Friday, September 6, 2013

Kereta Dilanggar - Apa perlu Anda Buat !! ( Bahagian 2 )

Sambungan dari Bahagian 1

** Catatan :  Ini kes Tuntutan ke atas kenderaan komersial.

12 Ogos 2013 - Saya tiba di balai polis hampir 7 malam.  Tanpa membuang masa, saya terus masuk, memberitahu saya ingin membuat lapuran.  Saya disuruh mengambil nombor.  Lepas itu saya duduk di sofa menunggu giliran.  Di depan saya ada 3 anggota polis yang mengambil aduan.  Sebenarnya 2 yang buat. Seorang duduk entah tulis apa.  Saya terdengar perbualan antara anggota polis dengan pengadu yang terdiri dari anak lelaki dan ibunya.  Kononnya anaknya keluar dari bank dan dengan tidak semena-mena menyerahkan wangnya kepada seorang perempuan.  Polis itu lantas menelefon perempuan itu lalu menyuruhnya memulangkan wang itu dan sekiranya perempuan itu tidak berbuat demikian, repot akan dibuat keatasnya.  Agak mengelirukan kerana kenyataan pemuda itu seperti tidak logik. Pemuda ini nampak gaya kurang cerdik sikit, itu yang boleh ditipu. Namun, polis itu dengan sabar melayannya. 

Seorang  polis wanita lagi melayan aduan seorang lelaki.  Bila tiba giliran seorang wanita yang mendukung anaknya bersama suaminya, dia meminta supaya anggota polis wanita itu membenarkannya menaip sendiri repot yang ingin dibuatnya.  Duduk dihadapan komputer lalu menaip.  Di dalam hati kecil saya berkata, “ selepas ini, saya pun hendak taip sendiri”.  Sebaik sahaja wanita itu habis buat repot, cepat-cepat saya mendekati polis wanita itu dan menyatakan hasrat saya.  Sebaik sahaja saya memberitahunya saya ke situ untuk membuat repot kemalangan kereta, saya diberitahu bahawa di situ bukan tempatnya.  Rupa-rupanya situ adalah bahagian repot jenayah.  Alahai selepas 45 minit menunggu.  Ada juga orang yang datang kemudian saya juga tersilap dan menyedarinya selepas terdengar perbualan polis wanita itu.

Lantas kami pun bergegas ke bilik satu lagi.  Mengambil nombor dan sementara menunggu, saya diberi kertas untuk menulis repot saya.  Beberapa contoh lapuran kemalangan dilekatkan di dinding bagi kemudahan orang-orang yang ingin menulis repot sendiri dan diserahkan kepada anggota polis yang berada di situ.  Mungkin cara begini lebih cepat memandangkan kebanyakan orang sekarang sudah kenal huruf.

Habis sahaja lapuran saya diambil dan ditaip, sesalinan diberikan kepada saya.  Gambar kereta saya telah diambil oleh anggota polis.  Saya diminta masuk berjumpa dengan pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya.  Katanya dalam sesuatu kemalangan, kita diberi 24 jam untuk membuat lapuran melainkan kes orang terlibat berada di hospital.  Dibolehkan dia membuat lapuran selepas keluar hospital.

Pengawai polis itu meminta saya menceritakan detail kemalangan yang terlibat.  Oleh kerana saya mempunyai butir-butir pemandu yang melanggar kereta saya, saya pun kemukakan padanya.

Dia menyuruh saya mengambil salinan repot polis dan keputusan siasatan kemudian.
Saya diberi salinan surat akuan penerima repot yang mempunyai maklumat kemalangan termasuk nama, ID dan nombor telefon bimbit pengawai penyiasat.

Dalam pada itu, saya menelefon agen workshop yang saya pilih agar mengambil kereta saya keesokannya.  Dan menyatakan hasrat saya yang mahukan mereka menuntut insuran pihak yang melanggar saya bagi pihak saya tanpa perlu saya mengeluarkan wang.  Dia memberitahu akan mencuba untuk berbuat demikian.

Malam keesokannya 13 Ogos 2013, saya menelefon pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya dan bertanya samada pemandu lori ada membuat repot polis.  Katanya ada.

Selepas saya menelefon workshop dan bertanya samada mereka mempunyai salinan lapuran polis saya dan pihak satu lagi.  Saya dimaklumkan mereka sudah ada kedua-dua repot.  Tapi keputusan siasatan belum lagi.  Keputusan ini adalah penting untuk menentukan samada dapat menuntut dari insuran lori tersebut.  Kalau keputusan memihak pada saya, pihak satu lagi akan didenda RM300.00  Saya berpendapat keputusan siasatan bukanlah susah dikeluarkan memandangkan lapuran pihak satu lagi adalah konsisten dengan lapuran saya. 

Bila saya telefon pengawai itu, katanya surat keputusan sudah dikeluarkan.  Namun 2 kali anak saya ke kaunter, tetapi dimaklumkan surat tersebut belum ada.  Ishh bila saya call pengawai, dia kata sudah keluarkan.  Lalu saya mengambil cuti pada 23 Ogos 2013 dan pergi ke balai untuk mendapatkan surat tersebut.  Alhamdulillah tidak sia-sia cuti saya kerana saya berjaya mendapatkannya (tarikh surat 15 Ogos 2013) dan terus menyerahkan kepada pihak workshop.  Pihak workshop ada memberi saya beberapa surat untuk ditandatangani.  Antaranya, seingat saya adalah surat tuntutan insuran kepada pihak satu lagi, dan surat penerimaan bahawa kereta yang melebihi 5 tahun, alatgantinya adalah dari yang terpakai ataupun produk dari Taiwan.  Bukan yang asli.

Anak saya ingin menggunakan keretanya untuk pergi ke KL.  Tanpa kenderaan, rasanya umpama patah kaki.  Saya meminta pihak workshop untuk cuba sedaya upaya menyiapkan kereta saya . Pada 05 September 2013, kereta saya dikeluarkan dari workshop. Saya tidaklah merungut ke atas pembaikian atau hasil kerja workshop ini.   Pagi tadi saya menggunakannya ke pejabat.  Namun saya rasa ada sedikit masalah di bahagian pintu tutup bonet belakang kereta.  Mungkin disebabkan impak kuat pada belakang pintu itu, tempat tutupnya turut terjejas.  Sebab setiap kali buka bonet belakang, saya terpaksa tutupnya berkali-kali, kalau tidak kereta akan berbunyi.  Esok saya akan bertanyakan kepada pihak workshop.  Sekurang-kurangnya layanan workshop ini adalah lebih baik dibandingkan workshop di mana kereta anak saya dibaiki dahulu.

 
 

Saya tidaklah keterlaluan meminta ini dan itu.  Ini adalah kerana saya sedar, sekiranya si pemandu lori tidak bertanggungjawab terus melarikan diri, saya terpaksa menanggung kos membaiki kereta saya.

Dalam saya melihat pembohongan dan kejahatan yang berleluasa di dalam realiti kehidupan ini, saya juga dipaparkan dengan kejujuran dan kebaikan. ( Si pemandu lori ini adalah contoh terbaik )

____________________________________________________________________________

Saya rasa mungkin anda juga ada pengalaman menghadapi situasi dimana bila anda menghadapi kemalangan, fikiran jadi buntu.  Pelbagai persoalan timbul, apa perlu dibuat,  siapa yang perlu dicari dan sebagainya. Kekadang dalam keadaan kita terdesak, banyak pihak hadir untuk mengambil kesempatan !

Mungkin anda boleh berkongsi pengalaman di bawah catatan komen blog ini.  Mana tau ianya dapat membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah berdepan dengan tuntutan insuran atau pihak yang mengambil kesempatan.  Di harap melalui pembacaan blog ini dapat sedikit sebanyak memberi menafaat.
 

** Taukah anda bahawa kes tuntutan kemalangan masih boleh dibuat kepada pihak satu lagi asalkan tidak melebihi 7 tahun.  Jadi jangan terkejut bila kes kemalangan yang anda fikir sudah ‘settle’ maksudnya mungkin anda sudah membayar pihak satu lagi dan tidak buat repot, tetiba suatu hari anda menerima surat dari peguam yang menuntut gantirugi dari insuran anda !




 

 

 

Kereta Dilanggar - Apa perlu Anda Buat !! ( Bahagian 1 )


Atau Apa saya buat  ( Ini cerita saya )

Kata orang, malang tak berbau.  Memangpun.

Selepas cuti panjang menyambut Hari Raya Aidil Fitri, saya kembali bertugas.  Timbunan fail-fail perlu diselesaikan, namun saya pasrah kerana bagi saya tugasan itu merupakan amanah yang perlu saya jalankan.

12 Ogos 2013, hari pertama selepas kembali bertugas, kira-kira jam hampir 5 petang, saya dikejutkan dengan kedatangan seorang pemuda Melayu ke pejabat bertanyakan siapa pemilik kereta yang nombornya disebut olehnya.  Lantas saya pun bangun bergegas melihat apa yang terjadi.

Terkejut beruk bila saya nampak tempat saya pangkir kereta, ada sebuah lori cement mixer disitu.  Biar betul, tadi kereta sayakan diletakkan di situ, kata hati kecil saya.

Bila keluar dari pejabat dan pandang benar-benar di hadapan pintu masuk, tu dia kereta saya.  Depan telah terlanggar kereta teman sepejabat saya.  Ishh apa dah jadi?

 
Rupa-rupanya kata si pemandu lori, dia meletakkan lorinya agak jauh seberang sana dan keluar membeli makanan.  Bila dia kembali, lorinya sudah berada di tempat letak kereta saya dan kereta saya sudah terseret ke hadapan.  Katanya breknya mungkin putus dan lori bergerak dengan sendirinya ke depan dan melanggar kereta saya.

 
Punyalah cepat, bebudak tarik kereta datang.  Saya pun rapla, kata orang Penang.  Pening..  Tapi hati ini memujuk.. cool down…

Lalu teman sepejabat melihat belakang keretanya dan mendapati hanya sedikit sahaja yang terkena malahan takda yang kemek.

Kereta saya pula lain cerita.  Depan nombor plat pecah, belakang pun pecah jugak. 

 
 
Lalu teman saya mengambil segala butir-butir si pemandu iaitu kad pengenalannya, syarikat majikannya dan nombor telefon bimbitnya.  Bebudak tarik kereta sudah sibuk mengelilingi kami.  Saya tidak membenarkan mereka menarik kereta saya ke workshop mereka kerana setahu saya selepas itu sekiranya kita ingin menukar workshop lain terpaksa membayar mereka.

Apa lagi saya cepat-cepat menelefon anak lelaki saya.  Sebabnya baru-baru ini, dia juga terlibat dalam kemalangan kereta.  Keretanya masuk workshop, dahlah lama, hasil kerja memang teruk.  Bayangkan baru keluar dari workshop keretanya berasap.  Saya yang mengikutnya dari belakang cepat-cepat menelefonnya.  Pusing balik ke workshop, rupa-rupanya ada satu fius enjin yang dah terbakar dan pekerja workshop kononnya tak perasan.  Nasib baik anak saya memang pakar dalam hal kereta, kalaulah saya, alamat dah terbakar.  Minta simpanglah.
Lepas itu bila dia jalan lagi, temperature naik terus.  Lantas dia segera pandu kepada workshop lain yang sering dia hantar dan nasib baik bateri keretanya masih dalam jaminan dan digantikan  dengan yang baru.  Seperkara lagi, sewaktu kereta dimasukkan ke workshop yang tarik kereta semasa kemalangan, seingat anak saya cermin kereta tidak retak.  Namun selepas itu bila dia pergi jengok di workshop, terdapat keretakan dan kata mereka cermin tidak dapat diganti kerana insuran tidak melindunginya.  Menyesal hantar ke workshop itu dan buat tuntutan insuran, kalau tau beginilah hasilnya baik keluar duit sendiri. 
Sebabnya, selepas itu anak saya terpaksa menghantar semula keretanya ke workshop lain yang ada pekerja mahir mengendalikan kereta jenisnya.  Dahlah tuntutan yang dibuat ke atas insuran tinggi, namun hasil yang diperolehi menghampakan.  Apalagi NCBnya turut hilang. Hmm..  Inilah realiti.. semua tahu tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Lantas saya menelefon saudara saya.  Dia memberi saya nombor telefon agen workshop yang dikenalinya.  Bila saya telefon, dia menyuruh saya membuat lapuran polis.

Katanya saya mempunyai 2 pilihan.  Pertama, keluar wang sendiri bayar kos membaiki kereta saya dan kemudiannya menuntut balik wang itu dari pihak Insuran.  Ini adalah kerena kereta yang melanggar saya adalah kenderaan komersial dan saya perlu menuntut 3rd party insurannya.  Itupun kalau keputusan polis nanti menunjukkan dia bersalah.  Katanya ada orang yang menuntut wang insuran mereka sehingga 2 tahun baru dapat semula.  Saya tidak pasti kesahihan kata-katanya.

Kedua, saya menuntut dari insuran saya sendiri.  NCB saya 55% hilang.  Saya tidak perlu mengorek keluar duit sendiri.  Namun saya tegas enggan memilih opsyen ini kerana saya berpendapat bukan salah saya.  Saya tidak mahu kehilangan NCB saya.

Nasib baik kereta masih boleh bergerak, lepas kerja saya bergegas ke balai polis.

( bersambung – Bahagian 2 )

 

Monday, August 26, 2013

Petua – Hilangkan Sakit Barah Gigi / Gusi


Aduh Sakitnya !!
 

Maksud Petua : Nasihat, petunjuk, atau panduan yg ber­guna (biasanya oleh orang tua-tua atau yg berpengalaman) tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu dgn berkesan.

Petua yang di amalkan oleh orang dulu-dulu selalunya menggunakan bahan-bahan semulajadi yang murah dan senang di dapati pada waktu itu di kampong.  Daun-daun yang tumbuh liar boleh didapati percuma. 

Petua-petua turun temurun yang berkesan seharusnya dipraktikkan dan tidak dibiarkan hilang dari pengetahuan generasi akan datang.

Apabila kita menghidapi kesakitan, amalan petua sekurang-kurangnya dapat mengurangkan atau meredakan kesakitan sebelum kita berjumpa dengan doktor.  Kalau terus sembuh, tidak perlu jumpa doktor atau beli ubat di farmasi.  Jimat.

Seringkali kita menghidapi sakit barah gigi/Gusi.  Sakitnya bukan calang-calang sehinggakan hendak makan pun jadi tiada selera dek kesakitan.

Berikut petua yang saya ingin kongsikan bersama anda.  Petua ini adalah dari buku Petua Jelita yang saya beli sewaktu baru-baru mendirikan rumahtangga.  Buku itu saya simpan dengan baik sehingga kini.


Petua  1.  Kumur dengan garam.  Atau perlahan-lahan lumur garam di tempat yang sakit. 

Daun Semalu
 
Petua 2.  Ambil Daun Semalu. Campurkan kapur dan ramas sehingga ia mengeluarkan buih pekat.  Titis sedikit air ke dalamnya.  Lumur buih pekat di pipi yg bengkak.  Petua ini akan menolong mengatasi kesakitan anda.

 
 
 
 
Buah Nona
 
Petua 3.  Rebus kulit buah nona dan 2 batang bayam yang dibersihkan bersama 2 gelas air sehingga tinggal 1 gelas.  Sejukkan air rebusan dan jadikan air untuk berkumur.  Kumur berkali-kali.  Sapukan air itu sedikit di pipi kanan dan kiri hingga ke paras tengkuk.
 
 
 
 
 
 

Daun Senduduk
 
 
Petua 4.  Ambil akar senduduk, 2 keping asam keping ( asam gelugur ), sebuku garam dan 3 gelas air.  Campur dan rebus sehingga menjadi 2 gelas air.  Gunakan air rebusan untuk berkumur 2 kali sehari.  Selain menghilangkan bengkak gusi, ia juga boleh menguatkan gigi.






Kata Orang Tiada Rotan, Akar Pun Berguna !!!



Saturday, August 24, 2013

Erti Sebuah Kehidupan

Pada kalian yang pernah :-
Mengenaliku
Mendekatiku
Membimbingku
Menasihatkanku
Menemaniku
Memahamiku
Memujiku
Menyayangiku
Mengembirakanku
Menyintaiku
Menyanjungiku
Memilikiku
Membenciku
Menjauhiku
Mendustaiku
Mencaciku
Mengkhianatiku
Menyedihkanku
Meninggalkanku
Aku ingin berterima kasih pada kalian.
Kerana kalian mengajar aku tentang realiti kehidupan ini.
Tentang kasih sayang, harapan, kegembiraan, kepuasan, ketabahan, kesedihan, kehampaan, kelukaan, kesakitan, kesengsaraan, kekuatan dan keberanian.
Kalian mengajarku tentang erti sebenar sebuah kehidupan.
 
 
This is my Life !!!
 

Friday, August 16, 2013

Pil Menguruskan Badan & Sibutramine

Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik untuk wanita khususnya yang beragama Islam untuk menurunkan berat badan.  Selain dari segi kewajipan agama untuk berbuat demikian, kebaikan berpuasa ini juga telah terbukti.  Bila berbuka, makan seperti biasa. Jangan pula makan seperti orang yang kebuluran.  Sebab itulah ada ramai yang berpuasa tetapi berat badan tidak menurun tetapi sebaliknya meningkat. Hairan bukan?

Makan berdikit-dikit, banyak kali.  Perut yang kosong pun tidak terkejut tetiba diisi dengan makanan yang begitu banyak.  Seperti dalam kebanyakan perkara di dalam hidup kita, kesederhanaan merupakan kunci kepada segala kebaikan.

Selepas Ramadan, teruskan amalan berpuasa atau mengurangkan makanan.  Mungkin kurangkan 1 kali santapan setiap hari.  Rasa-rasanya yang paling afdal adalah makan malam.  Bagi yang bukan Islam, juga disyorkan berbuat demikian, selain berpeluang merasai apa yang dialami oleh rakan-rakan  Islam anda, apa yang dilalui oleh orang yang tidak berkemampuan dan kelaparan, mengurangkan perbelanjaan dan menurunkan berat badan. Nah hebat bukan??

Jangan pula kurang makan, badan pula malas bergerak.  Saya lihat di kala bulan Ramadan, pekerja awam selalu kurang bermaya dan beruntung dapat pulang awal.  Saya yang bekerja di syarikat swasta walaupun berpuasa, lebih aktif.  Itu yang selalu boss saya hairan bila dia bandingkan saya dengan pekerja awam.  Bagi diri saya, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menjadi malas dan kerja bertimbun yang menanti harus dibereskan.

 
Berbalik pula topik mengenai penurunan berat badan, nampaknya pil dan ubat-ubatan adalah lebih terkenal dikalangan wanita.  Maklum sahaja rata-rata wanita ingin kelihatan kurus dan akan mencari jalan untuk kekal langsing.  Perubahan berat badan selepas melahirkan anak, ditambah dengan gangguan metabolism, nafsu makan yang semakin menjadi-jadi. Lemak mula berkumpul di bahagian perut, paha dan lengan amat merisaukan kaum wanita. 

Jadi jalan paling mudah adalah pengambilan pil, serbuk atau ubat-ubatan yang menjanjikan dan menampakkan hasil yang cepat.

Logiknya penurunan berat badan yang mendadak adalah tidak baik.  Badan kita perlu waktu untuk menjadi kurus secara semulajadi dan selamat. 
--------------------------------------------------------------------------------------------

Terbaru saya terbaca berita mengenai produk menguruskan badan yang mengandungi Sibutramine (bahan ini diharamkan di Malaysia) dan negara luar.

Baca artikel mengenai Sibutramine http://en.wikipedia.org

Sibutramine, meskipun mengurangkan nafsu makan, ianya telah dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung dan strok. 

Akhbar The Star Super-slimming-pill-harmful-to-health  baru-baru ini melapurkan bahawa ada pil menguruskan badan yang mengandungi bahan tersebut yang dijual  secara online kepada pengguna yang tidak tahu kesannya.  Pendedahan oleh beberapa wanita yang mengalami pening kepala, sukar tidur dan palpitasi (jantung berdebar-debar) kesan sampingan dari pengambilan pil itu.
---------------------------------------------------------------------------------------------

Bernasib baik kerana berat badan kekal dari dulu sehingga kini !

Pada pendapat saya tiada jalan pintas kepada semua perkara.  Kalaupun ada pil yang boleh diambil, ianya sekadar membantu anda untuk proses menguruskan badan. Dan ianya akan mengambil masa.  Kuncinya adalah pengambilan makanan dan diet yang betul, disamping senaman. SENAMAN !

Kalau ada yang menjanjikan hasil serta merta, maka awaslah.  Semak apa kandungan bahan-bahannya.  Di Era ini, semua semakan dapat di buat di talian.  Taip sahaja nama-nama bahan yang anda langsung tak faham, anda akan dapat membaca penerangannya.

Teringat beberapa tahun dahulu, seorang artis wanita Singapura menghidapi kerosakan hati akibat pengambilan ubat/pil menguruskan badan.  Dia bernasib baik kerana kekasihnya ( salah seorang pelakon drama sitcom Phua Chu Kang ) menderma sebahagian hatinya kepada wanita itu.  Ada seorang lagi, wanita India yang mengalami nasib sepertinya, tetapi tidak tahu pula apa jadi akhirnya.
Ada pula pil/serbuk yang membuat perut anda memulas dan cirit birit.  Seolah-olah memaksa apa-apa yang dimakan keluar serta merta.  Kononnya dengan serta merta mencuci minyak / lemak yang anda ambil, jadi anda tidak perlu gusar makan banyak. Hmm betulkah??

Kesihatan kita merupakan harta terpenting buat diri kita.  Tiada gunanya mempunyai badan yang langsing dan menawan sekiranya kesihatan kita merosot.  Apalagi membayar ratusan, ribuan ringgit untuk makan bahan yang membahayakan kesihatan kita.  Bodohnya kita !
 
 

Belasah Isteri - Keganasan RumahTangga


Lelaki Belasah Isteri Dalam Lif Serah Diri Kepada Polis
 
 

 
PUKUL ISTERI...Lelaki yang dipercayai memukul isteri di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (dua, kanan) diiringi anggota Polis ketika menyerah diri di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang pada Khamis. Suspek menyerah diri 4.30 petang selepas menyedari dirinya menjadi buruan Polis. -Foto BERNAMA
 
 
GEORGETOWN: Lelaki yang menjadi buruan polis selepas membelasah isteri dalam lif sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Isnin lalu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan jam 4.45 petang Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 36 tahun itu menyerah diri pada pukul 4.45 petang.
"Saya dimaklumkan oleh IPD Kuantan, lelaki yang dikehendaki polis Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung rakaman CCTV yang membelasah isterinya telah menyerah diri di sana.
"Kita akan bawa lelaki itu balik ke Pulau Pinang bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan berhubung kejadian itu," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.
Rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Sementara itu, beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat hari ini melawat mangsa di rumahnya di Mengkuang.
 Petikan berita 15.08.2013 http://mstar.com.my
Inikah balasan kasih sayang dan pengorbanan seorang isteri?  Disepak terajang, dipukul sesuka hati.
Inikah harga sebuah perkahwinan? Kalau beginilah layanan seorang suami pada isteri, lebih baik wanita di dunia ini kekal tanpa pasangan.
Saya ingin memetik kata-kata dari si mangsa yang telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu selama 12 tahun dan mempunyai 3 anak.  Katanya, ‘Saya telah lama memendam perasaan selama ini setelah dia mengambil isteri kedua.  Saya menguruskan segala perbelanjaan rumah dan dia hanya mengirim sejumlah kecil wang untuk anak-anak.”
Bayangkan ketakutan di hati 2 anak-anaknya yang terpaksa menyaksikan perlakuan kejam ayah mereka terhadap ibu mereka. 
Selalunya isteri yang didera memendam rasa menahan keperitan hidup demi anak-anak.  Sentiasa berharap si suami akan berubah sikap menjadi lebih baik.  Senyum dalam tangisan. Bersabar.  Namun setiap kesabaran ada hadnya.  Saban hari dijadikan tempat melepaskan geram.  Badan sentiasa lebam, mata bengkak2.  Balik bila suka untuk melepaskan nafsu seolah-olah isteri itu pelacur.  Tanya sedikit diherdik.  Masak makanan, katanya tak sedap.  Segala perbuatan kita semuanya salah.  Begitulah nasib kaum hawa yang mendapat insan (haiwan) bernama suami yang tidak berperikemanusiaan dan tidak menghargainya.
Satu golongan lagi dari segi fizikal, anda tidak akan melihat dan tidak dapat menghidu keperitan mereka.  Namun mereka makan hati dan memendam perasaan. Suami mereka melayan mereka seolah-olah mereka ini tidak wujud.  Sentisa merendah-rendahkan kemampuan isteri sehingga isteri menjadi rendah diri.  Tiada keyakinan.  Ada yang suka memaki hamun isteri.  Membuat si isteri tidak dihargai langsung.  Apalagi kalau si isteri bergantung sepenuhnya kepada si suami.  Berkahwin lagi walaupun tidak mampu dari segi kewangan.  Bila tertekan, mulalah isteri menjadi sasaran.  Isteri rasa dikhianati, kecewa, menangis keseorangan, si suami pula bukan main ligat dengan isteri baru.  Adil?  Hmm jangan harap.  Bila berhujah kononnya hendak ikut sunnah nabi walhal yang asas pun tak buat.  Bukankah peranan suami membimbing isteri dan anak-anak ke arah kebaikan?  Kalau menunjukkan kemarahan dan keganasan, bagaimana isteri dan anak-anak hendak menghormati anda? Inikah sikap yang anda ingin anak-anak anda contohi?  Kalau anda isteri dalam kategori ini, dan sekiranya perasaan sedih dan depresi ini berterusan, pastinya anda akan sakit dan kemurungan.
Justeru itu, wahai perempuan, sebelum kahwin bukalah mata seluas-luasnya.  Jangan hanya kerana mabuk bercinta, anda buta.  Kalau sebelum kahwin, perangainya sudah bengis dan mudah naik darah, itulah petandanya.  Jangan fikir selepas kahwin dia akan berubah untuk anda.  Pasangan anda seharusnya berubah kerana dirinya bukan anda.
Sebenarnya kita kaum wanita khususnya isteri, kemelut yang kita hadapi, kita yang harus membuat keputusan.  Samada kita tetap berdiri teguh dan terus dibuli sepanjang hidup kita atau berlalu pergi.  Tiada sesiapa yang boleh menentukannya.  Jawapannya ada pada kita.  Orang hanya berkata-kata namun kita yang terpaksa menghadapinya.
Berbaloikah pengorbanan kita? Mungkinkah dia akan berubah?  Anda yang lebih mengenalinya.  Kalau jawapannya tidak, anda sudah ada jawapannya.
 

Wahai Suami - Sayangilah & Hormatilah Ibu Anak-Anakmu



 

 

Saturday, August 10, 2013

ePure Membranous Jelly Masque - Review



ePure Membranous Jelly Masque adalah gagasan makmal penjagaan kulit terkemuka di Taiwan yang diketuai oleh Dr Yulong Moy dari USA.

ePure Membranous Jelly Masque merupakan masker muka pertama dari jenis masker dengan ACF (Active CElular Factor), diformulasi untuk penghidratan intensif, meningkatkan kelembapan kulit sehingga 30-50%. Ianya berfungsi untuk mengekalkan dan mengimbangi kulit dengan menanggalkan kekotoran/bendasing seperti jerawat hitam (blackheads)/(whitehead) dengan  berkesan dan segera. Ianya juga menyekat sintesis melanin yang mana mengurangkan pigmentasi, mengimbangkan tona kulit yang tidak sekata dan menjadikan kulit anda lebih cerah.

Buatan Taiwan. Sesuai untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitive dan sesuai untuk semua peringkat umur ( 8 – 80 tahun ), wanita dan lelaki.

 
 
Ianya boleh di dapati dalam bentuk :-
1.    Jar  ( 8.5 fl oz/250ml ) dengan harga RM130.00 untuk Semenanjung Malaysia dan
       RM140.00 untuk Malaysia Timur.

2.    Paket (30ml x 6 paket ) dengan harga RM89.90

 
Kini boleh di dapati di http://www.hishop.my/

Cara Penggunaanya :-
1.    Selepas membersihkan muka, gunakan toner sebagai asas.
     (Gunakan serum untuk   kesan yang    lebih baik)

2.    Gunakan pengikis untuk meratakan masker ke seluruh muka setebal 0.3-0.5cm.
      Kenakan lebih di kawasan hidung, T-zon dan kawasan berpigmen.

3.    Kikis masker dengan lembut selepas 30-40 minit.
     Selepas itu, bilas dengan air dan lap kering.

4.    Gunakan toner dan seterusnya rangkaian penjagaan kulit muka anda.

5.    Masker boleh digunakan di kawasan keliling mata untuk mengurangkan
     gelung hitam di bawah mata.


Hasil segera dalam 40 minit :-

1.    Kulit muka yang lebih cerah

2.    Tona kulit yang lebih sekata

3.    Liang pori lebih halus

4.    Pipi pejal

5.    Garis ketawa berkurangan

6.    Tompok jerawat & kemerahan berkurangan

7.    Jerawat hitam (blackheads) berkurangan.

 


Bagi hasil yang terbaik, adalah disyorkan penggunaannya 2 – 3 kali seminggu untuk kulit muka berminyak dan 1 – 2 kali seminggu untuk kulit muka yang kering.

Bagi mereka yang kulit suka berjerawat, anda akan terasa kulit kurang berminyak keesokan hari walaupun hanya sekali kali menggunakannya.

Bagi mereka yang menggunakan mekap setiap hari, mekap anda akan tahan lebih lama selepas penggunaan ePure.

Bagi kulit yang matang, anda akan dapat melihat garis halus berkurangan selepas kali kedua penggunaannya.  Kulit menjadi lebih anjal dan elastik.

Anda tidak perlu ke salon untuk facial, sekiranya kerap menggunakan ePure kerana hasilnya adalah sama.

Sila lawat website http://epureskin.com untuk maklumat yang lebih terperinci.

 


Sebenarnya saya pernah menggunakan produk seperti ini beberapa tahun dahulu.  Ketika itu saya selalu berkunjung ke salon untuk membuat rawatan muka.

Saya dimaklumkan oleh perunding kecantikan salon tersebut bahawa ianya merupakan salon pack.  Disebabkan tiada berjenama ketika itu, apa yang saya ingat adalah ianya dalam bentuk jeli.  Saya gemar menggunakannya di kala itu kerana setiap kali selepas menggunakannya, kulit muka saya terasa begitu bersih, cerah dan yang paling penting adalah ianya memberi kelembapan kepada kulit muka saya.

Saya simpan di dalam peti sejuk dan setiap kali memakainya, terasa begitu nyaman dan menyejukkan.  Saya amat gemarkan baunya yang seakan vanilla dan semulajadi.

Namun disebabkan produk-produk lain yang diperkenalkan oleh salon begitu mahal dan rawatannya juga bukan murah, ditambah pula waktu itu saya telah menemui produk rangkaian penjagaan kulit yang sesuai dengan kulit saya, saya tidak lagi mengunjungi salon tersebut.  Tetapi yang pasti saya tercari-cari produk masker yang berupa jeli itu.

Lantas bila saya ternampak produk ePure di Hishop, saya berasa gembira kerana akhirnya masker kegemaran saya ditemui.

 
 

  
Saya memesan produk ini dalam bentuk jar dari Hishop dengan diskaun 15%. Sebaik sahaja menerima pesanan ePure Membranous Jelly Masque, saya terus menggunakannya.  Yang pasti, hasilnya memang jelas kelihatan.

** Selepas beberapa kali penggunaannya, kulit saya kini tidak begitu kering dibandingkan sebelum menggunakan masker ePure ini.  Tak percaya, cubalah !

 
** Makluman :  Sekiranya anda klik kepada iklan Hishop yang berada di atas kanan blog saya ini, anda akan dibawa ke website Hishop.  Akan keluar paparan Claim Your RM20 Now !.  Klik pada perkataan TRYHISHOP dan anda akan mendapat diskaun sebanyak RM20 bagi belian melebihi RM99 di Hishop.