Tuesday, December 31, 2013

Tahun 2014 - Tahun Kuda





Jumaat 31 Januari 2014 bermulanya tahun baru Cina dan menandakan permulaan Tahun Kuda di dalam zodiak Cina yang akan berakhir pada 18 Februari 2015.  Kuda yang merupakan tanda ke 7 di dalam astrologi Cina adalah simbol kemuliaan, kemasyhuran dan keazaman.

Pusingan zodiak Cina berakhir 12 tahun.  Setiap tahun di wakili oleh seekor binatang yang berkait dengan 5 tanda elemen ( Kayu, Bumi, Api, Air dan Logam )

Zi (tikus); Chou (lembu); Yin (harimau); Mao (arnab); Chen (naga); Si (ular); Wu (kuda); Wei (biri-biri); Shen (monyet); You (ayam jantan); Xu (anjing); and Hai (babi).

Zodiak Cina
 
Menurut kalender zodiak Cina, 2014 adalah Tahun Kuda Kayu atau Kuda Hijau dan dikatakan mereka yang lahir di bawah symbol ini, tahun ini merupakan tahun yang baik, nasib yag baik dan banyak peluang menanti.

Seperti yang diketahui, kuda tidak suka dikawal.  Mereka yang di bawah simbol Kuda Kayu adalah lebih cenderung kepada kelakuan kurang sabar dan sukakan kebebasan.  Juga mereka adalah golongan yang bekerja keras, bijak, glamour dan berbakat.

Celebriti yang lahir di dalam Tahun Kuda Kayu adalah :-

Genghis Khan, Newton, Rembrandt, Chopin, Davy Crockett, Ella Fitzgerald, Aretha Franklin, Teddy Roosevelt, Barbara Streisand, Cindy Crawford, Harrison Ford, Jason Biggs, Jackie Chan, John Travolta, Leonard Bernstein, Paul McCartney, Ashton Kutcher, Emma Watson, Josh Hartnett, Katie Holmes, Kristen Stewart, and Kobe Bryant.

Seperti yang anda dapat lihat, seni dan sukan adalah bagus untuk mereka dan seringkali berkarier berprofil tinggi dan dikelilingi glamour.  Tahun ini, mereka akan mendapat projek artistik yang hebat dan berkemungkinan pengembaraan yang menggembirakan.  Teman-teman baru akan membuka banyak peluang dan mood mereka adalah lebih optimistik.

Walau bagaimanapun, apabila mengendalikan hal kewangan, mereka sepatutnya mempertimbangkan untuk menerima cadangan orang lain.  Khususnya tahun ini, mereka harus berhati-hati untuk membuat sebarang perlaburan kerana pasaran akan berubah-ubah semasa 2014.

Menarik bukan ramalan di atas?

 


Tentu anda hairan mengapa saya menulis mengenai zodiak Kuda ini.

Secara kebetulan saya lahir pada 31 Januari Tahun Kuda.  Bertepatan dengan Hari pertama Tahun Kuda 2014.

Saya berharap tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan keriangan bagi diri saya.

 

Melangkah

Melangkah Ke Depan




Saat menulis catatan ini Cuma tinggal 25 minit lagi sebelum kita meninggalkan tahun 2013, melangkah ke ambang 2014.

Begitu pantas masa berlalu.  Rasanya terlalu cepat.  365 hari berlalu pergi.

Saya tidak ingin menoleh ke belakang lagi.  Kerana setiap kali, tolehan itulah yang membuat hati ini tercalar, langkah ini terhenti.  Kerana setiap kali, teringat kelukaan yang teramat.

Ya Tuhan, bebaskanlah diri ini dari genggaman kenangan lalu.  Padamkan segala ingatanku pada saat yang berlalu.  Hati, tolonglah bebaskan daku dari derita ini.  Tidak cukupkah airmata yang mengalir, tidak cukupkah kesengsaraan yang kutanggung ini?

Ya Tuhan, kuatkanlah semangatku.  Tiupkan kecekalan pada sekujur tubuh ini.

Ya Tuhan, berilah kesembuhan pada kesakitan ini.  Sembuhkan lah kelukaan ini.  Sembuhkanlah penyakit ini.

Ya Tuhan, bukalah  pintu hati ini.  Bahagiakan ku, Tenangkan ku.

Aku tidak meminta lebih dari disayangi.  Dari dihargai.

Mengapa hati ini masih menangisi saat-saat berlalu? Mengapa?

Diari 2013 sampai kepada penghujungnya.  Kalau tak mahu, boleh dicampak atau dibakar sahaja.  Tapi kehidupan ini harus diteruskan. 

Lembaran baru 2014 akan bermula dengan muka pertama, 365 hari untuk di isi.
 



Tahun 2014 ini, resolusiku adalah :-
 
(i)         Makan yang lebih berkhasiat.  ( Banyakkan sayuran & buah-buahan ),
            bersenam dan sihatkan badan.
(ii)        Perlahankan langkah, kurangkan stress.  Lebih sayangkan dan cintakan diri.
(iii)       Bersyukur, positif dan cintakan kehidupanku.
 
 

Thursday, December 26, 2013

Hutang Untuk Kahwin.


Bulan Disember ini, cukup banyak jemputan perkahwinan.  Setiap hujung minggu dipenuhi dengan undangan.  Ramai rakan kampong yang mempunyai anak sebaya dengan saya sudah menyambut menantu.

 
Membaca artikel ini membuat hati ini berkata-kata :-Till Debt do us part

Dahsyatnya perkahwinan sekarang. 

Melangkah kedewan sahaja, sudah terlihat perbezaannya.  Dahulu pelamin di atas pentas hanya bertumpu kepada tengah pentas sahaja.  Namun hiasan pelamin sekarang merangkumi keseluruhan pentas.  Dan tentunya menelan perbelanjaan yang lebih.  Kos pelamin sahaja bukan murah.  Pelamin sekarang memang cantik.  Apalagi sekarang banyak ditempah dari butik perkahwinan atau perancang perkahwinan.  Kalau dahulu, kita sendiri yang menghias pelamin.  Jimat.

Ini saya kata berdasarkan majlis perkahwinan yang sederhana sahaja.  Dari meja makan santapan beradap, kerusi, gerbang masuk, hiasan yang menyamai atau selaras dengan pelamin di atas pentas.  Makanan kenduri orang Melayu selalunya adalah lebih murah dibandingkan dengan orang Cina kerana secara buffet dan bukannya satu meja.

Orang Melayu lebih mementingkan perhiasan pelamin dan sekitarnya manakala orang Cina lebih menumpukan kepada makanan yang dihidangkan.

Orang sekarang banyak menggunakan perunding perkahwinan dan katering.  Walhal orang dahulu sendiri yang merancang dan masak beramai-ramai.  Mungkin disebabkan zaman berubah dan orang sekarang kebanyakan sibuk bekerja.  Tentunya kos perkahwinan semakin tinggi.

Jurukamera, video dan photo sahaja boleh menelan belanja ribuan.  Pakaian pengantin, hantaran, wang hantaran, kad undangan, bunga telur, hadiah dan buat tangan dan macam-macam lagi. Wang hantaran pun makin meningkat, maklum sahaja kos hidup pun dah naik.  Uikks bukan mudah nak mendirikan rumah tangga.  Lainlah kalau kita artis terkenal dan ada penaja yang nak sponsor pakaian pengantin dan segalanya..  Perkahwinan Zain Saidin & Rozita Che Wan baru-baru ini umpamanya dikhabarkan menelan perbelanjaan jutaan ringgit. Wow bestnya kalau free.. 

Kalau yang kaya, majlis diadakan di hotel terkemuka dan tentunya menelan perbelanjaan yang tinggi.  Tapi golongan kaya ini tiada masalah la.  Sebabnya tiada masalah wang, orang yang datang pun beri hadiah yang mahal-mahal.  Jadi kalau anda wanita yang mengimpikan perkahwinan yang esklusif, pilihlah dari kalangan yang kaya.  Segala impian anda akan dipenuhi.  Jururunding perancang perkahwinan memainkan peranan penting agar segala impian hari perkahwinan anda tercapai.  Bayar saja.. Mudah sekali.

Tapi masalah timbul apabila yang tak berwang mengadakan kenduri yang begitu meriah dan mahal.  Orang kata ukur baju di badan sendiri. 

Memanglah impian setiap wanita, perkahwinan mereka seperti cerita ‘fairytale’.  Nakkan yang paling sempurna, maklum sahaja perkahwinan hanya sekali dalam hidup.  Namun sekiranya untuk memenuhi impian kita, kita terpaksa berhutang dan mengikat perut selepas itu, rasanya tidak perlu lah begitu.  Ada yang membuat pinjaman peribadi dari bank untuk berkahwin.  Selepas kahwin, realiti hidup bermula dan terpaksa bergelut untuk membayar hutang.

Ada pasangan baru bertuah kerana perkahwinan mereka banyak dibiayai oleh ibu bapa.  Bayangkan kalau pasangan muda, manalah ada wang sebanyak itu untuk hantaran, belanja itu ini. 

Kalau tidak mampu, bernikah sahaja..

Kalau kita menempuh alam perkahwinan yang baru dengan permulaan hutang yang banyak, susahlah kita kelak.  Janganlah ketika kahwin cukup glamor, wedding of the year, selepas itu dek kerana hutang, rumahtangga berantakan.
 
Will always cherish that moment in my life !!
 

Teringat perkahwinan saya 28 tahun dahulu.  Tiada hantaran mahupun wang hantaran.  Yang ada adalah mas kahwin iaitu sepasang subang mutiara.  Masa nikah pun berpakaian biasa sahaja.  Pelamin di buat sendiri oleh kakak ipar saya.  Kad undangan perkahwinan, fotostat kertas A4 dipotong setengah dan dilipat dua.  Bunga telur di buat sendiri.  Makanan kenduri kahwin dimasak sendiri oleh kakak-kakak ipar saya sambil dibantu oleh orang-orang kampong.  Yang menyediakan makanan, menghantar makanan minuman ke meja makan adalah anak-anak dara dan teruna kampong.  Ada pancaragam dan nyanyian.  Meriah.. tidak menelan perbelanjaan yang tinggi pun.  Saya sedar saya bukan berkahwin dengan orang kaya.  Saya berkahwin dengan insan yang saya sayangi.  Saya terima semuanya seadanya.  Saat itu terasa sayalah insan yang paling bertuah.
 
 
 

Wednesday, December 25, 2013

Kejamnya


 
Sejak menonton rakaman di U-tube yang dikongsi di dalam Facebook, hati ini tertanya-tanya.  Sudahkah hilangkah sifat-sifat kemanusiaan yang sepatutnya wujud dalam diri seseorang manusia?  Ngeri menonton rakaman CCTV di mana sekumpulan lelaki mendatangi sekumpulan yang lain, dan dengan tidak semena-mena menetak berkali-kali lelaki-lelaki tanpa diduga.  Ada yang sempat lari.  Jelas kelihatan seorang dari mereka ditetak dengan parang atau pisau tajam tanpa berhenti.  Bila dia bangun yang lain pula menetak bertalu-talu.

Begitulah sikap kebinatangan manusia.  Kesyaitanan yang tidak terkawal.  Tidak rasakah bersalah langsung?  Tiada ketakutan seolah-olah dirasuk.

Saya tidak dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung oleh si mangsa.  Rakaman CCTV itu sempat menunjukkan saat-saat si mangsa bergerak mengerang kesakitan sehingga dia tidak bergerak lagi.  Agaknya bila dijumpai, mangsa dah mati mengeras.   Aduh, sedangkan kalau kita terguris dan terluka pun terasa kesakitan teramat, apalagi di dalam kes ini ditetak, dipotong berkali-kali.  Lebih baik rasanya ditembak sahaja, kerana kesakitannya tidaklah seteruk dibandingkan dengan mangsa tetakan itu.

Rasanya penyerang-penyerang ini akan bebas dan dengan megahnya menunjukkan kuasa mereka.  Kejamnya gangster…

Rakaman kedua, U Tube yang saya tonton, saya agak juga seorang mangsa kena serang.  Tapi yang seorang ini mungkin sudah berada di bilik kecemasan hospital.  Rakaman yang jelas menunjukkan seorang pemuda di tetak, leher separuh terdedah, tapi masih bernyawa. Nyawa-nyawa ikan.  Luka di leher yang menunjukkan saluran kerongkongnya.  Kemudian ditunjuk bahagian perut yang ditetak,  terburai perutnya. Malahan usus najis juga terburai.  Taktau lah samada pemuda ini hidup atau mati akhirnya.  Yang pastinya pemuda ini mungkin ayah, abang, adik, anak dan saudara pada seseorang.

Rakaman CCTV ketiga pula menunjukkan beberapa pemuda yang cuba merompak syarikat peminjam wang ( tidak pasti ).  Berlaku baru-baru ini dan ada disiarkan di dalam surat khabar.  Salah seorang perompak melepaskan tembakan kearah pintu masuk.  Nasib baik tiada yang terkorban dan perompak pulang dengan tangan kosong.  Tidak hairan kalau perompak-perompak itu berani kembali ke tempat itu semula, kalau tidak berjaya ditangkap.

Pada pemuda-pemudi yang belum terjerumus ke kancah permasalahan ini, jauhilahnya.  Kerana sekali kita terpijat, sukar untuk kita melepasinya.  Gengster-gengster yang berani mati tentunya akan menjejaki anda kalau anda ingin keluar darinya.  Gengster dari puak lain juga menjadi mimpi buruk anda.  Dendam kesumat yang harus dibayar dengan nyawa.  Berbaloi kah?

Bila anda terjerumus, anda akan hilang sifat-sifat kemanusiaan untuk terus hidup.  Samada anda membunuh atau dibunuh. 

Bila anda mula merompak dan berjaya berbuat demikian, anda akan terus melakukan kerja yang keji.

Semakin anda terjerumus, semakin anda jauh dari hidup yang aman.  Renung-renunglah, fikir-fikirlah.  Sebelum berhajat untuk berbuat sesuatu yang tidak baik, fikirlah tentang keluarga anda.  Fikirlah penderitaan yang mereka terpaksa tanggung akibat perbuatan anda.

Terlalu banyak kisah yang anda dapat saksikan di dalam filem.  Banyak paparan filem adalah dari kisah benar, kisah hidup dan pengakhirannya.

Saya berharap pihak polis dapat mengiatkan operasi untuk menangkap gangster, perompak dan sesiapa jua yang membahayakan keselamatan orang ramai.

Biarlah kami warga Malaysia rasa selamat di bumi tercinta.
 
 
Doa saya semoga tahun baru ini dunia ini akan diberkati dengan keamanan !!!
 

Saturday, November 23, 2013

Kad Pengenalan Palsu




Kejadian tembak pengawai bank Ambank baru-baru ini oleh pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu membuka mata orang ramai kepada masalah yang telah lama diperkatakan oleh rakyat Malaysia.

Sejak sebelum pilihanraya yang lepas, sudah terdengar desas desus yang mengatakan kerajaan sengaja memberi kad pengenalan kepada warga asing khususnya mereka dari Sabah dan Sarawak agar mereka dapat memenangi pilihanraya.  Ini adalah kerana banyak kerusi datang dari Sabah dan Sarawak.

Kenyataan orang kuat Jabatan Pendaftaran mengatakan kad pengenalan Malaysia sukar dipalsukan memandangkan ianya mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sukar ditembusi. Jadi persoalannya, dimana punca permasalahannya?

Terdengar ramai warga asing khususnya warga Indonesia yang senang mendapat kad pengenalan hanya selepas beberapa tahun bekerja dan bermastautin di sini.  Walhal rakyat Malaysia (warga emas) yang bukan bumiputera yang sekian lama menetap di Malaysia, sampai mati pun belum memperolehi kad pengenalan.  Seolah-olah kerajaan tidak mengiktiraf kerakyatan mereka, padahal mereka rakyat Malaysia yang bekerja, membayar cukai dan membangunkan ekonomi Negara.  Saya faham kenapa ketidakpuasan di hati mereka.

Kalau kad pengenalan tidak dapat dipalsukan, bererti terdapat dalang di dalam agensi berkenaan yang mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.  Baru-baru ini ada berita yang mengatakan tertangkapnya orang dalam.  Mungkin Cuma ‘ikan bilis’ sahaja.  Kononnya warga asing Cuma perlu bayar untuk mendapatkannya.  Nampaknya kerana wang, manusia boleh buat apa saja !!

Warga asing yang berkad pengenalan palsu ini bukan sahaja dapat meloloskan diri dan menyamar sebagai orang Malaysia, mereka ini ‘merampas’ pekerjaan, identiti orang Malaysia.  Anak-anak mereka juga akan menggunakan kemudahan yang dikhususkan untuk kita.

Perkara ini bukan baru tapi ada pihak yang membutakan mata.  Bayangkan bila keadaan tidak terkawal barulah tindakan hendak diambil.  Sudahlah Negara kita dibanjiri dengan pendatang haram.  ‘Pendatang haram’ yang dihalalkan.  Salah siapa kalau bukan rakyat Malaysia sendiri !!!  Ada sesuatu yang tak kena !!  Kalau manusia yang dipertanggungjawabkan tugas mereka mula menyimpang dan mementingkan wang semata-mata, suatu hari Negara pun boleh tergadai.
 
Ishh, ishh .. semuanya palsu
Sijil Palsu, Surat Beranak Palsu, IC Palsu, semuanya boleh dipalsukan.
Cinta pun boleh palsu..
 

Friday, October 25, 2013

Hilangnya Keperimanusiaan

Hilangnya Keperimanusiaan

3 berita dalam akhbar minggu ini, membuat hati ini tertanya-tanya dimanakah perginya sifat kemanusiaan manusia zaman ini.  Adakah kerana tamak haloba, kegilaan, manusia hilang arah, tidak dapat mengawal nafsu maka terus hilang sifat2 ini.  Adakah manusia kini berperangai binatang?


Berita 1

Seorang penuntut berusia 15 tahun mati dibunuh oleh teman yang dikenalinya lalu disumbatkan ke dalam beg.  Teman lelaki berusia 23 tahun yang disyaki melakukan pembunuhan itu, mulanya berpura-pura dan turut membantu pencarian si mangsa bersama ibu si mangsa.  Suspek merupakan orang terakhir yang diketahui si mangsa.  Seorang pemerhati jenayah yang membantu pencarian, mula mensyaki suspek apabila mendapati ada kesan gigitan di tangan kiri dan terus mendesak sehingga suspek menceritakan hal sebenar.  Akhirnya suspek mengaku telah membunuh perempuan itu dan membawa polis ke tempat dia membuang beg yang mengandungi mayat si mangsa.

Baca :-


Berita 2

Seorang wanita pengawai bank ditembak dimukanya oleh seorang pengawal keselamatan yang kemudiaannya merompak dan melarikan wang dari bank.  Wang sebanyak RM 450,000.00 dilarikan oleh pengawal keselamatan yang menggunakan identity orang lain ketika memohon kerja pengawal keselamatan dan dipercayai warganegara asing.  Kini polis sedang memburunya.

Baca :



Berita 3

Seorang lelaki penghantar barang mengamuk dan membunuh 2 orang lelaki lain dan mencederakan 2 wanita.

Lelaki tersebut yang kelihatan seolah-olah dirasuk pada mulanya menikam 2 wanita kemudiannya melarikan diri dengan van.  Vannya kemudian melanggar sebuah van lain lalu dia keluar dan menikam mati seorang lelaki Cina.  Kemudiaan dia melanggar sebuah kereta lain dan turut menikam seorang pemuda Cina berusia 25 tahun.  Suspek ditangkap oleh orang ramai yang menyaksikan insiden itu.

           Baca :


 


Begitulah rapuhnya kehidupan ini.  Hari ini anda mungkin gelak ketawa bersama rakan dan family.  Esok anda mungkin menjadi mangsa.  Tiada sesiapa yang tahu apa yang tersurat.

 

Nyawa manusia terlalu murah.  Akibat kemarahan, ketamakan, nafsu syaitan, kegilaan, manusia hilang arah, hilang pegangan.  Sanggup bunuh untuk mencapai apa yang diidamkan.  Mana perginya sifat kemanusiaan?  Bagaimana perasaan mereka yang kehilangan anak, isteri dan suami akibat kegilaan yang berleluasa ini?  Apakah dunia sudah menuju ke kebinasaan dan inikah akhir zaman?
Saya tidak boleh bayangkan kesedihan ahli keluarga si mangsa..
 
 
 
 
 

Friday, September 6, 2013

Kereta Dilanggar - Apa perlu Anda Buat !! ( Bahagian 2 )

Sambungan dari Bahagian 1

** Catatan :  Ini kes Tuntutan ke atas kenderaan komersial.

12 Ogos 2013 - Saya tiba di balai polis hampir 7 malam.  Tanpa membuang masa, saya terus masuk, memberitahu saya ingin membuat lapuran.  Saya disuruh mengambil nombor.  Lepas itu saya duduk di sofa menunggu giliran.  Di depan saya ada 3 anggota polis yang mengambil aduan.  Sebenarnya 2 yang buat. Seorang duduk entah tulis apa.  Saya terdengar perbualan antara anggota polis dengan pengadu yang terdiri dari anak lelaki dan ibunya.  Kononnya anaknya keluar dari bank dan dengan tidak semena-mena menyerahkan wangnya kepada seorang perempuan.  Polis itu lantas menelefon perempuan itu lalu menyuruhnya memulangkan wang itu dan sekiranya perempuan itu tidak berbuat demikian, repot akan dibuat keatasnya.  Agak mengelirukan kerana kenyataan pemuda itu seperti tidak logik. Pemuda ini nampak gaya kurang cerdik sikit, itu yang boleh ditipu. Namun, polis itu dengan sabar melayannya. 

Seorang  polis wanita lagi melayan aduan seorang lelaki.  Bila tiba giliran seorang wanita yang mendukung anaknya bersama suaminya, dia meminta supaya anggota polis wanita itu membenarkannya menaip sendiri repot yang ingin dibuatnya.  Duduk dihadapan komputer lalu menaip.  Di dalam hati kecil saya berkata, “ selepas ini, saya pun hendak taip sendiri”.  Sebaik sahaja wanita itu habis buat repot, cepat-cepat saya mendekati polis wanita itu dan menyatakan hasrat saya.  Sebaik sahaja saya memberitahunya saya ke situ untuk membuat repot kemalangan kereta, saya diberitahu bahawa di situ bukan tempatnya.  Rupa-rupanya situ adalah bahagian repot jenayah.  Alahai selepas 45 minit menunggu.  Ada juga orang yang datang kemudian saya juga tersilap dan menyedarinya selepas terdengar perbualan polis wanita itu.

Lantas kami pun bergegas ke bilik satu lagi.  Mengambil nombor dan sementara menunggu, saya diberi kertas untuk menulis repot saya.  Beberapa contoh lapuran kemalangan dilekatkan di dinding bagi kemudahan orang-orang yang ingin menulis repot sendiri dan diserahkan kepada anggota polis yang berada di situ.  Mungkin cara begini lebih cepat memandangkan kebanyakan orang sekarang sudah kenal huruf.

Habis sahaja lapuran saya diambil dan ditaip, sesalinan diberikan kepada saya.  Gambar kereta saya telah diambil oleh anggota polis.  Saya diminta masuk berjumpa dengan pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya.  Katanya dalam sesuatu kemalangan, kita diberi 24 jam untuk membuat lapuran melainkan kes orang terlibat berada di hospital.  Dibolehkan dia membuat lapuran selepas keluar hospital.

Pengawai polis itu meminta saya menceritakan detail kemalangan yang terlibat.  Oleh kerana saya mempunyai butir-butir pemandu yang melanggar kereta saya, saya pun kemukakan padanya.

Dia menyuruh saya mengambil salinan repot polis dan keputusan siasatan kemudian.
Saya diberi salinan surat akuan penerima repot yang mempunyai maklumat kemalangan termasuk nama, ID dan nombor telefon bimbit pengawai penyiasat.

Dalam pada itu, saya menelefon agen workshop yang saya pilih agar mengambil kereta saya keesokannya.  Dan menyatakan hasrat saya yang mahukan mereka menuntut insuran pihak yang melanggar saya bagi pihak saya tanpa perlu saya mengeluarkan wang.  Dia memberitahu akan mencuba untuk berbuat demikian.

Malam keesokannya 13 Ogos 2013, saya menelefon pengawai penyiasat yang mengendalikan kes saya dan bertanya samada pemandu lori ada membuat repot polis.  Katanya ada.

Selepas saya menelefon workshop dan bertanya samada mereka mempunyai salinan lapuran polis saya dan pihak satu lagi.  Saya dimaklumkan mereka sudah ada kedua-dua repot.  Tapi keputusan siasatan belum lagi.  Keputusan ini adalah penting untuk menentukan samada dapat menuntut dari insuran lori tersebut.  Kalau keputusan memihak pada saya, pihak satu lagi akan didenda RM300.00  Saya berpendapat keputusan siasatan bukanlah susah dikeluarkan memandangkan lapuran pihak satu lagi adalah konsisten dengan lapuran saya. 

Bila saya telefon pengawai itu, katanya surat keputusan sudah dikeluarkan.  Namun 2 kali anak saya ke kaunter, tetapi dimaklumkan surat tersebut belum ada.  Ishh bila saya call pengawai, dia kata sudah keluarkan.  Lalu saya mengambil cuti pada 23 Ogos 2013 dan pergi ke balai untuk mendapatkan surat tersebut.  Alhamdulillah tidak sia-sia cuti saya kerana saya berjaya mendapatkannya (tarikh surat 15 Ogos 2013) dan terus menyerahkan kepada pihak workshop.  Pihak workshop ada memberi saya beberapa surat untuk ditandatangani.  Antaranya, seingat saya adalah surat tuntutan insuran kepada pihak satu lagi, dan surat penerimaan bahawa kereta yang melebihi 5 tahun, alatgantinya adalah dari yang terpakai ataupun produk dari Taiwan.  Bukan yang asli.

Anak saya ingin menggunakan keretanya untuk pergi ke KL.  Tanpa kenderaan, rasanya umpama patah kaki.  Saya meminta pihak workshop untuk cuba sedaya upaya menyiapkan kereta saya . Pada 05 September 2013, kereta saya dikeluarkan dari workshop. Saya tidaklah merungut ke atas pembaikian atau hasil kerja workshop ini.   Pagi tadi saya menggunakannya ke pejabat.  Namun saya rasa ada sedikit masalah di bahagian pintu tutup bonet belakang kereta.  Mungkin disebabkan impak kuat pada belakang pintu itu, tempat tutupnya turut terjejas.  Sebab setiap kali buka bonet belakang, saya terpaksa tutupnya berkali-kali, kalau tidak kereta akan berbunyi.  Esok saya akan bertanyakan kepada pihak workshop.  Sekurang-kurangnya layanan workshop ini adalah lebih baik dibandingkan workshop di mana kereta anak saya dibaiki dahulu.

 
 

Saya tidaklah keterlaluan meminta ini dan itu.  Ini adalah kerana saya sedar, sekiranya si pemandu lori tidak bertanggungjawab terus melarikan diri, saya terpaksa menanggung kos membaiki kereta saya.

Dalam saya melihat pembohongan dan kejahatan yang berleluasa di dalam realiti kehidupan ini, saya juga dipaparkan dengan kejujuran dan kebaikan. ( Si pemandu lori ini adalah contoh terbaik )

____________________________________________________________________________

Saya rasa mungkin anda juga ada pengalaman menghadapi situasi dimana bila anda menghadapi kemalangan, fikiran jadi buntu.  Pelbagai persoalan timbul, apa perlu dibuat,  siapa yang perlu dicari dan sebagainya. Kekadang dalam keadaan kita terdesak, banyak pihak hadir untuk mengambil kesempatan !

Mungkin anda boleh berkongsi pengalaman di bawah catatan komen blog ini.  Mana tau ianya dapat membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah berdepan dengan tuntutan insuran atau pihak yang mengambil kesempatan.  Di harap melalui pembacaan blog ini dapat sedikit sebanyak memberi menafaat.
 

** Taukah anda bahawa kes tuntutan kemalangan masih boleh dibuat kepada pihak satu lagi asalkan tidak melebihi 7 tahun.  Jadi jangan terkejut bila kes kemalangan yang anda fikir sudah ‘settle’ maksudnya mungkin anda sudah membayar pihak satu lagi dan tidak buat repot, tetiba suatu hari anda menerima surat dari peguam yang menuntut gantirugi dari insuran anda !




 

 

 

Kereta Dilanggar - Apa perlu Anda Buat !! ( Bahagian 1 )


Atau Apa saya buat  ( Ini cerita saya )

Kata orang, malang tak berbau.  Memangpun.

Selepas cuti panjang menyambut Hari Raya Aidil Fitri, saya kembali bertugas.  Timbunan fail-fail perlu diselesaikan, namun saya pasrah kerana bagi saya tugasan itu merupakan amanah yang perlu saya jalankan.

12 Ogos 2013, hari pertama selepas kembali bertugas, kira-kira jam hampir 5 petang, saya dikejutkan dengan kedatangan seorang pemuda Melayu ke pejabat bertanyakan siapa pemilik kereta yang nombornya disebut olehnya.  Lantas saya pun bangun bergegas melihat apa yang terjadi.

Terkejut beruk bila saya nampak tempat saya pangkir kereta, ada sebuah lori cement mixer disitu.  Biar betul, tadi kereta sayakan diletakkan di situ, kata hati kecil saya.

Bila keluar dari pejabat dan pandang benar-benar di hadapan pintu masuk, tu dia kereta saya.  Depan telah terlanggar kereta teman sepejabat saya.  Ishh apa dah jadi?

 
Rupa-rupanya kata si pemandu lori, dia meletakkan lorinya agak jauh seberang sana dan keluar membeli makanan.  Bila dia kembali, lorinya sudah berada di tempat letak kereta saya dan kereta saya sudah terseret ke hadapan.  Katanya breknya mungkin putus dan lori bergerak dengan sendirinya ke depan dan melanggar kereta saya.

 
Punyalah cepat, bebudak tarik kereta datang.  Saya pun rapla, kata orang Penang.  Pening..  Tapi hati ini memujuk.. cool down…

Lalu teman sepejabat melihat belakang keretanya dan mendapati hanya sedikit sahaja yang terkena malahan takda yang kemek.

Kereta saya pula lain cerita.  Depan nombor plat pecah, belakang pun pecah jugak. 

 
 
Lalu teman saya mengambil segala butir-butir si pemandu iaitu kad pengenalannya, syarikat majikannya dan nombor telefon bimbitnya.  Bebudak tarik kereta sudah sibuk mengelilingi kami.  Saya tidak membenarkan mereka menarik kereta saya ke workshop mereka kerana setahu saya selepas itu sekiranya kita ingin menukar workshop lain terpaksa membayar mereka.

Apa lagi saya cepat-cepat menelefon anak lelaki saya.  Sebabnya baru-baru ini, dia juga terlibat dalam kemalangan kereta.  Keretanya masuk workshop, dahlah lama, hasil kerja memang teruk.  Bayangkan baru keluar dari workshop keretanya berasap.  Saya yang mengikutnya dari belakang cepat-cepat menelefonnya.  Pusing balik ke workshop, rupa-rupanya ada satu fius enjin yang dah terbakar dan pekerja workshop kononnya tak perasan.  Nasib baik anak saya memang pakar dalam hal kereta, kalaulah saya, alamat dah terbakar.  Minta simpanglah.
Lepas itu bila dia jalan lagi, temperature naik terus.  Lantas dia segera pandu kepada workshop lain yang sering dia hantar dan nasib baik bateri keretanya masih dalam jaminan dan digantikan  dengan yang baru.  Seperkara lagi, sewaktu kereta dimasukkan ke workshop yang tarik kereta semasa kemalangan, seingat anak saya cermin kereta tidak retak.  Namun selepas itu bila dia pergi jengok di workshop, terdapat keretakan dan kata mereka cermin tidak dapat diganti kerana insuran tidak melindunginya.  Menyesal hantar ke workshop itu dan buat tuntutan insuran, kalau tau beginilah hasilnya baik keluar duit sendiri. 
Sebabnya, selepas itu anak saya terpaksa menghantar semula keretanya ke workshop lain yang ada pekerja mahir mengendalikan kereta jenisnya.  Dahlah tuntutan yang dibuat ke atas insuran tinggi, namun hasil yang diperolehi menghampakan.  Apalagi NCBnya turut hilang. Hmm..  Inilah realiti.. semua tahu tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Lantas saya menelefon saudara saya.  Dia memberi saya nombor telefon agen workshop yang dikenalinya.  Bila saya telefon, dia menyuruh saya membuat lapuran polis.

Katanya saya mempunyai 2 pilihan.  Pertama, keluar wang sendiri bayar kos membaiki kereta saya dan kemudiannya menuntut balik wang itu dari pihak Insuran.  Ini adalah kerena kereta yang melanggar saya adalah kenderaan komersial dan saya perlu menuntut 3rd party insurannya.  Itupun kalau keputusan polis nanti menunjukkan dia bersalah.  Katanya ada orang yang menuntut wang insuran mereka sehingga 2 tahun baru dapat semula.  Saya tidak pasti kesahihan kata-katanya.

Kedua, saya menuntut dari insuran saya sendiri.  NCB saya 55% hilang.  Saya tidak perlu mengorek keluar duit sendiri.  Namun saya tegas enggan memilih opsyen ini kerana saya berpendapat bukan salah saya.  Saya tidak mahu kehilangan NCB saya.

Nasib baik kereta masih boleh bergerak, lepas kerja saya bergegas ke balai polis.

( bersambung – Bahagian 2 )

 

Monday, August 26, 2013

Petua – Hilangkan Sakit Barah Gigi / Gusi


Aduh Sakitnya !!
 

Maksud Petua : Nasihat, petunjuk, atau panduan yg ber­guna (biasanya oleh orang tua-tua atau yg berpengalaman) tentang cara melaksanakan atau mencapai sesuatu dgn berkesan.

Petua yang di amalkan oleh orang dulu-dulu selalunya menggunakan bahan-bahan semulajadi yang murah dan senang di dapati pada waktu itu di kampong.  Daun-daun yang tumbuh liar boleh didapati percuma. 

Petua-petua turun temurun yang berkesan seharusnya dipraktikkan dan tidak dibiarkan hilang dari pengetahuan generasi akan datang.

Apabila kita menghidapi kesakitan, amalan petua sekurang-kurangnya dapat mengurangkan atau meredakan kesakitan sebelum kita berjumpa dengan doktor.  Kalau terus sembuh, tidak perlu jumpa doktor atau beli ubat di farmasi.  Jimat.

Seringkali kita menghidapi sakit barah gigi/Gusi.  Sakitnya bukan calang-calang sehinggakan hendak makan pun jadi tiada selera dek kesakitan.

Berikut petua yang saya ingin kongsikan bersama anda.  Petua ini adalah dari buku Petua Jelita yang saya beli sewaktu baru-baru mendirikan rumahtangga.  Buku itu saya simpan dengan baik sehingga kini.


Petua  1.  Kumur dengan garam.  Atau perlahan-lahan lumur garam di tempat yang sakit. 

Daun Semalu
 
Petua 2.  Ambil Daun Semalu. Campurkan kapur dan ramas sehingga ia mengeluarkan buih pekat.  Titis sedikit air ke dalamnya.  Lumur buih pekat di pipi yg bengkak.  Petua ini akan menolong mengatasi kesakitan anda.

 
 
 
 
Buah Nona
 
Petua 3.  Rebus kulit buah nona dan 2 batang bayam yang dibersihkan bersama 2 gelas air sehingga tinggal 1 gelas.  Sejukkan air rebusan dan jadikan air untuk berkumur.  Kumur berkali-kali.  Sapukan air itu sedikit di pipi kanan dan kiri hingga ke paras tengkuk.
 
 
 
 
 
 

Daun Senduduk
 
 
Petua 4.  Ambil akar senduduk, 2 keping asam keping ( asam gelugur ), sebuku garam dan 3 gelas air.  Campur dan rebus sehingga menjadi 2 gelas air.  Gunakan air rebusan untuk berkumur 2 kali sehari.  Selain menghilangkan bengkak gusi, ia juga boleh menguatkan gigi.






Kata Orang Tiada Rotan, Akar Pun Berguna !!!