Thursday, May 24, 2012

Anak Angkat

Anak Angkat
Sindiket Menjual Bayi


Orang dulu-dulu, beranak pinak, hidup susah dan terpaksa menyerahkan anak kepada pasangan lain yang dirasakan layak dan mampu memberikan kehidupan yang lebih baik pada anaknya.  Mungkin waktu itu, perancangan keluarga tidak dipraktikkan !!

Terbaca banyak kes dimana, anak keturunan Cina diberi kepada kenalan Melayu untuk dibesarkan. Maklum sahaja waktu itu, hidup mereka terlalu susah dan anak menyusul setiap tahun.  Ada anak India diberikan kepada pasangan Cina atau sebaliknya.  Bila dewasa, ramai yang mencari ibu bapa kandung mereka.  Ada yang sekadar ingin mengenali ibu bapa dan saudara kandung mereka.  Waktu itu, tiada urusan menjual bayi kerana bayi diberikan kepada orang lain atas dasar desakan hidup.

Kakak ipar saya berasal dari keluarga Cina, diberikan kepada keluarga Melayu/Boyan selepas dilahirkan.  Dek kehidupan yang susah, ibu kandungnya terpaksa menyerahkannya kepada keluarga angkatnya.  Bila usianya meningkat , timbul hasratnya untuk mencari keluarga kandungnya.  Dia mula pencariannya di pekan dan akhirnya Berjaya menemui ‘keluarga kandungnya’.  Apalagi  ‘ ibu kandungnya’ begitu gembira menemuinya, begitu jua dengan adik beradiknya.  Nak dijadikan cerita, kakak ipar saya terdengar khabar kononnya di pekan itu, ada 2 keluarga Cina yang menyerahkan anak-anak mereka kepada keluarga Melayu/Boyan.  Rupa-rupanya ‘ibu kandung’ yang ditemui terdahulu itu bukannya ibu kandungnya .  Kakak ipar saya mencari dan akhirnya menemui anak perempuan ‘ibu kandungnya’.  Namun perempuan itu enggan ambil tahu hal ibu kandungnya.  Tidak mahu memusnahkan kegembiraan dan harapan ‘ibu kandungnya’ yang sudah tua dan uzur, kakak ipar saya menyimpan rahsia dan saling menghubungi.  Dia kemudian menemui ibu kandungnya dan adik beradiknya.  Kata kakak ipar saya, dia bertemu 2 ibu sekaligus.

Dia pula ada seorang anak angkat perempuan.  Ibu anak angkatnya menyerahkan anak perempuannya selepas dilahirkan kerana sudah terlanjur dan tidak mampu membelanya.  Kata kakak ipar saya, sebaik dia menatap wajah bayi perempuan itu, hatinya terus terpaut.  Lalu diambilnya dan dijadikan anak angkat, dipelihara dengan penuh kasih sayang, disamping anak-anak kandungnya yang lain.
Ramai orang yang saya kenali mengambil anak angkat dari saudara mereka sendiri.  Ada yang bukan disebabkan tiada anak langsung tetapi kerana hanya ada anak lelaki atau perempuan.

Perbezaan diantara yang ramai dengan yang tiada langsung

Mereka yang beranak ramai, anak-anak tidak dapat diberi perhatian dan kesenangan 100%.  Apalagi ekonomi sekarang, semuanya memerlukan wang.  Susu, lampin pakai buang, pendidikan dan seterusnya.

Ada perempuan yang terlanjur, termengandung dan melahirkan.  Masih muda, belum bersedia namun diheret ke situasi sebegini sendirian.  Lelaki tidak bertanggungjawab lepas tangan. Apalagi kalau keluarga juga meminggirkannya.   Yang menanggung malu dan kepayahan adalah perempuan.  Bila keadaan begini, lebih baik diserahkan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak.

Bagi pasangan yang berkahwin tetapi gagal melahirkan anak, kekecewaan menghantui kehidupan mereka.  Apalagi kalau pasangan yang berada.  Proses mengambil anak angkat secara sah mengambil masa yang panjang dan sukar.  Baca berita : http://mstar.com.my - Permintaan Bayi Angkat Yang Meningkat Jadi Punca  & http://mstar.com.my - 500 Pasangan Sedang Tunggu Kelahiran Bayi Di Kewaja

 Jadi pasangan yang terdesak, menemui sindiket ini dan membayar mereka untuk mendapatkan anak.  Anak-anak ini kelak akan dibelai dan dijaga seperti menatang minyak yang penuh.  Sudah tentu cukup segalanya.

Zaman sekarang, bayi dijadikan seperti perniagaan.  Nilainya boleh mencecah sehingga RM20,000.00  Baca berita : http://mstar.com.my - Nilai Bayi Mampu Cecah RM20,000

Sindiket menjual  bayi ini wujud,  bila ada permintaan, disitu ada tawaran.  Bila ada keuntungan, ianya menjadi suatu biznes. 

Apa yang saya bimbangkan adalah sekiranya ada sindiket yang ingin mengaut keuntungan sehingga sanggup menculik bayi untuk dijual.


Saya teringat kisah satu filem.  Kisah perebutan anak diantara keluarga kandung dengan keluarga angkat. 

Di akhir cerita, si ibu kandung mengambil keputusan untuk tidak berlawan di mahkamah bagi mendapatkan kembali hak penjagaan anaknya dari keluarga angkat.

Si ibu kandung berkata, ‘katakan pada anak kita, dia mempunyai 2 ibu”.

“Ibu kandung yang terlalu menyayanginya sehingga sanggup melepaskannya dan ibu angkat yang terlalu menyayanginya sehingga tidak sanggup melepaskannya”.  Itulah pengorbanan ibu.



No comments: