubuh lain.  Keyakinan diri akan terus tergugat.
Namun kiranya anda melihat ke cermin, menatap wajah anda dan menerima ketidaksempurna diri anda, anda akan berasa sempurna  dan bersyukur kerana anda punya mata untuk melihat dan segala pancaindera yang berfungsi dengan baik.  Anda bersyukur menjadi diri anda dan bukannya orang lain.

Sunday, April 29, 2012

Kes Penculikan Nayati

Berita mengenai kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12 tahun, yang diculik kira-kira pukul 7 pagi Jumaat ketika berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara menarik perhatian saya. 

Menurut berita terkini, sahabat handai dan keluarganya telah membuka facebook dengan harapan ianya mendapat informasi untuk membantu mencari Nayati yang masih hilang, http://www.facebook.com/PleaseHelpUsToFindNayatiMoodliar
Facebook ini juga mempunyai link ke @Nayati2012 Twitter account.
Poster dan risalah juga telah diagihkan untuk membantu pencarian Nayati.
PDRM juga telah menyiarkan amaran berjaga-jaga di Facebook mereka dan mengesa orangramai menghubungi stesen polis Travers di talian 03-22824222 atau ASP Erwansyah di talian 019-3849480.
Mereka yang mempunyai informasi mengenai Nayati boleh juga menghubungi talian 013-681 6085.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Walaupun tidak mengenalinya atau keluarganya, sebagai ibu saya dapat merasakan keresahan dan kepiluan hati kedua ibubapanya.  Benar saya dapat merasakan kesedihan ibu bapa yang kehilangan anak tunggal mereka.
Saya tidak dapat bayangkan kegelisahan dan ketakutan mereka sekarang.  Sehingga ini, belum ada berita mengenai Nayati.  Penantian itu sesuatu yang menyeksakan.
Saya berdoa semoga dilembutkan hati penculik-penculik itu, agar mengembalikan Nayati ke pangkuan ibu bapanya.  Kalau wang yang mereka inginkan, dan selepas wang diperolehi, lepaskan kanak-kanak yang tidak berdosa itu.  Kalau punya perasaan dendam terhadap ibubapanya, bukan salah kanak-kanak semuda itu.  Usah cedera atau apa-apakannya.
Tak tau kenapa hati ini sebak di kala menulis artikel ini.  Mungkin naluri keibuan saya.  Sama-sama kita berdoa dan membantu dalam usaha untuk menemui Nayati.
Jangan tidak mengambil endah berita ini kerana mana tau suatu hari ianya mungkin terjadi kepada keluarga anda atau orang yang anda kenali.
Alangkah baiknya sekiranya mereka yang menyertai perhimpunan dan polis-polis yang terlibat sama-sama berganding bahu dalam mencari dan mengesan kanak-kanak malang ini dari mengadakan demonstrasi yang tidak berfaedah.

** 03 May 2012
     Gembira mendengar khabar yang baik.  Nayati sudah dipulangkan ke pangkuan ibubapanya dengan selamat.  Walaupun trauma, saya berharap dia akan pulih semula dan menjalani hidupnya seperti sediakala.
Alhamdulillah doa mereka yang mengambil berat telah dimakbulkan.

Saya percaya penculik-penculik Nayati akan diberkas tidak lama lagi.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kronoloji penculikan Nayati :-

Isnin April 30, 2012 - 11,000 'Like' Laman Sosial Facebook Cari Nayati 


- Petikan dari akhbar http://mstar.com.my

Support pours in for Nayati - Petikan dari thestar.com.my
Selasa Mei 01, 2012 - Global outpouring of concern for Nayati http://thestar.com.my

03.05.2012 - Berita Baik Dan Gembira - Nayati dipulangkan ke pangkuan ibubapanya.
Petikan dari http://news.malaysia.msn.com & http://mstar.com.my

05.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my

09.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - Nayati kidnap mastermind fled overseas after boy was released

10.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my -Brains behind Nayati’s kidnap flees to Europe


17.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://mstar.com.my- Isteri Dalang Penculikan Nayati Buat Laporan Polis
                 Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - Parents of kidnapping suspect deny any knowledge 
18.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://mstar.com.my - Polis Yakin Dalang Penculikan Nayati Kembali Ke Malaysia

22.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - Four men charged with kidnapping Dutch boy Nayati

31.05.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - Cops monitoring movement of prime suspect in Nayati kidnapping case

01.06.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - We’ll arrest kidnap mastermind soon

28.09.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://thestar.com.my - Nayati kidnap case transferred to High Court

02.11.2012 - Berita mengenai penculik Nayati : http://mstar.com.my- Mahkamah Tetapkan 15 April Tarikh Bicara



 

Saturday, April 28, 2012

Demonstrasi Lagi

Setiap kali, terdengar ura-ura perhimpunan atau perarakan oleh pihak bukan kerajaan ( yang berbaur politik ), pasti orang tua saya akan menelefon saya mengingatkan saya membeli barangan untuk simpanan sekeluarga dan tidak melalui jalan atau menyertai pergerakan tersebut.  Begitulah kebimbangan generasi tua, kerana mereka pernah melalui zaman pengolakan dan melihat pelbagai kesusahan yang dilalui ketika itu.  ( Sejarah telah tercatat segalanya ).  Bagi generasi ini, mereka menghargai keamanan yang telah dicapai hasil dari generasi sebelumnya.  Mereka menghargai kehidupan yang lebih baik dibandingkan sebelumnya.

Bagi generasi saya dan seterusnya yang dilahirkan dalam kehidupan yang serba lengkap sekarang, pemikiran mereka agak berbeza.  Tidak melalui zaman penjajahan Jepun, peristiwa gelap Mei 1969, maka kita tidak ambil endah kewujudan keamanan dan kesenangan yang dikecapi.  Kewujudan masyarakat pelbagai bangsa hidup harmoni dalam satu Negara.

Saya berpendapat walau apapun tujuan sebarang perhimpunan, secara aman untuk menyatakan hasrat kepada kerajaan, akan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjadi dalang menaikkan semangat peserta-pesertanya untuk bertindak ganas dan melulu.  Apalagi bila ada penyertaan golongan politik dari pihak pembangkang.  Adanya golongan ini secara langsungnya akan mempolitikkan perhimpunan itu, dan seterusnya mencetuskan dan membakar ‘semangat’.  Selepas itu,  nah..  keberanian dan keganasan bermula.   Peristiwa ini sudah kita saksikan di dalam perhimpunan yang lalu.

Apa yang kita dapat ?  Akan ada yang tercedera, Alhamdulillah tidak ada yang terkorban setakat ini.  Akan ada kerosakan harta benda.  Apa kesudahannya?  Penganjur sendiri mengaku tidak dapat mengawal keadaan.  Hakikatnya mereka sudah tahu akibatnya, namun buat-buat tidak tau..  Demonstrasi begini yang hendak ditunjukkan kepada dunia luar.
'Jangan Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.'
Pening melihat kemelut politik sekarang !

Episod menyalah antara satu lain bermula.  Seperti biasa, kita akan dapat melihat drama dimana penyokong A menyalahkan penyokong B, siapa yang menjadi  punca bermulanya perhimpunan yang kononnya aman bertukar menjadi liar.  Sama-samalah kita menyaksikan drama menarik lakonan pelakon ‘veteran-veteran’ Malaysia.

Friday, April 27, 2012

Petua – Menghilangkan bau busuk ketiak

Bau busuk ketiak??  Tidak lagi ...

Kadangkala bila berada di dalam lif atau kumpulan yang ramai, kita akan terhidu bau ketiak yang kuat dan memeningkan kepala.  Setiap kali bila berada dalam situasi begitu, saya akan teringat satu petua yang diperturunkan oleh arwah bapa mertua saya dan amat berkesan.  Dahulu, setiap kali ada rakan-rakannya  yang berbau ketiak yang tidak menyenangkan, pastinya dia akan menghadiahkan ‘penawarnya’ kepada mereka.

Tawas atau nama kimianya ‘alluminium potassium sulphate’ boleh di dapati di kedai mamak.  Rupanya seperti batu kristal dan boleh didapati dalam pelbagai saiz. Di Pulau Pinang, anda boleh membelinya di kedai mamak tepi Pasar Chowrasta ( Jalan Penang )dengan harga RM 10 sekilo.  ( Anda cuma perlu bayar beberapa puluh sen untuk seketul tawas berukuran segenggam tangan) Sekiranya tawas yang anda beli, berupa batu yang agak tajam, asah sedikit agar permukaannya licin supaya tidak melukakan ketiak anda ketika menggunakannya. 
Caranya murah dan mudah sekali.   Rahsianya adalah penggunaan tawas setiap kali anda selesai mandi.  Gosokkan tawas pada ketiak anda yang basah setiap kali habis mandi.  Letakkan di satu sudut yang kering di bilik air anda.  Jangan rendam dalam air kerana ia akan larut.

Tawas juga boleh digunakan untuk menjernihkan air di kolah.

Saya pernah nampak tawas dijual dalam bentuk batang (seperti deodoran ) oleh suatu jenama produk dengan harga yang lebih mahal.
Tawas juga boleh didapati dalam bentuk kristal manik.


SELAMAT MENCUBA !
** Elakkan dari makanan yang terlalu banyak rempah.

Wednesday, April 25, 2012

Pertunangan

Upacara Pertunangan


Adat diisi, janji dilabuh.
Maksudnya Adat harus dijalankan, persetujuan harus ditepati.



Ahad Lalu 22 April 2012, saya bersama kakak ipar sekeluarga serta saudara terdekat yang lain,  wakil rombongan pihak lelaki berkunjung ke rumah pihak perempuan untuk upacara menyarungkan cincin pertunangan.

Seronok melihat kemeriahan pihak kami yang menyiapkan hiasan barangan hantaran untuk pihak perempuan.  Antaranya tepak sirih, kek, buah-buahan, coklat, manisan, kuih, tart yang digubah indah.  Tidak lupa sebentuk cincin hadiah pertunangan kepada pihak perempuan.  Makanan juga disediakan untuk santapan saudara mara yang datang membantu.

Setiba kami dirumah pihak perempuan, kami disambut meriah oleh mereka.  Terdapat pelamin kecil yang indah menghiasi ruang tamu.  Pihak perempuan membalas dengan barangan kuih, kek, coklat yang juga dihias indah.  Rombongan kedua-dua pihak bersetuju dengan wang hantaran sebanyak RM 11,121.00 (? Tepatkah jumlahnya-alahai tak berapa ingat pula )  dan mas kahwin sebanyak RM 1,212.12 beserta 2 bentuk cincin.  Wow unik angkanya.



Dipersetujui tarikh majlis perkahwinan sekitar pertengahan bulan Disember ini.  Mungkin ijab kalbu akan dipercepatkan dahulu seperti kehendak orang tua.

Selepas itu, diikuti upacara menyarungkan cincin oleh kakak ipar saya (bakal mak mertua), disusuli pula dengan upacara menyuap gula.  Tiba giliran saya, gementar jadinya.  Saudaranya yang lain, mengusik saya, kata mereka ‘ belum jadi mak mertua dah gelabah’.  Apalagi gelak ketawa semua orang jadinya.

Oleh kerana, hari itu juga merupakan harijadi tunang perempuannya, maka satu kek istimewa dihadiahkan oleh anak saudara saya kepada tunangnya.  Upacara memotong kek harijadi juga turut disambut serentak dengan majilis pertunangan.


Kepada Zyaid Iskandar dan Farah, untie ucapkan ‘Selamat Bertunang’. 
Semoga kebahagiaan menjadi milik kalian berdua yang sama cantik dan padan.
Alhamdulillah,  kita menanti hari bahagia anda berdua kelak.

Semakan untuk Gelaran Kehormat


Kuala Lumpur : Orang ramai dapat merujuk kepada laman web BAHAGIAN ISTIADAT di bawah Kementerian Jabatan Menteri untuk menyemak samada darjah kebesaran dan pangkat kehormat yang digunakan oleh seseorang individu itu sah dan di ikhtiraf oleh Kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong memberitahu Dewan Senate hari Rabu bahawa laman web itu mempunyai senarai lengkap dan menyeluruh penerima-penerima Darjah Kebesaran , Bintang dan Pingat, samada dikurniakan oleh Yang Di Pertuan Agong atau dari punca yang diiktiraf.

Liew berkata menurut polisi dan peraturan semasa, hanya darjah kebesaran kurniaan oleh Yang DiPertuan Agong, Sultan, Pemerintah dan Yang DiPertua Negeri adalah diiktiraf oleh Kerajaan.

Bagi darjah kebesaran dari negera luar, hanya mereka yang dikurniakan oleh kepala negeri atau kerajaan dari Negara berpemerintah adalah diiktirafkan.

Ragu-ragu tentang pangkat gelaran kehormat seseorang? Untuk kepastian, semak dalam talian.. http://www.istiadat.gov.my


Teringat lawak teman dahulu, katanya cuba anda masuk ke dalam Kopitiam dan memanggil sekumpulan  orang yang berada di dalamnya dengan panggilan ‘Datuk’,  tentu ramai yang berpaling kepada anda.  Saya termangu-mangu tidak faham apa yang diperkatakan oleh teman saya itu.  Yang lain gelak ketawa.

Kemudian barulah dia menerangkan kepada saya.  Maksudnya, terlalu banyak pangkat ‘Datuk’ yang diberikan sehingga ada yang langsung tidak layak memakai gelaran itu.  Takda gaya Datuk langsung.  Ada seseorang yang saya kenali bergelar Datuk, namun alahai perangai macam samseng jalanan.  Dari mana pangkat ‘Datuk’ tu agaknya?

Kata teman saya, dia lebih selesa mendapat pangkat ‘Datuk’ tulen dengan kehadiran cucu pertama dan diikuti cucu kedua. 

Ada yang berkata, ‘Ada Apa Pada Nama Dan Pangkat’?  Namun hakikatnya, zaman ini, gelaran pangkat dan nama dapat mengubah persepsi orang ramai terhadap pemiliknya.
Terlalu ramai yang menggunakan pangkat dan nama untuk menipu dan mengaburi mangsa-mangsa mereka.  Jadi berwaspadalah sebelum anda menjadi mangsa seterusnya.

Saturday, April 21, 2012

Jantina - Lelaki Atau Perempuan? Pelik Tapi Benar

'Lelaki Mengandung’

Cerita dari luar negara ini menarik perhatian saya !

Al kisah, ‘Encik’ Thomas Beatie dilahirkan sebagai wanita, bernama Tracy Lagondino di Hawaii pada tahun 1974, namun katanya dia selalu berkeinginan menjadi lelaki.
Semasa berusia 20an, dia mulai mengambil injeksi testosterone dan hormon lelaki yang menjadikan fizikalnya kelelakian.
Pada tahun 2002, dia menjalani mastektomi dan secara sah menjadi lelaki namun dia memilih untuk menyimpan vagina, rahim dan organ perempuannya agar dia bersama pasangannya dapat mempunyai anak. Ini adalah kerana isterinya Nancy telah menjalani histerektomi ( Pembuangan rahim atau dinding abdomen secara pembedahan) kerana masalah endometriosis. Nancy lebih tua 11 tahun dari Thomas dan mempunyai 2 anak remaja hasil perkahwinannya terdahulu. Pasangan ini berkahwin pada tahun 2003.

Pada tahun 2007, ‘Encik’ Thomas mengandung anak pertama Susan melalui sperma yang diderma, diikuti 2 anak kemudian.
Ianya menjadi berita hangat dan mendapat liputan meluas pada masa itu. ‘Encik’Thomas didakwa membuat duit hasil dari ‘episod mengandungnya’ Namun pasangan ini juga terpaksa melalui kritikan dan ugutan dari masyarakat yang tidak dapat menerima keluarga yang tidak normal ini.

Beliau juga menghadapi masalah untuk pengesahan anaknya, iaitu dia sebagai bapa dan isterinya sebagai ibu. Terpaksa melalui pelbagai cabaran dan banyak wang dikeluarkan untuk melantik peguam mengendalikannya.

‘Akhirnya terpaksa mendaftar anak-anaknya sebagai anak angkat meskipun secara biological ianya adalah dari telur saya, ini tidak adil dan saya terpaksa menanggung kos yuran peguam yang tinggi, katanya

Terbaru, telah dikhabarkan pasangan ini telah berpisah.

Bacaan selanjutnya : Dailymail


Keliru, keliru, keliru.. Macam-macam dunia ini.
Saya berpendapat kena tambah satu kategori jantina untuk golongan ini
Baca tulisan saya terdahulu mengenai topik ini

Friday, April 20, 2012

Antara 2 Darjat

Kaya Atau Miskin?


Kalau anda melalui kawasan perumahan di Jalan Western dan lain-lain kawasan perumahan mewah Pulau Pinang, pasti anda akan teruja dan tertarik dengan deretan rumah agam yang tersergam indah.

Akan kelihatan beberapa buah kereta mewah menghiasi perkarangan rumah –rumah tersebut.

Namun sekiranya anda benar-benar perhati, anda akan mendapati penghuni di dalamnya hanyalah beberapa orang sahaja. 

Seperti kata teman saya, selalunya rumah banglo ini, yang tinggal hanyalah sepasang suami isteri tua.  Bertemankan binatang kesayangan (anjing/kucing) dan pembantu-pembantu rumah asing.  Mana tidaknya, anak-anak dihantar ke luar negeri untuk belajar.  Bila habis belajar, kebanyakan mereka jarang kembali ke tanah air.   Terus bekerja dan menetap diluar Negara.  Memang wajar kata anak-anak mereka, kerana pendapatan mereka adalah jauh lebih tinggi dibandingkan jika kembali bekerja di sini.

Kita beralih pula, ke kawasan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah.  Rumah pangsa kos rendah contohnya di Rumah Pangsa Padang Tembak, malahan banyak lagi perumahan kos rendah disekitar Pulau Pinang ini.  Perbezaannya teramat ketara, di mana rumah kecil ada yang bilik cuma satu atau dua.  Anak-anak pula berderet-deret, tinggal dirumah yang sempit.  Ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Anak-anak belajar dalam negeri, bila dewasa bekerja setempat, menumpang dengan ibu bapa mereka.

Saya selalu memerhati dan berfikir, kiranya wang ringgit menjadi perbandingan tentunya orang kaya menjuarainya.  Tetapi sekiranya kasih sayang menjadi ukuran,  orang miskin berdiri megah. Miskin harta tapi kaya anak..

Mana pilihan anda, kaya namun kesepian atau miskin tapi sentiasa didampingi anak-anak?

Apakah kebahagiaan kita, wang menjadi kayu pengukurnya?

Ada manusia yang memuja kuasa wang, dan merasakan wang segala-galanya.  Orang-orang begini dengan mudah diperdaya oleh kuasa wang.  Menjadi hamba wang.  Rasuah, penipuan yang berleluasa akibat tamak haloba dan inginkan kekayaan dengan jalan mudah.

Kata teman lagi, andaikata kita tidak dilahirkan dalam keluarga susah yang serba kekurangan, sudah tentu kita akan berhujah bahawa wang bukan segalanya.  Tapi andai anda seorang darinya, anda akan berkata wang itu senjata yang hebat.  Anda akan ingin Berjaya dan keluar dari kesengsaraan yang melingkari hidup anda sebelumnya.

Masih terus memerhati dan berfikir......
Saya inginkan kesederhanaan, di antara kaya dan miskin
di tengah-tengah !
                                              

Pinjaman PTPTN

Haram Tidak Bayar PTPTN - Mufti



BENTONG: Hukumnya haram jika tidak membayar pinjaman termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata mengikut Islam, hukum bagi orang yang meminjam sama ada sesama sendiri, bank atau mana-mana institusi adalah wajib membayarnya.

"Haram hukumnya mengikut Islam dan telah berlaku kezaliman jika gagal membayar balik wang pinjaman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Falak Syarie di Janda Baik dekat sini, Jumaat.

Katanya peminjam wajib membayar balik pinjaman sepertimana terkandung dalam kontrak perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani dan dipersetujui kedua-dua belah pihak. BERNAMA

Petikan dari mstar online

Sejak kebelakangan ini, isu pinjaman PTPTN menjadi isu hangat.  Apalagi ianya menjadi modal ahli politik untuk memenangi hati para pengundi.  Siapa yang taknak kalau pinjam takpayah bayar.
Namun saya berpendapat segala pinjaman dalam bentuk apa jua, hutang perlu dibayar dan dilangsaikan..
Pinjaman  PTPTN untuk pembiayaan pembelajaran ke institute pengajian tinggi perlulah dilangsaikan apalagi kalau seseorang itu sudah mulai bekerja.  Bayangkanlah kalau pinjaman ini tidak dibayar,  pelajar-pelajar dimasa hadapan akan menghadapi kesukaran untuk membuat pinjaman sekiranya pihak kerajaan mengambil tindakan untuk memberhentikan sekim pinjaman ini.  Kesian pelajar –pelajar generasi akan datang kerana terpaksa menanggung akibat dari generasi sebelumnya yang enggan bertanggungjawab untuk membayar pinjaman PTPTN.  Peminjam yang berjaya dalam kerjaya namun mengambil sikap lepas tangan ini sememangnya tidak dapat diterima langsung.

Malahan anak saya berkata, kalau pinjaman PTPTN tidak perlu dibayar balik,  pelajar akan bersikap relaks dan tidak serius dalam pelajaran mereka, yelah kalau gagal pun bukan perlu bayar balik pinjaman.

Kalaulah pinjaman ini dikecualikan dari pembayaran balik seperti yang dicanangkan oleh setengah pihak, bererti mereka yang telah membayar balik terdahulu terasa bodoh.  Apa tidaknya, warga yang bertanggungjawab selalu terasa rugi.

** Meluat tengok si penghutang belanja lebih-lebih depan kita, walhal hutang kat kita taknak bayar. Masa nak pinjam bukan main manis, janji nak bayar.  Bila dah dapat, janji tinggal janji.  Kenalah kita yang tebalkan muka nak tuntut hutang kita. 

Tuesday, April 17, 2012

Hadatuko Manten Hada Marine Collagen Drink (10,000mg) – Review

Hadatuko Manten Hada Marine Collagen Drink (10,000mg)
'Make your skin flawless by inner support'


Hadatuko dalam bahasa Jepun bermakna ‘kulit bayi baru lahir’.  Syarikat Pakar kecantikan yang berasal dari Jepun ini telah bertahun-tahun terlibat di dalam pelbagai kajian produk kecantikan wanita semata-mata untuk menjadikan kulit wanita anjal, putih dan lembut.

Produk utamanya merupakan minuman kolagen marin 10,000mg

‘Manten Hada’ dalam bahasa Jepun melambangkan ‘100 titik kulit yang tiada cacat cela’ memenuhi konsep kecantikannya

Berbanding dengan minuman kecantikan lain di pasaran, kandungan kolagennya adalah paling tinggi konsentrasinya, mencapai 10,000mg.  Terdiri dari ramuan kecantikan yang bagus termasuk Vitamin C, Vitamin C, Elastin, Hyaluronic Acid, Coenzyme Q10, Ceramide etc, penyelesaian kepada masalah kulit yang berbeda.

Keluaran Jepun dan didatangkan dalam botol kaca 50ml, sekotak mengandungi 10 botol, dijual di kedai kecantikan SASA pada harga RM 145.00

Dos yang tercatat di kotak adalah pengambilannya sebotol sehari.  Namun saya berpendapat oleh kerana konsentrasinya yang tinggi, saya boleh mengambilnya selang dua/tiga hari sebotol.

Anda juga beli ditalian melalui website : SASA.com

Untuk bacaan/semakan selanjutnya :- Hada Marine Collagen Drink

APA ITU KOLAGEN?        Merupakan sejenis protein yang bermolekul makro.
Kolagen sangat penting untuk memelihara keremajaan dan keanjalan kulit.
Kolagen terdapat dalam kulit, tulang dan gigi .
Isoflavone merupakan bahan utama dalam ekstrak protein soya, struktur molekulnya hampir sama kepada estradiol, iaitu sejenis estrogen yang dirembeskan oleh tubuh manusia. Ia merupakan sejenis phytoestrogen (estrogen tumbuhan) yang memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan tubuh wanita.
 FUNGSI-FUNGSI KOLAGEN
 
Mengekalkan kelembapan dan mencegah kedutan
Memulihkan masalah kulit
Mencantikkan dan menyuburkan rambut
Menegangkan payudara
Melangsingkan badan ketika tidur
Menguatkan tulang
Mencerahkan kulit dan mengurangkan pigmen
Melambatkan proses penuaan kulit

Dikala usia semakin meningkat, setiap dari kita khususnya wanita akan mengalami gejala ketuaan yang semakin ketara, disebabkan kolagen dalam kulit semakin berkurangan, mengakibatkan kulit kering, kusam dan berkedut.
Justeru itu pengambilan kolagen adalah perlu untuk membantu melambatkan proses penuaan disamping fungsinya yang lain untuk kebaikan kesihatan kita.

Minuman kolagen Hadatuko Manten Hada Marine mempunyai sedikit bau kerana ianya dari kolagen ikan.  Namun baunya tidaklah terlalu kuat dan tidak sukar diminum.

Saya membeli ketika promosi dengan harga yang lebih murah- kalau tidak salah saya 3 kotak sekali gus. (30 botol) Oleh kerana kandungan kepekatan dan konsentrasinya tinggi (10,000mg ) saya tidak perlu mengambilnya setiap hari dibandingkan dengan minum kolagen jenama lain.

Setelah sebulan pengambilan, saya perasan kuku saya lebih kuat dibandingkan sebelumnya mudah patah. Kulit saya pula tidak sebegitu kering dibandingkan sebelumnya.

Saya akan terus menggunakannya.  Perkembangannya akan saya khabarkan pada anda kelak.

* Kita tidak dapat menyekat proses penuaan namun kita dapat melambatkan prosesnya.  Setakat minum saya ok je.  Tapi kalau botox atau pembedahan, soriii.. bukan saya orangnya..

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

**Sengaja saya tidak mengambil minuman kolagen ini selama 2 bulan ( Julai & Ogos ) kerana saya hendak melihat perbezaan.  Ternyata tanpanya, kulit saya kelihatan amat kering.  Jadi kini saya mengambilnya semula.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

** Terbaru :- 03hb - 28 September 2012

Sasa menawarkan :-

2 kotak Marine Collagen Drink 10000 mg (50ml x 10) = 20 botol = ( Harga Biasa : RM 145.00 x 2  = RM 290 )

& 1 kotak Hyaluronic Acid Hydration Supplement ( 30 tiub ) ( Harga Biasa : RM 169 )

Hanya dengan harga RM 384.90 ( Harga Biasa : RM 459 )

*** Nantikan review saya kelak mengenai produk Hyaluronic Acid Hydration Supplement ( Akan Datang )










Sunday, April 15, 2012

Bakat & Impian




Untung remaja era ini.  Bakat yang terpendam dapat diketengahkan.  Dunia ini terasa kecil dan dekat dengan wujudnya teknoloji internet.  Ramai penyanyi muda ditemui bakat mereka melalui You Tube dan sekarang merupakan penyanyi popular yang berjaya.

Bayangkan kalau dahulu, pencari bakat perlu keliling seluruh negara & dunia untuk mencari bakat-bakat baru.  Namun sekarang lain caranya. 

Di Malaysia, juga tidak ketinggalan.  Terlalu banyak rancangan realiti yang diwujudkan berdasarkan pencarian bakat.  Mungkin kebanyakan format rancangan realiti ini adalah dari luar egara, namun tujuannya adalah sama iaitu untuk mengetengahkan dan mengasah bakat-bakat rakyat negara ini.

Kalau anda punya bakat memasak, menyanyi, menari dan lain-lain, sertailah pertandingan agar bakat anda dapat diperkembangkan.  Anda bukan sahaja mendapat pengalaman dan ilmu, malahan hadiah yang ditawarkan adalah lumayan.

Kalau anda punya kecantikan, anda boleh menyertai pertandingan pencarian model atau ratu cantik peringkat negeri  atau Negara.

Saya selalu kagum melihat mereka yang berbakat, mencapai cita-cita, mengapai impian mereka. Dan seterusnya menjadikan kebolehan mereka, kerjaya mereka.
Saya percaya setiap dari kita mempunyai bakat dalam bidang masing-masing.  Kadangkala seseorang itu tidak menyedarinya dan tidak menggunakan bakat anugerah Tuhan ke jalan kebaikan.  Mungkin ada yang tidak berani meneroka bakat yang ada.

Jangan mudah mengalah kalau anda gagal kali pertama.  Teruskan sehingga anda Berjaya. 
Jadikan impian anda suatu kenyataan.

Sentiasa menyokong impian dan bakat anak-anak  !!