Sempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengucapkan syabas kepada kaum wanita seluruh dunia atas pencapaian mereka. Kejayaaan wanita menandingi lelaki, malahan lebih baik dari lelaki. Wanita sekarang mampu memikul tanggungjawab sehebat lelaki.
Syurga itu di bawah tapak kaki ibu, begitulah tingginya penghormatan kepada kaum wanita. Namun begitu ramai wanita yang didera, memendam rasa tanpa berani berkata-kata. Di zaman moden ini, masih terdapat ramai wanita yang didera fizikal dan emosi. Bayangkan ada yang disepak terajang, dikasari, dan maruah dijatuhkan oleh kaum lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung mereka. Sedih rasanya mengenangkan penderitaan kaum hawa yang menerima nasib sebegini.
Teringat dokumentari yang pernah saya tonton tidak lama dulu, bagaimana seorang wanita cantik Pakistan yang dipotong hidung dan dikorek matanya oleh suaminya yang cemburu dan penuh syak wasangka pada si isteri. Ngeri melihat wajahnya selepas itu. Ada doktor Inggeris yang mendapat tahu keadaan wanita itu dan sanggup membiayai perbelanjaan perubatan wanita tersebut untuk mendapat rawatan surgeri muka, kemudian dipasang dengan hidung dan mata palsu. Kisah yang lain pula memaparkan bagaimana kesengsaraan si isteri yang disimbah minyak panas. Si suami terlepas dan tidak mendapat hukuman yang setimpal. Sebak, sedih dan geram hati ini
Di India pula, dokumentari yang mengisahkan sekumpulan gadis muda yang terpaksa mendiami suatu asrama untuk balu. Gadis-gadis muda ini dikahwinkan kepada lelaki tua dan apabila suami mereka meninggal, mereka dipaksa mendiami asrama tersebut tanpa boleh bercampur gaul dengan masyarakat luar dan tidak dibenarkan berkahwin semula. Kesian menonton kisah mereka.
Saya bersyukur kerana dilahirkan di Negara seperti Malaysia dimana wanita tidak dilayan sedemikian rupa. Begitu juga kelak anak cucu dan keturunan perempuan saya yang seterusnya.
Wanita disini diberi peluang untuk mendapat pendidikan tertinggi, menjawat jawatan teratas, memiliki kebebasan, wang dan memilih pasangan hidup. Wanita tabah dan sabar menghadapi dugaan. Wanita bersemangat waja. Wanita memainkan peranan penting di dalam kemajuan dan pembangunan Negara. Wanita Tunggak Negara. Tidak kira anda ibu tunggal, janda atau balu, anda punya peranan dalam membentuk masa hadapan anak-anak dan Negara.
Sekiranya anda didera, ketahuilah anda punya pilihan. Masalah bukan anda tapi dia. Kiranya dia tidak tahu melayan anda dengan baik, maka memang tidak berbaloi berkorban untuknya. Jika perasaan dan emosi kita didera, semangat kita dipijak dan dihina setiap hari, wajarkah kita bersamanya??
No comments:
Post a Comment