Tuesday, November 13, 2012

Altenatif Pembantu Rumah – Ibu. Wajarkah??

Entah kenapa hati ini tergerak untuk menulis tentang topik ini.


Dengan kenaikan kos untuk mendapatkan pembantu rumah luar Negara, nampaknya harapan adalah bergantung kepada yang ada dalam Negara ini.  Namun berapa sangat orang tempatan yang hendak bekerja sebagai pembantu rumah.

Kalau orang kaya yang mempunyai rumah besar, mereka tidak perlu khuatir.  Kerana mereka mampu bayar walaupun untuk menggaji seorang pembantu bukannya murah lagi.  Wang pendahuluan yang perlu dibayar kepada agensi kini boleh mencecah sehingga RM10,000.00 .

Jadi untuk pasangan suami isteri yang sama-sama bekerja, alternatifnya si ibu.  Kononnya tiada pilihan.  Saya berpendapat adalah tidak wajar untuk memaksa ibu untuk menjaga anak-anak kita.  Sebagai ibu, tanggungjawabnya sudah selesai bila membesarkan kita.  Anak-anak adalah tanggungjawab kita.  Apalagi kalau si ibu sudah tua dan tidak segagah dahulu lagi.  Menjaga anak-anak kecil dan melayan kerenah mereka adalah stress dan memenatkan pada mereka yang sudah uzur.  Sebagai anak yang sudah memiliki keluarga sendiri, rasanya kita ada pilihan.  Samada mengaji pembantu rumah untuk membantu si ibu menjaga anak kita, dalam hal ini si ibu hanya perlu mengawasi tingkah laku pembantu rumah dan memastikannya menjalankan tugasnya.  Jadi si ibu punya masa rehat dan masa untuk beriadah atau menjalankan amal ibadat.  Ataupun anda boleh menghantar anak-anak ke nurseri.  Masalah anak-anak adalah masalah anda suami isteri bukannya masalah ibu anda !  Kalau tidak mampu jangan beranak!

Pada anda di luar sana, saya ingin berpesan.  Bila anda sudah berkahwin, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mengurus rumahtangga anda.

Saya melihat sendiri bagaimana penatnya si ibu tua, dalam keterpaksaan menjaga cucu-cucunya.  Badan semakin susut tapi dia tidak mengeluh di depan anaknya.  Sebagai anak, apabila kita melihat situasi sebegini, kita sendiri perlu faham.   Adakah kita membayar ibu kita hanya kalau dia menjaga anak-anak kita.  Rasanya kalau dia tak jaga pun, kita seharusnya memberi wang saku padanya.  Anda mengerah tenaga kudratnya selagi dia masih mampu bergerak, bayangkan kalau sudah tidak berdaya dan tidak bergerak, apa pula nasibnya?
 
 
* Saya berpendapat semasa muda, kita wanita seharusnya menabung untuk masa tua kita.  Justeru itu, kita tidak akan bergantung sepenuhnya dan membebankan anak-anak kita.  Apalagi kalau mereka hanya golongan berpendapatan sederhana dan mempunyai keluarga.  Sekurang-kurangnya kalau kita sakitpun, kita menggunakan wang kita sendiri.
 
 
 

No comments: