Thursday, April 18, 2013

Perubahan

Ubah  !


 
Pada pendapat saya,  perubahan yang ketara Rakyat Malaysia perlu adalah sikap diri mereka sendiri.

Setiap perubahan bermula dari diri orang itu sendiri. 

Kalau ubah kerajaan pun, sekiranya tahap pemikiran dan sikap negatif berada ditakuk yang lama, apa gunanya.

Sebagai wanita, apa peranan anda? Sebagai lelaki, apa peranan anda?

Sebagai isteri, apa peranan anda? Sebagai suami, apa peranan anda?

Sebagai anak, apa peranan anda?

Sebagai ibu, apa peranan anda? Sebagai ayah, apa peranan anda?

Sebagai majikan apa peranan anda? Sebagai pekerja apa peranan anda?

Sebagai pemerintah apa peranan anda? Sebagai rakyat apa peranan anda?

Saya percaya semua orang mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memastikan institusi kekeluargaan, masyarakat majmuk senantiasa hidup dalam keamanan.

Sikap bertanggungjawab dan prinsip hidup dengan pegangan agama menjauhkan diri kita dari melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Tolak ansur merupakan senjata ajaib dalam menentukan kejayaan hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Jadi ubahlah diri kita menjadi lebih baik, sebagai ibu, bapa, anak, majikan, pekerja, pemerintah dan rakyat. 
Saya hairan bila orang yang selalu melaungkan kata-kata 'ubah' namun bersikap buruk, malas, penuh hasad dengki, terima rasuah dan seribu satu perbuatan yang ketara perlu diubah.
 
Syukur atas segalanya !



 

Wednesday, April 10, 2013

Berakhirnya Penantian - PRU 13

 PRU 13 - Hari Mengundi 5 Mei 2013



Marilah, Mari.. Kita Mengundi






Penantian sekian lama, tidak lama akan tiba masanya. Saya sudah naik meluat dengan perang mulut, tuduh menuduh di antara ahli parti-parti politik. Saban hari, baca surat khabar sahaja, terpampang berita sensasi. Satu demi satu rahsia didedahkan kepada umum. Samada parti memerintah ataupun parti pembangkang. Sama sahaja. Kononnya konspirasi yang tak sudah2.

Ada wakil rakyat yang hanya menjenguk muka bila tiba musim pilihanraya. Yang muncul bila ada majlis-majlis tertentu untuk menunjuk muka dan masuk surat khabar.

Saya berpendapat terdapat juga ramai wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat di kawasan di bawah jagaannya. Wakil rakyat sebegini mudah dihubungi, digemari ramai.

Memang sukar untuk memuaskan hati semua orang. Tapi sekiranya wakil rakyat atau ahli parti tertentu cuba sedaya upaya untuk membantu mereka yang memerlukan, tentu rakyat tahu berterima kasih. Sememangnya ada wakil rakyat yang tulus ikhlas menyumbang bakti kepada rakyat.

Saya kenal seorang ahli politik dan juga usahawan bumiputera dari satu parti. Kerana saya mengenalinya dan tahu dia merupakan bekas wakil di kawasan saya tinggal, saya bertanyakan beliau bagaimana cara untuk menukar kawasan mengundi. Maklum sahaja kawasan mengundi saya adalah mengikut alamat rumah lama saya. Tahu apa jawabnya? Alah you pi lah cari sendiri. Ishh bongkak benar. Padahal kita mengenalinya. Dengan sikap begitu, bagaimana hendak memenangi hati rakyat?

Bayangkan kalau saya tanya pada pihak pembangkang, dengan rela hati mereka membantu saya untuk membuat pertukaran itu. Ya lah saya kan bermastautin di tempat mereka. Wakil rakyat kawasan ini memang bekerja kuat. Memang tidak dinafikan. Sebarang aduan yang sampai kepada pengetahuannya, dia akan cuba segera menandaganinya.

Saudara saya yang berniaga kecil-kecilan, bila mengadu tentang bumbung bocor, dia dengan segera mengarahkan orang-orangnya untuk bertindak menggantikan bumbung tersebut. Bila dimaklumkan ada orang miskin yang sakit, dia sendiri turun padang dan pergi ke rumah orang itu untuk menghulurkan bantuan.

Anda dapat saksikan perbezaan antara dua orang dari parti berlainan.

Bila parti-parti tertentu berlumba-lumba bagi bantuan kewangan, orang ramai memang teruja. 'Kalau tiap-tiap tahun ada pilihanraya, senanglah kami', demikian kata mereka yang menerima wang tersebut.

Ada teman yang seronok kerana makan percuma. 'Lantaklah, aku makan je. Sedap, lagipun percuma. Aku makan pun bukan aku naik pilih dia. Lagipun duit yang depa belanja tu duit kita', ujar teman itu.

Satu perkara yang saya tidak suka adalah saya dapati ada ahli politik yang suka main dengan sentimen kaum. Mengapi-apikan sesuatu kaum, membuat mereka merasakan diri mereka dianaktirikan, kemudiannya kononnya mereka yang akan memberi keadilan kepada kaum tersebut.

Satu perbezaan yang saya perhatikan adalah sekarang ada kaum yang sudah begitu lantang memperkatakan dan melepaskan ketidakpuasan dibandingkan dahulu.

Sememangnya sukar untuk memuaskan semua orang. Ada golongan yang kalau boleh mahukan semuanya percuma. Tapi logiklah kalau semua diberi percuma. Lagipun benda yang kita perolehi secara percuma dan mudah, kita tidak begitu menghargai. Lainlah kalau hasil titik peluh sendiri.

Keadilan juga sesuatu yang begitu subjektif. Adil untuk anda tapi adakah adil untuk orang lain? Terpulang dari sudut mana kita melihat atau berada.

Apa-apapun saya amat berharap, apa jua keputusan pilihanraya kelak, semua pihak dapat menerimanya dengan baik. Dan semua parti, baik parti pemerintah mahupun pembangkang kelak akan berkhidmat sebaik mungkin dalam memastikan rakyat hidup aman sentosa. Jangan ada golongan tertentu yang cuba menimbulkan kekacauan.  Tumpuan harus diberi kepada kebajikan rakyat dan meningkatkan ekonomi Negara.  Pihak pemerintah dan pembangkang harus bekerjasama agar memastikan Malaysia bergerak maju seiring dengan Negara lain.  Malaysia  Boleh........

Ibu saya dah pesan kepada saya agar simpan sedikit stok makanan dirumah. Malahan dia beli beras dan tin sardin untuk saya simpan. Mungkin kerana mereka orang lama yang pernah melalui zaman susah maka mereka bimbang kejadian yang tidak diingini mungkin berlaku.

Saya lantas cuba menyakinkannya bahawa orang-orang sekarang sudah matang. Pilihan rakyat melalui undi harus dihormati.



 

Monday, April 1, 2013

Bertungku


Bertungku
Bertungku adalah salah satu bentuk urut tradisional Melayu yang menggunakan teknik demah.
Bertungku adalah dijalankan dengan menggunakan batu sungai atau peralatan besi tuangan untuk mendemah.
Bertungku selalunya dilakukan sewaktu rawatan selepas bersalin namun secara umumnya bertungku boleh dipraktikkan oleh semua orang dari pelbagai umur dan jantina.
Bertungku boleh dilakukan ke atas seluruh badan, depan dan belakang khususnya sekitar perut dan peha.

Pelbagai jenis daun boleh digunakan untuk membalut tungku dan yang selalu digunakan adalah :-

 

Daun Pandan
 
Daun Kunyit
 
Daun Mengkudu
 
Daun Senduduk
 
Daun Halia
 
Daun Lengkuas




Selain terkenal dengan faedah perubatan, daun-daun ini mengeluarkan aroma harum apabila ianya dibalut dengan batu/besi yang dipanaskan.  Bau-bauannya akan menghasilkan rawatan aromaterapi untuk pemulihan serta kesegaran tubuh dan minda.

 
Faedah Rawatan

Memanaskan badan dan melegakan urat saraf.

Membantu membuang angin dari badan

Memperbaiki peredaran darah

Memecah dan membebaskan darah tersumbat

Mengempiskan perut

Mempertingkatkan pemulihan tubuh

Saya amat gemar bertungku, apalagi urat saraf badan ini sentiasa terasa tegang.  Setiap kali selepas bertungku dan mengurut seluruh badan, terasa urat-urat tidak begitu tegang.  Sakit urat ini dashyat sebab terasa sakitnya dari dalam.
'Tungku Moden' - Siap Di Rumah
 

Saya cuba untuk berkunjung ke salun setiap minggu untuk mengurut dan diselangseli dengan bertungku.  Di rumah pun saya mempunyai ‘tungku moden - siap’ iaitu kain yang dibalut dengan daun-daun herba.  Jadi setiap kali terasa bisa-bisa badan, saya cuba 'tungku' ini.  Tapi yang pasti, daun-daun ni yang dah kering, kalau lama kesan aromanya sudah berkurangan.  Tiada batu cuma daun-daun sahaja.  Tapi sekurang-kurangnya bila perut berangin, ada gak penawarnya.

Tungku Yang Terdapat Di Anggerik SPA 
Batu-batu sungai yang dibalut dengan daun-daun yang segar

 
Bagi anda yang mengemari bertungku, saya syorkan Anggerik-Spa.  Tuanpunya salun menggunakan daun-daun herba segar untuk membalut batu sungai.  Harganya berpatutan.  Sentuhan dan urutan dari pekerja mahir membuat anda seolah-olah lupa segala masalah buat seketika, relaks dan mengecapi setiap saat di situ.

Tak percaya kata-kata saya ? Cubalah !!!


 

Thursday, March 21, 2013

PRU 13 – Undi Anda Adalah Rahsia


Sembang sembang politik semakin rancak di kalangan rakyat Malaysia.  Rakyat tertanya-tanya bila agaknya pilihanraya akan diadakan.  Satu demi satu tarikh diteka namun setakat ini tiada yang tepat.  Selak suratkhabar, sana sini ada berita tentang politik.  Buka televisyen pun benda yang sama.  Naik bosan mendengarnya.  Setiap hari ada sahaja topik hangat yang diperkatakan.  Dan pihak-pihak terlibat saling tuduh menuduh.  Bila agaknya fenomena ini akan berakhir??  Sejak kebelakangan ini, selepas mesyuarat sahaja, tentu topik pilihanraya keluar.  Masing-masing membuka cerita tentang kehebatan ahli politik yang disokong oleh mereka.  Ada yang sehingga meninggi suara mempertahankan parti yang disokong.  Perdebatan semakin hebat.  Nampaknya sesuatu yang pasti, bila seseorang itu menyokong parti tertentu, semua yang dilakukan oleh ahli-ahli parti itu betul dan yang buruk itu cuma fitnah dan permainan politik yang kotor.  Jadi ada yang sampai naik marah bila kita memperkatakan keburukan parti itu.  Selalunya saya tersenyum sinis, mendengar pandangan mereka tanpa menunjukkan sebarang reaksi.

Di facebook pun kelihatan ‘perang’ penyokong parti masing-masing.  Berbagai-bagai post yang dihantar dan dikongsi di facebook.  Saya melihat teman-teman yang menyokong pembangkang rancak post kegiatan dan kelebihan parti tersebut.  Dan sudah tentunya post, berita keburukan parti lawan mereka.  Begitu jua penyokong parti kerajaan.  Facebook seolah-olah menjadi medan pertempuran ideologi masing-masing.  ‘U tube’ laris dengan pelbagai cerita dan gambar yang memaparkan keburukan dan kebaikan parti politik masing.  Seolah segala-galanya adalah benar.

Di warung kopi anda juga dapat melihat perkara yang sama berlaku.  Di mana saja, kedengaran perbualan yang disulami dengan topik pasal politik.  Telinga ini pun dah bengkak mendengarnya.  Adus..

Di pejabat, dalam kesibukan saya menaip dan menyiapkan kerja yang bertimbun-timbun, teman sekerja juga membuka cerita pasal politik..  Ishh.. asyik-asyik politik, meluat mendengarnya.  Lantas saya pun menyampuk dan berkata, ‘Alah mana parti menang pun, anda dan saya tetap sama.  Perlu berusaha dan bekerja untuk menyara hidup, bukannya kita jadi kaya raya’.  ‘Kita sini bertegang urat semata-mata mempertahankan parti yang kita sokong, mereka berbaik dan berjabat tangan’.  ‘Ahli politik memang pandai berlakun’  ‘Mereka ini semua dulunya dari parti yang sama.’  Lalu mereka terdiam, mendengar kata-kata saya.

Pada saya siapapun pilihan saya hanya saya yang tahu.  Tidak perlu saya wawarkan kepada dunia.  Kalau ada parti politik baru ketiga yang kuat gabungannya, dilengkapi dengan muka-muka baru yang berkarisma, pasti itulah pilihan saya.

Tapi buat sekarang saya terpaksa pilih antara 2.  Setia saya masih pada yang satu.  Tapi bolehkah masa dan keadaan mengubah kesetiaan saya?  Kita tunggu dan lihat..  Itu rahsia saya.  
Bagaimana dengan anda ?
 
 
 
 

Tuesday, March 19, 2013

Pulau Pinangku – Gerai Tanpa Permit

Di Malaysia, kita  tidak perlu bimbang tidak berduit dan kelaparan asalkan kita rajin berusaha.  Sebab saya katakan begini kerana kita boleh berniaga di mana-mana sahaja.

Misalnya di Pulau Pinang, peniaga kecil yang menjual makanan tumbuh bak seperti cendawan selepas hujan.  Tak perlu permit, asalkan ada tempat lapang yang kecil, anda sudah boleh mula mencari wang.

Teringat kata arwah bapa mertua saya 27 tahun dahulu. Katanya, apa susah-susah.  Masak nasi lemak, bentangkan meja di bawah pokok tepi jalan, tentu laris kalau sedap.  Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga setiap kali saya melihat orang menjual nasi lemak di tepi jalan.

Masalah menjual makanan tanpa permit di tepi jalan ini rasanya sudah terlalu lama.  Tiada sesiapa yang berani mengambil tindakan.  Baik pihak pemerintah mahupun pembangkang.  Tup-tup, tau-tau di tepi rumah banglo anda yang tersergam indah, ada orang sedang berniaga makanan ataupun air.
 

Bayangkan ada gerai penjaja MPPP berdekatan yang masih mempunyai banyak ruang berniaga yang kosong, namun ‘peniaga baru’ mula menapak di suatu kawasan tepi jalan.  Mula dengan meletakkan meja untuk menjual makanan lauk pauk yang telah dimasak dari rumah.  Kemudian ditambah dengan meletakkan payung untuk berteduh.  Bila tiada tindakan yang di ambil oleh pihak berkuasa, mereka mula menambah meja kerusi untuk pelanggan makan di situ.  Wujudnya gerai-gerai seperti ini juga menyebabkan kesesakan jalan.  Pelanggan memberhentikan kereta sewenang-wenangnya untuk membeli makanan mereka.  Kalau bungkus siap, mungkin cepat.  Tetapi kalau yang hendak memilih lauk pauk, mana mungkin berhenti seminit dua.  Selepas itu, tempat itu menjadi tempat berniaga mereka yang ‘sah’.  Pihak Berkuasa menutup mata.  Yalah bila tindakan diambil, mereka ini akan mencari parti politik yang akan berpihak pada mereka.  Para politik pula, dek ingin mendapat undi dan sokongan, bersuara bagi pihak ini.  Walhal jelas sekali ianya bertentangan dengan undang-undang yang ada.  Tentunya tidak adil pada peniaga berdekatan yang terpaksa menyewa untuk berniaga dengan sah.

Ianya seperti penyakit yang berjangkit dan menular.  Bila ada orang yang terlepas dan dapat mengaut keuntungan tanpa perlu membayar, ianya tentu akan menjadi ikutan.  Kalau anda mengambil tindakan sekarang, sudah tentu mereka akan menuding jari dan bertanya mengapa tiada tindakan yang diambil kepada peniaga haram di tempat lain.  Selagi ada pelanggan selagi itulah perniagaan itu akan berjalan.  Ada yang siap digantikan dengan tempat berniaga baru apabila Pihak Berkuasa ingin mengusir mereka kerana mendakwa tempat itu menjadi milik mereka yang 'sah'.

Ada gerai yang sememangnya memburukkan pemandangan di kawasan mereka menapak. Pembinaan yang tidak sempurna sekadar mendirikan tempat berteduh.  Ada yang tanpa bekalan air paip untuk mencuci pinggan mangkuk yang sepatutnya.  Ditepi jalan yang berhabuk.  Acapkali pemilik gerai dan pekerjanya adalah warganegara asing pulak tu!

Kalau anda tak percaya, ronda-ronda di Pulau Pinang. 

Baru-baru ini disebelah pejabat saya di kawasan perumahan, ada seorang peniaga sedang rancak menjual nasi campur.  Kawasan itu berhampiran dengan tempat saya selalu letakkan kereta.  Pada mulanya, dia berniaga waktu tengahari sahaja.  Jadi setiap kali saya keluar makan tengahari, bila saya mengalihkan kereta, dia menjeling saya seolah-olah saya pulak yang menghalang/meletak di tempat dia meniaga.  Padahal saya sudah meletak kereta di kawasan situ sejak 25 tahun dahulu.  Dia mula letak meja untuk pelanggan makan dan mengoreng ikan di situ.  Sejak seminggu yang lalu dia juga berniaga di waktu petang pulak.  Siap di pasang lampu.  Bayangkan di tempat terbuka tepi jalan.  Air pili pun takda.

Di lokasi yang sama sebelah pagi, ada gerai menjual nasi lemak.  Wanita itu sudah lama berniaga disitu tapi jam 9 pagi dia sudah bersiap sedia mengemas dan pulang.  Jadi tiadalah kacau ganggu. 
 

Apa dah jadi dengan penguatkuasa MPPP??  Camana nak adil pada semua pihak?? Inilah uniknya Pulau Pinang ku !!!


 

Saturday, February 23, 2013

Inspirasi - Kisah Susan Boyle

 
 
 

Inspirasi Dari Kisah Susan Boyle – Britain Got Talent 2009

Saya tertarik dengan kisah Susan Boyle ketika menghadiri pemilihan Britain Got Talent 2009.

Lihatlah reaksi para juri dan penonton sebelum dan selepas persembahannya.

Ketika disoal oleh Simon Cowell mengenai asal usul, usianya dan apakah impiannya.  Ketika itu reaksi dan mimik muka para juri dan penonton seolah-olah meragui bakatnya yang belum ditonjolkan itu.

Jawap Susan Boyle, dia dilatih untuk menjadi penyanyi professional.  Tanya Simon, mengapa impiannya belum tercapai.  Jawap Susan, dia tidak berpeluang sebelum itu dan berharap impiannya akan tercapai selepas itu.

Anda dapat melihat betapa reaksi para juri dan penonton yang memerli dan mentertawakannya.

Sebaik sahaja Susan Boyle membuka mulutnya untuk menyanyi, para juri dan penonton tergamam dan melopong mendengar kemerduan suaranya. 

Semuanya memuji dan mengakui kehebatan suaranya.

Inspirasi dari kisah ini :-

1.     Bakat yang hebat tidak dapat dipertikaikan.

2.    Peluang yang hadir dalam hidup kita, kiranya diambil dapat mengubah kehidupan kita dengan sekelip mata.

3.     Jangan menilai buku dari kulitnya. 

4.     Jangan merendahkan bakat orang lain.  Suatu hari, mereka akan lebih Berjaya dari kita dengan bakatnya.

5.   Tidak berputus asa.  Usia bukan penghalang untuk mencapai impian masing-masing.  Bayangkan kalau Susan Boyle berputus asa dan melupakan cita-citanya, dia tidak akan mencapai impiannya dan menikmati kemewahan dan terkenal sebagai diva hari ini.
 
 6.  Usah membiarkan tanggapan orang lain menengelamlan impian kita.  Yakin kepada bakat yang anda miliki.
 
 
Kadangkala kita tidak berani merebut peluang yang hadir dalam hidup kita, bila ianya berlalu pergi baru kita menyesal.
 
 
 
 

Tuesday, February 19, 2013

Pembantu Rumah – Kisah 2


Selepas tamat kontrak, pembantu rumah pertama saya pulang ke Negara asal.  Kisah pembantu rumah pertama saya telah saya paparkan dahulu Pembantu Rumah - Kisah 1

Lalu saya pun mengambil pembantu baru bagi menggantikannya.  Dia berasal dari Lombok, Indonesia.

Katanya tempat tinggalnya agak terpencil dan di kawasan pendalaman.  Percakapannya sukar difahami namun bagi saya yang berbahasa melayu tidaklah terlalu menjadi masalah.  Bayangkan kalau majikan yang tidak berbahasa melayu/Malaysia tentu sukar sekali.

Kalau masak, semua sayur dipotong kecil-kecil dan dimasukkan sekali sebagai sup.  Aduh masakan begitu kelihatan seperti untuk diberi pada ayam itik.  Geli hati rasanya.

Dia memberitahu saya bahawa daging lembu merupakan masakan mewah yang hanya dapat dimakan waktu hari Raya sahaja.  Maklum sahaja orang susah.

Pernah sekali, sewaktu mula-mula datang, dia menghidangkan susu basi kepada anak perempuan saya untuk dimakan bersama cornflakes untuk sarapan pagi.  Nasib baik saya ada ketika itu.  Rupa-rupanya dia tidak tahu bahawa susu kotak yang telah dibuka hendaklah dimasukkan ke dalam peti sejuk.  Dia letak susu itu di dalam almari selepas dibuka, tentulah basi.

Dahulu, pembantu rumah akan diperiksa di tempat agen sebelum dihantar ke rumah majikan.  Sebarang alamat atau nombor telefon dari tempat asal akan diambil dan disimpan oleh agen.  Begitu juga sekiranya ada wang. Ataupun pihak agen akan memaklumkan pihak majikan tentang adanya wang tersebut.  Ini adalah untuk mengelakkan salah faham yang mungkin timbul akibat kewujudan wang tersebut. 

Hujung bulan pertama dia bekerja, bil telefon terus naik.  Oleh kerana bil telefon saya memang menyenaraikan butir-butir terperinci panggilan, maka saya dapat mengagak tentunya kerja si pembantu ini.  Bila saya tanya, dia tidak mahu mengaku.  Langsung saya mendial nombor telefon yang tersenarai, dan nun disebelah sana (KL) dijawab oleh lelaki berloghat Indon.  Bila dia tidak dapat berdalih, terus katanya anak perempuan saya yang mendial nombor telefon yang terdapat di dalam buku nota simpanannya.  Tak logik.. BIla saya memarahi anak saya, dia buat selamba sahaja.  Anak perempuan saya yang ketika itu berumur dalam lingkungan 7 tahun kemudiannya menceritakan kepada saya bahawa si pembantu itu mengatakan dia merindui ibunya dan menyuruh anak saya mendialkan nombor itu bagi pihaknya.  Pembohong rupanya..

Sudahlah malas, tidur suka berkembam dan macam-macam kerenahnya yang memeningkan kepala saya.  Sikap keras kepalanya benar-benar menguji kesabaran saya.

Dari pemerhatian, saya dapat mengagak bahawa dia tidak sukakan budak-budak.  Tidak jujur.  Saya mengambil keputusan untuk memulangkannya kepada agen sebelum tamat tempoh 3 bulan.  Saya terpaksa membayar untuk penggantinya walaupun bukan jumlah sepenuhnya.  Yang untung, agensi juga, Saya kerugian namun saya berpendapat saya menggaji pembantu untuk membantu saya bukannya membebankan saya !!

 

Saya berpendapat pembantu rumah yang hendak digaji untuk menjaga anak-anak kecil perlulah mempunyai sifat keibuan,  mempunyai rasa kasih dan sayang terhadap kanak-kanak.

Kebanyakan pembantu rumah yang dihantar ke sini tidak bersedia dan mempunyai mental yang kuat.

Pembantu rumah sebegini akan mendatangkan pelbagai masalah kepada bakal majikannya kelak.

Tekanan emosi yang dihadapi di tempat baru memburukkan keadaan.

Maklum sahaja ada yang suka mengemas tapi tak suka menjaga bayi atau budak-budak ataupun orang tua uzur.  Ada pula sebaliknya.

Untuk mereka yang mendapat kerja mengikut kesukaan mereka tentunya tidak menjadi masalah.

Terbaca berita mengenai pembantu yang didakwa dan dijatuhkan hukuman kerana melambung anak majikannya yang berusia 4 bulan.  Kalau anda menatap wajahnya di akhbar, tiada emosi atau kekesalan yang ditunjukkan. 
Petikan dari Mstar Online : Amah Indonesia Lambung Bayi Dipenjara 20 Tahun http://mstar.com.my

Bekerja tidak sampai seharipun. Dah melakukan perbuatan terkutuk ini.  Bayi tidak berdosa dijadikan tempat melepaskan geram.  Agaknya dah sewel pembantu rumah ini.

Kerana orang-orang sepertinya, majikan menjadi takut untuk menggaji apatah meninggalkan bayi kecil di bawah jagaan pembantu rumah.  Tanpa pengawasan, macam-macam boleh berlaku.