Wednesday, July 3, 2013

Rintihan Si Ibu Tua


 
 
Sayu mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Si Ibu.  Katanya ketika ibunya sakit dulu, dia dengan ikhlas menjaga ibunya.  Tidak pernah mengeluh dengan dugaan Tuhan.  Waktu dulu, hidup susah.  Bayangkan terpaksa membasuh kain sarung yang berhelai-helai.  Tiada lampin pakai buang, tiada mesin pembasuh automatik.  Bila keadaan ibunya terbaring teruk sekian lama, semuanya dilakukan untuk ibunya.  Walaupun ramai adik beradik tetapi dia tidak lepas tangan atau bertegang urat dan buat bising dan menyuruh yang lain menjaga ibu mereka. Dia menjaga ibunya, membasuh berak, merawat ibunya sehingga akhir hayat.

Kini pilu hatinya apabila anak-anaknya seperti lepas tangan apabila tiba masa untuk membawanya ke hospital atau membayar ubat-ubatnya.  Tiada sepakat ataupun kalau bayar macam terpaksa. Bayangkan selagi tenaga kudratnya masih ada, cucu-cucunya dijaga dengan baik.  Ada yang sudah meningkat remaja.  Walau usia meningkat tua, masih terpaksa menjaga bayi kecil.    

Kalau terlantar sakit bagaimana agak nasibnya.  Sebagai ibu tentu dia tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.  Arwah suaminya dulu meninggal pun tidak meninggalkan sebarang harta.  Walaupun memiliki sebuah rumah, namun rumah dijadikan sandaran demi anak-anak.  Akhirnya terpaksa menjual rumah tersebut.  Jadi terpaksalah dia bergantung pada anak-anaknya.

Saya sendiri menyaksikan bagaimana anak-anaknya cuba mengelak dari membayar kos perubatan bila dia sakit.  Yang sulung kata yang bongsu kena bayar lebih, yang bongsu kata yang tengah kena bayar lebih.  Bayangkan kalau diwaktu kita sakit, kita ketahui bahawa anak-anak kita tidak sepakat dan bergaduh pasal kos rawatan kita, agaknya kita harap mati sahaja.

Jadi pada pendapat saya, kalau diberi pilihan, adalah lebih baik sebagai wanita kita bekerja.  Lainlah kalau kita memang berharta.

Sekurang-kurangnya bila kita tua, kita mempunyai simpanan sendiri disamping EPF.  Kalau sakitpun kita menggunakan wang kita sendiri.  Tidaklah menyusahkan anak-anak.  Apalagi anak-anak yang bukan berpendapatan tinggi.  Kalau kita ada harta, sekurang-kurangnya anak tidak berani kurang ajar pada kita.  Kalau kurang ajar, sedekah saja harta kita kepada anak-anak yatim.

Tabung sedikit-sedikit sewaktu muda kalau anda seorang suri rumahtangga.  Jangan beri semua pada anak-anak, simpan untuk hari tua anda.  Kalau kita tiada kelak, mereka akan mewarisi segala peninggalan kita.

Terlalu banyak cerita kita dengar mengenai anak-anak yang tidak mengenang budi.  Bila beristeri, ibu tidak dipedulikan.

Benarlah kata-kata :-  Seorang Ibu boleh menjaga 10 anak namun 10 anak tidak semestinya dapat menjaga seorang ibu.

 


** Pada menantu perempuan/lelaki, anda sepatutnya berterima kasih pada ibu mertua anda kalau anda mendapat suami/isteri yang baik, kerana tanpa didikan yang baik dari ibu mertua anda, dia tidak akan menjadi insan yang penyayang dan bertanggungjawab.
Sayangi ibu mertua anda sebagaimana anda menyayangi ibu anda !
 
 
 
 

No comments: