Thursday, November 3, 2011

99 nama untuk bin, binti anak luar nikah


99 nama untuk bin, binti anak luar nikah


2011/11/03

KUALA TERENGGANU: Pasangan terlanjur yang malu meletakkan bin atau binti Abdullah pada nama anak mereka boleh memilih 99 nama Allah atau Asmaul Husna untuk menggantikan nama berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat, berkata ramai yang tidak tahu perkara itu menyebabkan mereka malu menggunakan bin Abdullah dalam sijil kelahiran anak tidak sah taraf, bagi mengelak anak itu dikesan tidak sah taraf.
"Inilah perkara yang ramai tidak tahu. Anak tidak sah taraf bukan saja perlu dibin atau dibintikan dengan Abdullah, tetapi boleh menggunakan 99 nama Allah antaranya Abdul Rahim, Abdul Razak, Abdul Malik, Abdul Aziz dan Abdul Latif.
"Jika mereka membuat pilihan ini, bukan saja makna nama itu lebih indah dan mulia, tetapi dapat mengelak daripada keturunan tidak sah apabila sewenang-wenangnya meletakkan nama individu lain sebagai bapa kepada anak luar nikah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Berita Harian kelmarin mengenai ramai pasangan terlanjur di negeri ini dikesan sanggup menipu tarikh pernikahan bagi mengelak anak sedang dikandung ditakrifkan sebagai anak tidak sah taraf.

Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah negeri, Wan Mohd Zakri Wan Mohd, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyalahi hukum syarak, malah menyebabkan keturunan sesebuah keluarga itu tidak sah, malah tergolong dalam zina.

Mengikut perangkaan dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tahun lalu sejumlah 623 pendaftaran anak tidak sah taraf dicatatkan di seluruh negeri ini, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.
Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata tindakan pasangan terlanjur menipu tarikh pernikahan adalah tidak beretika, kerana kesan daripada tindakan itu sangat dahsyat dan merosakkan keturunan.

"Sekiranya bapa yang tidak sah mewalikan pernikahan anak tidak sah taraf, kesannya amat dahsyat dan berpanjangan. Jika pernikahan anak (tidak sah taraf) itu tidak sah, maka sepanjang keturunannya sehingga ke anak cucu tidak sah dan berada dalam zina. Malah, dalam pembahagian harta pusaka, anak tidak sah taraf juga tidak layak menerimanya,’’ katanya.

"Jangan hanya kerana malu dan mahu menutup kesilapan sendiri yang berzina hingga melahirkan anak, soal keturunan anak ini diambil mudah. Sudahlah kita melakukan dosa zina, ditambah pula dengan penipuan yang memusnahkan keturunan ini, ingatlah balasan Allah," katanya ketika dihubungi.


Petikan dari http://www.bharian.com.my/bharian/articles/99namauntukbin_bintianakluarnikah/Article


** Ibu bapa yang terlanjur, anak yang kena menanggung malu.  Kekadang bila difikirkan rasanya tidak adil bagi si anak untuk menerima keaiban disebabkan kesalahan/dosa ibu bapa.  Bayangkan apabila si anak dibin atau dibintikan Abdullah, bila besar tentu menjadi tanda tanya kepadanya mengapa namanya tidak berbin atau berbintikan ayahnya.  Tentu si anak merasa rendah diri bila diketahui bahawa dirinya adalah anak luar nikah.


     
Ramai pasangan yang terlanjur, mengandung dan kemudian baru berkahwin.  Mungkin yang baru beberapa bulan, orang lain tak perasan, bolehlah disembunyikan dan dirahsiakan.  Tapi kalau perut dah memboyot, riuh sekampung nampaknya nanti.


Ini cerita, seorang gadis yang terlanjur, ibu bapanya cuma dapat tahu bila kandungan dah masuk 7 bulan.    Bayangkan takkan ibu bapanya tak perasaan tentang anak gadisnya yang dah berisi.  Tentu ada perubahan ketara dalam tingkahlaku dan bentuk badannya.  Ataupun ego si ibu yang tidak kisah.  Bila dapat tahu, apalagi kelam kabutlah seisi keluarga, cepat-cepatlah disuruh nikah.  Belum sebulan dah lahirkan bayi comel.  Nasib baik ibunya tolong menjaga cucu itu.  Cucu dah jadi macam anak pulak, sebab anak perempuannya yang termengandung belum bersedia, yang lelaki pula sedang menuntut di universiti.  Sampai sekarang anak dah hampir 3 tahun, keluarga lelaki belum tau yang dia dah bernikah. Alahai hantar jauh-jauh untuk belajar, rupa-rupanya dia belajar yang lain pulak.  Dengar khabar, si lelaki ni balik negeri, tak balik mai sini dah.. ehemm..


Zaman yang begitu canggih, senario-senario ini berlaku di dunia luar, cuba bayangkan kalau ianya menular dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup di sini :-


1.  Kalau tidak boleh mengandung atau takmahu mengandung, boleh upah orang lain mengandungkan.
    ( ibu tumpang / surrogate mother )


2.  Sperma suami boleh dibekukan untuk digunakan kelak oleh isterinya bila suami dah meninggal
     dunia.  ( Bila suami dah meninggal, baru isteri mengandung, agaknya apa orang fikir? )


3. Sperma boleh didermakan.  Penerima boleh memilih kategori yang disukai berdasarkan keturunan,
    rupa paras.  ( Ini macam kes, wanita yang melahirkan kembar ramai ~ lupa pulak namanya yang 
    dah jadi tajuk hangat dahulu, yang nak tiru mukanya macam Angelina Jolie. )


Akibatnya,


1.  Perempuan boleh kahwin sesama perempuan dan dapatkan/lahirkan anak. ~ lesbian 
     ( opsyen 1 & opsyen 3 ~ telur perempuan dengan sperma derma )


2.  Lelaki boleh kahwin lelaki dan lahirkan anak ~ gay ( opsyen 1 - sperma lelaki2 ini dengan telur ibu 
    tumpang )


3.  Perempuan tak perlu kahwin untuk lahirkan anak ( opsyen 1 & opsyen 2 )
4.  Lelaki tak perlu kahwin untuk dapatkan anak ( opsyen 1 )


Kalau keadaan ini berlaku, macamana kita hendak mengesan keturunan seseorang.  Ngeri nak bayangkan..


Alahai... ni memang kes berat dan mengelirukan.


Kesimpulannya, bernikah dan lahirkan keturunan yang baik penuh kasih sayang mengikut lunas-lunas Islam atau Agama lain yang semuanya mengajar manusia erti hidup berkeluarga.





No comments: