Friday, August 16, 2013

Belasah Isteri - Keganasan RumahTangga


Lelaki Belasah Isteri Dalam Lif Serah Diri Kepada Polis
 
 

 
PUKUL ISTERI...Lelaki yang dipercayai memukul isteri di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (dua, kanan) diiringi anggota Polis ketika menyerah diri di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang pada Khamis. Suspek menyerah diri 4.30 petang selepas menyedari dirinya menjadi buruan Polis. -Foto BERNAMA
 
 
GEORGETOWN: Lelaki yang menjadi buruan polis selepas membelasah isteri dalam lif sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Isnin lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan jam 4.45 petang Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 36 tahun itu menyerah diri pada pukul 4.45 petang.
"Saya dimaklumkan oleh IPD Kuantan, lelaki yang dikehendaki polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung rakaman CCTV yang membelasah isterinya telah menyerah diri di sana.
"Kita akan bawa lelaki itu balik ke Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.
Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Sementara itu, beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini melawat mangsa di rumahnya di Mengkuang.
 Petikan berita 15.08.2013 http://mstar.com.my
Inikah balasan kasih sayang dan pengorbanan seorang isteri?  Disepak terajang, dipukul sesuka hati.
Inikah harga sebuah perkahwinan? Kalau beginilah layanan seorang suami pada isteri, lebih baik wanita di dunia ini kekal tanpa pasangan.
Saya ingin memetik kata-kata dari si mangsa yang telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu selama 12 tahun dan mempunyai 3 anak.  Katanya, ‘Saya telah lama memendam perasaan selama ini setelah dia mengambil isteri kedua.  Saya menguruskan segala perbelanjaan rumah dan dia hanya mengirim sejumlah kecil wang untuk anak-anak.”
Bayangkan ketakutan di hati 2 anak-anaknya yang terpaksa menyaksikan perlakuan kejam ayah mereka terhadap ibu mereka. 
Selalunya isteri yang didera memendam rasa menahan keperitan hidup demi anak-anak.  Sentiasa berharap si suami akan berubah sikap menjadi lebih baik.  Senyum dalam tangisan. Bersabar.  Namun setiap kesabaran ada hadnya.  Saban hari dijadikan tempat melepaskan geram.  Badan sentiasa lebam, mata bengkak2.  Balik bila suka untuk melepaskan nafsu seolah-olah isteri itu pelacur.  Tanya sedikit diherdik.  Masak makanan, katanya tak sedap.  Segala perbuatan kita semuanya salah.  Begitulah nasib kaum hawa yang mendapat insan (haiwan) bernama suami yang tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargainya.
Satu golongan lagi dari segi fizikal, anda tidak akan melihat dan tidak dapat menghidu keperitan mereka.  Namun mereka makan hati dan memendam perasaan. Suami mereka melayan mereka seolah-olah mereka ini tidak wujud.  Sentisa merendah-rendahkan kemampuan isteri sehingga isteri menjadi rendah diri.  Tiada keyakinan.  Ada yang suka memaki hamun isteri.  Membuat si isteri tidak dihargai langsung.  Apalagi kalau si isteri bergantung sepenuhnya kepada si suami.  Berkahwin lagi walaupun tidak mampu dari segi kewangan.  Bila tertekan, mulalah isteri menjadi sasaran.  Isteri rasa dikhianati, kecewa, menangis keseorangan, si suami pula bukan main ligat dengan isteri baru.  Adil?  Hmm jangan harap.  Bila berhujah kononnya hendak ikut sunnah nabi walhal yang asas pun tak buat.  Bukankah peranan suami membimbing isteri dan anak-anak ke arah kebaikan?  Kalau menunjukkan kemarahan dan keganasan, bagaimana isteri dan anak-anak hendak menghormati anda? Inikah sikap yang anda ingin anak-anak anda contohi?  Kalau anda isteri dalam kategori ini, dan sekiranya perasaan sedih dan depresi ini berterusan, pastinya anda akan sakit dan kemurungan.
Justeru itu, wahai perempuan, sebelum kahwin bukalah mata seluas-luasnya.  Jangan hanya kerana mabuk bercinta, anda buta.  Kalau sebelum kahwin, perangainya sudah bengis dan mudah naik darah, itulah petandanya.  Jangan fikir selepas kahwin dia akan berubah untuk anda.  Pasangan anda seharusnya berubah kerana dirinya bukan anda.
Sebenarnya kita kaum wanita khususnya isteri, kemelut yang kita hadapi, kita yang harus membuat keputusan.  Samada kita tetap berdiri teguh dan terus dibuli sepanjang hidup kita atau berlalu pergi.  Tiada sesiapa yang boleh menentukannya.  Jawapannya ada pada kita.  Orang hanya berkata-kata namun kita yang terpaksa menghadapinya.
Berbaloikah pengorbanan kita? Mungkinkah dia akan berubah?  Anda yang lebih mengenalinya.  Kalau jawapannya tidak, anda sudah ada jawapannya.
 

Wahai Suami - Sayangilah & Hormatilah Ibu Anak-Anakmu



 

 

No comments: