Tuesday, May 22, 2012

Pembantu Rumah – Kisah 1



Pembantu rumah saya yang pertama bernama Nik Amah, berusia lewat 30an ketika baru bekerja dengan saya. Beliau warga Indonesia merupakan pembantu rumah saya yang pertama.
Saya menggajikan pembantu rumah sewaktu itu, kerana ingin berpindah ke rumah berkembar 2 tingkat di awal tahun 1999. Waktu itu anak gadis saya baru berusia 5 tahun manakala abang-abangnya selang seli 4 tahun lebih tua darinya.
Nik Amah ini pada awalnya, bukan main rindu pada familinya. Tak lalu makan dan kehilangan berat badan yang ketara.
Suatu hari, dia minta agar berjumpa dengan agen. Lalu saya pun bawanya ke agen. Di pejabat agen, kedengaran dalam bilik, dia dimarahi oleh boss agen. Saya termangu-mangu tidak faham apa-apa. Rupa-rupanya dia mengadu pada agen, anak-anak saya tidak menyukainya. Apalagi boss agen berkata padanya, budak-budak memerlukan waktu untuk menyukai kita. Apalagi kalau kita orang asing buat mereka, pandai-pandailah dia mengambil hati budak-budak.
Selepas peristiwa itu, dia yang rajin semakin mendekati anak-anak saya. Orangnya penyabar, bertanggungjawab dan menyayangi budak-budak. Saya selalu menasihatinya agar jaga kesihatan kerana tidak guna mendapat wang yang banyak, namun kesihatan terjejas, bila pulang kelak terpaksa menghabiskan wang untuk biayai duit ubat.
Peristiwa menggelikan hati - Sewaktu dia hendak cuci bendi, dia hairan bilamana lendir keluar sebab dia tidak pernah nampak bendi sebelumnya. Sewaktu menggoreng kelompong lembu, minyak merecik-recik sehingga dia menangis terkena percikan. Namun dia cepat belajar, dan lama-kelamaan pandai memasak.
Nik Amah menghabiskan kontraknya selama 2 tahun dan pulang ke Indonesia. Setibanya di Indonesia, dia menelefon memberitahu sudah selamat sampai rumah. Selepas itu saya pernah berutus surat, dan dia menghantar foto perkahwinan anaknya kepada saya.
Saya percaya menggajikan pembantu rumah semacam jodoh dan nasib kita. Ada orang yang sesuai dengan kita dan ada yang tidak. Kita menaruh kepercayaan kepada mereka untuk menjaga anak-anak kita. Namun jangan menyerah bulat-bulat semua kerja rumah kepada mereka.
Saya selalu nasihatkan mereka, sekiranya bekerja dengan majikan lain, perlu ikut keperluan mereka. Pengalaman bekerja sebelumnya merupakan suatu kelebihan. Pembantu rumah yang baik akan kita kenang sepanjang hayat. Buka cerita tentangnya sahaja, kita akan menyebut kebaikannya.

Syukur mendapat pembantu pertama yang baik.  Kini sukar untuk mendapat pembantu sepertinya.
Yang baik akan dikenang, Yang buruk perangainya, dilupakan sahaja.


** Bila mendengar berita sejak kebelakangan ini, yang mana ada sindiket yang melatih pembantu rumah untuk merompak majikan yang kaya, saya menggeleng kepala.
http://thestar.com.my - Maids trained to rob the wealthy




Saya mempunyai pengalaman manis dan pahit menggaji pembantu rumah. Yang kurang sesuai saya hantar balik, walaupun kerugian.
Ada yang lari, saya percaya ada sindiket yang melarikan mereka, kerana waktu pembantu rumah saya lari, 3 pembantu rumah di apartment yang sama juga turut lari.
Ada yang lari tidak pulang ke negara asal namun bekerja dengan orang lain tanpa permit, maka bertambah-tambahlah pendatang haram ke negara ini. Yalah ada 'majikan', tidak perlu bersusah payah membayar beribu-ribu ringgit untuk bawa masuk pembantu rumah. Pembantu yang lari atau habis permit, datang kerja lepas itu 'majikan' tempat kerja bayar gaji harian kepada mereka. Tidak perlu tanggung makan minum dan tempat kediaman mereka.
Yang dipulangkan ke agen, tidak dihantar balik ke negara asal namun agen 'recycle' mereka kepada majikan lain.. Agenlah untung. kerana kita perlu membayar lagi untuk penggantinya. Cuma sekali sahaja diganti. Kalau pembantu baru buat perangai lagi, samada anda terpaksa tahan dengan kerenahnya atau wang anda hangus.
Inilah terjadi kepada pembantu rumah dan pendatang haram yang semakin membanjiri negara kita.

** Nanti akan saya sambung cerita tentang pembantu rumah saya yang lain pula.....






No comments: