Thursday, April 5, 2012

Kecurangan Suami


Terbaca artikel di Akhbar The Star, soal jawab kehidupan dalam ruang Dear Thelma tempohari.

Ianya langsung menarik perhatian saya.  Soalan yang ditujukan oleh seorang isteri tentang kecurangan suaminya. Soalan sama yang pernah ditujukan kepada saya oleh seseorang yang dikenali tentang dilemma yang dihadapinya.

Jawapan yang diberikan oleh Thelma tepat sekali sepertimana yang saya hendak perkatakan.

Kalau anda wanita yang menanggung masalah sama, baca dan hayati jawapan kepada persoalan ini.

Ianya mungkin membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.

Mengapa Anda Menangis?

Persoalannya :

Sewaktu saya hamil anak pertama, saya mendapat tahu suami saya sering berhubungan dengan teman wanita sepejabatnya pada waktu malam dan semasa ketiadaan saya.

Saya berdepan dengan wanita itu dan menasihatkannya untuk hentikannya.  Dia berjanji akan berbuat demikian.  Saya juga telah bercakap dengan suami, yang mengatakan tiada apa-apa yang terjadi di antara mereka.  Saya telah memberitahunya sekiranya sesuatu terjadi, saya akan memilih untuk bercerai kerana tidak sanggup berdepan dengan kecurangannya.

Semasa dalam pantang, saya mendapat tahu dia menipu saya.  Dia mengaku segalanya apabila saya membohonginya bahawa wanita itu telah membongkar rahsia hubungan mereka.  Sebenarnya wanita itu hanya memberitahu dia bersama suami saya ketika lawatan syarikat.

Sewaktu suami mengaku tentang hubungan sulitnya, seluruh dunia  dan harapan saya berkecai.  Semua yang dapat dia katakan hanyalah dia menyesal dan telah menamatkan hubungan itu.

Kami telah bersama begitu banyak tahun sebelum berkahwin dan saling mencintai dan mempercayai.

Sekarang semua ini terjadi di peringkat awal perkahwinan kami.  Ianya mengambil beberapa bulan bagi suami saya menyedari kesilapannya.

Suami saya telah mengugut untuk mengambil nyawanya, setiap kali saya ingin meninggalkannya.  Saya khuatir suatu hari, dia mungkin akan melakukan perkara yang bodoh.

Hidup bersama atau tanpanya, saya tidak kisah kerana sekarang anak saya mengatasi segalanya.  Namun saya masih mengambil berat tentangnya mengenangkan susah dan senang kami lalui bersama dahulu.

Suami menyara anak dan keluarga.  Dia memberitahu saya telah bertaubat dan mencintai saya sepenuhnya.  Nampaknya dia berusaha keras untuk mengembalikan cinta dan kepercayaan saya terhadapnya.

Saya tinggal berasingan sehingga suatu keputusan dibuat.  Saya keliru, terluka dan kecewa.  Saya tahu keputusan adalah ditangan saya, tetapi saya berharap seseorang dapat memberitahu saya samada saya patut memberinya peluang demi untuk keluarga kami atau sebaliknya.

Dia telah berjanji untuk meninggalkan syarikatnya apabila mendapat tawaran kerja di tempat lain.  Saya telah menunggu hampir setahun namun dia masih disitu. Adakah sebarang tindakan undang-undang yang dapat saya ambil terhadap wanita itu?

Saya telah menangis selama berbulan-bulan,  perkara yang membuat saya masih waras adalah kerja dan anak saya.

Nampaknya suami psikotik saya membuat hidup saya tidak keruan dan membuat hati saya berkecamuk.  Saya tahu jauh di sudut hati saya, dia mencintai saya.  Tetapi bolehkah seseorang yang mencintai anda melukakan hati anda sebegini?

Jawapannya :

Hanya anda yang dapat membuat keputusan yang dapat membawa kebahagiaan kepada diri anda.  Nampaknya anda mempunyai dua pilihan.

Anda boleh memberi peluang kedua kepada suami anda.  Seperti yang anda katakan, dia telah mengaku kebodohannya dan memohon maaf serta berusaha keras untuk mengembalikan kepercayaan dan cinta anda.

Apabila seseorang benar-benar menyesal atas perbuatannya, mereka akan benar-benar berusaha untuk memperbaikinya.  Perkara yang lebih penting adalah mereka akan membuat perubahan kepada diri atau sesuatu situasi bagi memastikan kesilapan tidak berulang lagi.  Andalah orang yang terbaik untuk mengadilinya samada dia sedang berbuat demikian.

Malangnya,  ia akan memerlukan masa sebelum anda dapat mempercayainya.  Anda haruslah menyedari dan menerimanya. 

Tanggungjawab itu bergantung padanya, untuk mencapainya mestilah ada usaha yang benar.  Anda pula, harus ada jangkaan dan harapan  yang realistik ke atas dirinya.

Anda haruslah jelas tentang jangkaan anda terhadapnya.  Tetapkan had tentang perbuatan yang boleh dan tidak boleh anda diterima.  Anda harus jelas tentang setiap jangkaan anda dalam perkahwinan ini dan samada ianya telah dicapai.

Sekiranya sudah dicapai,  inilah kekuatan yang boleh anda kembangkan.  Sekiranya ada jangkaan yang tidak dapat dicapai, fikir bersama sebabnya dan samada sesuatu dapat dilakukan untuk memperbetulkannya.

Tentang cinta pula,  selepas suatu tempoh masa, anda akan mula punya sedikit perasaan seperti sebelumnya.  Namun jangan mengharap ianya akan sama.  Anda telah berubah, begitu juga dia. Begitulah jua cinta anda berdua.

Pilihan kedua pula - Anda boleh katakan yang anda telah sampai had kesabaran anda dan ingin menamatkan hubungan anda.  Perbuatannya, jelas menunjukkan dia tidak menghormati anda dan perkahwinan anda.

Adakah dia benar-benar ingin menamatkan hidupnya?  Pernahkah dia berkata sedemikian sebelum ini?  Sekiranya tidak, ugutannya merupakan caranya memanipulasi anda.  Sekiranya dia ada berkata tentang bunuh diri dan mati, ambil serius – dia memerlukan bantuan professional.

Apa jua keputusan yang anda ambil, keperluan dan emosi anak perlu diberi keutamaan.  Namun, jangan mengenepikan kebahagiaan anda.  Adakah anda menangis kerana perbuatan suami anda atau kerana anda telah kehilangan sesuatu dalam hubungan ini? Atau adakah kerana jangkaan dan harapan anda tentang cinta, perkahwinan, suami dan diri anda tidak tercapai?

Ianya mungkin atas sebab-sebab tersebut dan memikirkannya juga dapat membantu anda membuat keputusan.

Akhir sekali, mengapa anda ingin mengambil tindakan ke atas wanita itu?  Bukankah ianya lebih penting bahawa suami anda telah bertaubat dan berusaha memperbetulkan dirinya, atau anda dapat melupakannya dan bergerak ke depan ke arah hidup yang lebih gembira?

Anda marah dan tiada sesiapa yang boleh menyalahkan anda.  Namun aksi dendam terhadap wanita itu tidak akan mengubah suami anda.  Hanya Suami Anda yang dapat berbuat demikian !


Semoga artikel ini dapat membantu anda yang sedang menghadapi kemelut ini, tabahkan hati, kuatkan iman, moga anda menemui jalan terbaik !





No comments: