Thursday, March 29, 2012

Nafkah Anak

Sesi Perbincangan Menambah Baik Akta Perkahwinan Dan Perceraian Akan Diadakan


KUALA LUMPUR: Satu sesi pertemuan dengan pihak berkepentingan akan diadakan bagi mendapatkan cadangan penambahbaikan kepada Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada segi pemberian nafkah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie berkata kementerian akan berunding dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)memandangkan bidang kuasa berhubung Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 adalah di bawah JPN.

Selain itu, beliau berkata kementerian berpandangan bahawa penguatkuasaan nafkah kepada isteri atau bekas isteri dan anak-anak boleh dilaksanakan melalui Akta Perempuan Bersuami dan Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968.

"Ini kerana Akta ini telah memberikan kuasa kepada Mahkamah di bawah Seksyen 4, Akta ini untuk membuat perintah tahanan pendapatan suami bagi maksud pembayaran nafkah kepada isteri dan anak-anak.

"Akta ini telah diguna pakai di mahkamah-mahkamah di Semenanjung Malaysia, termasuk Mahkamah Syariah," katanya ketika menjawab soalan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) yang ingin tahu mengenai pindaan Akta Perkahwinan dan Perceraian yang akan dibuat.

Sementara itu, Heng berkata kementerian memperuntukkan RM50 juta kepada Jabatan Bantuan Guaman tahun lepas untuk membantu golongan wanita dan kanak-kanak yang menghadapi masalah perceraian.

Katanya, wanita yang menghadapi masalah perceraian ataupun melalui proses perceraian boleh memohon bantuan guaman serta merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara menunggu kes mereka diselesaikan. - BERNAMA
Saya berpendapat seorang bapa yang bertanggungjawab sepatutnya membayar nafkah anaknya tanpa si isteri/bekas isteri perlu bersusah payah turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak anak-anaknya.
Apalagi kalau perceraian berlaku kerana hadirnya pihak ketiga.  Jangan kerana adanya keluarga baru, maka anak-anak terdahulu dipinggirkan.  Terlalu banyak kes yang berlaku, bila berkahwin lain, isteri pertama menderita kerana nafkah anak dikurangkan.  Apa tidaknya, kalau gaji sebanyak itu, terpaksa dibahagi-bahagikan.
Seringkali kita terbaca diakhbar tempatan, bagaimana bekas isteri artis perlu naik turun mahkamah untuk memaksa bekas suami membayar nafkah anak-anak.  Ada yang membayar jumlah yang tidak munasabah walhal perbelanjaan anak-anak semakin meningkat dan terpaksa ditanggung oleh bekas isteri.
Ada bekas suami yang pandai mengelak, buat-buat tak tahu bila tanya tentang nafkah anak.  Jadilah lelaki sejati, tunaikan tanggungjawab anda sebagai bapa.  Jangan nama sahaja bapa, tetapi enggan memikul tanggungjawab menyara anak-anak. Membiarkan bekas isteri menanggung segala-galanya.  Keadilan? Wujudke?
Lelaki, kenapa biarkan wanita menanggung segala?
Realitinya, bila berkahwin dengan orang kaya, bermadu atau bercerai, selalunya si isteri/bekas isteri tidak dibebani dengan masalah kewangan teruk dibandingkan mereka yang berkahwin dengan lelaki yang miskin, namun ingin beristeri lebih.




No comments: