'Doctor dignose, Nurse Heal' |
Terima kasih Doktor, Terima Kasih Jururawat
Setiap kali saya melangkah ke hospital untuk mengunjungi teman atau saudara yang sakit, hati ini terasa hiba, melihat suasana dan keadaan pesakit-pesakit yang terlantar di situ. Ada pesakit yang ‘sudah tinggal nadi sahaja’ Waktu itu, saya sentiasa bersyukur kerana masih sihat, Alhamdulillah.
Keadaan amat berbeda di hospital kerajaan dan swasta, terutamanya layanan. Kita faham kerana harga sahaja kita sudah tampak perbedaan yang ketara.
Kalau anda ke hospital swasta, beberapa hari sahaja, bil sudah ribuan ringgit. Bayangkan kalau anda terpaksa tinggal dihospital untuk berminggu-minggu. Orang yang bayar bil kelak akan jatuh sakit bila melihat bil yang melambung tinggi. Apa-apa pemeriksaan yang dirasakan perlu akan dijalankan, caj dalam bil. Kalau pesakit memiliki insuran kesihatan, mungkin lebih lega kerana syarikat insuran akan membayarnya. Namun kita perlu ingat bahawa insuran kesihatan juga mempunyai had bayarannya tertakluk kepada jumlah insuran yang kita beli dan terma-terma lain di dalam polisi berkenaan. Ada pesakit yang menghidapi penyakit kronik yang memerlukan rawatan berpanjangan yang memiliki insuran tetapi akhirnya terpaksa berkunjung ke hospital kerajaan kerana tidak mampu menanggung kos rawatan yang dikenakan.
Walaupun layanan di hospital kerajaan amat jauh beza dengan swasta, namun saya sentiasa tabik hormat kepada para doktor dan jururawat di kedua-dua hospital. Di hospital kerajaan, doktor dan jururawat tidak menang tangan, apa tidaknya pesakit terlalu ramai, masuk keluar hospital saban hari.
Melihat stres kerja mereka, kita faham kadangkala kesabaran mereka diuji. Apalagi doktor dan jururawat muda yang baru bertugas. Namun kiranya mereka dapat menjalankan tugas dengan senyuman dan keikhlasan, tentu ianya penawar kepada pesakit yang menderita. Saya kagum dengan kegigihan golongan ini yang bertungkus lumus berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira bangsa atau kaum.
Saya juga mengimpikan anak bongsu saya kelak, akan dapat menjadi seorang doktor. Dapat menyumbang bakti kepada Malaysia. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment