Friday, August 31, 2012

Dirgahayu Malaysia – Sempena Ulangtahun Kemerdekaan 55

Saya bangga menjadi anak Malaysia.   Walaupun hidup tidak dilimpahi kemewahan namun bagi saya segala-galanya adalah mencukupi.

Alhamdulillah saya dilahirkan di Malaysia, bukannya di Negara lain dimana wanita dilayan semacam barangan yang tidak bernilai.  Kedua-dua ibu bapa saya, anak kelahiran Malaysia, golongan berpendapatan sederhana.  Saya mendapat pendidikan awal sehingga ke menengah atas.  Tidak buta huruf seperti wanita di Negara lain.  Sejak kecil saya mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan, percuma atau kadangkala dikenakan  bayaran RM1. Berkahwin pada usia muda, kemudian melahirkan anak-anak, saya punya pilihan bersalin di hospital kerajaan atau swasta. 

Peluang pekerjaan banyak  terdapat di Malaysia, saya tidak perlu ke luar Negara untuk mencari pekerjaan seperti wanita dari Negara lain.  Ekonomi Malaysia mantap, bukan sepeti Negara Luar yang mengalami krisis dan bangkrap.  Saya menikmati kemudahan infrastruktur yang baik meskipun terpaksa membayar tol atau feri. 

Sejak kecil, saya menikmati kehidupan selesa dan bebas di kampung.  Membesar dikampung , hubungan antara teman-teman adalah akrab tanpa mengira kaum.  Di sekolah pula, hubungan yang terjalin di antara teman-teman berbilang kaum jelas sekali.  Budaya dan fahaman agama yang berlainan tidak menjadi penghalang.  Bukan seperti Negara Luar yang sentiasa mempunyai konflik dalaman dan peperangan.  Bunyi tembakan dan meriam menjadi muzik yang  berkumandang dan mereka sentiasa dalam ketakutan, nyawa dalam bahaya.

Saya memiliki rumah untuk berteduh, tidak seperti Negara lain yang rakyatnya ada yang terpaksa tinggal di jalanan.

Di Malaysia, saya berpeluang untuk mengundi pada pilihanraya untuk memilih bakal pemimpin yang akan menerajui kepimpinan bagi menjadikan Malaysia lebih aman, makmur dan gemilang.

Di Malaysia, cuti perayaan cukup banyak.  Bertuah sekali kerana  di kala itu, peluang untuk saling mengunjungi  tidak pernah dilepaskan.  Maklum sahaja , zaman kanak-kanak, perayaan merupakan sesuatu yang dinantikan. Di Malaysia, para ahli politik boleh berlainan pendapat, tetapi anda dapat melihat mereka bersama ketika meraikan sesuatu perayaan.
 

Di Malaysia, kita dapat menikmati pelbagai jenis makanan yang menyelerakan.  Harganya berpatutan.  Yang penting, ianya sedap.
 

Di Malaysia, terdapat banyak destinasi percutian yang menyeronokkan.  Kalau tidak, masakan pelancong luar Negara berpusu-pusu mengunjungi  Malaysia.

Sikap peramah, saling hormat menghormati yang tersemai pada setiap rakyat Malaysia, antara sebab mengapa saya bersyukur saya orang Malaysia.

Apa yang saya nikmati dahulu, anak-anak saya pula merasainya.  Tentunya kehidupan sekarang adalah lebih baik dibandingkan zaman ibu bapa saya dahulu.

Zaman berlalu, wujudnya internet menjadikan segala-galanya lebih mudah.  Namun generasi sekarang sepatutnya disedarkan betapa bertuahnya mereka dilahirkan di bumi bertuah, Malaysia.

Semoga semua yang saya sebutkan di atas akan kekal dan menjadi lebih baik di masa depan.  Semoga pemimpin Malaysia akan membawanya ke mercu kejayaan.

Memang Malaysia bukan sebuah Negara yang sempurna segala-galanya.  Kalau anda hendak melihatnya dari keburukannya sahaja, senarai aduan anda tentu berjela-jela.  Namun saya memilih untuk melihat kelebihan , kebaikannya.  Atas dasar itu saya bersyukur kerana inilah tanah tumpahnya darahku.   Bersama-sama kita rakyat Malaysia bersatu padu menjadikan impian kita suatu realiti. Satu Malaysia - untuk semua kaum di Malaysia.
 
Terima kasih Malaysia !!

 

No comments: