Wednesday, May 9, 2012

Bunuh Diri – Jalan Penyelesaian????

Putus Cinta – Bunuh Diri – Inikah Jalan Penyelesaiannya?

Semalam semasa dalam perjalanan melalui Jambatan Pulau Pinang untuk ke KL bersama anak-anak, menghampiri bahagian tengah jambatan, trafik tiba-tiba menjadi perlahan-lahan dan sesak.  Mulanya kami menyangka mungkin ada kemalangan kerana biasanya bila berlaku kemalangan begitulah keadaannya.

Kemudian kami ternampak banyak kereta dan motosikal berhenti  dan orang ramai keluar.  Mereka memandang ke satu arah.  Ada pula yang memandang ke arah bawah jambatan. Anak saya terpandang ada seorang lelaki memegang galang di jambatan dan orang ramai berkerumun di situ. .  Saya jangka tentu ada cubaan untuk membunuh diri dengan terjun ke laut atau kemungkinan sudahpun terjun. 

Tadi pagi terbaca berita di STAR ONLINE - Lawyer talks man out of jumping off bridge  Rupa-rupanya benar jangkaan kami. Ceritanya seorang lelaki Cina yang baru putus cinta hendak terjun dari jambatan.  Seorang peguam muda yang prihatin menghampirinya sambil dikerumuni orang ramai berusaha memujuknya untuk mengubah niatnya.

Beliau menceritakan bagaimana ibunya yang menghidup kanser berjuang untuk hidup.  Malahan dia menelefon keluarga bekas kekasih lelaki itu untuk memujuknya.  Akhirnya pujukannya Berjaya mengubah niat pemuda itu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya tergerak hati untuk komen tentang persoalan ini.

Wahai pemuda/pemudi, kalau anda baru putus cinta dan rasa hidup ini tidak bermakna serta punya niat untuk mengakhiri hidup anda, baca ini :-

1.       Semurah itukah nyawa anda, hanya kerana ditinggalkan kekasih maka anda berhak untuk mengambil nyawa sendiri.  Hanya kerana seseorang yang kita cintai ingin memutuskan perhubungan dan cinta kita tidak kesampaian, maka nyawa kita jadi taruhan.

2.     Sebenarnya kita tidak dapat memaksa orang lain untuk mencintai kita atau bersama kita.
Kalau sememangnya dia diciptakan untuk kita, maka kita dapat bersama.  Kalau tidak, kita akan berpisah jua akhirnya.  Kalau dia tidak menghargai kita dan meninggalkan kita, kita harus berani menghadapinya.  Inilah sebahagian dari kehidupan dan kita perlu melaluinya.

3.     Anda ingin mati? Pernahkah anda terfikir bagaimana punah dan sedihnya hati ibubapa yang membesarkan anda dengan susah payah? Hanya kerana putus cinta, maka anda begitu pentingkan perasaan anda, sehingga tidak memperdulikan kesedihan orang-orang yang benar-benar menyayangi anda.  Kekasih boleh bertukar ganti namun ibu bapa dan keluarga akan tetap bersama anda walau apa terjadi.  Sanggupkah anda menghancurkan harapan mereka?

4.    Kalau anda mati, anda fikir bekas kekasih anda akan bersedih atau rasa bersalah? Hmm.. kalau dia tinggalkan anda untuk orang lain, jangan harap.. Sekejap sahaja dia sudah lupakan anda.

5.     Sebenarnya cara anda untuk membalas dendam adalah dengan lebih Berjaya dalam hidup selepas anda ditinggalkan. Anda masih muda, cari pasangan yang lebih sesuai.  Jadikan kesilapan lalu panduan untuk anda lebih berhati-hati dan memilih yang lebih baik.  Pastinya bekas kekasih anda akan terasa rugi kerana meninggalkan anda dulu.

6.      Walau apapun fahaman dan agama anda, bila anda dalam kesedihan dan kebuntuan, berdoa dan bersolat agar diberi petunjuk dan kekuatan untuk melaluinya.  Semua Agama mengajar penganutnya untuk tidak berputus asa dan bunuh diri.

7.     Berbual dan luahkan kekecewaan anda pada seseorang yang anda percayai dan akrab.  Nasihatnya mungkin dapat meredakan kekecewaan anda.

8.     Patah hati, sakit hati, makan hati sememangnya menyakitkan.  Anda ingin mengakhiri kepedihan, kesengsaraan dan penderitaan yang ditanggung. Hanya orang yang melaluinya akan mengerti.   Tetapi percayalah, masa akan mengubati kelukaan itu, bersabarlah. Lama kelamaan, ianya akan lenyap.

9.     Bila kita berada dalam kesedihan yang teramat, syaitan sememangnya menghasut kita untuk berbuat sesuatu yang menyalahi dan bertentangan dengan ajaran agama.

10.  Lihat sekeliling kita, betapa untungnya kita hidup sihat sambil menikmati keindahan dunia ini.

Ingatlah semua masalah ada penyelesaiannya tapi bukan dengan cara begini.

Di masa depan bila anda memandang kembali masa silam, anda akan ketawa pada kebodohan anda dan bersyukur kerana anda tidak mengambil langkah yang salah untuk mengakhiri hidup anda.  Percayalah !!
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya selalu terfikir, alangkah baiknya kalau 2 golongan ini boleh saling bertukar nyawa.
*Orang yang sakit teruk dan tidak berpeluang hidup lama namun tidak berputus asa dan masih berjuang sehingga akhir hayatnya bak kata ‘Pantang Maut Sebelum Ajal’
* Orang yang sihat walafiat, berputus asa hanya kerana putus cinta, tidak menghargai kehidupan dan ingin mati.

No comments: