Penipuan Kad Kredit
Terkejut bila melihat gambar seseorang yang dikenali terpampang di akhbar Cina yang dikehendaki oleh polis kerana pembabitannya di dalam sindiket pemalsuan kad kredit yang ditumpaskan. Khabarnya pihak polis sedang mencarinya untuk disoal siasat.
Sebagai seorang ibu, saya terfikir betapa punahnya harapan ibubapanya bila mengetahui khabar yang tidak indah ini. Bayangkan bila anak anda menduduki jawatan yang agak tinggi di bank ternama antarabangsa, anda tentu bangga. Namun apa perasaan anda bila gambar anak anda tersiar diakhbar dicari polis kerana penipuan. Kesian anak-anak kecil dan isterinya kelak, kalau anak anda didapati bersalah dan dipenjarakan. Mungkin ada sindiket yang mengambil kesempatan atas jawatannya, mudah untuknya mendapatkan maklumat dalaman dan mempergunakannya.
Jadi bagi anda yang kesempitan wang dan mencari jalan keluar, fikirlah masak-masak sebelum bertindak. Tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang yang banyak selain dari hasil usaha dan titik peluh kita sendiri. Kalau anda berfikir anda hanya ingin lakukan sekali sahaja untuk mendapatkan wang, selepas itu anda ingin berhenti, anda silap. Kerana selalunya bila penipuan terlepas dengan mudah, maka perasaan tamak akan bersarang di hati. Jadi anda akan lakukan berulang kali, kerana setiap kali anda mendapat hasil yang lumayan dengan mudah.
Namun, ingatlah sepandai-pandainya tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ketua sindiket yang menjadi dalang terlepas, kaya raya. Anda yang terperangkap.Jangan jadi bodoh, kerana sekali tertangkap habis kerjaya dan seluruh hidup anda.
No comments:
Post a Comment