Bercakap pasal wang, susah untuk mendapatkan/ mengumpul wang, namun dengan sekelip mata, wang dapat dihabiskan samada dengan berbelanja ataupun ditipu.
Saban hari terbaca di depan akhbar, ada sahaja orang yang tertipu. Golongan professional tidak terkecuali. Soalnya bila kita terlalu memikirkan keuntungan yang pantas dan maksimun, kita mudah masuk perangkap, mereka yang berniat untuk menipu.
Sejak seminggu, saya dalam keadaan serba salah. Apa tidaknya seorang anak saudara ingin meminjam wang untuk mulakan penghidupan baru di negeri lain. Masalah rumahtangga yang melandanya membuatnya membuat keputusan nekad. Memohon pertukaran kerja ke negeri lain memerlukan perbelanjaan yang banyak. Apalagi ibu kota yang tentunya menelan perbelanjaan yang lebih tinggi.
Jumlah yang ingin dipinjam bukannya sedikit. SMSnya menyatakan akan membayar sedikit-sedikit.
Saya tidak tahu bagaimana menjawab smsnya. Soalnya saya sendiri, setiap bulan, cukup-cukup makan saja. Perbelanjaan tetap kalau nak disenaraikan terlalu panjang. Bayar hutang rumah, kereta, bil-bil, kredit kad, perbelanjaan asas untuk makanan. Masalah yang tidak perlu saya rungkaikan atau wawarkan padanya.
Namun untuk anak-anak, dari awal perkahwinan, saya sudah ketepikan dikit-dikit setiap bulan di buku simpanan si kecil. Sekarang simpanan yang ada memang saya ketepikan untuk perbelanjaan pelajaran anak bongsu saya. Simpanan lain untuk sendiri bila ada kecemasan. Keutamaan saya berikan pada diri dan anak-anak. Adakah saya pentingkan diri atau perlukah saya pentingkan diri? Kalau susah, saya cuba sedaya upaya untuk tidak menyusahkan orang lain, itu prinsip hidup saya. Semasa saya dalam kesusahan dulu, ibu saya tampil untuk membantu.
Seorang teman, baru-baru ini, hendak pinjam wang. Bila saya sms kembali, menyatakan tidak dapat berbuat demikian kerana punya masalah sendiri, terus dia tidak lagi menghubungi saya. Marah agaknya. Tapi saya tidak kisah. Mungkin inilah realiti kehidupan.Pengalaman dahulu dengan saudara lain, bila datang meminjam wang bukan main senang, tapi bila nak bayar hutang, banyak alasan. Serik rasanya.
Bagi setengah orang, umpama peribahasa ‘gali lubang menutup lubang’ yang membawa maksud meminjam wang untuk membayar hutang.
Entahnya sehingga saat ini, saya masih belum menjawab smsnya.
No comments:
Post a Comment