Sunday, June 30, 2013

Atas Nama Pembangunan


Apabila bukit di tarah

Apabila pokok di tebang

Apabila setiap inci tanah diterokai

Apabila rumput dan tumbuhan liar digondol

Apabila bukit dikorek

Apabila hutan dibakar

Apabila lautan dicemari

Apabila sungai diracuni

Apabila hidupan liar dirampas tempat berlindung

Apabila bahan kimia semakin digunakan

Apabila manusia tidak pedulikan bumi anugerah Tuhan

Atas nama PEMBANGUNAN.

Salahkah bila BUMI menangis dan mengamuk !



Pengorekan Bukit Tidak Terkawal Mengakibatkan Tanah Runtuh

Pencemaran Laut Mengakibatkan hidupan laut mati

 

 


Kejadian tanah runtuh, jerebu, banjir kilat, peningkatan suhu haba global, keracunan makanan dan penyakit adalah berpunca dari sikap manusia sendiri.

Manusia begitu rakus tanpa mempedulikannya.

Ketamakan manusia sekarang untuk menperolehi keuntungan dan kekayaan tanpa memperdulikan generasi akan datang yang akan menanggung akibatnya yang lebih dahsyat.

Inilah harga yang perlu dibayar oleh manusia atas nama pembangunan.

Salah siapa, anda punya jawapannya.
 
 
Di Pulau Pinang, dari jauh anda sudah dapat melihat bagaimana bukit digondol.

Orang yang Rabun juga dapat melihat samar-samar kalaupun tak jelas.

Yang hairan, Pihak Berkuasa Berkenaan butakan mata mereka !

Bila terjadi bencana, barulah menuding jari, mencari pihak mana yang harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan.

Beginikah budaya kerja? Beginikah pemikiran kita?


 


Friday, June 28, 2013

Hishop - Deoproce Hair Essence (100ml)


Rambut itu mahkota wanita.  Kalau begitu tentunya kita perlu menjaga rambut kita sebaik mungkin.
 
Rambut kusut, kusam tidak bermaya? Hilang sinar dan keseriannya.  Atau rambut mudah putus, terbelah pangkalnya atau kering?  Kalau anda mengalami situasi sebegini, usah bimbang.  Produk ini dapat membantu anda mengatasinya.

Bila umur meningkat dan kekerapan penggunaan pewarna rambut untuk menghitamkan rambut yang mula beruban, keadaan rambut menjadi bertambah kering.  Apalagi berambut panjang. Saya tercari-cari dipasaran minyak/esen rambut yang dapat digunakan untuk mengatasi masalah ini.

Masalah saya adalah kebanyakan minyak rambut di pasaran adalah terlalu berminyak.  Ada yang baunya kurang disenangi oleh saya.


 
Deoproce Hair Essence (100ml)
Polimer silikonnya dengan segera membaiki kerosakan rambut.  Penggunaan yang sedikit sahaja dapat menjadikan rambut sihat dan lembut berseri.
 

Dalam pencarian saya, saya menemui suatu produk kecantikan rambut Deoproce Hair Essence (100ml) yang berasal dari Negara Korea DEOPROCE. 
 
Produk ini didapati dari syarikat hishop iaitu syarikat dalam talian yang menjual pelbagai rangkaian barangan solek, penjagaan kulit, rambut, mandian, pewangi, makanan kesihatan dan barangan kecantikan.
 

Deoproce Hair Essence (100ml) di jual dengan harga RM39.90 di hishop - deoproce hair essence. Ditambah belanja pos laju sebanyak RM10.00.  Saya membuat pesanan dalam talian pada 22 Jun 2013 dan barangan sampai pada 25 Jun 2013.  Selain dari barangan yang dipesan, saya juga diberikan sampel percuma 2 produk pilihan saya. Terdapat juga kupon voucher diskaun untuk pembelian produk lain.
 
Bungkusan Pos Laju Dari Hishop
 
 
Bungkusan hishop amatlah menarik dengan warna merah jambu.  Ianya  amat sesuai untuk dijadikan hadiah buat teman, sanak saudara.  Pasti mereka akan menyukainya.  Pilih sahaja rangkaian produk yang ditawarkan di hishop.  Kejutan buat yang tersayang.
Kotak Hadiah Merah Jambu Hishop

Sebaik menerima produk itu, saya mula memakainya.  Saya sukakan baunya.  Dan perkara pertama yang saya perhati adalah ianya tidak begitu berminyak.  Pertama kali mengenakannya, rambut terasa lembut dan berkilat.  Rambut saya juga mudah dibentuk.  Saya amat berpuas hati melihat hasilnya.  Saya teruja melihat perbezaannya walaupun baru beberapa hari menggunakannya.










Serba sedikit mengenai hishop :

HiShop [ sebutan sebagai hai-shop ] adalah stor rangkaian kecantikan dan kosmetik dalam talian di Malaysia, yang hanya memasarkan barangan asli, percaya bahawa kecantikan sepatutnya dapat dimanafaat oleh semua orang – bila-bila masa dimana sahaja.

 

Terima kasih daun keladi
Lain Kali Beli Lagi !!

** Saya tidak perlu keluar untuk membeli belah dan terpaksa menghadapi kesesakan yang memeningkan. Menjimatkan masa saya, itu yang pasti.
 
Nota :  Untuk pesanan lebih dari RM50, belanja kourier adalah percuma !  Saya baru     ketahui dari anak perempuan saya. 

12.08.2013 -  Saudara saya mencuba dan menyukainya, lantas menyuruh saya membuat pesanan baginya.  Semalam saya sudah membuat pesanan di Hishop.

Friday, June 14, 2013

Bila Ajal Mengundang

Mati Itu Pasti..
 
Rakyat Malaysia khususnya rakyat Pulau Pinang dikejutkan dengan tragedi demi tragedi.  2 kejadian selang seminggu.

Khamis lalu 6hb Jun, kita dikejutkan dengan berita keruntuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung.  Pembinaan yang hampir siap dicemari dengan kemalangan yang menyebabkan 1 kematian dan 2 pekerja yang tercedera.
 Runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang

Semalam juga hari Khamis, kita pula dikejutkan dengan berita mengenai keruntuhan serpihan konkrit penebat kilat dari Bangunan Umno di Jalan Macalister.

Runtuhan Konkrit Penebat Kilat menyebabkan jalan mengalami kerosakan teruk
 

Waktu itu, hati saya berdebar-debar.  Saya berdoa semoga tiada kemalangan maut kali ini atau kecederaan teruk yang berlaku.  Maklum sahaja jalan di situ sentiasa sibuk dan banyak bangunan serta kedai makan disekitarnya.

Orang-orang yang ditimpa musibah ini, kalau lelaki mungkin seorang anak, adik, abang, bapa, bapa saudara atau datuk kepada seseorang.  Kalau perempuan, dia mungkin anak, adik, kakak, emak, emak saudara atau nenek kepada seseorang.  Dia mungkin seseorang yang kita kasihi atau kenali. 
 
Hati saya hiba mengenangkan nasib mereka yang di timpa malapetaka itu.  Saya tidak mengenali mereka, saya tidak tahu bangsa mereka, saya tidak tahu agama mereka.  Tetapi saya tahu mereka adalah manusia yang mempunyai sanak saudara dan teman.  Waktu itu, saya doakan agar mereka yang terlibat selamat.

Kita sedia maklum sekarang, kedua-dua mangsa beragama Islam.  Al Fatihah kita sedekahkan untuk mereka.  Bagi mereka yang tercedera, sama-sama kita berdoa agar mereka beransur pulih untuk menjalani kehidupan masing-masing.

 
Jenazah Mangsa Tertimbus Disemadikan di Bukit Merah, Perak  http://mstar.com.my
Jenazah Mangsa Insiden Runtuhan Penebat Kilat Selamat Dikebumikan  http://mstar.com.my 

Begitulah kehidupan.  Ajal itu sesuatu yang pasti.

Hidup yang sesingkat ini, biarlah kita lakukan amalan yang baik.  Biarlah kita jalani kehidupan sebaik mungkin.  Agar bila kita mati, kita akan dikenang dengan segala kebaikan yang kita lakukan.

Lafazkan cinta pada orang yang anda kasihi.  Ucapkan syukur, setiap saat kita masih bernafas.

Kerana kita tidak tahu, mungkin langkah kita keluar dari rumah merupakan saat terakhir kita bersama orang-orang yang kita sayangi.  Hargailah mereka ketika mereka masih hidup kerana tiada gunanya menangis menyesal sesudah seseorang itu tiada.
_________________________________________________________________________________

Pagi Jumaat, 14.06.2013, boss saya bila terdengar berita mengenai kejadian ini, terus bergegas ke lokasi kejadian tersebut.  Sebagai seorang Jurutera Bertauliah, dia ingin melihat dengan lebih dekat situasi sebenar dari mendengarnya melalui lapuran media.

Sepulangnya dari tempat kejadian, kami melihat gambar yang diambil di tapak.
Melihat betapa besarnya konkrit yang runtuh bersama penebat kilat itu, saya berkata kalaulah ada terkena langsung pada kereta, tidak dapat dibayangkan.  Tentunya impak kuat, termampat dan terbenam ke dalam tanah.  Bayangkan konkit yang bertan beratnya, ditambah ketinggian tempat jatuhnya.  Heran juga kata kami, tidak ada yang terkena runtuhan itu secara langsung sebab jalan di situ agak sibuk dan runtuhan konkrit adalah besar dan sudah tentu bahagian jalan yang terkena juga besar.  Apalagi dengan penebat kilat yang panjang. Nasib baik kata kami.


Runtuhan Konkrit Di Tapak Kejadian
Penebat Kilat yang turut jatuh dari Bangunan Umno , Jalan Macalister

 
Namun, lapuran hari Sabtu 15 Jun, membenarkan sangkaan kami.  Sebak dada membaca berita. Entah kenapa airmata ini bergenang.  Korekan di jalan yang pecah mendapati adanya bahagian kereta.  Ianya menyamai kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Cina yang dilapurkan hilang oleh isterinya. Sehingga kini mayat tidak dijumpai. Sebak mengingatkan ada yang kehilangan, anak/adik/abang/ayah/suami.

Terkini operasi menggali telah ditamatkan kerana bimbang struktur bangunan berhampiran akan terjejas oleh pengorekan yang intensif.

Penebat Kilat Runtuh: Polis Adakan Inkues Untuk Sahkan Kematian http://mstar.com.my







Mensyukuri Kehidupan Ini  !
 
 


 

Thursday, June 6, 2013

Pembantu Rumah – Kisah 3

Pembantu Rumah – Kisah 3

 
Selepas saya kembalikan pembantu rumah saya ( Baca kisah : Pembantu-rumah-kisah-2 ), saya digantikan dengan seorang pembantu rumah.  Tentunya saya perlu bayar wang lagi untuk pengganti ini.  Saya tertarik membaca profilnya iaitu kononya dia adalah seorang Ustazah di negaranya ( Indonesia )

Waktu itu anak bongsu saya baru memasuki tadika.  Saya rasa orang yang tahu agama, tentu tingkah lakunya baik dan sesuai untuk menjaga anak-anak saya. 

Malah saya menawarnya untuk mengajar anak-anak saya mengaji Quran kerana waktu itu saya baru berpindah ke perumahan baru dan sukar untuk mendapatkan ustazah/ustaz untuk pengajian anak-anak saya.  Namun dia cuma mengajar beberapa kali disebabkan anak-anak saya langsung tidak tahu apa yang diajarnya.

Saya mendapati perangainya agak pelik.  Asyik-asyik menceritakan kononnya ternampak hantu dan bila kami tiada, ada orang yang tidak dikenali datang di depan rumah.  Dakwanya imigresen.

Anak-anak saya pernah cerita sewaktu pulang dari sekolah, dia tidur di atas lantai dapur. Tapi dia mendakwa dirinya pengsan sewaktu itu.  Bila hendak dibawa ke klinik, dia menolak kononnya dah sihat.

Anak-anak saya pula selalu mengadu wang saku mereka selalu lesap.  Tapi saya tidak mengambil kisah kerana saya jenis yang tidak suka menuduh tanpa bukti.

Satu hari, dia menyuruh saya hantar suratnya ke kampong.  Bukannya nak minta sampul surat dari kita, tapi dilipat kertas dan digam menjadi sampul surat yang buruk betul.  Hati rasa tak sedap, saya koyakkan sampul surat dan mengambil keluar surat.  Tujuan saya nak gantikan yang baru.  Tetapi hati ini terus terdetik untuk membaca surat tersebut.  Rupa-rupanya dia menyuruh keluarganya menghantar telegram memintanya pulang kerana ibunya sakit.  Saya rasa geram kerana sikapnya yang tidak jujur.

Nak dijadikan cerita, saya berpatah balik.  Memasuki perkarangan rumah yang tidak berkunci, saya berjalan memasuki pintu belakang.  Masuk sahaja, saya terkejut besar kerana dia mandi di bilik air yang terletak di dapur dan bilik tidurnya.  Pintu tidak ditutup, berbogel pula. 

Anak gadis saya tinggal berseorangan dengannya waktu itu, sedang tidur.  Bayangkan pintu rumah tak tertutup, mandi pun tidak berkunci..  Ya Allah. Lantas terus saya menyuruhnya mengemas begnya dan hendak memulangkannya kepada agensi.  Waktu itu bila saya periksa begnya, rupa-rupanya ada wang dan rokok.  Padahal bila datang, dia hanya ada wang Indonesia.  Apek kedai serbaneka berdekatan memberitahu, dia pergi membeli rokok dikedainya.  Rupa-rupanya dia gian rokok.  Bila periksa belakang rumah, di bawah pohon berterabur puntung rokok.  Patutlah duit anak-anak asyik hilang.  Beli rokok rupanya.  Saya rasa keadaan mentalnya tidak stabil.  Terus hantar balik ke agensi.  Tidak sampaipun 3 bulan dia bekerja dengan saya.  Saya kerugian.  Namun saya tidak mahu mengambil risiko membiarkan anak-anak saya dibawah jagaannya.

Mungkin anda berpendapat saya cerewet.  Tetapi bagi saya, keselamatan anak saya diberi keutamaan.

Ramai majikan yang awal-awal lagi sudah rasakan perangai pembantu rumah teruk, namun bersabar.

Mungkin memberi peluang pembantu rumah menyesuaikan diri atau berubah sikap.  Mungkin ada yang tidak mahu rugi.  Yalah wang pendahuluan dan gaji pembantu rumah bukannya sedikit. Menyimpan kebencian dan kemarahan di hati masing-masing, akhirnya meletup.

Itu yang terjadi kes majikan mendera pembantu, pembantu mendera anak-anak majikan. 


Selepas beberapa tahun, saya ternampak pembantu rumah itu.  Sedang mendukung bayi kecil dan seorang lain yang berumur lebih kurang 3 tahun.  Majikannya Cina.  Dia ternampak saya, dan cepat-cepat mengalihkan mukanya.  Tetapi saya cam mukanya.  Saya mengurut dada dan saya bayangkan dia yang kurang stabil ini kini menjaga bayi dan anak kecil.  Begitulah mudahnya pembantu rumah memasuki Negara kita walaupun dihantar balik.  Mungkin ada agensi yang cuma ‘recyle’ mereka, tak hantar balik pun. 

Siapa rugi.. Kitalah..  Majikan


 

Tuesday, June 4, 2013

Jenayah Ragut


Selamatkah kita bila jalan bersendirian?  Adakah perasaan gementar bila berjalan pulang ke rumah?

Soalnya apakah keselamatan kita benar-benar terjamin.

 


Cerita-cerita benar yang berlaku ke atas orang-orang yang saya kenali.

Suatu waktu dulu, saya pernah terperanjat melihat lengan teman wanita saya yang lebam biru keunguan.

Katanya beg tangannya diragut orang lelaki bermotosikal.  Berlaku begitu pantas sekali.

Waktu itu pagi, sedang dia keluar dari pintu pagar rumah untuk mengalihkan keretanya.  Disebabkan dia meletakkan 2 kereta sebaris di perkarangan rumahnya, maka untuk keluar dia perlu mengalihkan kereta suaminya dahulu.  Sewaktu keluar dari kereta suaminya, tiba-tiba terasa beg tangannya dirampas secara kasar.  Tangan si peragut dengan pantas terkena lengannya.  Mujur beg tangannya terlepas dan dia tidak terjatuh.  Terkejut beruk katanya.  Lebam dilengannya surut selepas 2 minggu.  Namun trauma yang dihadapinya kekal sehingga hari ini.  Bila terasa motosikal dekat dengannya, ketakutan datang menerpa.

 

Rakan sepejabat, pergi pasar.  Sewaktu jalan ke tempat letak kereta, katanya dia terasa ada motosikal yang ditunggani 2 lelaki yang kelihatan seperti pendatang Indonesia mengekorinya.  Lantas dengan cepat dia berjalan ke arah keretanya dan terasa lega bila masuk ke dalam kereta.  Lalu segera diletaknya beg tangan di tempat duduk hadapan sebelah kiri dan menghidupkan enjin keretanya.  Namun dia tersentak apabila cermin di pintu sebelah kiri dipecahkan.  Dengan pantas, beg tangannya di rentap oleh pembonceng motosikal tersebut.  Katanya dia bersyukur kerana tiada kejadian buruk berlaku padanya walaupun terpaksa membuang masa untuk membuat repot polis atas kehilangan beg tangan yang mengandungi dokumen penting seperti kad pengenalan, kad kredit, kad ATM, telefon bimbit dan sedikit wang.  Dia juga perlu ke bank untuk melapurkan kehilangan kad kredit dan ATMnya.

 

Rakan sepejabat yang baru menyertai syarikat saya juga mempunyai pengalaman pahit.  Sesuatu yang sukar dilupakan kerana terdapat kesan dari peristiwa tersebut.  Sedang dia berjalan dengan rakan-rakan sepejabatnya dulu, tiba-tiba tanpa disedari, dia dihampiri oleh sebuah motosikal.  Dengan pantas, pembonceng motosikal meragut beg tangannya.  Namun beg tangannya itu tersangkut di bajunya.  Dia terjatuh lalu diheret sama.  Rakan-rakannya yang terkejut hanya dapat menjerit sahaja.  Namun dia bernasib baik kerana beg tangan itu terlepas, kalau tidak katanya entah apa yang akan terjadi.  Dia mengalami luka-luka teruk di tangan dan kakinya dan dimasukkan ke hospital.  Parut yang masih ada di kaki dan tangannya sentiasa mengingatkannya pada peristiwa itu.

 
 

Saya juga pernah hampir diragut beg tangan.  Lebih 10 tahun berlalu.  Waktu itu saya berada di Kuala Lumpur.  Biasanya beg tangan saya sangat berat.  Sarat dengan segala bil dan macam-macam lagi.  Bertentangan dengan Citibank, waktu itu ada tempat untuk lepak minum2.  Sekarang bangunan itu sudah tiada lagi.  Sewaktu turun dari kereta, terasa saya ditolak dan beg tangan saya melambung jauh sedikit dari saya dan jatuh di tepi.  Waktu itu,  kakak dan abang ipar baru tiba dan keluar dari kereta dan beg itu jatuh betul-betul dihadapan mereka.  Lalu diambil oleh mereka.  Saya tidak menyedari niat lelaki-lelaki yang membawa motosikal itu.  Saya marah dan hairan jalan sebesar itu, kenapa motosikal itu hampir-hampir melanggar saya. Mujur ketibaan kakak dan abang ipar saya mengagalkan cubaan mereka rupanya.  Selepas itu mereka bercerita bahawa beberapa hari sebelum itu, juga berlaku kejadian ragut beg disitu.  Baru saya sedari rupa-rupanya saya kena ragut tetapi cubaan mereka tidak berhasil.  Terus mengurut dada dan bersyukur.

Tetapi ramai yang tidak bernasib baik.  Di dada akhbar, saban hari ada sahaja berita kejadian jenayah yang semakin berleluasa.  Antaranya kejadian ragut.  Peragut bukan sahaja meragut beg tangan tetapi juga meragut nyawa orang-orang yang tidak berdosa.

 

Bayangkan seseorang sedang melintas jalan, tiba-tiba diragut.  Terjatuh ke belakang, dan kepalanya terhantuk kuat.  Selepas itu koma dan meninggal dunia.  Yang bernasib baik mungkin beransur pulih tetapi kesan saikologi berkekalan.

 


Wanita menjadi sasaran kerana kebanyakan mereka membawa beg tangan yang sekurang-kurangnya ada telefon bimbit dan wang.  Mungkin juga wanita tergolong dalam kategori yang lemah dan tidak akan berlawan balik

 

Komen orang ramai setiap kali membaca berita apabila ada yang meninggal akibat jenayah ragut adalah mengapa lawan balik.  Bukankah nyawa lebih penting dari wang?  Namun reaksi spontan apabila beg tangan ditarik, kita akan tarik balik.  Kerana keadaan berlaku begitu pantas, kita tidak dapat berfikir panjang.

 

 
Saya berpendapat, pasukan polis kita harus memperbanyakkan rondaan.  Lebih ramai anggota polis sepatutnya ditempatkan di kawasan yang menjadi sasaran peragut.  Jalan yang sunyi khususnya.  Pasukan keselamatan haruslah menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas untuk menjaga keselamatan awam dari sebarang jenayah.


Pasukan RELA juga boleh ditugaskan membuat rondaan.


Peragut sepatutnya dikenakan hukuman yang berat setimpal dengan perbuatan mereka. 

Orang ramai perlu juga bekerjasama untuk membanteras jenayah ini. 


Daripada kita asyik mengikut ceramah politik yang tiada kesudahannya, lebih baik orang-orang berkenaan berganding bahu berkumpul untuk membincangkan cara-cara menjaga keselamatan masyarakat di perumahan mereka.  Misalnya RUKUN TETANGGA.  Masing-masing mengambil inisiatif dan membuat rondaan di kawasan perumahan.  Bukan sahaja untuk membanteras jenayah ragut malahan jenayah lain yang menggangu gugat keselamatan penduduk perumahan.

 
Jangan asyik menuding tangan ke arah pasukan keselamatan sahaja.  Sama-samalah membantu untuk membanteras jenayah.


Jangan tunggu sehingga ada mangsa lagi baru bertindak.  Mangsa mungkin kenalan, adik beradik atau sesiapa sahaja.

 
Berdoa semoga dijauhkan segala musibah !

06.06.2013 Suri Rumah Hamil Lima Bulan Nyaris Maut Diragut http://mstar.com.my