Wednesday, April 10, 2013

Berakhirnya Penantian - PRU 13

 PRU 13 - Hari Mengundi 5 Mei 2013



Marilah, Mari.. Kita Mengundi






Penantian sekian lama, tidak lama akan tiba masanya. Saya sudah naik meluat dengan perang mulut, tuduh menuduh di antara ahli parti-parti politik. Saban hari, baca surat khabar sahaja, terpampang berita sensasi. Satu demi satu rahsia didedahkan kepada umum. Samada parti memerintah ataupun parti pembangkang. Sama sahaja. Kononnya konspirasi yang tak sudah2.

Ada wakil rakyat yang hanya menjenguk muka bila tiba musim pilihanraya. Yang muncul bila ada majlis-majlis tertentu untuk menunjuk muka dan masuk surat khabar.

Saya berpendapat terdapat juga ramai wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat di kawasan di bawah jagaannya. Wakil rakyat sebegini mudah dihubungi, digemari ramai.

Memang sukar untuk memuaskan hati semua orang. Tapi sekiranya wakil rakyat atau ahli parti tertentu cuba sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan, tentu rakyat tahu berterima kasih. Sememangnya ada wakil rakyat yang tulus ikhlas menyumbang bakti kepada rakyat.

Saya kenal seorang ahli politik dan juga usahawan bumiputera dari satu parti. Kerana saya mengenalinya dan tahu dia merupakan bekas wakil di kawasan saya tinggal, saya bertanyakan beliau bagaimana cara untuk menukar kawasan mengundi. Maklum sahaja kawasan mengundi saya adalah mengikut alamat rumah lama saya. Tahu apa jawabnya? Alah you pi lah cari sendiri. Ishh bongkak benar. Padahal kita mengenalinya. Dengan sikap begitu, bagaimana hendak memenangi hati rakyat?

Bayangkan kalau saya tanya pada pihak pembangkang, dengan rela hati mereka membantu saya untuk membuat pertukaran itu. Ya lah saya kan bermastautin di tempat mereka. Wakil rakyat kawasan ini memang bekerja kuat. Memang tidak dinafikan. Sebarang aduan yang sampai kepada pengetahuannya, dia akan cuba segera menandaganinya.

Saudara saya yang berniaga kecil-kecilan, bila mengadu tentang bumbung bocor, dia dengan segera mengarahkan orang-orangnya untuk bertindak menggantikan bumbung tersebut. Bila dimaklumkan ada orang miskin yang sakit, dia sendiri turun padang dan pergi ke rumah orang itu untuk menghulurkan bantuan.

Anda dapat saksikan perbezaan antara dua orang dari parti berlainan.

Bila parti-parti tertentu berlumba-lumba bagi bantuan kewangan, orang ramai memang teruja. 'Kalau tiap-tiap tahun ada pilihanraya, senanglah kami', demikian kata mereka yang menerima wang tersebut.

Ada teman yang seronok kerana makan percuma. 'Lantaklah, aku makan je. Sedap, lagipun percuma. Aku makan pun bukan aku naik pilih dia. Lagipun duit yang depa belanja tu duit kita', ujar teman itu.

Satu perkara yang saya tidak suka adalah saya dapati ada ahli politik yang suka main dengan sentimen kaum. Mengapi-apikan sesuatu kaum, membuat mereka merasakan diri mereka dianaktirikan, kemudiannya kononnya mereka yang akan memberi keadilan kepada kaum tersebut.

Satu perbezaan yang saya perhatikan adalah sekarang ada kaum yang sudah begitu lantang memperkatakan dan melepaskan ketidakpuasan dibandingkan dahulu.

Sememangnya sukar untuk memuaskan semua orang. Ada golongan yang kalau boleh mahukan semuanya percuma. Tapi logiklah kalau semua diberi percuma. Lagipun benda yang kita perolehi secara percuma dan mudah, kita tidak begitu menghargai. Lainlah kalau hasil titik peluh sendiri.

Keadilan juga sesuatu yang begitu subjektif. Adil untuk anda tapi adakah adil untuk orang lain? Terpulang dari sudut mana kita melihat atau berada.

Apa-apapun saya amat berharap, apa jua keputusan pilihanraya kelak, semua pihak dapat menerimanya dengan baik. Dan semua parti, baik parti pemerintah mahupun pembangkang kelak akan berkhidmat sebaik mungkin dalam memastikan rakyat hidup aman sentosa. Jangan ada golongan tertentu yang cuba menimbulkan kekacauan.  Tumpuan harus diberi kepada kebajikan rakyat dan meningkatkan ekonomi Negara.  Pihak pemerintah dan pembangkang harus bekerjasama agar memastikan Malaysia bergerak maju seiring dengan Negara lain.  Malaysia  Boleh........

Ibu saya dah pesan kepada saya agar simpan sedikit stok makanan dirumah. Malahan dia beli beras dan tin sardin untuk saya simpan. Mungkin kerana mereka orang lama yang pernah melalui zaman susah maka mereka bimbang kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku.

Saya lantas cuba menyakinkannya bahawa orang-orang sekarang sudah matang. Pilihan rakyat melalui undi harus dihormati.



 

No comments: