Friday, July 12, 2013

Ramadan Muncul Lagi - Makanan


 

Tika ini sudah 2 hari umat Islam berpuasa. 

Saya berpendapat minggu pertama merupakan cabaran yang lebih hebat.  Ini adalah kerana tubuh kita belum menyesuaikan diri tanpa makanan dan khususnya minuman.  Masuk minggu kedua, keadaan menjadi lebih mudah kerana kita sudah terbiasa. 

Sudah tentunya bulan puasa bukan hanya setakat menahan diri dari lapar dan dahaga.  Ianya merupakan bulan yang kita lebihkan amal ibadat disamping membersihkan jiwa kerohanian kita dan lebih mendekatkan diri pada Allah.  Perbuatan, percakapan dah tingkah laku harus dijaga.

Bagi diri saya, di bulan Ramadan saya rasa letih disebabkan kurang tidur.  Kalau kurang makan minum saya tidak kisah sangat.  Cumanya sukar tidur malam dan terpaksa bangun awal untuk menyediakan sahur, waktu tidur berkurangan.  Namun syukurlah selagi berdaya, puasa tidak ditinggalkan.

Di kala kita berlapar, kita dapat rasai keperitan mereka yang terpaksa mengikat perut dan hidup dalam kesempitan.  Justeru itu kita bersyukur kerana dapat menikmati masakan yang enak dan berkhasiat walhal mereka yang miskin tidak dapat berbuat demikian.  Lantaran itu janganlah membeli terlalu banyak waktu berbuka, membazir pula jadinya.

Saya sukakan suasana kampong semasa saya kecil.  Di bulan puasa, kita tidak perlu masak banyak lauk dan kuah.  Masak satu dua jenis, kita hantar pada jiran-jiran sekampung.  Mereka pula berbalas dan akhirnya hidangan kita terdiri dari banyak jenis makanan.

Tetapi kini keadaan sudah berubah.  Ramai yang beli dari luar.  Pasar Ramadan penuh sesak dengan pengunjung yang berpusu-pusu membeli makanan untuk berbuka.  Bukan sahaja umat Islam, rakyat Malaysia bukan Islam juga teruja untuk mengunjungi pasar Ramadan kerana terdapat banyak juadah di sana.

 
 
 
 
Saya pula berbeza.  Bila mengunjung pasar Ramadan, saya rasa tidak lalu.  Heran juga bila perut kosong, namun selera tidak ada.  Melihat bagaimana ada gerai yang makanan disediakan, hiasan tidak menarik dan rasanya kurang sedap.  Dalam hati selalu berkata ‘ kalau saya masak macam ni, segan rasanya nak bagi orang rasa.  Tapi  ada peniaga yang tidak kisah samada sedap atau tidak.  Harga pula semakin mahal.

Kalau ada kesempatan, saya lebih suka masak di bulan puasa.  Masakan yang ringkas tetapi berkhasiat dan menyelerakan.

 
‘ Pada umat Islam, selamat menjalankan ibadah puasa’
Bersihkan hati jiwa nurani anda!

 
 
 
 

No comments: