Dan suatu yang pasti, kejadian menembak ini lebih
tertumpu kepada satu golongan/kaum. Saya
tidak pasti samada ianya disebabkan pergaduhan gangster, perebutan kuasa atau
dendam kesumat. Tetapi nampaknya
pembunuh upahan semakin rancak menjalankan aktiviti dan tugasan mereka iaitu
untuk membunuh. Kalau pembunuh upahan,
pastinya mereka di bayar untuk melakukannya.
Aksi berani ini seumpama di dalam filem yang kita tonton.
Ini bererti keselamatan kita juga terancam. Kita mungkin bukan sasaran mereka. Tetapi kita mungkin tidak bernasib baik dan
berada di tempat salah. Nyawa kita
mungkin melayang dalam beberapa saat. Nampaknya nyawa kita bak di hujung
rambut.
Begitu mudah mereka mendapat bekalan senjata
api. Apa dah jadi dengan pihak
imigresen? Apa dah jadi dengan pihak
polis? Bukankah pasukan keselamatan dan
pihak polis tugasnya melindungi rakyat?
Gerun bila saya memikirkan, Malaysia yang dahulunya
selamat, kini didalangi oleh manusia yang tidak berhati perut, bebas melakukan
jenayah dan dapat meloloskan diri dari ditangkap.
Apakah kerana kebanjiran pendatang tanpa izin yang semakin ramai sehingga suatu hari nanti tidak terkawal. Ragut, samun, rompak, rogol, culik, bunuh boleh berlaku di hadapan kita. Kita mungkin menjadi mangsa. Apakah strategi pihak polis untuk menandangani isu-isu yang semakin serius ini ? Bukankah tugas mereka untuk memastikan si penjenayah ditangkap dan diletakkan di dalam penjara?
Namun apa akan terjadi, sekiranya mereka yang
diberi tanggungjawab untuk melindungi kita tersasar dari amanat mereka dan
mereka ini yang mengancam kehidupan kita?
Beranikah kita melapurkan rasuah yang terjadi di kalangan
mereka yang mempunyai kuasa, kedudukan dan harta? Beranikah kita lapurkan
salahlaku penjawat kerajaan? Beranikah
kita tampilkan diri bilamana kehidupan kita serta keluarga kita tergugat?
Begitu buruk tanggapan orangramai terhadap pihak
polis, sehingga bila ada sekatan kereta yang diadakan, di dalam hati sudah
mengagak mereka ini mahukan wang. Dan
sememangnya ini yang berlaku tetapi siapa berani bersuara?
Begitu juga pekerja di sektor kerajaan. Rasuah berleluasa, semua orang tahu. Namun mulut terkunci kerana tiada sesiapa
yang mahu terjerat. Sememangnya sebagai
orang Islam saya malu bila ada teman-teman yang mengatakan si polan dalam bulan
Ramadan ini masih meminta wang habuan untuk memudahkan sesuatu urusan
dijalankan. Maklum sahaja sudah hampir
menyambut Raya.
Lantas saya bertanya mengapa harus kita layan
kehendak mereka. Pada saya ‘Government Servant’
sepatutnya memberi khidmat kepada kita rakyat yang sebenarnya membayar gaji
mereka. Sebabnya kita rakyat Malaysia membayar cukai. Selalunya
jawapan yang saya terima adalah kerana bukan semua urusan yang dapat dipenuhi
dengan sempurna. Tanpa ’habuan’ setiap
kekurangan akan dijadikan alasan untuk menolak permohonan/urusan kita. Jadi urusan menjadi semakin sukar dan
mengambil masa terlalu panjang. Surat
dan dokumen malahan fail yang dikemukakan pun boleh ‘ghaib’. Ada yang sengaja melambatkan maklum balas, melengahkan kelulusan sesuatu permohonan. Lantas mahu tidak mahu. ‘habuan’ terpaksa di
beri.
Tak percaya pada saya? Tanyalah pada setiap rakyat Malaysia. Dengar cerita dan kisah mereka yang
berhadapan dengan kekecewaan apabila berdepan dengan ‘Government Servant’. Yang korup, penyalahgunaan kuasa, curi tulang, tidak amanah, malas
dan sebagainya.
Saya akui ada yang menjalankan tugas dengan penuh
amanah. Tetapi bila diletakkan di persekitaran
kerja yang penuh dengan pekerja-pekerja yang mempunyai sikap buruk dan negatif,
akhirnya yang baik pun terikut, mungkin dalam keterpaksaan. Janganlah kerana 'nila setitik, rosak susu sebelanga'. Kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Anda.
Hari ini kita dikejutkan dengan berita kejadian
menembak Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan.
Kejadian tembak ini dikatakan ada kaitan dengan pendedahannya mengenai
salahlaku pihak polis.
Sila baca :-
28-07-13 Mstar online
Menggeleng Kepala !!! Apa Nak Jadi ?? Malaysia Oh Malaysia ? |