Friday, September 6, 2013

Kereta Dilanggar - Apa perlu Anda Buat !! ( Bahagian 2 )

Sambungan dari Bahagian 1

** Catatan :  Ini kes Tuntutan ke atas kenderaan komersial.

12 Ogos 2013 - Saya tiba di balai polis hampir 7 malam.  Tanpa membuang masa, saya terus masuk, memberitahu saya ingin membuat lapuran.  Saya disuruh mengambil nombor.  Lepas itu saya duduk di sofa menunggu giliran.  Di depan saya ada 3 anggota polis yang mengambil aduan.  Sebenarnya 2 yang buat. Seorang duduk entah tulis apa.  Saya terdengar perbualan antara anggota polis dengan pengadu yang terdiri dari anak lelaki dan ibunya.  Kononnya anaknya keluar dari bank dan dengan tidak semena-mena menyerahkan wangnya kepada seorang perempuan.  Polis itu lantas menelefon perempuan itu lalu menyuruhnya memulangkan wang itu dan sekiranya perempuan itu tidak berbuat demikian, repot akan dibuat keatasnya.  Agak mengelirukan kerana kenyataan pemuda itu seperti tidak logik. Pemuda ini nampak gaya kurang cerdik sikit, itu yang boleh ditipu. Namun, polis itu dengan sabar melayannya. 

Seorang  polis wanita lagi melayan aduan seorang lelaki.  Bila tiba giliran seorang wanita yang mendukung anaknya bersama suaminya, dia meminta supaya anggota polis wanita itu membenarkannya menaip sendiri repot yang ingin dibuatnya.  Duduk dihadapan komputer lalu menaip.  Di dalam hati kecil saya berkata, “ selepas ini, saya pun hendak taip sendiri”.  Sebaik sahaja wanita itu habis buat repot, cepat-cepat saya mendekati polis wanita itu dan menyatakan hasrat saya.  Sebaik sahaja saya memberitahunya saya ke situ untuk membuat repot kemalangan kereta, saya diberitahu bahawa di situ bukan tempatnya.  Rupa-rupanya situ adalah bahagian repot jenayah.  Alahai selepas 45 minit menunggu.  Ada juga orang yang datang kemudian saya juga tersilap dan menyedarinya selepas terdengar perbualan polis wanita itu.

Lantas kami pun bergegas ke bilik satu lagi.  Mengambil nombor dan sementara menunggu, saya diberi kertas untuk menulis repot saya.  Beberapa contoh lapuran kemalangan dilekatkan di dinding bagi kemudahan orang-orang yang ingin menulis repot sendiri dan diserahkan kepada anggota polis yang berada di situ.  Mungkin cara begini lebih cepat memandangkan kebanyakan orang sekarang sudah kenal huruf.

Habis sahaja lapuran saya diambil dan ditaip, sesalinan diberikan kepada saya.  Gambar kereta saya telah diambil oleh anggota polis.  Saya diminta masuk berjumpa dengan pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya.  Katanya dalam sesuatu kemalangan, kita diberi 24 jam untuk membuat lapuran melainkan kes orang terlibat berada di hospital.  Dibolehkan dia membuat lapuran selepas keluar hospital.

Pengawai polis itu meminta saya menceritakan detail kemalangan yang terlibat.  Oleh kerana saya mempunyai butir-butir pemandu yang melanggar kereta saya, saya pun kemukakan padanya.

Dia menyuruh saya mengambil salinan repot polis dan keputusan siasatan kemudian.
Saya diberi salinan surat akuan penerima repot yang mempunyai maklumat kemalangan termasuk nama, ID dan nombor telefon bimbit pengawai penyiasat.

Dalam pada itu, saya menelefon agen workshop yang saya pilih agar mengambil kereta saya keesokannya.  Dan menyatakan hasrat saya yang mahukan mereka menuntut insuran pihak yang melanggar saya bagi pihak saya tanpa perlu saya mengeluarkan wang.  Dia memberitahu akan mencuba untuk berbuat demikian.

Malam keesokannya 13 Ogos 2013, saya menelefon pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya dan bertanya samada pemandu lori ada membuat repot polis.  Katanya ada.

Selepas saya menelefon workshop dan bertanya samada mereka mempunyai salinan lapuran polis saya dan pihak satu lagi.  Saya dimaklumkan mereka sudah ada kedua-dua repot.  Tapi keputusan siasatan belum lagi.  Keputusan ini adalah penting untuk menentukan samada dapat menuntut dari insuran lori tersebut.  Kalau keputusan memihak pada saya, pihak satu lagi akan didenda RM300.00  Saya berpendapat keputusan siasatan bukanlah susah dikeluarkan memandangkan lapuran pihak satu lagi adalah konsisten dengan lapuran saya. 

Bila saya telefon pengawai itu, katanya surat keputusan sudah dikeluarkan.  Namun 2 kali anak saya ke kaunter, tetapi dimaklumkan surat tersebut belum ada.  Ishh bila saya call pengawai, dia kata sudah keluarkan.  Lalu saya mengambil cuti pada 23 Ogos 2013 dan pergi ke balai untuk mendapatkan surat tersebut.  Alhamdulillah tidak sia-sia cuti saya kerana saya berjaya mendapatkannya (tarikh surat 15 Ogos 2013) dan terus menyerahkan kepada pihak workshop.  Pihak workshop ada memberi saya beberapa surat untuk ditandatangani.  Antaranya, seingat saya adalah surat tuntutan insuran kepada pihak satu lagi, dan surat penerimaan bahawa kereta yang melebihi 5 tahun, alatgantinya adalah dari yang terpakai ataupun produk dari Taiwan.  Bukan yang asli.

Anak saya ingin menggunakan keretanya untuk pergi ke KL.  Tanpa kenderaan, rasanya umpama patah kaki.  Saya meminta pihak workshop untuk cuba sedaya upaya menyiapkan kereta saya . Pada 05 September 2013, kereta saya dikeluarkan dari workshop. Saya tidaklah merungut ke atas pembaikian atau hasil kerja workshop ini.   Pagi tadi saya menggunakannya ke pejabat.  Namun saya rasa ada sedikit masalah di bahagian pintu tutup bonet belakang kereta.  Mungkin disebabkan impak kuat pada belakang pintu itu, tempat tutupnya turut terjejas.  Sebab setiap kali buka bonet belakang, saya terpaksa tutupnya berkali-kali, kalau tidak kereta akan berbunyi.  Esok saya akan bertanyakan kepada pihak workshop.  Sekurang-kurangnya layanan workshop ini adalah lebih baik dibandingkan workshop di mana kereta anak saya dibaiki dahulu.

 
 

Saya tidaklah keterlaluan meminta ini dan itu.  Ini adalah kerana saya sedar, sekiranya si pemandu lori tidak bertanggungjawab terus melarikan diri, saya terpaksa menanggung kos membaiki kereta saya.

Dalam saya melihat pembohongan dan kejahatan yang berleluasa di dalam realiti kehidupan ini, saya juga dipaparkan dengan kejujuran dan kebaikan. ( Si pemandu lori ini adalah contoh terbaik )

____________________________________________________________________________

Saya rasa mungkin anda juga ada pengalaman menghadapi situasi dimana bila anda menghadapi kemalangan, fikiran jadi buntu.  Pelbagai persoalan timbul, apa perlu dibuat,  siapa yang perlu dicari dan sebagainya. Kekadang dalam keadaan kita terdesak, banyak pihak hadir untuk mengambil kesempatan !

Mungkin anda boleh berkongsi pengalaman di bawah catatan komen blog ini.  Mana tau ianya dapat membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah berdepan dengan tuntutan insuran atau pihak yang mengambil kesempatan.  Di harap melalui pembacaan blog ini dapat sedikit sebanyak memberi menafaat.
 

** Taukah anda bahawa kes tuntutan kemalangan masih boleh dibuat kepada pihak satu lagi asalkan tidak melebihi 7 tahun.  Jadi jangan terkejut bila kes kemalangan yang anda fikir sudah ‘settle’ maksudnya mungkin anda sudah membayar pihak satu lagi dan tidak buat repot, tetiba suatu hari anda menerima surat dari peguam yang menuntut gantirugi dari insuran anda !




 

 

 

No comments: