Friday, April 6, 2012

SPA - Onsen di Hokkaido

Tempoh hari terbaca di sebuah majalah SPA yang mana satu artikelnya menceritakan tentang Onsen.

Lantas fikiran saya terus melayang, mengenangkan saat indah sewaktu melancong ke Hokkaido, Jepun.
Onsen (温泉?) adalah istilah dalam bahasa Jepun untuk mata air panas atau ‘hot spring’.  Jepun mempunyai ribuan onsen disebabkan ia negara yang aktif gunung berapinya.  Orang Jepun percaya bahawa rendaman di kolam onsen dapat mengubati dan mengelakkan pelbagai penyakit disamping mengekalkan kesihatan yang baik.
Teringat beberapa tahun yang lepas, sewaktu bercuti di Hokkaido, Jepun.  Tiba di hotel, terus pemandu pelancong memaklumkan bahawa hotel penginapan kami mempunyai kolam onsen tertutup, berasingan diantara wanita dan lelaki.  Ada juga onsen yang terletak diluar bangunan, sambil berendam dapat menyaksikan pemandangan semulajadi.
Agen pelancong kami menyarankan kami mencuba dan jangan melepaskan peluang untuk berendam di dalam kolam mata air panas.  “Dah datang jauh-jauh, kenalah cuba”, katanya.  Namun dia menasihatkan mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan sakit jantung agar mengelakkannya.
Kumpulan kami yang terdiri dari wanita agak segan silu bila diberitahu bahawa kami terpaksa masuk ke kolam tanpa seurat benang.  Mulanya agak keberatan, namun akhirnya kumpulan kami memberanikan diri dan bersepakat ke bilik kolam air panas pada awal-awal pagi. 
Kami dikehendaki membersihkan diri sebelum masuk ke kolam.  Syampu, gel mandi disediakan di bilik air.  Kami diberi sehelai tuala kecil ( sekadar hanya dapat menutup sebahagian depan tubuh ).  Kami dinasihat tidak memasukkan tuala tersebut ke dalam kolam untuk mengelakkan pencemaran kepada air di situ.
Terdapat ramai wanita Jepun tidak mengira usia berada di kolam air mata panas itu, berjalan tanpa seurat benang, tidak mempedulikan orang lain yang lalu lalang.  Ramai juga wanita Jepun yang lanjut usia, kelihatan gembira menikmati rendaman di kolam itu.  Kami yang malu-malu, dengan sehelai tuala kecil melindungi bahagian depan tubuh, segera menuju ke kolam dan masuk ke dalamnya.  Saya dapat tahan kepanasannya.  Terasa jantung bergerak pantas dan mula berpeluh.  Wow.. bestnya, berbaloi mencubanya.  Namun sepupu saya, terasa pening-pening lalat.  Terasa letih. 
Saya berpeluang mengunjungi onsen sekali lagi di hotel penginapan yang lain.  Kali ini saya teruja untuk mencuba mandi di kolam onsen yang agak lain dari yang pertama.  Sungguhpun dalam bangunan, tetapi saya dapat menatap dan menikmati pemandangan luar yang begitu indah melalui kaca yang jelas.
Bagi diri saya, pengalaman ini menyeronokkan, melengkapkan kunjungan saya ke Hokkaido.  Ianya merupakan satu memori dan kenangan indah, yang tidak mungkin saya lupakan.  Saya seronok dan selesa melancong ke situ kerana sikap penduduk tempatan disitu yang ramah dan sopan, di samping pemandangannya yang indah, kemudahan awam yang mengagumkan dan yang penting tandas awam yang cukup bersih dan canggih.

Aduh, frustnya kerana bila teringat foto-foto cantik di Hokkaido yang diambil, saya simpan dalam pc.  Bila anak reformat pc, tak backup... Aduss...Malahan terdelete ratusan foto lain juga.  Itulah lecehnya bila dah ada digital kamera, foto tak diproses menjadi gambar keping.  Cuma simpan di pc je.  Satu pengajaran, semua foto kena back-up dan simpan.
Tinggal kenangan tanpa foto peribadi !!



No comments: