Tiba masanya untuk kita perlahan
pergerakan perjalanan hidup kita. Ya .. it’s time to slow down…
Bayangkan ibu bapa terutamanya si ibu yang mempunyai
anak-anak kecil, pagi-pagi sudah perlu membuat persediaan untuk menghantar anak
ke rumah pengasuh, kemudian seorang lagi ke sekolah tadika dan ke sekolah.
Kalau punya suami yang rajin membantu soal rumahtangga, mungkin beban dapat
dikurangkan. Tapi kalau anda ditakdirkan mendapat suami yang malas, alamatnya
stres anda makin bertambah.
Di tempat kerja, tugasan bertimbun-timbun yang perlu
disiapkan. Selesai kerja, ada yang bergegas mengambil anak dari sekolah atau
dari pengasuh, kemudian pula ke tuisyen dan bermacam-macam lagi. Kalau nak
disenaraikan , cukup panjang.
Kalau anda dari golongan isteri berada, baguslah kerana mampu
mengambil pembantu rumah, tukang masak dan tak perlu bekerja. Tugasan
menghantar dan mengambil anak juga boleh diambilalih dengan menggaji pemandu.
Tapi yang tak bernasib baik, alahai stres meningkat. Balik
kerja, rumah perlu dikemas, makanan perlu disediakan, lepas itu kerja sekolah
anak perlu diteliti. Sekiranya anda punya ibu bapa yang masih kuat, anda
bernasib baik kerana mereka boleh membantu mengurangkan sedikit beban dan
tekanan anda. Oleh kerana terlalu banyak jadual dan tugas yang perlu kita
laksanakan dengan sempurna, segalanya kita mahu lakukan dengan pantas. Secara
tak langsung, tanpa kita sedari hidup kita dipenuhi dengan stres yang
menjejaskan ingatan kita.
Membaca berita semalam mengenai seorang ibu yang bertugas
sebagai guru di Bandar Baru Uda, Johor Baru, yang meninggalkan anaknya yang
berusia 5 tahun tidur di dalam kereta sekitar 7.30 pagi, bergegas ke tempat
kerja, langsung terlupa tentang anaknya yang berada di dalam kereta. Bila
teringat anaknya sekitar 1.30 tengahari, anaknya sudah meninggal. Hiba dan
sedih hati membacanya. Tidak dapat saya membayangkan
kesedihannya kerana tentu dia akan mempersalahkan dirinya ke atas kematian
anaknya. Tentu ramai orang yang mempersoalkan bolehkah seorang ibu terlupa
langsung anaknya yang ditinggalkan. Saya berpendapat memang boleh berlaku.
Tidak lama dulu saya pernah bersembang dengan teman
sepejabat tentang rancangan di Oprah Show yang menjemput seorang ibu yang
kematian anak kecilnya kerana meninggalkan anaknya dalam kereta akibat terlupa.
Ini adalah kerana rutin hariannya ialah menghantar dua orang anaknya yang lain
ke tadika dan anak bongsunya pula di hantar oleh suaminya. Namun pada hari yang
malang itu, suaminya tidak dapat menghantar anak bongsunya lalu dia
mengambilalih untuk menghantarnya. Dia menghantar anak-anak yang lain ke tadika
namun langsung terlupa bahawa anak bongsunya berada di belakang kereta dan
terus bergegas ke tempat kerja. Rakan sekerja yang keluar ke tempat letak
kereta terkejut besar bila mendapati ada bayi di keretanya. Lalu memberitahunya
dan hanya pada waktu itu dia teringat anak bongsunya belum dihantar ke tempat
pengasuh dan tertinggal dalam kereta. Dalam rancangan itu, Oprah berbual
tentang topik stres dan kehidupan yang terlalu mencabar, boleh membuat kita
lupa. Apalagi kalau corak jadual harian kita berubah, minda kita pun boleh
terkeliru.
Kesimpulannya : Bila terasa kehidupan ini terlalu menekan,
pada anda isteri dan ibu, perlahankan langkah anda, tarik nafas dan tenangkan
diri. Kita bukan ‘superwoman’, kita ini manusia biasa.
** Kehidupan saya
juga tidak kurang beban dan tekanan, bezanya anak-anak saya sudah meningkat
dewasa. Namun berhadapan dengan anak remaja juga lebih teruk stresnya. Kadangkala
terfikir betapa bagusnya kalau dapat lari dari bebanan ini. Bebas seperti
burung di awan. Bisakah??
No comments:
Post a Comment