Usah Terlebih Belanja
Pepatah Melayu ‘Besar Pasak Dari Tiang’ khususnya ditujukan kepada mereka yang berbelanja lebih dari pendapatan.
Musim cuti dan perayaan ini, kebanyakan gedung membeli belah terkemuka mengadakan jualan hebat dan menawarkan diskaun hebat dan dahsyat. Sesuatu yang jarang dapat ditolak oleh mereka yang ketagih membeli belah.
Untuk mengelakkan diri dari terlebih belanja, kita seharusnya:-1. Ketahui dan sedar jumlah wang yang dibelanjakan.
Mereka yang suka dan tidak dapat membendung nafsu berbelanja tidak sedar atau tidak kisah tentang jumlah perbelanjaan sebenar mereka.
Kewujudan kad ATM, kad debit dan kad kredit menambahkan keghairahan kita untuk berbelanja. Mungkin kad debit dapat menghadkan cara kita berbelanja kerana kita hanya dapat berbelanja dengan wang yang ada di akaun kita sahaja.
Namun dengan kad kredit, perbelanjaan selalunya melebihi kemampuan kita kerana belanja sekarang, penyata hanya tiba akhir bulan. Bila kita lihat dalam dompet, wang ringgit masih banyak, tanpa kita sedari, kita sudah belanja ratusan ringgit. Kemudahan ini menambahkan nafsu berbelanja kita, apa tidaknya cuma tandatangan sahaja. Kawal cara anda berbelanja.
2. Elakkan berbelanja keterlaluan
Sekiranya anda melihat sesuatu yang ingin dibeli, cuba tunggu sehari sebelum anda berbuat demikian. Andaikata anda benar-benar ingin memilikinya, anda akan kembali keesokannya. Cara ini memberi anda peluang untuk mencari barangan lain yang lebih baik atau lebih murah atau mungkin anda akan mengubah fikiran.
Selalunya saya menunggu hingga diskaun 20% atau 50% baru saya membeli barangan tersebut. Dengan cara begini, saya tetap dapat memiliki barang yang sama dengan harga yang lebih murah.
Namun, kita perlu berhati-hati kerana kita selalu akan berbelanja lebih pada waktu jualan murah.
3. Mempunyai objektif jelas apabila berbelanja
Sebaik melangkah keluar membeli belah, anda perlu mempunyai objektif jelas tentang apa yang ingin beli. Kenalpasti antara keperluan dan keinginan memiliki sesuatu barangan semata-mata.
Sebaik sahaja anda membuat senarai barangan keperluan anda, bereti anda hanya akan membeli kerana anda memang memerlukannya.
4. Jangan habiskan masa ditempat yang memudahkan anda berbelanja.
Sekiranya anda menghabiskan banyak masa di kompleks atau gedung membeli belah, anda dengan secara tidak langsung, digalakkan untuk berbelanja. Kadangkala, berbelanja sebegini sebenarnya adalah untuk menghilangkan kebosanan dan bukannya keperluan untuk membelinya.
5. Menilai semula tabiat belanja anda
Nilai semula tabiat/nafsu berbelanja anda. Samada anda beli kerana keperluan atau keinginan memiliki barangan tersebut semata-mata. Ubah corak perbelanjaan anda, beli apa yang perlu sahaja.
Seseorang yang tidak mengawal perbelanjaan, akan kesempitan wang bila tiba hujung bulan sebelum mendapat gaji. Setiap kali mendapat gaji, sekelip mata pendapatan itu dihabiskan untuk membayar hutang.
No comments:
Post a Comment