Tuesday, June 4, 2013

Jenayah Ragut


Selamatkah kita bila jalan bersendirian?  Adakah perasaan gementar bila berjalan pulang ke rumah?

Soalnya apakah keselamatan kita benar-benar terjamin.

 


Cerita-cerita benar yang berlaku ke atas orang-orang yang saya kenali.

Suatu waktu dulu, saya pernah terperanjat melihat lengan teman wanita saya yang lebam biru keunguan.

Katanya beg tangannya diragut orang lelaki bermotosikal.  Berlaku begitu pantas sekali.

Waktu itu pagi, sedang dia keluar dari pintu pagar rumah untuk mengalihkan keretanya.  Disebabkan dia meletakkan 2 kereta sebaris di perkarangan rumahnya, maka untuk keluar dia perlu mengalihkan kereta suaminya dahulu.  Sewaktu keluar dari kereta suaminya, tiba-tiba terasa beg tangannya dirampas secara kasar.  Tangan si peragut dengan pantas terkena lengannya.  Mujur beg tangannya terlepas dan dia tidak terjatuh.  Terkejut beruk katanya.  Lebam dilengannya surut selepas 2 minggu.  Namun trauma yang dihadapinya kekal sehingga hari ini.  Bila terasa motosikal dekat dengannya, ketakutan datang menerpa.

 

Rakan sepejabat, pergi pasar.  Sewaktu jalan ke tempat letak kereta, katanya dia terasa ada motosikal yang ditunggani 2 lelaki yang kelihatan seperti pendatang Indonesia mengekorinya.  Lantas dengan cepat dia berjalan ke arah keretanya dan terasa lega bila masuk ke dalam kereta.  Lalu segera diletaknya beg tangan di tempat duduk hadapan sebelah kiri dan menghidupkan enjin keretanya.  Namun dia tersentak apabila cermin di pintu sebelah kiri dipecahkan.  Dengan pantas, beg tangannya di rentap oleh pembonceng motosikal tersebut.  Katanya dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku padanya walaupun terpaksa membuang masa untuk membuat repot polis atas kehilangan beg tangan yang mengandungi dokumen penting seperti kad pengenalan, kad kredit, kad ATM, telefon bimbit dan sedikit wang.  Dia juga perlu ke bank untuk melapurkan kehilangan kad kredit dan ATMnya.

 

Rakan sepejabat yang baru menyertai syarikat saya juga mempunyai pengalaman pahit.  Sesuatu yang sukar dilupakan kerana terdapat kesan dari peristiwa tersebut.  Sedang dia berjalan dengan rakan-rakan sepejabatnya dulu, tiba-tiba tanpa disedari, dia dihampiri oleh sebuah motosikal.  Dengan pantas, pembonceng motosikal meragut beg tangannya.  Namun beg tangannya itu tersangkut di bajunya.  Dia terjatuh lalu diheret sama.  Rakan-rakannya yang terkejut hanya dapat menjerit sahaja.  Namun dia bernasib baik kerana beg tangan itu terlepas, kalau tidak katanya entah apa yang akan terjadi.  Dia mengalami luka-luka teruk di tangan dan kakinya dan dimasukkan ke hospital.  Parut yang masih ada di kaki dan tangannya sentiasa mengingatkannya pada peristiwa itu.

 
 

Saya juga pernah hampir diragut beg tangan.  Lebih 10 tahun berlalu.  Waktu itu saya berada di Kuala Lumpur.  Biasanya beg tangan saya sangat berat.  Sarat dengan segala bil dan macam-macam lagi.  Bertentangan dengan Citibank, waktu itu ada tempat untuk lepak minum2.  Sekarang bangunan itu sudah tiada lagi.  Sewaktu turun dari kereta, terasa saya ditolak dan beg tangan saya melambung jauh sedikit dari saya dan jatuh di tepi.  Waktu itu,  kakak dan abang ipar baru tiba dan keluar dari kereta dan beg itu jatuh betul-betul dihadapan mereka.  Lalu diambil oleh mereka.  Saya tidak menyedari niat lelaki-lelaki yang membawa motosikal itu.  Saya marah dan hairan jalan sebesar itu, kenapa motosikal itu hampir-hampir melanggar saya. Mujur ketibaan kakak dan abang ipar saya mengagalkan cubaan mereka rupanya.  Selepas itu mereka bercerita bahawa beberapa hari sebelum itu, juga berlaku kejadian ragut beg disitu.  Baru saya sedari rupa-rupanya saya kena ragut tetapi cubaan mereka tidak berhasil.  Terus mengurut dada dan bersyukur.

Tetapi ramai yang tidak bernasib baik.  Di dada akhbar, saban hari ada sahaja berita kejadian jenayah yang semakin berleluasa.  Antaranya kejadian ragut.  Peragut bukan sahaja meragut beg tangan tetapi juga meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

 

Bayangkan seseorang sedang melintas jalan, tiba-tiba diragut.  Terjatuh ke belakang, dan kepalanya terhantuk kuat.  Selepas itu koma dan meninggal dunia.  Yang bernasib baik mungkin beransur pulih tetapi kesan saikologi berkekalan.

 


Wanita menjadi sasaran kerana kebanyakan mereka membawa beg tangan yang sekurang-kurangnya ada telefon bimbit dan wang.  Mungkin juga wanita tergolong dalam kategori yang lemah dan tidak akan berlawan balik

 

Komen orang ramai setiap kali membaca berita apabila ada yang meninggal akibat jenayah ragut adalah mengapa lawan balik.  Bukankah nyawa lebih penting dari wang?  Namun reaksi spontan apabila beg tangan ditarik, kita akan tarik balik.  Kerana keadaan berlaku begitu pantas, kita tidak dapat berfikir panjang.

 

 
Saya berpendapat, pasukan polis kita harus memperbanyakkan rondaan.  Lebih ramai anggota polis sepatutnya ditempatkan di kawasan yang menjadi sasaran peragut.  Jalan yang sunyi khususnya.  Pasukan keselamatan haruslah menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas untuk menjaga keselamatan awam dari sebarang jenayah.


Pasukan RELA juga boleh ditugaskan membuat rondaan.


Peragut sepatutnya dikenakan hukuman yang berat setimpal dengan perbuatan mereka. 

Orang ramai perlu juga bekerjasama untuk membanteras jenayah ini. 


Daripada kita asyik mengikut ceramah politik yang tiada kesudahannya, lebih baik orang-orang berkenaan berganding bahu berkumpul untuk membincangkan cara-cara menjaga keselamatan masyarakat di perumahan mereka.  Misalnya RUKUN TETANGGA.  Masing-masing mengambil inisiatif dan membuat rondaan di kawasan perumahan.  Bukan sahaja untuk membanteras jenayah ragut malahan jenayah lain yang menggangu gugat keselamatan penduduk perumahan.

 
Jangan asyik menuding tangan ke arah pasukan keselamatan sahaja.  Sama-samalah membantu untuk membanteras jenayah.


Jangan tunggu sehingga ada mangsa lagi baru bertindak.  Mangsa mungkin kenalan, adik beradik atau sesiapa sahaja.

 
Berdoa semoga dijauhkan segala musibah !

06.06.2013 Suri Rumah Hamil Lima Bulan Nyaris Maut Diragut http://mstar.com.my

 

No comments: