Ketika menulis ini, tinggal beberapa minit menjelangnya hari lahirku. Kedengaran mercun dan bunga api dari luar sempena sambutan 'hari raya kaum hokkien' di sini. Istimewanya kerancakan letupan dan percikan bunga api dan mercun kelak seolah-olah menyambut hari jadiku bersama tahun ini. Setiap tahun aku meraihkan hari jadi serentak dengan anak lelaki keduaku yang dilahirkan pada tarikh ulangtahunku.
Apakah hadiah yang aku ingini sempena harijadiku?? Aku memikirkannya namun tidak dapat mengenalpasti, apa yang kuhendaki. Dari segi kebendaan, rasanya sudah memadai apa yang kumiliki.
Bila usia semakin meningkat dan bertambah setahun lagi, pertama aku bersyukur dengan kehidupan ini. Walaupun tidak sempurna atau lengkap, aku dianugerah 3 anak-anak yang selalu disamping, walaupun kekadang memeningkan kepala, menaikkan darah dan mencabar kesabaran ini. Namun kehadiran mereka mewarnai kehidupanku. Mereka membuat aku menangis dan ketawa. Walaupun aku tidak layak digelar 'ibu mithali', namun aku berusaha menjadi terbaik untuk mereka. Dari kecil hingga kini meningkat dewasa, aku puas kerana telah lakukan yang terbaik. Aku berharap mereka akan menjadi orang yang berjaya dalam hidup mereka.
Aku bersyukur dan berharap diberikan kesihatan yang baik. Kerana tanpa kesihatan yang baik, tidak mungkin aku dapat menikmati keindahan dunia ini. Walaupun peristiwa lalu, sedikit sebanyak menjejaskan kesihatanku, namun aku berdoa ianya akan semakin menjadi baik.
Aku ingin sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan berfikiran positif. Kebahagiaan dan semangat baru. Saat-saat kesedihan telah berlalu. Aku selalu ingatkan pada diri. Cahaya dan sinar kebahagiaan sentiasa akan muncul dalam hidup kita. Kalau kita tutup dan lindung diri darinya, tentunya kita tidak dapat melihatnya. Nikmatilahnya ketika kita masih mampu !
No comments:
Post a Comment