Adakah Anda Bersedia Jadi Boss Sendiri
Anda dilonggakan dengan beban kerja berlambak sedangkan teman sepejabat lain asyik bergossip sepanjang hari. Atau ketua bahagian yang hanya tahu mengarah tanpa memberitahu anda apa sebenar yang diperlukannya. Atau anda bosan asyik mesyuarat saban hari. Patutlah ramai yang ingin keluar dari beban dunia korporat sebegini.
Namun sebelum anda menyerahkan surat berhenti kerja dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia rutin anda 9 – 5, anda perlu pertimbangkan dan tanya pada diri anda beberapa perkara ini terdahulu.
Yang paling penting, adakah anda memiliki kemampuan untuk menjadi bos.
1) Dapatkah anda bermula sendiri?
Menjadi bos sendiri, bererti anda perlu merancang jadual, mentadbir dan melaksanakan kerja anda sendiri. Tiada lagi teman sekerja, staf admin atau setiausaha yang akan menaip memo, membantu anda membuat tuntutan kerja lebih masa atau membeli barangan keperluan pejabat untuk anda. Ini adalah hakikatnya, sekiranya anda bermula bisnes anda sendirian. Mungkin di masa depan apabila bisnes berkembang, anda dapat menggaji pekerja untuk membantu anda.
Namun ini akan menambah kos, yang mungkin anda tidak inginkan di permulaan bisnes anda.
2) Adakah anda memiliki kepintaran dalam perniagaan yang baik?
Memiliki skil bisnes yang baik bererti anda perlu berupaya melaksanakan segalanya bagi memastikan bisnes berjalan dan teratur - Dari akaun, perancangan bisnes, operasi, jualan, pemasaran dan khidmat pelanggan. Yang pentingnya, anda seharusnya memiliki skil rangkaian bisnes yang baik – elemen penting dalam bisnes, yang akan membantu anda berjaya sebagai bos sendiri.
3) Adakah anda dapat mengendalikan kewangan yang tidak menentu?
Tidak seperti semasa anda makan gaji, di mana setiap hujung bulan anda akan terima gaji. Di awal bisnes anda, aliran tunai tidak dapat dijangkakan. Bersedia untuk menghadapi situasi berdepan dengan hutang sekiranya anda terbabit dalam bisness yang memerlukan kos overhead yang tinggi.
4) Adakah Anda Bermotivasi?
Ini adalah kualiti yang paling penting bila anda menjadi bos sendiri. Anda perlu faham segalanya bukan semudah yang kita fikirkan. Sekiranya anda fikir dengan duduk diam dan menunggu, wang akan datang mengolek, inilah masanya anda harus berfikiran realistik dan menimbang semula idea hebat anda untuk menjadi bos.
Mengusahakan bisnes sendiri memerlukan stamina dean tenaga yang banyak. Dapatkan anda bekerja 12 jam sehari , 7 hari seminggu?
5) Adakah Anda Seorang Yang Mudah Berurusan Dengan Orang Lain?
Salah satu perkara penting apabila anda bekerja sendiri adalah mempunyai hubungan baik dengan semua orang yang anda berurusan – pelanggan, pembekal, staf dan professional lain yang terlibat dalam karier anda.
6) Adakah Anda Pembuat Keputusan Yang Baik?
Sebagai bos sendiri, banyak keputusan yang perlu anda buat – patutkah anda mengambil sesuatu projek, mampukan anda menanggung beban kerja, patutkan anda kembangkan bisnes anda? Banyak keputusan yang perlu diberi perhatian serta merta . Mampukah anda mengendalikan tekanan sebegini?
7) Dapatkah Anda bekerja sendiri ?
Bila anda menjadi bos sendiri, kemungkinan besar anda akan bekerja sendirian. Sekiranya idea bersendirian ini menimbulkan kemurungan kepada anda dan anda tergolong di dalam kalangan yang perlu sentiasa dipimpin dan bergantung kepada orang lain, maka idea menjadi bos sendiri adalah tidak sesuai untuk anda
8) Adakah Anda berdisiplin?
Menjadi seorang yang amat berdisiplin, sangatlah penting, apalagi menjadi bos sendiri. Yalah, tiada sesiapa yang akan memberitahu anda apa yang perlu dibuat, apa yang perlu dipakai, bila perlu datang ke pejabat dan apa yang perlu dilaksanakan. Bayangkan, sekiranya anda seorang yang tidak berdisplin, tentu banyak kerja yang tertangguh dan akhirnya bisnes kecundang.
9) Adakah Anda berminat dalam bisnes anda?
Sekiranya anda memilih untuk menjadi bos sendiri, seharusnya anda memilih bidang yang anda minati atau kemahiran yang anda miliki. Anda akan sentiasa berkobar-kobar melaksanakan kerja anda. Tiada kebosanan kerana anda buat apa yang anda suka!
Ingatlah, apa jua yang terjadi di dalam karier anda sebagai bos sendiri bergantung dengan diri anda. Sekiranya anda seorang yang bekerja keras, bisness anda akan berkembang. Justeru itu, secara jujur, Tanya pada diri anda – adakah anda mampu menjadi bos. Sekiranya jawapan anda adalah ‘ya’, teruskan dan jadikan impian anda kenyataan.
No comments:
Post a Comment