Thursday, June 6, 2013

Pembantu Rumah – Kisah 3

Pembantu Rumah – Kisah 3

 
Selepas saya kembalikan pembantu rumah saya ( Baca kisah : Pembantu-rumah-kisah-2 ), saya digantikan dengan seorang pembantu rumah.  Tentunya saya perlu bayar wang lagi untuk pengganti ini.  Saya tertarik membaca profilnya iaitu kononya dia adalah seorang Ustazah di negaranya ( Indonesia )

Waktu itu anak bongsu saya baru memasuki tadika.  Saya rasa orang yang tahu agama, tentu tingkah lakunya baik dan sesuai untuk menjaga anak-anak saya. 

Malah saya menawarnya untuk mengajar anak-anak saya mengaji Quran kerana waktu itu saya baru berpindah ke perumahan baru dan sukar untuk mendapatkan ustazah/ustaz untuk pengajian anak-anak saya.  Namun dia cuma mengajar beberapa kali disebabkan anak-anak saya langsung tidak tahu apa yang diajarnya.

Saya mendapati perangainya agak pelik.  Asyik-asyik menceritakan kononnya ternampak hantu dan bila kami tiada, ada orang yang tidak dikenali datang di depan rumah.  Dakwanya imigresen.

Anak-anak saya pernah cerita sewaktu pulang dari sekolah, dia tidur di atas lantai dapur. Tapi dia mendakwa dirinya pengsan sewaktu itu.  Bila hendak dibawa ke klinik, dia menolak kononnya dah sihat.

Anak-anak saya pula selalu mengadu wang saku mereka selalu lesap.  Tapi saya tidak mengambil kisah kerana saya jenis yang tidak suka menuduh tanpa bukti.

Satu hari, dia menyuruh saya hantar suratnya ke kampong.  Bukannya nak minta sampul surat dari kita, tapi dilipat kertas dan digam menjadi sampul surat yang buruk betul.  Hati rasa tak sedap, saya koyakkan sampul surat dan mengambil keluar surat.  Tujuan saya nak gantikan yang baru.  Tetapi hati ini terus terdetik untuk membaca surat tersebut.  Rupa-rupanya dia menyuruh keluarganya menghantar telegram memintanya pulang kerana ibunya sakit.  Saya rasa geram kerana sikapnya yang tidak jujur.

Nak dijadikan cerita, saya berpatah balik.  Memasuki perkarangan rumah yang tidak berkunci, saya berjalan memasuki pintu belakang.  Masuk sahaja, saya terkejut besar kerana dia mandi di bilik air yang terletak di dapur dan bilik tidurnya.  Pintu tidak ditutup, berbogel pula. 

Anak gadis saya tinggal berseorangan dengannya waktu itu, sedang tidur.  Bayangkan pintu rumah tak tertutup, mandi pun tidak berkunci..  Ya Allah. Lantas terus saya menyuruhnya mengemas begnya dan hendak memulangkannya kepada agensi.  Waktu itu bila saya periksa begnya, rupa-rupanya ada wang dan rokok.  Padahal bila datang, dia hanya ada wang Indonesia.  Apek kedai serbaneka berdekatan memberitahu, dia pergi membeli rokok dikedainya.  Rupa-rupanya dia gian rokok.  Bila periksa belakang rumah, di bawah pohon berterabur puntung rokok.  Patutlah duit anak-anak asyik hilang.  Beli rokok rupanya.  Saya rasa keadaan mentalnya tidak stabil.  Terus hantar balik ke agensi.  Tidak sampaipun 3 bulan dia bekerja dengan saya.  Saya kerugian.  Namun saya tidak mahu mengambil risiko membiarkan anak-anak saya dibawah jagaannya.

Mungkin anda berpendapat saya cerewet.  Tetapi bagi saya, keselamatan anak saya diberi keutamaan.

Ramai majikan yang awal-awal lagi sudah rasakan perangai pembantu rumah teruk, namun bersabar.

Mungkin memberi peluang pembantu rumah menyesuaikan diri atau berubah sikap.  Mungkin ada yang tidak mahu rugi.  Yalah wang pendahuluan dan gaji pembantu rumah bukannya sedikit. Menyimpan kebencian dan kemarahan di hati masing-masing, akhirnya meletup.

Itu yang terjadi kes majikan mendera pembantu, pembantu mendera anak-anak majikan. 


Selepas beberapa tahun, saya ternampak pembantu rumah itu.  Sedang mendukung bayi kecil dan seorang lain yang berumur lebih kurang 3 tahun.  Majikannya Cina.  Dia ternampak saya, dan cepat-cepat mengalihkan mukanya.  Tetapi saya cam mukanya.  Saya mengurut dada dan saya bayangkan dia yang kurang stabil ini kini menjaga bayi dan anak kecil.  Begitulah mudahnya pembantu rumah memasuki Negara kita walaupun dihantar balik.  Mungkin ada agensi yang cuma ‘recyle’ mereka, tak hantar balik pun. 

Siapa rugi.. Kitalah..  Majikan


 

No comments: