Monday, April 30, 2007

Pelaburan Sekim Cepat Kaya


Basmi skim cepat kaya -- PM mahu rakyat tampil bantu dakwa pengelola pelaburan

Oleh NAZRULLAH ROSLI dan ARSHAD KHAN



KUANTAN 29 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta rakyat tampil membantu kerajaan membasmi skim cepat kaya di negara ini termasuk yang beroperasi melalui Internet.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak berkompromi dalam isu itu dan tetap akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengelola-pengelola skim cepat kaya.

Menurut beliau, usaha membanteras skim cepat kaya hanya dapat dilakukan dengan efektif sekiranya rakyat membantu kerajaan.

Abdullah berkata, beliau kesal dan terkilan dengan sikap segelintir anggota masyarakat yang masih terpedaya dengan pelbagai bentuk instrumen kewangan yang kononnya berupaya menjana pulangan besar dalam masa yang singkat seperti pelaburan melalui Internet.

“Saya berharap saudara saudari tidak langsung memberi sokongan kepada bentuk pelaburan yang tidak diiktiraf seperti itu agar ia tidak berleluasa dan merugikan rakyat,” kata Perdana Menteri ketika berucap menutup program Majlis Saham Amanah Malaysia 2007 di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 (MPK2) di sini hari ini.

 Abdullah berkata, bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengelolakan skim cepat kaya, kerajaan mengharapkan sokongan rakyat.

Menurutnya, tidak ada satu bentuk pelaburan yang mampu memberikan jaminan pulangan lumayan kepada pelabur dalam jangka masa pendek.

“Pelaburan memerlukan jangka masa panjang untuk membuahkan hasil lumayan. Oleh yang demikian, pelabur perlu mempunyai kesabaran dan jangan diperdayakan oleh skim pelaburan jangka pendek yang tidak diketahui asal usulnya,” kata beliau.

Pelaburan dalam saham amanah seperti yang diperkenalkan oleh PNB, kata Perdana Menteri, adalah jauh lebih menguntungkan kerana ia mampu memberikan pulangan yang kompetitif setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau menyarankan rakyat agar membuat pelaburan dalam satu atau dua dana amanah yang sesuai dengan profil risiko masing-masing seperti yang diuruskan oleh PNB.

Dalam ucapannya, Abdullah turut memuji kejayaan PNB yang didorong oleh sokongan rakyat serta profesionalisme pengurusan PNB yang menerajui PNB dan anak-anak syarikatnya dengan amanah, telus dan jujur.

Beliau mencadangkan PNB mengambil langkah seterusnya dengan memasuki pasaran kewangan antarabangsa seperti yang dilakukan oleh kebanyakan institusi pelaburan ulung dunia.

“Dengan arus globalisasi dan liberalisasi yang semakin dirasai, penglibatan lebih banyak institusi pelaburan domestik di pasaran antarabangsa merupakan tindakan yang wajar dalam konteks ini.

“Jika kita telah berjaya menempa nama dan membina jenama di negara sendiri, saya berpendapat penjenamaan di peringkat global bukanlah satu cabaran yang di luar kemampuan syarikat-syarikat kita,” katanya.

Beliau juga melontarkan cabaran agar warga PNB berusaha menyaingi prestasi yang telah ditunjukkan oleh syarikat-syarikat pengurusan pelaburan antarabangsa seperti Capital, Fidelity dan Vanguard yang mampu memberikan pulangan berpuluh-puluh kali ganda ke atas pelaburan pelabur-pelabur mereka.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.



Komen saya :-


Tanda-tanda sekim cepat kaya yang nyata - pembohongan semata-mata - yang cepat terpikat pastinya yang perlu wang pulangan cepat. Dengan wujudnya kemudahan internet, pelaburan ini semakin berleluasa kerana ianya sukar dikawal oleh pihak berkuasa.



(i) Pulangan keuntungan wang yang begitu ketara dalam masa yang singkat. Kiranya anda pintar mengira, keuntungan melipatganda yang diperolehi dalam waktu yang sebegitu tentu tidak masuk akal. Tapi dek kerana perasaan tamak manusia.. itu normal.. kita menolak petanda yang jelas.



(ii) Komisen yang menarik bila memperkenalkan pelabur baru.



(iii) Kita tak pasti apa produk atau syarikat yang dilaburkan, kalau ada pun samar2 saja.



(iv) Kita tak pasti siapa yang mendalangi sesuatu syarikat tersebut.



(v) Kalau ada seminar yang dianjurkan, yang ditonjolkan adalah para direktor syarikat yang kaya raya, pekerja yang berpakaian mahal dan pejabat yang terletak di bangunan mahal. Pastinya anda akan bisa tertarik. Itu normal..



(vi) Peraturan pelaburan akan sentiasa berubah. Mulanya dijanjikan pulangan peratusan yang tinggi, selepas itu kiranya tidak dikeluarkan pelaburan asal ianya akan berganda. Tarikan yang tidak bisa ditolak. Apabila tiba waktu pengeluaran wang yang dilaburkan pelbagai alasan yang diberikan. Mulanya ok kemudian perlahan2 KO..



So kalau pelaburan anda ada unsur2 yang saya sebutkan.. faham2 sendiri.. lekas2 keluarkan sebelum terlambat.. Selalunya orang yang terawal dengan jumlah pelaburan sedikit akan mendapat keuntungannya.. Orang yang terkemudian yang melabur jumlah yang besar , tak sempat.. kecundang akhirnya.



Saya faham kerana saya pernah melalui situasi sedemikian.. Akan saya ceritakan kelak.

No comments: