Saturday, September 8, 2012

Bertanggungjawab Atas Perbuatan Anda, Wahai Remaja

Sejak akhir-akhir ini, ada sahaja perbuatan yang dilakukan oleh golongan remaja yang keterlampauan dan memalukan.

 
Golongan remaja yang kebanyakannya masih menuntut menunjukkan kelakuan yang biadap yang tidak diterima oleh kita. Kelakuan ‘kurang ajar’ atas nama kebebasan mungkin biasa di Barat, tapi di Malaysia yang masih kuat dengan sifat-sifat murni, pastinya dianggap biadap.


Ada yang sampai melakukan jenayah menipu, merompak, membakar dan membunuh.

 
Anda remaja semua, memang boleh berseronok namun perlu ada batasannya. Memijak gambar, melondeh seluar dan menunjuk punggung di khalayak ramai bukan sesuatu yang boleh diterima. Mungkin bila anda berada di samping rakan-rakan anda, anda dianggap hero. Namun bila anda ditangkap, rakan-rakan anda cabut lari. Lepas itu, barulah anda takut dan hendak sembunyi di bawah ketiak mak.

 
Jadi gunalah akal fikiran anda yang waras sebelum berbuat sesuatu. Anda punya pilihan. Ada yang memberi alasan, mereka berbuat demikian kerana mengikut teman. Mana teman anda sekarang bila anda berada dalam kesusahan?


Buka mata anda seluas-luasnya. Kebebasan bagaimana yang anda ingini?


Ingattak bila ibu anda, melarang anda keluar bercampur dengan teman-teman yang jahat, anda kata ibu anda tak faham langsung kemahuan anak remaja sekarang?

 
Bila ibu anda melarang anda ke pub dan kelab malam, anda berkata inilah cara remaja sekarang berseronok.


Bila ibu anda melarang anda bergaul dengan mat rempit, anda kata ini keseronokan muda mudi sekarang.


Bila ibu anda melarang anda agar tidak mengambil dadah atau ubatan yang menghayalkan, anda berkata ibu anda kuat berleter. ‘Jangan peduli hal saya’, kata anda.

 
Bila anda terlalu panas baran, terlibat dalam sindiket dan melakukan jenayah, anda sudah tahu suatu hari kelak anda akan diberkas tapi anda lakukan juga. Sebab ini adalah pilihan anda.


Penasaran dan rintihan ibu anda, menanti anda pulang dengan selamat, pernahkah anda fikir dan selami?

 
Bila ibu anda melarang anda bergaul bebas dengan lelaki, anda tidak memperdulikannya. .

Anda rasa anda dah mula meningkat dewasa dan mengetahui segala-galanya.

 
Namun kenapa bila anda dicekup polis, anda mula gelabah. Ibu bapa anda ditohmah kononnya tidak pandai menjaga anak. Siapa sangka anak yang ditatang dan dibelai dari kecil akan berubah menjadi ‘binatang’. Dan ibu bapa anda perlu bersusah payah mencari jalan merungkai masalah yang anda cari.

Dan kenapa ibu bapa anda pula yang perlu mohon maaf atas perbuatan anda?

Bila anda termengandung, anda cari ibu bapa anda. Ibu bapa anda pula perlu menangggung dan menerima aib anda.

Jangan fikir kerana mereka ibu bapa anda, mereka perlu bertanggungjawab ke atas perbuatan anda lakukan sepanjang hidup anda.

 
Berdiri dan jadi dewasa, anda perlu bertanggungjawab atas perbuatan anda.

 


 

 

No comments: