Saturday, July 20, 2013

Ibu Mertua

Monster In law

http://www.thestar.com.my - Guru Cerita bagaimana dia diserang oleh ibu mertua dengan pisau
http://www.thestar.com.my  - Guru terlalu trauma untuk menatap wajah ibu mertua.


Berita mengenai bagaimana seorang ibu mertua ( Lee Wei Mei – 64 tahun ) tergamak untuk menikam menantu perempuannya ( Julie Yeoh Kar Tin – 43 tahun )  dan kemudiannya membakar tempat tinggalnya membuat hati ini tergerak untuk menulis mengenainya.  Perbuatannya  juga dibantu oleh adik perempuannya ( Lee Wei Chee – 61 tahun )

Walaupun kini dihadapkan mahkamah untuk dibicarakan atas pertuduhan ke atas mereka dan mereka mungkin dipenjarakan 20 tahun, persoalannya bagaimana kehidupan menantunya yang merupakan seorang guru.  Trauma dan parut luka yang dihadapinya sepanjang hidup.

Walaupun saya tidak boleh menjawab pelbagai persoalan yang bermain di kepala kerana hanya mereka sahaja yang mengetahui situasi sebenarnya, namun saya rasa tentu ada punca yang mencetuskan api kemarahan sebegini oleh si ibu mertua.

Adakah kerana keadaan mentalnya? Tetapi perbuatannya adalah dibantu oleh adiknya.  Samada kedua-duanya pun menghadapi masalah mental.

Kalau bukan kerana masalah mental, kebencian apakah yang mencetuskan dendam kesumat sehingga sanggup cuba membunuh menantu sendiri?  Bagaimana nasib cucu-cucunya dan anak lelakinya.  Menantu yang sudah mengahwini anaknya selama 20 tahun, yang melahirkan anak iaitu cucunya.  Si ibu mertua dikatakan sebelum peristiwa itu kerap berkunjung ke rumah anaknya pada hari kerja untuk menjaga cucunya yang berusia 4 tahun apabila anak dan menantunya bekerja.

Apakah perasaannya sekiranya anak perempuannya yang diperlakukan sebegini oleh ibu mertuanya.  (* Menantu perempuan kita adalah anak perempuan orang lain ).

Ketakutan yang menghantui menantunya begitu ketara sehingga sewaktu prosiding mahkamah, dia tidak berani menatap wajah ibu mertuanya.  Bayangkan anda ditikam berkali-kali, disiram air panas, diketuk kepada dengan cerek sehingga pening. Anda kemudian terbau asap dan pengsan.  Bila sedar, muka dan badan anda terbakar selain luka dari tikaman pisau  yang bertubi-tubi.  Anda diberitahu anda koma selama 8 hari.  Namun anda berjuang untuk hidup demi anak-anak.  Kecacatan di muka anda akan mengingatkan perbuatannya kepada anda sepanjang hidup anda.

Kalaupun si ibu mertua dijatuhkan hukuman 20 tahun, kemungkinan dia menghabiskan tempoh hukumannya adalah tipis kerana usianya telah lanjut.

Namun anda yang masih muda terpaksa mengharungi kehidupan ini dengan tabah demi anak-anak.

 
Pesanan Buat Mertua ( khususnya ibu )

Bila anak kita sudah berkahwin, dia mempunyai kehidupan berkeluarga sendiri.  Jadi lepaskannya, sekiranya dia mengenang jasa kita pasti dia tidak akan mengabaikan kita. 

Saya dapati selalunya kalau anak lelaki, ada ibu yang menganggap itu anaknya dan menantunya telah mengambil tempat di hati anaknya kini.  Ibu begini akan menyalahi menantunya atas perbuatan anaknya yang tidak begitu menghiraunya atau melukakan hatinya.

Kalau anak lelaki anda berpangkat dan kaya, sepatutnya isu kewangan tidak menjadi masalah.  Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipannya untuk memberi anda duit saku.  Isterinya sudah ada bahagiannya.  Namun sekiranya anak anda bergaji sederhana dan isterinya turut bekerja untuk menampung kehidupannya, anda seharusnya lebih bertolenrasi.  Kadangkala si ibu berpendapat si isteri mengawal segala kewangan anaknya dan syak wasangka ini sekiranya dibiarkan ianya lama kelamaan akan melahirkan rasa kebencian.

Anak lelaki anda akan menjadi serba salah bila krisis antara mertua dan menantu berterusan.  Yalah **ditelan mati ibu, di luah mati isteri.  Rumahtangga anak bergolak kerana campurtangan mertua.  Adakah kita sebagai ibu tergamak melihat rumahtangga mereka berkecai disebabkan kita?

Ingatlah kalau kita mahu orang lain melayan anak perempuan kita dengan baik, kita seharusnya melayan anak perempuan orang lain sebaik mungkin.

Anak lelaki kita yang lahirkan dan mendidiknya. Sudah terbiasa dengan cara kita.  Menantu kita yang tak terbiasa dengan cara kita mungkin akan berkecil hati.  Jadi perlu menyesuaikan diri.

Saya menyarankan cara sebaik-baiknya untuk hubungan akrab pada zaman ini adalah tinggal berasingan sebaik sahaja anak anda berkahwin.  Bila mereka perlukan nasihat kita, mereka akan menghubungi atau berkunjung kita.  Kita punya privasi, begitu jua mereka.

Ingatlah menantu tidak sempurna begitu jua ibu mertua.


Pesanan Buat  Menantu ( khususnya perempuan )

Berterima kasihlah pada ibu mertua anda sekiranya suami anda seorang yang baik dan bertanggungjawab.  Sebab dengan didikan ibu mertua anda, dia menjadi lelaki pilihan anda.

Sedarilah sebelum mengahwini anda, suami anda mungkin menjadi anak kesayangan ibu mertua anda. Jadi kadangkala, kebergantungannya kepada suami anda begitu ketara.  Bukan sahaja bergantung harapan tetapi kewangan.  Sekiranya suami anda memberi wang kepada ibunya, jangan jadikannya isu sehingga bertegang urut.  Bincang dan carilah jalan.  Jangan jadikan suami anda serba salah.  Kalau tiada banyak, berilah sedikit.  Sejuk hatinya kelak.  Fahamilah dan dekati ibu mertua anda.

Jangan bandingkan ibu mertua anda dan ibu anda.  Anda hidup bersama ibu anda dari kecil hingga dewasa walhal anda baru melangkah ke alam perkahwinan dan baru hendak mengenali ibu mertua anda.  Hormatilah ibu mertua anda sebagaimana anda menghormati ibu anda. 
Jangan hanya melebihkan keluarga di pihak anda sahaja.  Kalau anda berbaik dan bermesra dengan keluarga dan saudara pihak suami anda, pastinya anda dapat memenangi hati ibu mertua anda.

Mungkin anda tidak suka dengar rungutannya, pekakkan telinga. Perbaiki diri.  Jangan buat apa yang dia tidak suka.   Ambil inisiatif untuk memikat hati ibu mertua.  Lama kelamaan pasti anda menjadi menantu kesayangan.

Apabila kebencian dibalas kebencian, api kemarahan akan semakin marak.  Maka terjadi kes-kes yang menyayatkan di mana ibu mertua membunuh menantu, menantu memukul, melayan ibu mertua seperti orang gaji dan sebagainya.

Ingatlah, orang tua amat sensitif, mudah terasa, jadi berhati-hati bila bercakap dengan mereka, takut terlepas cakap.

Cara ibu mertua mendidik cucu adalah berbeza kalau anda tidak bersetuju dengan cara mereka, cuba berbincang cara baik. 

Kalau anda tidak pandai memasak, bantu ibu mertua bila memasak.  Jangan tunggu masakan dihidangkan dan anda cuma makan seperti tetamu.  Bersopan dan jaga tingkah laku.  Golongan tua memang mengutamakan adab dan kesopanan.  Kalau tinggal bersama, bantulah seberapa yang boleh meskipun anda bekerja.

Suatu hari kita akan menjadi ibu mertua, pastinya kita ingin hubungan dengan menantu baik dan akrab.
 
 
 
*Teringat filem Monster In Law - lakunan Jeniffer Lopez & Jane Fonda -  Lucu namun berakhir dengan kegembiraan.
 
 
Alangkah baiknya kalau dunia ini dipenuhi kasih saying.  Tiada kejadian bakar menantu, bakar isteri kerana tidak mampu bayar dowry ( di India ) dan Negara lain akan berlaku.  Kejadian yang dilakukan oleh orang yang kita kenali dan sayangi.
 
Saya tidak bertuah untuk memiliki ibu mertua.  Sewaktu berkahwin dulu, ibu mertua sudah meninggal.  Tetapi saya mempunyai kakak-kakak ipar yang sebaya usia ibu saya.  Walaupun sewaktu melangkah ke alam perkahwinan, usia belum matang, namun saya bertuah kerana tiada masalah dengan ipar-ipar saya.  Malahan sekarang, meskipun mereka adalah bekas ipar saya, hubungan baik yang terjalin tetap berterusan.
 
 
 

No comments: