Wednesday, March 14, 2012

Bila Manusia Hilang Sifat Kemanusiaan

Berita terkini, kanak-kanak perempuan Nurul Nadhirah Abdullah, 5, (Dirang)  yang hilang dan beberapa hari yang lalu mayatnya ditemui.  Dibakar.  Kejamnya perbuatan seseorang kepada kanak-kanak yang tidak berdosa ini.  Nampaknya sudah menjadi trend jenayah sekarang iaitu mangsa dibunuh kemudiannya dibakar.  Mungkin ini adalah taktik pembunuh untuk menutup jejak mereka agar tidak dapat dikesan dan ditangkap.  Kes ini menjadi sebutan ramai ketika ini, namun lama kelamaan ianya hilang dari ingatan kita.  Seperti kes terdahulu Nurin Jazlin yang mati dibunuh, sehingga kini si pembunuh masih bebas memburu mangsa seterusnya.  Si pembunuh perlu ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya.  Kerajaan/Polis seharusnya melancarkan gerakan besar-besaran untuk mengesan dan menangkap penjahat kejam ini secepat mungkin.  Jangan tunggu seorang lagi menjadi mangsa untuk bertindak !

Maka apakah peranan kita?  Nampaknya masyarakat zaman ini, ‘mind your own business’, tidak peduli apa yang terjadi sekeliling kita.  Cuba fikirkan kalau terjadi pada keluarga kita, anak teman kita atau sesiapa sahaja yang kita kenali.  Tentu ada seseorang yang nampak kanak-kanak ini sewaktu dia ditangkap oleh seseorang, mungkin yang dikenalinya.  Saya pasti kalau kita lebih peka dan bekerjasama membanteras jenayah yang tidak bermoral  ini, tentu kejadian seperti ini dapat dielakkan.

Ibu bapa hendaklah sentiasa  mengutamakan keselamatan  dan melindungi anak-anak mereka.   Saya selalu nampak kanak-kanak dibiarkan keluar membeli dikedai berdekatan, kadangkala disuruh oleh ibu bapa mereka.  Sikap tidak apa ini menjadi salah satu punca kejadian sebegini berlaku.  Seharusnya kita mengiringi anak-anak kecil ke taman permainan, kedai atau mana-mana, apalagi kalau dia berseorangan.  Sekurang-kurangnya kita berusaha terbaik untuk berada dengan anak-anak kita dan tidak membiarkan mereka berkeliaran meskipun dekat kawasan perumahan kita.  Kita hendaklah memastikan sekurang-kurang terdapat seorang dewasa bersama mereka bila keluar dari rumah ataupun di dalam rumah. Kanak-kanak tidak mengerti tentang bahaya atau ancaman orang berniat jahat terhadap mereka.  Banyak kejadian kemalangan juga berlaku kerana kanak-kanak dibiarkan tanpa pengawasan orang dewasa. Jangan bila peristiwa yang tidak ingini menimpa, baru kita menyesal.  Kata orang ‘ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tiada Berguna’.

Manusia sekarang sudah hilang pedoman dan sanggup membunuh kanak-kanak tidak berdosa untuk memuaskan nafsu atau kemarahan.  Dunia sudah tidak selamat, kerana terdapat manusia yang tidak berperikemanusiaan.





No comments: