Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres.
Ini adalah hakikat yang perlu diambil
berat terutamanya ibu bapa.
1. Stres wujud apabila sumber permintaan
sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri.
Contohnya aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan
yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing. Ada ibu
bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan
anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. Anak dipaksa
belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu
bapa.
Anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk
mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung
setelah gagal mencapai impian ibu bapa. Keadaan bertambah buruk apabila ibu
bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik.
Dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan
berdasarkan kemampuan diri anak. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang
sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. Cara ini yang terbaik kerana
anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan
sasaran ibu bapa.
2. Anak termasuk remaja juga boleh
menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah. Emosi
anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang
terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat
menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. Mereka mungkin
berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan
perasaan mereka. Akibat pengambilan bahan yang mengkhayalkan, mereka terjerumus
melakukan perkara-perkara di luar jangkaan.
Ada anak yang lari dari rumah
kerana terlalu tertekan dengan konflik keluarga yang berpanjangan. Ada yang mempunyai
teman lelaki dan termakan pujukan, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh
merosakkan diri mereka. Jadi bukankah masalah sebenarnya bermula dari rumah?
Zaman
remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutamanya
oleh rakan sebaya. Justeru itu, remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu
atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga,
dengan kaunselor,
3. Pasangan yang bertengkar disarankan supaya
tidak melakukannya di depan anak. Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu
bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh. Bila anak itu berkahwin, mereka
mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk
menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat
ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi. Sekiranya anak mereka adalah
lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas
isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. Anak akan belajar kemahiran menyelesaikan
masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya. Oleh
yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam
keluarga.
4. Anak juga boleh mengalami tekanan
jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat. Anak kecil, perlu
dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik
untuk menangani stres.
Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa
menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh
bersepah sedikit. Bermain juga penting
untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri
kanak-kanak.
Hakikatnya, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska
atau tadika seawal usia tiga tahun. Bila balik ke rumah mereka dikerah buat
kerja rumah dan sering dilarang bermain.
Kanak-kanak perlu bebas bermain di bawah kawalan ibu bapa kerana ianya
membantu perkembangan diri dan personaliti mereka.
Sesetengah ibu bapa lebih gemar membelikan pelbagai gajet
permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun
kawan sebaya.
Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang
efektif. Anak juga kurang masa yang kualiti bersama ibu bapa.
5. Ada kanak-kanak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian
ibu bapa. Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali
dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah. Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang
bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak. Ada yang sekadar
bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai
kerja sekolah. Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad
Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada
hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau
video. Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan
kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih
sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka. Keadaan yang sedemikian sudah
tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan. Ibu
bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih
sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.
Hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering
merasakan rindu kepada ibu dan ayah.
6. Belum bersedia dan tidak bersedia untuk
menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah
mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan. Ada ibu merasa
tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia
untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami. Ada juga
isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan.
Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan
dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka. Konflik
berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.
Teringat kehidupan zaman kanak-kanak di kampong dahulu, bebas penuh keriangan. Banyak permainan tradisional yang kami
main. Sejurus cuti sekolah bermula,
semua berkumpul dan bermain. Permainan
polis dengan pencuri, guli, getah, sepaktakraw, lompat, badminton dan banyak
lagi. Lupa kebanyakan nama permainan itu. Kumpulan kami terdiri dari anak gadis tapi
lasaknya mengalahkan lelaki. Panjat
pokok jambu, manggis, kelapa. Selalu
bermain berkumpulan dengan lelaki .
Bermain laying-layang pun tidak ketinggalan bila tiba musimnya. Mandi di sungai, tangkap ikan di sungai. Pernah dihambat dan dicubit oleh angsa. Sebut apa sahaja kami sudah pernah bermainkannya. Alangkah seronoknya !
Berbeza zaman sekarang, baru mula bertatih, anak-anak sudah diberi
telefon bimbit untuk bermain game. Ada
yang dibelikan ipad. Ada yang sudah
melekat di depan computer. Asalkan dapat
duduk diam dan tidak menganggu, apa sahaja alat permainan eletronik yang disukai akan
dibeli oleh ibubapa. Ada kanak-kanak
yang terlalu asyik dengan alat permainan eletronik sekarang sehingga kurang berinteraksi dengan orang lain.
No comments:
Post a Comment