Tuesday, December 31, 2013

Tahun 2014 - Tahun Kuda





Jumaat 31 Januari 2014 bermulanya tahun baru Cina dan menandakan permulaan Tahun Kuda di dalam zodiak Cina yang akan berakhir pada 18 Februari 2015.  Kuda yang merupakan tanda ke 7 di dalam astrologi Cina adalah simbol kemuliaan, kemasyhuran dan keazaman.

Pusingan zodiak Cina berakhir 12 tahun.  Setiap tahun di wakili oleh seekor binatang yang berkait dengan 5 tanda elemen ( Kayu, Bumi, Api, Air dan Logam )

Zi (tikus); Chou (lembu); Yin (harimau); Mao (arnab); Chen (naga); Si (ular); Wu (kuda); Wei (biri-biri); Shen (monyet); You (ayam jantan); Xu (anjing); and Hai (babi).

Zodiak Cina
 
Menurut kalender zodiak Cina, 2014 adalah Tahun Kuda Kayu atau Kuda Hijau dan dikatakan mereka yang lahir di bawah symbol ini, tahun ini merupakan tahun yang baik, nasib yag baik dan banyak peluang menanti.

Seperti yang diketahui, kuda tidak suka dikawal.  Mereka yang di bawah simbol Kuda Kayu adalah lebih cenderung kepada kelakuan kurang sabar dan sukakan kebebasan.  Juga mereka adalah golongan yang bekerja keras, bijak, glamour dan berbakat.

Celebriti yang lahir di dalam Tahun Kuda Kayu adalah :-

Genghis Khan, Newton, Rembrandt, Chopin, Davy Crockett, Ella Fitzgerald, Aretha Franklin, Teddy Roosevelt, Barbara Streisand, Cindy Crawford, Harrison Ford, Jason Biggs, Jackie Chan, John Travolta, Leonard Bernstein, Paul McCartney, Ashton Kutcher, Emma Watson, Josh Hartnett, Katie Holmes, Kristen Stewart, and Kobe Bryant.

Seperti yang anda dapat lihat, seni dan sukan adalah bagus untuk mereka dan seringkali berkarier berprofil tinggi dan dikelilingi glamour.  Tahun ini, mereka akan mendapat projek artistik yang hebat dan berkemungkinan pengembaraan yang menggembirakan.  Teman-teman baru akan membuka banyak peluang dan mood mereka adalah lebih optimistik.

Walau bagaimanapun, apabila mengendalikan hal kewangan, mereka sepatutnya mempertimbangkan untuk menerima cadangan orang lain.  Khususnya tahun ini, mereka harus berhati-hati untuk membuat sebarang perlaburan kerana pasaran akan berubah-ubah semasa 2014.

Menarik bukan ramalan di atas?

 


Tentu anda hairan mengapa saya menulis mengenai zodiak Kuda ini.

Secara kebetulan saya lahir pada 31 Januari Tahun Kuda.  Bertepatan dengan Hari pertama Tahun Kuda 2014.

Saya berharap tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan keriangan bagi diri saya.

 

Melangkah

Melangkah Ke Depan




Saat menulis catatan ini Cuma tinggal 25 minit lagi sebelum kita meninggalkan tahun 2013, melangkah ke ambang 2014.

Begitu pantas masa berlalu.  Rasanya terlalu cepat.  365 hari berlalu pergi.

Saya tidak ingin menoleh ke belakang lagi.  Kerana setiap kali, tolehan itulah yang membuat hati ini tercalar, langkah ini terhenti.  Kerana setiap kali, teringat kelukaan yang teramat.

Ya Tuhan, bebaskanlah diri ini dari genggaman kenangan lalu.  Padamkan segala ingatanku pada saat yang berlalu.  Hati, tolonglah bebaskan daku dari derita ini.  Tidak cukupkah airmata yang mengalir, tidak cukupkah kesengsaraan yang kutanggung ini?

Ya Tuhan, kuatkanlah semangatku.  Tiupkan kecekalan pada sekujur tubuh ini.

Ya Tuhan, berilah kesembuhan pada kesakitan ini.  Sembuhkan lah kelukaan ini.  Sembuhkanlah penyakit ini.

Ya Tuhan, bukalah  pintu hati ini.  Bahagiakan ku, Tenangkan ku.

Aku tidak meminta lebih dari disayangi.  Dari dihargai.

Mengapa hati ini masih menangisi saat-saat berlalu? Mengapa?

Diari 2013 sampai kepada penghujungnya.  Kalau tak mahu, boleh dicampak atau dibakar sahaja.  Tapi kehidupan ini harus diteruskan. 

Lembaran baru 2014 akan bermula dengan muka pertama, 365 hari untuk di isi.
 



Tahun 2014 ini, resolusiku adalah :-
 
(i)         Makan yang lebih berkhasiat.  ( Banyakkan sayuran & buah-buahan ),
            bersenam dan sihatkan badan.
(ii)        Perlahankan langkah, kurangkan stress.  Lebih sayangkan dan cintakan diri.
(iii)       Bersyukur, positif dan cintakan kehidupanku.
 
 

Thursday, December 26, 2013

Hutang Untuk Kahwin.


Bulan Disember ini, cukup banyak jemputan perkahwinan.  Setiap hujung minggu dipenuhi dengan undangan.  Ramai rakan kampong yang mempunyai anak sebaya dengan saya sudah menyambut menantu.

 
Membaca artikel ini membuat hati ini berkata-kata :-Till Debt do us part

Dahsyatnya perkahwinan sekarang. 

Melangkah kedewan sahaja, sudah terlihat perbezaannya.  Dahulu pelamin di atas pentas hanya bertumpu kepada tengah pentas sahaja.  Namun hiasan pelamin sekarang merangkumi keseluruhan pentas.  Dan tentunya menelan perbelanjaan yang lebih.  Kos pelamin sahaja bukan murah.  Pelamin sekarang memang cantik.  Apalagi sekarang banyak ditempah dari butik perkahwinan atau perancang perkahwinan.  Kalau dahulu, kita sendiri yang menghias pelamin.  Jimat.

Ini saya kata berdasarkan majlis perkahwinan yang sederhana sahaja.  Dari meja makan santapan beradap, kerusi, gerbang masuk, hiasan yang menyamai atau selaras dengan pelamin di atas pentas.  Makanan kenduri orang Melayu selalunya adalah lebih murah dibandingkan dengan orang Cina kerana secara buffet dan bukannya satu meja.

Orang Melayu lebih mementingkan perhiasan pelamin dan sekitarnya manakala orang Cina lebih menumpukan kepada makanan yang dihidangkan.

Orang sekarang banyak menggunakan perunding perkahwinan dan katering.  Walhal orang dahulu sendiri yang merancang dan masak beramai-ramai.  Mungkin disebabkan zaman berubah dan orang sekarang kebanyakan sibuk bekerja.  Tentunya kos perkahwinan semakin tinggi.

Jurukamera, video dan photo sahaja boleh menelan belanja ribuan.  Pakaian pengantin, hantaran, wang hantaran, kad undangan, bunga telur, hadiah dan buat tangan dan macam-macam lagi. Wang hantaran pun makin meningkat, maklum sahaja kos hidup pun dah naik.  Uikks bukan mudah nak mendirikan rumah tangga.  Lainlah kalau kita artis terkenal dan ada penaja yang nak sponsor pakaian pengantin dan segalanya..  Perkahwinan Zain Saidin & Rozita Che Wan baru-baru ini umpamanya dikhabarkan menelan perbelanjaan jutaan ringgit. Wow bestnya kalau free.. 

Kalau yang kaya, majlis diadakan di hotel terkemuka dan tentunya menelan perbelanjaan yang tinggi.  Tapi golongan kaya ini tiada masalah la.  Sebabnya tiada masalah wang, orang yang datang pun beri hadiah yang mahal-mahal.  Jadi kalau anda wanita yang mengimpikan perkahwinan yang esklusif, pilihlah dari kalangan yang kaya.  Segala impian anda akan dipenuhi.  Jururunding perancang perkahwinan memainkan peranan penting agar segala impian hari perkahwinan anda tercapai.  Bayar saja.. Mudah sekali.

Tapi masalah timbul apabila yang tak berwang mengadakan kenduri yang begitu meriah dan mahal.  Orang kata ukur baju di badan sendiri. 

Memanglah impian setiap wanita, perkahwinan mereka seperti cerita ‘fairytale’.  Nakkan yang paling sempurna, maklum sahaja perkahwinan hanya sekali dalam hidup.  Namun sekiranya untuk memenuhi impian kita, kita terpaksa berhutang dan mengikat perut selepas itu, rasanya tidak perlu lah begitu.  Ada yang membuat pinjaman peribadi dari bank untuk berkahwin.  Selepas kahwin, realiti hidup bermula dan terpaksa bergelut untuk membayar hutang.

Ada pasangan baru bertuah kerana perkahwinan mereka banyak dibiayai oleh ibu bapa.  Bayangkan kalau pasangan muda, manalah ada wang sebanyak itu untuk hantaran, belanja itu ini. 

Kalau tidak mampu, bernikah sahaja..

Kalau kita menempuh alam perkahwinan yang baru dengan permulaan hutang yang banyak, susahlah kita kelak.  Janganlah ketika kahwin cukup glamor, wedding of the year, selepas itu dek kerana hutang, rumahtangga berantakan.
 
Will always cherish that moment in my life !!
 

Teringat perkahwinan saya 28 tahun dahulu.  Tiada hantaran mahupun wang hantaran.  Yang ada adalah mas kahwin iaitu sepasang subang mutiara.  Masa nikah pun berpakaian biasa sahaja.  Pelamin di buat sendiri oleh kakak ipar saya.  Kad undangan perkahwinan, fotostat kertas A4 dipotong setengah dan dilipat dua.  Bunga telur di buat sendiri.  Makanan kenduri kahwin dimasak sendiri oleh kakak-kakak ipar saya sambil dibantu oleh orang-orang kampong.  Yang menyediakan makanan, menghantar makanan minuman ke meja makan adalah anak-anak dara dan teruna kampong.  Ada pancaragam dan nyanyian.  Meriah.. tidak menelan perbelanjaan yang tinggi pun.  Saya sedar saya bukan berkahwin dengan orang kaya.  Saya berkahwin dengan insan yang saya sayangi.  Saya terima semuanya seadanya.  Saat itu terasa sayalah insan yang paling bertuah.
 
 
 

Wednesday, December 25, 2013

Kejamnya


 
Sejak menonton rakaman di U-tube yang dikongsi di dalam Facebook, hati ini tertanya-tanya.  Sudahkah hilangkah sifat-sifat kemanusiaan yang sepatutnya wujud dalam diri seseorang manusia?  Ngeri menonton rakaman CCTV di mana sekumpulan lelaki mendatangi sekumpulan yang lain, dan dengan tidak semena-mena menetak berkali-kali lelaki-lelaki tanpa diduga.  Ada yang sempat lari.  Jelas kelihatan seorang dari mereka ditetak dengan parang atau pisau tajam tanpa berhenti.  Bila dia bangun yang lain pula menetak bertalu-talu.

Begitulah sikap kebinatangan manusia.  Kesyaitanan yang tidak terkawal.  Tidak rasakah bersalah langsung?  Tiada ketakutan seolah-olah dirasuk.

Saya tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung oleh si mangsa.  Rakaman CCTV itu sempat menunjukkan saat-saat si mangsa bergerak mengerang kesakitan sehingga dia tidak bergerak lagi.  Agaknya bila dijumpai, mangsa dah mati mengeras.   Aduh, sedangkan kalau kita terguris dan terluka pun terasa kesakitan teramat, apalagi di dalam kes ini ditetak, dipotong berkali-kali.  Lebih baik rasanya ditembak sahaja, kerana kesakitannya tidaklah seteruk dibandingkan dengan mangsa tetakan itu.

Rasanya penyerang-penyerang ini akan bebas dan dengan megahnya menunjukkan kuasa mereka.  Kejamnya gangster…

Rakaman kedua, U Tube yang saya tonton, saya agak juga seorang mangsa kena serang.  Tapi yang seorang ini mungkin sudah berada di bilik kecemasan hospital.  Rakaman yang jelas menunjukkan seorang pemuda di tetak, leher separuh terdedah, tapi masih bernyawa. Nyawa-nyawa ikan.  Luka di leher yang menunjukkan saluran kerongkongnya.  Kemudian ditunjuk bahagian perut yang ditetak,  terburai perutnya. Malahan usus najis juga terburai.  Taktau lah samada pemuda ini hidup atau mati akhirnya.  Yang pastinya pemuda ini mungkin ayah, abang, adik, anak dan saudara pada seseorang.

Rakaman CCTV ketiga pula menunjukkan beberapa pemuda yang cuba merompak syarikat peminjam wang ( tidak pasti ).  Berlaku baru-baru ini dan ada disiarkan di dalam surat khabar.  Salah seorang perompak melepaskan tembakan kearah pintu masuk.  Nasib baik tiada yang terkorban dan perompak pulang dengan tangan kosong.  Tidak hairan kalau perompak-perompak itu berani kembali ke tempat itu semula, kalau tidak berjaya ditangkap.

Pada pemuda-pemudi yang belum terjerumus ke kancah permasalahan ini, jauhilahnya.  Kerana sekali kita terpijat, sukar untuk kita melepasinya.  Gengster-gengster yang berani mati tentunya akan menjejaki anda kalau anda ingin keluar darinya.  Gengster dari puak lain juga menjadi mimpi buruk anda.  Dendam kesumat yang harus dibayar dengan nyawa.  Berbaloi kah?

Bila anda terjerumus, anda akan hilang sifat-sifat kemanusiaan untuk terus hidup.  Samada anda membunuh atau dibunuh. 

Bila anda mula merompak dan berjaya berbuat demikian, anda akan terus melakukan kerja yang keji.

Semakin anda terjerumus, semakin anda jauh dari hidup yang aman.  Renung-renunglah, fikir-fikirlah.  Sebelum berhajat untuk berbuat sesuatu yang tidak baik, fikirlah tentang keluarga anda.  Fikirlah penderitaan yang mereka terpaksa tanggung akibat perbuatan anda.

Terlalu banyak kisah yang anda dapat saksikan di dalam filem.  Banyak paparan filem adalah dari kisah benar, kisah hidup dan pengakhirannya.

Saya berharap pihak polis dapat mengiatkan operasi untuk menangkap gangster, perompak dan sesiapa jua yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Biarlah kami warga Malaysia rasa selamat di bumi tercinta.
 
 
Doa saya semoga tahun baru ini dunia ini akan diberkati dengan keamanan !!!