Friday, May 18, 2012

Matrikulasi atau Tingkatan Enam ?

Kuota berganda untuk pelajar bukan bumiputra, kerajaan digesa

KUALA LUMPUR: Pemuda MCA mahukan kerajaan menggandakan kuota 10% untuk pelajar bukan bumiputra dalam program matrikulasi.

Pengerusi Biro Pendidikannya Chong Sin Woon berkata bahawa kuota yang diperuntukan untuk pelajar bukan bumiputra adalah tidak mencukupi.

 “Ianya adalah terlalu sedikit untuk terlalu banyak” beliau memberitahu sidang akhbar di Wisma MCA semalam.

Beliau berkata bironya telah menerima 892 rayuan dari pelajar yang mendapat keputusan baik di dalam SPM tetapi gagal diterima ke dalam program tersebut.

 “Saya akan mengusulkan rayuan kepada Divisi Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan membincangkan hal tersebut dengan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Wee Ka Siong”, katanya.

Beliau menasihatkan mereka yang gagal mempertimbangkan alternatif lain, termasuk ke Tingkatan Enam.

 “Ramai ibubapa dan pelajar masih tidak minat untuk memasuki Tingkatan Enam kerana mereka percaya bahawa peperiksaan STPM adalah sukar.  Tetapi, format peperiksaan telah dirombak tahun ini dan adalah kurang membebankan pelajar,” tambahnya.



Anak anda tak ke matrikulasi?? Itulah soalan yang saya terima dari teman-teman bukan bumiputra sejak keputusan SPM diumumkan.  Saya agak gelabah kerana sebelum ini saya percaya anak gadis saya tahu apa yang dikehendakinya dan urusan memilih diserahkan padanya.

“Mengapa tidak memohon ke matriks”?.  “Rugi, kerana bumiputra lebih mudah ke matriks”. “Kalau bukan bumiputra, payah untuk terpilih melainkan yang mendapat 10A+ ditawarkan biasiswa JPA”.  Benarkah kenyataan itu, saya tidak pasti.

“Kalau ke Tingkatan Enam, pelajaran susah”. “ Kalau masuk matriks anda sudah menempah tempat ke universiti”. “Mengapa nak masuk Tingkatan Enam, bila keputusan begitu bagus”? Itulah kata-kata yang sering saya dengari dan mula membimbangkan saya.

Saya diberitahu anak saya, memang ramai temannya yang bukan bumiputra tercicir dalam permohonan matrikulasi manakala yang bumiputra Berjaya melepasinya.  Dan keputusan anak saya yang lebih baik dan statusnya tentu dapat melepasi halangan tersebut.  Namun mengapa dia enggan memohon  untuk memasuki matriks.  Jawapannya mudah sahaja,’Saya bumiputra, keputusan saya baik, kalau saya diterima masuk, orang masih berkata kerana saya bumiputra’.  Mengapa kaum bumiputra tidak diiktiraf kebijaksanaanya dan bersaing dengan bukan bumiputra”, katanya.

Dengan sendirinya anak gadis saya memohon biasiswa ke satu Universiti swasta terkemuka di  Kuala Lumpur.  Permohonannya disenaraikan untuk  temuduga dan disusuli dengan temuduga akhir oleh Universiti berkenaan.  Sementara menunggu jawapan, dia memasuki Tingkatan Enam.  Soalan bertubi-tubi ditanya oleh guru-guru kepadanya mengapa tidak memohon ke matrikulasi .  Katanya bila soalan sedemikian ditujukan kepadanya, beliau mula berasa khuatir keputusan yang diambilnya mungkin salah dan akan merasa menyesal kelak.  Justeru itu dia bertekad untuk mendapat keputusan yang baik dalam STPM kelak.  Baginya pelajaran di Tingkatan Enam tidaklah sukar seperti yang diperkatakan oleh orang.

Alhamdulillah, selepas seminggu ke Tingkatan Enam, semalam mendapat berita baik.  Dia diterima oleh universiti dengan biasiswa ( fee pengajian dikecualikan ) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang digemarinya, diploma dan ijazah.

Kesimpulannya :  Sekiranya kita mendengar terlalu banyak pendapat orang lain, lebih-lebih lagi orang yang bukan benar-benar memberi maklumat yang betul, maka akhirnya kita akan meragui keputusan yang kita ambil.

‘Tepuk Dada Tanya Selera’.

No comments: